Adsense

Isnin, 21 November 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Berbogel jiwai roh haiwan

Posted:

Berbogel jiwai roh haiwan

Berbogel jiwai roh haiwan

DIA dinobatkan oleh majalah People sebagai jejaka paling seksi pada tahun 2010. Majalah Men's Health pula menjulang aktor kelahiran Pennsylvania itu sebagai pemilik tubuh paling menggiurkan sepanjang musim panas pada tahun ini. Selain itu, dia juga dilabel antara 25 jejaka paling kekar oleh majalah Men's Fittest, Lelaki Luar Biasa Terhangat 2011 oleh majalah Entertainment Weekly dan Anugerah Sharp Dressed Man 2011 oleh majalah US Weekly.

Tidak hairan figura bernama Joseph Michael 'Joe' Manganiello atau Joe Manganiello, 34, yang melakonkan peranan Alcide Herveaux dalam drama bersiri hebat eksklusif di saluran HBO, True Blood itu kian membuka mata ramai. Tidak terkecuali dia kini muncul sebagai simbol seks era masa kini, sesuai dengan sosok kekarnya setinggi 1.96 meter.

"Siapa saya dan bagaimana rupa saya bergantung pada tafsiran peminat, jika mereka melihat saya ikon positif maka itulah saya.

"Tapi buat masa sekarang, setiap hari bagaikan Halloween bagi saya, ke mana saya pergi orang akan panggil saya serigala jadian," katanya menjelaskan imej yang dinilai peminat menerusi drama bersiri True Blood musim keempat yang kini bersiaran pada setiap hari Khamis pukul 10.30 malam di saluran Astro 411 (HBO).

Sebagai Alcide Herveaux yang berkebolehan menjelma menjadi serigala jadian menyaksikan karakter lakonan Manganiello yang mula diperkenalkan pada musim ketiga itu kini mula berkembang peranannya dalam musim keempat.

True Blood yang berkisar dunia moden yang kini dihuni secara berkongsi oleh puak manusia normal dan puntianak itu membariskan tiga pelakon hebat untuk karakter utamanya iaitu pemenang Oscar Anna Paquin, Alexander Skarsgard dan Stephen Moyer.

Badan hangat


BAKAL muncul menerusi filem lakonannya di samping Jennifer Lopez dan Cameron Diaz yang berjudul What To Expect When You're Expecting.


Seronok melakonkan watak serigala jadian kata Manganiello, watak itu juga turut menuntutnya berkelakuan seperti haiwan.

"Saya perlu pastikan badan sentiasa hangat terutama pada waktu malam, oleh itu lebih banyak daging yang perlu saya makan setiap hari.

"Dalam pada masa yang sama, pada mulanya saya harus belajar menghasilkan bunyi mengeram dan menyalak seperti kelakuan seekor serigala," ujarnya yang ditemui ketika sesi temuramah eksklusif bersama media dari Asia di Hong Kong baru-baru ini.

Malah, dalam musim keempat True Blood, Manganiello lebih banyak terbabit dalam babak yang memerlukannya menanggalkan pakaiannya dan beraksi tanpa seurat benang.

"Saya nilaikan berbogel dari sudut artistik dan tidak salah selagi saya masih memiliki badan yang sempurna untuk ditayang kepada peminat dan penonton," tegasnya yang mengakui bahawa keluarganya kini menerima secara terbuka hakikat bahawa dia berlakon bogel dalam True Blood.

Demi mendapatkan sosok tubuh yang sasa dan kekar, Manganiello mengupah jurulatih khas yang pernah terlibat dalam filem X-Men, Ron Matthew untuk melatih tubi dirinya setiap hari.

"Ia umpama satu latihan intensif untuk mendapatkan otot bisep yang lebih bergaya, saya yang dapatkan Ron untuk melatih saya dan membayarnya untuk memukul saya ketika sesi latihan," kata figura berdarah kacukan Austria, German dan Armenia itu.

Tambahnya, sistem pemakanan yang diamalkannya kini dilipatgandakan untuk mentransformasikan tubuhnya agar kelihatan lebih besar dan 'kehaiwanan'.

