Adsense

Rabu, 23 November 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Berubah cita rasa

Posted: 22 Nov 2011 03:38 PM PST

Hip

Lebih berani dan sensasi

KEBERANIANNYA dalam membawa muzik aliran irama tradisional sebelum ini ternyata tidak banyak membantu karier nyanyian gadis manis berusia 25 tahun, Nas Adila.

Memang tidak ramai anak muda yang berani mengorbankan jiwa remajanya hanya kerana mahu mencari kelainan dalam bidang nyanyian sekali gus mengharapkan pujian masyarakat.Nas Adila atau Adila sudah membuktikan kepada dengan penerbitan dua album berkonsepkan irama tradisional iaitu Kekasih Kerinduan (2004) dan Istana Janji (2006). Namun rezekinya bukan di situ kerana berasakan kedua-dua album itu dirasakan kurang menyerlahkan dirinya.
Tidak sesekali gentar dengan ujian lampau, Adila sedikitpun tidak menunjukkan kekecewaan. Daripada riak mukanya lantas terus gigih mengatur strategi untuk menempatkan dirinya sebaris penyanyi popular lain.

Justeru, didorong oleh kemahuannya untuk mengubah penampilannya yang lebih menarik, tidak hairanlah sejak akhir-akhir ini dia muncul dengan gaya lebih 'panas' atau sensasi berbanding ketika membawa aliran muzik irama Malaysia enam tahun lalu.

Ketika kunjungannya ke Balai Berita baru-baru ini, ternyata banyak mata tidak berkelip-kelip memandang kemunculan Adila.
Dengan tidak kedekut senyuman, penyanyi ini lantas memberikan senyuman kepada mereka yang memerhatikannya.

Katanya, selain memastikan kualiti bakatnya sentiasa menyerlah, cara penampilan seharusnya diutamakan dan mengakui menyesali kerana pernah mengabaikan perkara itu yang dianggap tidak penting untuk bergelar seorang penyanyi.

"Sebelum ini Adila kurang bergaya dan tidak mementingkan sangat mengenai penampilan, selepas menyedari penampilan adalah penting untuk menggambarkan imej diri kita barulah Adila menyesalinya.

"Sekarang ini Adila tidak kisah sangat untuk membelanjakan kos yang besar untuk penampilan. Adila harus sentiasa bergaya pada setiap masa dan ketika keluar dari rumah. Sebenarnya itulah yang membezakan imej artis dan orang awam," katanya yang agak tersilap kerana mengabaikan penampilan diri sebelum ini.

Namun sejak berani menggayakan pelbagai jenis pakaian yang menyerlahkan keseksian dan bentuk tubuhnya, Adila akui keyakinannya berada di tahap yang lebih tinggi berbanding dulu.

"Adila masih tahu batasan di dalam berpakaian dan tidak mahu diperkatakan oleh masyarakat, apa yang Adila buat ini semuanya untuk memberi perubahan demi menyokong kerjaya Adila.

"Tapi sekarang apabila Adila mula bergaya barulah terasa inilah apa yang orang cakapkan dan diri sentiasa rasa yakin.

"Begitu juga apabila menyentuh soal jenama pakaian, memang Adila suka kerana bila kita pakai lebih rasa yakin dan puas. Lebih lagi apabila ia dibeli hasil titik peluh kita sendiri. Tapi Adila tidak kisah sangat mengenai harga asalkan ia cantik, unik dan sesuai dengan tubuh badan Adila," katanya.

Sekarang ada lebih kuasa

Naib Juara Bintang Asli peringkat kebangsaan 2001 itu mengakui dirinya masih lagi dibayangi penyanyi genre irama Malaysia walaupun sudah memilih aliran pop dance untuk rangka album ketiganya.

Oleh kerana sokongan yang masih ada itu, Adila menegaskan dia tidak berhasrat untuk melupakan muzik dan lagu-lagu irama Malaysia walaupun pada masa mahu mengubah aliran muziknya yang lebih kontemporari.

