Adsense

Ahad, 27 November 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Mengharap sinar tahun baru

Posted:

Mengharap sinar tahun baru

Mengharap sinar tahun baru

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR dan ihsan SIMPLYSITI


SITI Nurhaliza meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk melihat kempen SimplySiti Di Hati berjaya mencapai sasarannya.


APABILA penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin mengambil inisiatif untuk menerbitkan album Inggeris pertamanya, All Your Love, ada segelintir pihak seolah-olah memperlekeh-lekeh usaha penyanyi itu.

Namun, bagi penyanyi kesayangan ramai itu, dia sedikit pun tidak ambil hati mahupun peduli akan kata-kata negatif yang dilemparkan kepadanya.

Apa yang penting bagi Siti Nurhaliza, dia melihat kelahiran All Your Love sebagai satu cabaran selain memperbaiki skil komunikasinya di dalam bahasa Inggeris.

"Segala apa yang diperkatakan tentang usaha itu, saya lebih selesa untuk melihatnya dari sisi positif demi kebaikan diri sendiri.

"Saya sendiri mencabar diri saya untuk ke depan apabila menerima undangan daripada rancangan berbahasa Inggeris seperti Bella dan Hello On Two (HOT) untuk mempromosikan album All Your Love.

"Walaupun ada ketikanya dalam butir bicara saya ketika itu tergagap dan tersangkut, tetapi setidak-tidaknya saya mencuba. Alhamdulillah, saya mendapat maklum balas yang sangat baik terutama daripada peminat," kata wanita yang mesra disapa Siti ini sambil ketawa kecil sewaktu ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

Menyentuh tentang All Your Love, Siti meningkah dakwaan yang mengatakan All Your Love sudah mencatatkan jualan melebihi 40,000 salinan seperti mana yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Katanya, jumlah penjualan album yang sebenar hanya akan diketahui selepas enam bulan ia berada di pasaran.

"Disebabkan itu, saya sendiri pelik bagaimana berita tentang All Your Love yang dikatakan terjual melebihi 40,000 salinan itu boleh tersebar.

"Walhal album itu baru berada di pasaran sekitar dua bulan sejak September lalu. Tetapi apa yang saya diberitahu, All Your Love sudah pun terjual melebihi 10,000 unit.

"Syukur Alhamdulillah, dengan jumlah itu, ia membuktikan percubaan pertama saya melahirkan album Inggeris diterima baik oleh peminat dan pencinta muzik secara amnya.

"Sehinggakan ada beberapa buah lagu sudah pun ditukar muziknya kepada lebih rancak (remix) dan dimainkan di kelab-kelab hiburan. Secara tidak langsung, mereka menerima baik lagu-lagu Inggeris saya," jelas penyanyi kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang ini dalam nada gembira.

Dalam perkembangan lain, Siti juga berkongsi cerita apabila lagu kolaborasinya bersama Sean Kingston, Remember You mendapat tempat di hati pencinta muzik di Indonesia.

Apa yang membanggakan kata Siti, lagu tersebut berjaya menduduki carta lima lagu teratas dalam beberapa buah carta stesen radio di sana.

Ternyata ia berita yang cukup menggembirakan kerana belum pun album itu berada di pasaran republik itu, ia sudah pun mendapat perhatian meluas.

"Insya Allah, jika tiada aral melintang, All Your Love akan berada di pasaran Indonesia dalam waktu terdekat ini. Berkemungkinan besar pada bulan Disember atau awal tahun depan.

"Dalam masa yang sama, pihak What's Up Entertainment juga kini sedang merancang untuk mengadakan siri persembahan istimewa sepanjang tahun depan bagi mempromosikan lagi album ini," ujar Siti tentang perancangan yang telah diatur untuk meluaskan lagi pasaran album yang mendapat edaran Warner Music Malaysia itu.

Melihatkan kepada sambutan hangat yang diberikan kepada album studio ke-15 miliknya, jelas Siti tidak mustahil untuknya menerbitkan album Inggeris keduanya di masa depan dengan sentuhan yang berbeza berbanding album All Your Love.

Konsert tradisional

TAHUN 2011 akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi dan sebagai penyanyi yang tidak betah duduk diam, Siti sudah pun mempunyai agenda tersendiri sepanjang tahun 2012.

Salah satunya adalah untuk mengadakan sebuah konsert tradisional yang sudah lama diimpikannya sejak sekian lama.

Bukan itu sahaja, Siti juga kini sedang menyiapkan dirinya dengan mengumpul material terbaik bagi menerbitkan album Melayunya yang dijangka berada di pasaran selewat-lewatnya sebelum penghujung tahun depan.

"Alhamdulillah, rezeki untuk saya membuat persembahan tidak pernah putus dan saya sendiri mendapat jemputan untuk mengadakan konsert di Singapura terutama konsert tradisional untuk tahun 2012.

