Adsense

Jumaat, 18 November 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Shahz terpikat dengan Neelofa

Posted:

Shahz terpikat dengan Neelofa

Shahz terpikat dengan Neelofa

FILEM Azura yang menggandingkan penyanyi Jamal Abdillah dan Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy telah mencetuskan satu fenomena baharu dalam industri perfileman tempatan sekitar era 80-an.

Memaparkan sebuah kisah tentang cinta antara dua darjat yang digarap cukup menarik, maka tidak hairanlah filem arahan Deddy M. Borhan itu terus diminati dan menjadi tontonan ramai setiap kali ditayangkan di televisyen.

Namun begitu, selepas 27 tahun filem terbitan Sabah Film Production itu dihasilkan, ternyata ia telah menarik minat seorang pengarah yang cukup terkenal iaitu Aziz M. Osman mengadaptasi filem Azura untuk versi 2011.

Biarpun jalan ceritanya agak berbeza berbanding versi terdahulu, namun ia masih lagi mengekalkan tema yang sama iaitu mengenai kisah cinta yang terjalin di antara seorang gadis miskin dan lelaki yang dilimpahi dengan kemewahan.

Untuk versi baharu, ia mengisahkan tentang Azura, seorang gadis yang gigih hadapi cabaran hidup untuk mencapai cita citanya. Dia tinggal bersama ibu saudaranya, Yusni, setelah kedua-dua ibu bapanya terkorban ketika tragedi terowong Mina di Mekah pada 1990.

Sementara Zek pula membesar sebagai anak orang kaya sehinggakan kemanjaan dan kemewahan membuat Zek tidak mampu menahan diri daripada godaan. Dia sentiasa dikelilingi dengan manusia yang mahu mengambil kesempatan.

Selain menampilkan jalan cerita berbeza, ia turut menampilkan dua orang pelakon baharu yang semakin meningkat naik dan dikenali ramai iaitu Shahz Jaszle dan Neelofa yang memikul tanggungjawab sebagai watak utama.

Bagaimanapun, apa yang menarik sepanjang penggambaran filem Azura berlangsung, terdapat khabar angin yang mengatakan tentang wujudnya kisah cinta lokasi yang membabitkan Shahz dan Neelofa.

Mangsa keadaan


SHAHZ dan Neelofa tidak kekok untuk digandingkan bersama dalam sesi fotografi.


Sememangnya Shahz dan Neelofa dilihat cukup mesra bersama dan digosip bercinta sebelum ini, tetapi ia mencalar kontroversi apabila tiba-tiba Shahz yang sebelum itu dikatakan bercinta dengan aktres veteran jelita, Maria Farida dengan mudah beralih cinta pula kepada seorang lagi pelakon baharu, Miera Liyana.

Percintaan antara Shahz dan Miera digosip bercinta selepas mereka sama-sama membintangi filem Rentaz dan kedua-dua Shahz dan Miera tampil mengesahkan sememangnya mereka kini sedang bercinta!

Malah, pada majlis pelancaran filem Azura di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur kelmarin, Shahz sebaliknya mengakui sememangnya dia terpikat kepada Neelofa ketika mereka sama-sama menjalani penggambaran filem tersebut.

Namun kata Shahz, hatinya terpikat kepada Neelofa atas dasar karakter Azura yang dilakonkan Neelofa dalam filem itu.

Shahz tidak mahu peminat salah sangka kerana apa yang dimaksudkannya itu adalah dia terpikat dengan karektor Azura itu sendiri yang berhasil dibawakan dengan baik sekali oleh aktres jelita itu.

"Memang saya sangat tertarik dengan watak Azura itu dan saya puji Neelofa kerana dia mampu menjiwai watak tersebut dengan berkesan. Sehinggakan saya rasa tidak sukar untuk mencari keserasian walaupun kali pertama bergandingan bersama," jelasnya.

Shahz lantas menegaskan dia dan Neelofa tidak pernah menjalinkan hubungan cinta sekali gus menafikan gosip percintaan mereka yang tersebar selama ini.

"Sebenarnya saya ingin menyatakan yang memang kami tidak pernah menjalinkan hubungan percintaan seperti yang didakwa sesetengah pihak. Hubungan kami pada masa itu agak rapat, tetapi tidaklah sampai bercinta.