Menerusi musim keempat True Blood juga ujar Manganiello menampilkan lebih banyak kejutan dan konflik antara watak terutama Alcide dan Eric Northman (yang dilakonkan oleh Alexander Skarsgard).

"Babak paling mencabar dalam musim keempat ini adalah pada episod keempat. Setelah membaca skrip saya menggeletar.

"Dalam episod itu saya diperlukan untuk bertumbuk dengan Eric di kawasan lapang dalam keadaan berbogel dan Sookie Stackhouse (lakonan Anna Paquin) berada di tengah-tengahnya," bicaranya diiringi ketawa kecil.

Doa termakbul


JOE MANGANIELLO bersama tiga pelakon utama siri True Blood (dari kiri), Alexander Skarsgard, Anna Paquin dan Stephen Moyer.


Pemilik personaliti yang sangat menyenangkan itu turut berkongsi kisah ajaibnya ketika zaman kanak-kanak.

"Ketika di bangku sekolah saya sering dibuli sebenarnya kerana saiz badan yang pelik, maka setiap hari saya akan ke gereja dan berdoa untuk dijadikan seekor serigala jadian.

"Dan ia seolah-olah satu keajaiban apabila sekarang doa saya itu termakbul walau cuma beraksi dalam drama," ceritanya yang dahulunya pernah mengalami kecederaan teruk pada lutut, siku dan pergelangan kaki akibat bersukan.

Pada mulanya, karier sebagai seorang pelakon kurang disenangi oleh keluarga terutama bapanya, Charles.

Namun, mungkin kerana bakat dan keserasiannya muncul di kaca TV dan layar perak, bapanya sendiri sanggup menulis sebuah sajak mengenai serigala jadian dan dihadiahkan kepadanya.

"Sebaik meraih hadiah itu saya menangis dan saya lalu bingkaikan sajak itu untuk diabadikan di dinding rumah," maklum anak sulung daripada dua beradik itu.

Kawan rapat Thunder

Manganiello yang telah pun menandatangani kontrak enam tahun untuk True Blood itu sempat berkongsi kisah menariknya dengan serigala terlatih yang digunakan dalam setiap babak penjelmaannya.

"Nama serigala itu ialah Thunder, kalau dulu saya takut untuk menghampirinya tapi sekarang kami seperti kawan rapat.

"Ia pun nampaknya sudah mula sukakan saya, ada juga kadangkala saya membawanya bersiar-siar dan bagi saya Thunder adalah seekor serigala yang luar biasa!" tutur aktor yang terpaksa menolak tawaran menjadi Superman dalam filem francais akan datang Superman: Man Of Steel akibat pertindihan jadual.

Full content generated by Get Full RSS.

Penghijrahan Rahmat

Posted:

Penghijrahan Rahmat

Penghijrahan Rahmat

Oleh HARYATI KARIM


RAHMAT bersyukur kerana diberi peluang untuk terus berkarya.


LELAKI bernama Engku Rahmat Engku Ismail atau nama komersialnya Rahmat Ekamatra cukup popular bersama band rock, Ekamatra sekitar penghujung tahun 1980-an dan 1990-an.

Lagu Sentuhan Kecundang, Pusara Di Lebuhraya dan Hanya Satu Persinggahan antara lagu sinonim dengan Rahmat meskipun selepas dia keluar daripada band Ekamatra dan muncul bersama band yang diberi nama RAHMAT. Band RAHMAT tidak bertahan lama, akhirnya, Rahmat bergerak secara solo pada tahun 1993.

Rahmat muncul kali terakhir bersama album adalah pada tahun 2006 menerusi album Antologi. Sejak zaman band Ekamatra sehingga bergerak solo, imej Rahmat tidak banyak berubah.

Dia masih setia dengan berkemeja-T dan seluar jeans koyak serta rambut panjang mengurai yang menjadi identiti wajib setiap penyanyi rock ketika itu.

Bagaimanapun bertemu dengannya baru-baru ini, ramai yang terkejut dengan perubahan 360 darjah bapa kepada tiga orang anak itu.