"Lagu tradisional Adila tidak tolak dan tetap menyanyikan sekiranya mendapat permintaan dan mengikut kesesuaian majlis. Adila bersyukur kerana tidak semua penyanyi dapat menyanyikan lagu tradisional dan mendalami muzik itu.

"Adila tetap nak kekalkan juga dengan aliran tradisional ini dan mempelbagaikan lagi aliran muzik," katanya.

Menerusi dua single dari genre pop dance yang dihasilkan Adila iaitu Bidadari Syurga ciptaan Koha dan Jay dipetik dari album EPnya awal tahun lalu serta I Love You dikatakan berjaya menarik lebih ramai peminat baru, terutama golongan seusianya.

"Sekarang Adila mula didekati peminat muda dan sebaya. Adila memilih genre pop dance kerana persembahan nyanyian akan lebih meriah di atas pentas. Permintaannya sangat tinggi yang membabitkan persembahan bertenaga ditambah dengan kekuatan vokal dan pergerakan.

"Sekarang Adila menguruskan kerjaya sendiri di bawah syarikat Nas Adila Event & Entertainment (NAEE) dan lebih ada kuasa untuk menentukan aliran muzik sendiri," katanya.

Selain bertindak menguruskan kerjayanya sendiri, anak jati kelahiran Johor Bahru ini juga gigih melebarkan sayap perniagaannya demi merangka masa depan yang lebih cerah.

"Kita sentiasa harus merangka masa depan kita kerana apa yang berlaku di masa hadapan tidak siapa pun yang tahu, melalui syarikat Adila sendiri Adila juga sedia menguruskan apa saja majlis seperti majlis pelancaran dan pengurusan perkahwinan selain menguruskan pusat cuci kereta di Shah Alam," jelasnya lagi.
Bercerita mengenai hal peribadinya pula, Adila menafikan dia sekarang dikatakan mempunyai hubungan intim dengan pengurusnya.

"Memang kini paling rapat dengan Adila sehingga ramai menganggap dia tunang Adila. Kami hanya berkawan dan belum ada apa-apa hubungan istimewa.
"Adila memang teringin untuk berkahwin tetapi selepas pertunangan Adila gagal dulu Adila memilih untuk fokus kepada kerjaya dulu. Dalam usia sekarang inilah sebenarnya kemuncaknya kerjaya harus Adila fikirkan, rugi sekiranya Adila tidak mengambil kesempatan dalam usia muda ini," katanya.

PROFIL: Nas Adila Mohd Dan
NAMA KOMERSIAL: Nas Adila
ASAL: Johor Bahru
UMUR: 25 tahun
TARIKH LAHIR: 20 September 1986
STATUS: Bujang
KERJAYA: Penyanyi, pengacara dan pelakon
ALBUM: Kekasih Kerinduan (2004) dan Istana Janji (2006)
FILEM: Jangan Pandang Belakang Congkak dan Hello
DRAMA: Intan Asmara, Cahaya Deepavali, Menantu 3 Rasa dan Yoyong
PROGRAM TV: Agro Challenge
TEATER: Kita (2010)
JURUCAKAP: Young Entrepreneurs Summit (APEC-YES) dan D' Apple Fiber.
FACEBOOK/TWITTER: adila's angel dan nasadilaaf7

Full content generated by Get Full RSS.

Jawablah! Saya tertekan

Posted: 22 Nov 2011 03:15 PM PST

Hip

Fizz Fairuz

Fizz Fairuz

Tiada wanita lain dalam hidup Fizz Fairuz kecuali Almy

VIRUS gosip yang amat merbahaya sudah menjangkiti pelakon ini. Merebak dan terus menjalar ke urat saraf dan darah sehingga Fizz Fairuz tidak terdaya dan hampir terlantar kerananya. Namun kerana kesabaran yang selama ini menjadi vaksin buat dirinya, menyebabkan pelakon yang berasal dari Pahang Darul Makmur ini masih terus bertahan menghadapinya.