"Lagipun kami hanya rapat di lokasi dan tidak pernah keluar berdua bersama. Sebaik sahaja selesai menjalani penggambaran filem Azura, kami terus membawa haluan masing-masing dan agak jarang berhubung," katanya.

Neelofa tidak ketinggalan meluahkan rasa tentang isu gosip cintanya dengan Shahz itu.

Dia menganggap gosip tentang percintaan mereka sebelum ini adalah disebabkan kerana ketika itu dia tidak mempunyai kekasih, manakala Shaz pula sedang berhadapan dengan masalah bersama bekas kekasihnya iaitu Maria Farida.

Jelasnya, dia yakin gosip cintanya dengan Shaz yang pernah ditimbulkan sebelum ini tidak akan berlaku seandainya dia sudah mempunyai kekasih sewaktu mereka berdua menjalani penggambaran filem Azura.

"Saya sendiri tidak tahu hendak cakap macam mana, mungkin juga saya adalah mangsa keadaan kerana status saya yang solo. Namun, saya memang menganggap Shaz tidak lebih daripada rakan sesama artis.


SHAHZ JASZLE turut ditemani kekasihnya, Miera Liyana ketika majlis pelancaran filem Azura kelmarin.


"Malah, sekarang ini pula saya digosipkan bercinta pula dengan Hans Isaac. Sebagai seorang artis baharu saya akui perkara sebegini memang sukar untuk dielak, tetapi kalau terus berlaku boleh membuatkan saya rimas," tegasnya.

Ujarnya, buat masa sekarang ini sebagai langkah yang terbaik buat dirinya adalah terus memberi fokus kepada kerjayanya yang semakin meningkat naik tanpa mempedulikan sebarang kisah hangat yang melanda dirinya.

Miera Liyana cemburu?

Ketika ini pastinya ramai yang sudah mengetahui tentang hubungan percintaan yang telah terjalin di antara Shahz dengan seorang pelakon muda yang pernah dikaitkan dengan isu kontroversi iaitu Miera Liyana atau nama penuhnya Miera Liyana Kasmi.

Biarpun baru menjalinkan ikatan kasih bersama, tetapi sudah ada ura-ura yang mengatakan bahawa kedua-dua pelakon itu bakal mengikat tali pertunangan dalam tempoh yang terdekat ini.

Pada majlis pelancaran filem Azura tersebut, Shahz turut ditemani Miera biarpun Meira tiada langsung kaitan dengan filem itu.

Diminta mengulas mengenai perkara berkenaan, Shahz menafikan dia dan kekasihnya itu akan bertunang tidak lama lagi.

"Memang kami berdua ada berbincang bersama-sama tentang hal pertunangan, tetapi tidak pernah meletakkan sebarang tarikh tertentu. Lagipun buat masa ini kami masih lagi sibuk dengan kerjaya masing-masing.

"Bagaimanapun, saya sebenarnya memang ada keinginan untuk mendirikan rumah tangga pada usia yang muda memandangkan ayah saya sendiri semakin tua dan dalam usia sebegini rasanya sudah sesuai untuk bergelar suami," jelas pelakon yang baru berusia 23 tahun itu.

Ditanya adakah dia tidak menyesal sekiranya mereka berkahwin pada usia yang muda, dia menganggap soal umur bukanlah satu masalah yang besar memandangkan ibunya sendiri mendirikan rumah tangga ketika berusia 18 tahun.

"Pada saya usia bukanlah penentu kepada kebahagiaan dalam sesebuah ikatan perkahwinan. Lagipun apa yang paling penting adalah persefahaman yang terjalin di antara satu sama lain agar perhubungan dapat terus berkekalan," tegasnya.

Sementara itu, Miera menjelaskan dia menemani kekasihnya itu bukanlah semata-mata disebabkan perasaan cemburu.

"Sebenarnya Shaz sendiri yang ajak saya datang ke majlis ini. Lagipun sebagai kekasih, ini adalah sebahagian daripada tanda sokongan saya memandangkan Azura merupakan filem sulung lakonan Shahz," ucapnya.