"Selain itu juga, saya juga merancang untuk menerbitkan buku biografi bergambar sempena ulang tahun ke-17 pembabitan saya dalam bidang seni.

"Saya hanya mampu berdoa agar semuanya dapat disempurnakan dan berjalan lancar seperti mana yang diharapkan," ujar pemilik trofi Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak 11 kali ini penuh mengharap.

Tidak putus berdoa

SEBAGAI penyanyi pujaan ramai, sudah semestinya apa sahaja yang dilakukan oleh Siti akan meraih perhatian meluas dan semuanya mahu diambil tahu oleh peminat serta masyarakat.

Salah satu soalan yang sering dibangkitkan dan diajukan kepada Siti adalah tentang cahaya mata sementelah usia perkahwinannya sudah pun mencecah lima tahun pada 21 Ogos lalu.

Sambil tersenyum dan tidak pernah lelah untuk menjawab soalan berkaitan tentang anak, jelas Siti, sebagai seorang isteri dia sendiri tidak pernah putus berdoa kepada Yang Maha Esa untuk dikurniakan zuriat sendiri.

Meskipun ada yang mengesyorkan kepadanya untuk mengambil anak angkat atau mencuba proses pensenyawaan tabung uji (IVF), namun kata Siti, dia mahu mencuba kaedah normal selagi termampu.

"Bukan tidak pernah terfikir untuk mengambil anak angkat atau mencuba kaedah IVF, tetapi biarlah buat masa ini saya berusaha sendiri dan berdoa kepada Allah.

"IVF misalnya, ia bukanlah proses yang mudah dan tidak semestinya percubaan kali pertama akan membuahkan hasil. Semuanya bergantung juga kepada rezeki," jelas Siti memberikan hujahnya.

Projek amal Siti

BIARPUN sibuk dengan tugas hariannya sebagai seorang penyanyi, Siti tidak melupakan tanggungjawab sosialnya dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Menerusi produk kecantikannya, SimplySiti, penyanyi yang masyhur dengan lagu Biarlah Rahsia dan Bukan Cinta Biasa itu telah melancarkan kempen SimplySiti Di Hati.

Menerusi kempen yang akan berlangsung selama tujuh minggu bermula 1 Disember hingga 15 Januari 2012 itu, ia bertujuan untuk mengumpul dana sebanyak RM70,000 bagi membantu dua kanak-kanak penghidap penyakit jantung.

Dengan bantuan Institut Jantung Negara (IJN) menerusi Yayasan IJN, pihak SimplySiti telah mengenal pasti dua kanak-kanak yang memerlukan pembedahan segera pada bulan Disember ini.

Mereka yang terpilih ialah Siti Nur Syahira dan Tan Jia Yong, masing-masing berusia enam dan tiga tahun yang turut hadir pada majlis pelancaran SimplySiti Di Hati di Hotel Marriott, Putrajaya, baru-baru ini.

"Memang dari awal kempen ini digerakkan, saya mahu membantu golongan kanak-kanak daripada keluarga yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban mereka.

"Alhamdulillah, dengan bantuan Yayasan IJN sebagai rakan projek ini, semuanya berjalan lancar dan jika kempen ini mendapat dana yang lebih banyak lagi, maka, ramai kanak-kanak lain yang dapat dibantu," kata Siti dalam nada penuh optimis mengenai kempen yang turut mendapat kerjasama Watson's itu.

Turun padang

Menyentuh tentang idea tersebut, jelas Siti, selama hampir dua tahun SimplySiti berada di pasaran, pihaknya telah menganjurkan aktiviti berbentuk hiburan seperti sesi bertemu peminat dan konsert.

Apatah lagi, Siti sendiri pernah menjadi duta bagi projek amal untuk sebuah gedung membeli-belah sebelum ini lalu ia mencetuskan idea untuk Siti menerusi SimplySiti bagi kempen SimplySiti Di Hati.

Bagi melancarkan kempen ini, Siti juga akan turun padang dan bertindak sebagai perunding kecantikan SimplySiti di tiga cawangan Watson's terpilih iaitu Kuala Terengganu pada 3 Disember; Kangar, Perlis (10 Disember) dan Semua House, Kuala Lumpur (30 Disember).

Selain Watson's, IJN dan Hotel Marriott, Putrajaya, kempen ini turut mendapat kerjasama daripada syarikat penerbangan Air Asia menerusi Air Asia X.

Full content generated by Get Full RSS.

Misi kerja amal Kak Pah

Posted:

Misi kerja amal Kak Pah

Misi kerja amal Kak Pah

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar MOHD. NAIM AZIZ


KAK Pah menerima tiket penerbangan Oman Air daripada wakil syarikat penerbangan itu, Kathleen Leong pada sidang akhbar di kediaman biduanita itu di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.