"Saya sedar ramai yang terkejut dengan penghijrahan imej serta diri saya termasuk rakan terdekat serta peminat tetapi penghijrahan ini ke arah kebaikan.

"Sejak berubah dan mendalami ilmu agama, jiwa saya lebih tenang dan tenteram," ujar Rahmat.

Ditanya, bagaimana boleh berlaku penghijrahan terhadap dirinya, jawabnya, semuanya berlaku secara kebetulan dan tidak dirancang.

"Semuanya bermula di sebuah kedai buku pada tahun lepas. Saya terpandang sebuah buku yang menceritakan kisah Rasullullah S.A.W.

"Ketika itu saya tidak ambil kisah, tetapi apabila pulang ke rumah, fikiran saya asyik teringatkan buku itu sahaja. Dalam hati saya terdetik yang saya mesti dapatkan buku itu. Setelah membeli buku itu, timbul perasaan kagum terhadap Rasullullah S.A.W.

"Orang di kedai buku itu juga ada memberitahu saya, bahawa Yayasan Sofa ada menganjurkan kelas agama setiap hujung minggu jika saya berminat," katanya.

Sambung Rahmat lagi, bermula dengan sebuah buku, kemudian hatinya terus terpaut untuk mendalami agama selepas menghadiri kelas agama yang diadakan oleh Yayasan Sofa.

"Pengalaman pertama saya mengikuti kelas agama Yayasan Sofa telah membuka pintu hati saya untuk mempelajari lebih lagi tentang ilmu agama .

"Selain menimba ilmu, apa yang saya sedar, jiwa saya lebih tenang. Pertuturan saya menjadi lebih lembut dan terkawal. Alhamdulillah, seluruh keluarga termasuk anak-anak menyambut baik penghijrahan saya.

"Anak-anak saya juga sering bertanya bermacam perkara mengenai Rasulullah S.A.W. Bila saya sudah ada ilmu, saya juga jadi seronok untuk berkongsi kehebatan Rasulullah S.A.W bersama mereka," balas Rahmat.

Meskipun tampil dengan imej yang berbeza, tegas Rahmat dia masih lagi Rahmat yang sama, cuma yang berbeza adalah penampilan luaran serta pertuturan.

"Walaupun saya berjubah, tetapi hari-hari biasa, saya masih Rahmat yang sama. Jika ada permintaan untuk saya nyanyikan kembali lagu-lagu rock Ekamatra, saya masih boleh memenuhi permintaan itu.

"Tetapi dalam masa yang sama saya akan turut menyelitkan karya terbaru saya yang ke arah Islamik," jawabnya.

Rahmat kini muncul dengan album solo terbaharu berjudul Semarak Cinta Rasullullah yang kini telah terjual sebanyak 10,000 unit meskipun tanpa publisiti yang meluas.

Album yang dirakam pada bulan Jun tahun ini mengandungi lima qasidah yang memuji Rasulullah S.A.W dan diterbitkan sendiri oleh Rahmat.

"Saya benar-benar merasakan ini adalah buah tangan yang bakal menyentuh hati dan jiwa pendengar.

"Respon yang diterima juga memberansangkan. Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk berkarya kerana Allah," kata Rahmat .

Walaupun sudah bertukar arah daripada rock ke Islamik tidak mustahil buat Rahmat untuk muncul dalam sebuah album rock Islamik atau bergandingan dengan mana-mana kumpulan nasyid popular tanah air.

"Perancangan itu ada, tetapi belum dapat direalisasikan lagi. Saya tidak menolak sebarang cadangan, walaupun menyanyi lagu rock tetapi kalau isi lagunya mengajak pendengar ke arah kebaikan, apa salahnya untuk saya mencuba.

"Inilah masa dan peluang saya untuk berbakti dan memberi sesuatu yang bermanfaat kepada peminat saya," ujarnya yang kini berusia 43 tahun.

Sebahagian wang yang dikutip daripada album yang dijual pada harga RM25 seunit itu akan disalurkan kepada Tabung Yayasan Sofa untuk tujuan dakwah, pendidikan, penyelidikan dan kebajikan Islam.

Full content generated by Get Full RSS.