Pengacara


BARISAN tenaga produksi yang menjayakan filem Azura. Dari kiri, Aziz M. Osman, Efida Es, Neelofa, Shahz Jaszle, Afdlin Shauki, Puteri Lily Lokman, Izwan Malik dan Datuk M. Nasir.


Di sebalik namanya yang kini semakin meningkat naik sebagai seorang pelakon, kali ini Neelofa telah mengejutkan ramai pihak apabila menjadi pilihan pihak TV3 untuk menjadi pengacara rancangan Nona bersama Fara Fauzana.

Menurut Neelofa, dia sendiri sangat teruja untuk menjadi pengacara bersama dalam rancangan tersebut dan menganggap ia adalah satu pencapaian yang cukup besar dalam kariernya sebagai anak seni.

"Sebenarnya memang sejak dari dahulu lagi saya pernah bercita-cita untuk menjadi seorang pengacara, tetapi ternyata rezeki yang saya peroleh terlebih dahulu menerusi bidang lakonan.

"Yang menariknya, selepas kenyataan saya keluar dalam sebuah majalah baru-baru ini tentang impian dan hasrat mahu menjadi pengacara Nona, tidak sangka pula ia tiba-tiba telah menjadi kenyataan," ujarnya.

Menurut Neelofa, selain gembira dengan tawaran yang diterima dia sendiri tidak sabar untuk menjalani rakaman untuk rancangan tersebut yang dijadualkan bermula pada pada akhir bulan ini.

Pada masa yang sama, pelakon tersebut memberitahu meskipun selepas ini dia agak sibuk tugas baharunya itu, tetapi ia langsung tidak mengganggu perjalanan kariernya dalam dunia lakonan.

"Buat masa ini saya memang tidak menerima sebarang tawaran berlakon drama kerana mahu memberi tumpuan kepada filem dan mengacara. Saya hanya akan berlakon dalam drama yang menampilkan jalan cerita dan watak yang betul menarik dan bagus," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.

MLM singkir enam kumpulan

Posted:

MLM singkir enam kumpulan

MLM singkir enam kumpulan

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


KUMPULAN Anje yang dianggotai Achong Sweet Child (kanan) dan Joey Daud.


SETELAH dua minggu berturut-turut tiada sebarang penyingkiran dilakukan, program realilti Maharaja Lawak Mega (MLM) telah mengumumkan seramai lima kumpulan sekali gus yang terkeluar pada awal rancangan pada minggu ketiga.

Namun, seperti kebiasaan, pihak Astro Warna telah membuat kejutan dengan menyingkirkan satu lagi kumpulan yang gagal mengumpul mata di akhir program. Keenam-enam kumpulan yang tersingkir adalah Gebu, Comel, Lanun, Rap, Caer dan Anje.

Pada minggu ketiga ini, kumpulan 3G yang dianggotai oleh Yassin, Didie Alias dan Enot antara yang menjadi kegemaran ketiga-tiga pengkritik tetap iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan dan bekas pemain bola sepak Zainal Abidin Hassan serta seorang pengkritik jemputan dari Singapura, pemuzik Art Fazil.

Menurut chef selebriti terkenal, Chef Wan, ada peserta yang mempersembahkan lawak yang berulang namun ada juga peningkatan dari beberapa kumpulan contohnya 3G dan PiMai.

"Ada juga sesetengah kumpulan yang gagal membuat lawak, mereka tidak punya pengisian di dalam lawak mereka. Apabila momentum dan mood itu hilang jadi, bahaya bagi pelawak apabila tidak dapat memberikan saat lawak itu sendiri kepada penonton.

"Ia seperti tidak dapat menepati standard dalam pertandingan ini kerana saya harapkan yang lebih lagi kerana mereka ini semua merupakan pelawak profesional dan yang terbaik di antara yang terbaik," jelasnya sewaktu sidang akhbar yang diadakan selepas program itu berakhir di Royal Theater Selangor, Shah Alam, Selangor.

Sementara itu, komen penyanyi tersohor negara, Siti pula, kehadiran dirinya sebagai pengkritik tetap adalah di atas nama penonton, maka ia untuk berhibur dan ketawa.