BIDUANITA Datuk Sharifah Aini antara penyanyi tanah air yang bukan sahaja telah 42 tahun berkecimpung menerusi bidang nyanyian tetapi dia juga masih aktif dalam bidang yang telah sebati dalam dirinya itu sehingga ke hari ini.

Penyanyi yang mesra dengan panggilan Kak Pah ini turut tidak pernah melupakan kerja-kerja amal termasuklah dengan menganjurkan persembahan Majlis Makan Malam Amal Tiga Sahabat yang akan diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 17 Disember ini.

Menurut Kak Pah persembahan amal yang akan dijayakannya bersama dua penyanyi Indonesia, Grace Simon dan Dewi Yull itu bertujuan mengisi tabung Madrasah Tahfiz Tahsin al-Quran, Puchong, Selangor dan Baitul Ehsan, Taman Maluri, Kuala Lumpur.

"Ini bukan kali pertama saya mengadakan persembahan amal tetapi sejak 42 tahun menjadi penyanyi saya telah terbabit dalam hampir 3,000 persembahan dan kerja amal.

"Kali ini ia lebih kepada inisiatif saya dengan kerjasama Seri Dewi Production Sdn. Bhd., Hotel Royale Chulan dan Lime Events Management," katanya kepada Hits.

Pada pertemuan selepas sidang akhbar Makan Malam Amal Tiga Sahabat di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, Kak Pah berkata, dia terpaksa bekerja bagi menjayakan persembahan itu termasuklah mendapatkan pihak-pihak yang sudi tampil sebagai penaja.

Jelas penyanyi yang popular dengan lagu Seri Dewi Malam itu, dia antaranya berjaya mendapatkan tajaan daripada syarikat penerbangan Oman Air dan Jamu Mak Dara untuk menaja pelbagai barangan termasuklah hadiah cabutan bertuah pada persembahan itu kelak.

"Bagi menjayakan persembahan itu, saya melakukan sendiri kerja-kerja, daripada menulis surat dan mengetuk pintu pejabat banyak pihak bagi mendapatkan tajaan.

"Saya juga menjemput sendiri Grace dan Dewi bagi menjayakan persembahan ini. Apabila saya terangkan kepada mereka akan hasrat saya itu, mereka bersetuju untuk menjayakan persembahan itu bersama-sama saya.

"Selepas sekian lama menyanyi, sudah sampailah masanya saya lebih menumpukan kepada kerja-kerja amal seperti ini," ujarnya.

Selain membantu sekolah agama dan rumah kebajikan, penyanyi bersuara lemak merdu ini menyatakan impiannya mahu menubuhkan sebuah sekolah agama tahfiz al-Quran pada masa depan.

Jelas Kak Pah, waktunya telah tiba baginya berkecimpung dalam kerja-kerja amal yang boleh membawa bekalan pahala di akhirat dengan menggunakan sepenuhnya bakat serta popularitinya dalam bidang nyanyian.

"Sejak kebelakangan ini kerja-kerja amal saya lebih kepada membantu anak-anak yatim.

"Selain itu, saya juga aktif membantu membiayai perjalanan sekolah-sekolah agama terutamanya sekolah tahfiz al-Quran. Saya juga ada menaja pembiayaan pengajian beberapa pelajar di Afrika Selatan, Yemen dan Jordan," katanya.

Penyanyi berusia 57 tahun ini berkata, majlis makan amal itu nanti mengenakan bayaran daripada jualan meja yang berharga dari RM3,500 hingga RM10,000 untuk sebuah meja dengan 10 orang penonton.

"Selain daripada dua penyanyi terkenal itu, saya juga akan mengadakan persembahan pada malam itu.

"Kami bertiga juga akan berduet dalam sebuah lagu lama bertajuk Sepanjang Jalan Kenangan pada persembahan selama dua jam 45 minit itu nanti.

"Para tetamu yang hadir berpeluang memenangi cabutan bertuah antaranya dua tiket penerbangan ke mana-mana destinasi ke Eropah tajaan Oman Air.

"Sebarang pertanyaan berhubung tempahan meja ke majlis itu sila hubungi talian 019-2495277," ujarnya.

Tambah Kak Pah lagi, dia akan menghulurkan kesemua kutipan daripada jualan meja pada persembahan Makan Malam Amal Tiga Sahabat itu selepas ditolak kos penganjuran dan juga bayaran kepada Grace Simon dan Dewi Yull.

Mujurlah jelasnya lagi, banyak pihak yang sudi menaja persembahan itu terutamanya Oman Air di mana itu adalah kali pertama dia menyediakan hadiah cabutan bertuah dalam persembahan yang dianjurkannya itu.

Full content generated by Get Full RSS.