"Maka, apa yang saya komen adalah mengikut apa yang saya rasa dan mengikut cara saya sendiri. Setiap minggu saya sentiasa ingin menonton persembahan lawak dari semua peserta. Kadangkala, minggu pertama dan kedua mereka antara yang terbaik, namun mungkin minggu seterusnya mereka kekal baik," ucap Siti.

Namun, penyingkiran sebanyak enam kumpulan sekali gus dilihat terlalu banyak dan pihak Astro ada jawapan tersendiri bagi persoalan tersebut yang mana Pengurus Saluran Astro Warna, Azrai Kamaruddin ketika diminta mengulas tentang hal tersebut berkata, ia sebenarnya telah pun dirancang dari awal.

"Jika kita mahu bandingkan perbezaan dengan rancangan realiti yang lain, kita boleh lihat bahawa rancangan lain tidak pernah ada sebanyak 17 kumpulan yang terpilih untuk masuk bertanding.

"Jadi untuk format MLM ini, kita mahu beritahu rakyat yang mana ini semua adalah cita rasa komedi yang ada di rantau ini iaitu di Malaysia, Singapura dan Indonesia. Maknanya kesemua peserta harus berikan yang terbaik, dan seperti yang dikatakan Chef Wan, ini merupakan pertandingan mega, jadi mereka perlu tonjolkan diri setiap minggu untuk kekal di dalam program ini," tegas Azrai.

MLM disiarkan secara langsung di Astro Warna (saluran 132) pada setiap Jumaat, pukul 10 malam.

Full content generated by Get Full RSS.

Pitbull saman balas Lohan

Posted:

Pitbull saman balas Lohan

Pitbull saman balas Lohan


PITBULL


PITBULL yang sebelum ini disaman oleh Lindsay Lohan bertindak memfailkan saman balas terhadap bintang kontroversi itu.

Lohan sebelum ini menyaman Pitbull ekoran seni kata lagu popular rapper terkenal itu, Give Me Everything mengandungi lirik berbunyi, 'aku dipenjarakan seperti Lindsay Lohan' yang didakwa telah mempersenda, menghina, memperlekeh dan mendatangkan fitnah sehingga boleh menjejaskan reputasi Lohan.

Dalam kenyataan saman balasnya, Pitbull mendakwa lirik tersebut dijustifikasikan berdasarkan permasalahan undang-undang berterusan yang dihadapi Lohan, dan dia juga menimbulkan persoalan sama ada Lohan layak untuk memfailkan saman terhadap dirinya di New York, sedangkan dia menjalani kebanyakan tempoh penahanan dirinya di penjara negeri California.

"Berdasarkan kepada kes mahkamah berterusan yang dihadapinya, ternyata Lindsay Lohan bukan warga asal New York tetapi warga California.

Lohan pada Ogos lepas memfailkan saman terhadap Pitbull di New York sebelum ini mendakwa dia adalah warga asal New York iaitu di daerah Nassau County.

Konsert di Petaling Jaya

Namun, di sebalik kontroversi yang dihadapinya peminat Pitbull di Malaysia pasti gembira apabila Pitbull dijadualkan membuat konsert di Malaysia pada 1 Disember ini.

Rapper berusia 30 tahun itu bakal muncul untuk Live In Concert di Sunway Surf Beach di Sunway Lagoon, Petaling Jaya menjelang pukul 7 malam dengan artis pembukaan konsert tersebut termasuklah penyanyi Malaysia, Mizz Nina yang baharu muncul dengan lagu hit dendangannya bersama rapper tersohor, Flo-rida, Take Over.

Merupakan kunjungan buat julung-julung kalinya ke Malaysia, dia yang dikenali dengan gelaran Mr. Worldwide pernah berkolaborasi dengan banyak penyanyi tersohor termasuklah dengan Jennifer Lopez untuk lagu On the Floor, Enrique Iglesias (I Like It) dan Usher (DJ Got Us Fallin' in Love).

Tiket untuk konsert tersebut yang berharga RM398, RM298, RM198 dan RM138 boleh dibeli di cawangan Victoria Music, Rock Corner outlets, Guitar Stores dan DiGi Retail Centre, Sunway Pyramid atau layari www.ticketpro.com.my.

Full content generated by Get Full RSS.