Bukan tidak pernah terkena panahan gosip, namun kali ini, sakit yang ditanggungnya bukan kepalang. Ketika bertemu pelakon yang terkenal dengan watak Aidil dalam drama rantaian Nur Kasih ini pada malam penutup teater Badai Semalam hujung minggu lalu, Fizz sempat berbisik kepada Hip bahawa dia terasa amat sedih apabila pelbagai cerita kurang enak mengenai dirinya terpampang di media. Didakwa sebagai kekasih yang curang dan kaki perempuan kerana sering bertukar pasangan serta terbaru dikatakan bersikap 'demanding' kerana hanya mahu membawakan watak utama saja jika ditawarkan oleh mana-mana produksi, membuatkan jejaka ini tak senang duduk dan berada dalam tekanan yang amat berat.

Justeru, dengan penjelasan yang bakal dibuat kelak, Fizz mengharapkan ia mampu membersihkan namanya yang tercalar sekali gus mengharapkan tiada lagi cerita kurang enak dan tidak benar mengenai dirinya kedengaran serta menjadi bahan bualan.

Hip: Ramai yang mendakwa Fizz kaki perempuan kerana menjalinkan hubungan dengan ramai wanita, selain pelakon Almy Nadia, pada masa yang sama.

Fizz: Saya tidak faham mengapa saya menjadi sasaran gosip yang tidak benar seperti ini? Semua cerita yang tersiar sebelum ini memang tidak benar. Tidak ada wanita lain dalam hidup saya selain Almy. Kalau ada pun wanita lain yang dikaitkan dengan saya, mereka hanyalah kawan sealiran dan tidak lebih daripada itu. Bila saya baca gosip terbabit, saya berasa amat sedih dan berada dalam keadaan yang amat tertekan.
Hip: Ada pihak ternampak Fizz membawa wanita lain ke sesi promosi Festival Filem Malaysia ke-24 di Johor Bharu tempoh hari. Siapa wanita itu?

Fizz: Wanita mana? Setahu saya, tidak ada wanita yang mengikut saya ke promosi di Johor. Saya datang seorang diri.

Hip: Tapi bak kata pepatah, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata.

Fizz: Kenapa semua orang seperti mahu mencari kesalahan saya? Apa yang menghairankan saya, kenapa semua gosip ini timbul ketika nama saya sedang berada di kemuncak? Saya tak mahulah menuduh ada pihak yang cuba nak sabotaj saya dengan menyebarkan fitnah sebegitu. Tapi apabila difikirkan kembali, mungkin ada kebenarannya. Nampak sangat mereka sengaja mahu menjatuhkan saya. Apa salah saya pada mereka? Puaslah hati mereka yang berniat jahat seperti itu selepas melihat imej bersih yang saya jaga selama ini tercalar.

Hip: Mungkin gosip ini akan tamat bila Fizz dan Almy berkahwin. Tak ada perancangan ke arah itu dalam tempoh terdekat ini seperti yang dilakukan oleh rakan seangkatan Fizz yang lain?

Fizz: Perancangan itu memang ada, tapi kami tidak mahu terlalu terbuka dalam memperkatakan soal itu (perkahwinan). Lagipun, kedua-dua orang tua kami sendiri sudah berpesan mengenai perkara yang sama. Tunggulah, bila tiba masanya nanti, saya akan maklumkan kepada semua pihak.

Hip: Fizz juga dikatakan semakin demanding sekarang apabila hanya memilih untuk menjadi hero saja dalam apa juga produksi yang ditawarkan.

Fizz: Saya akui saya memilih watak, tapi bukanlah seperti yang didakwa iaitu hanya mahukan watak utama. Sejak membawakan watak Aidil dalam drama Nur Kasih dan watak itu berjaya meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton, kebanyakan watak yang datang selepas itu semuanya lebih kurang sama, seperti watak ustaz dan juga penyabar. Dalam keadaan sekarang ini, iaitu saat kemunculan ramai bakat baru, saya perlu melakonkan pelbagai watak untuk menjaga kualiti lakonan. Jika asyik bawa watak yang sama saja, sampai bila saya nak maju? Selain kualiti lakonan, saya juga mahu menjaga disiplin saya kerana itu juga salah satu kunci kejayaan terutama dalam bidang ini. Disebabkan itulah bila gosip yang bukan-bukan keluar, saya amat risau kerana saya tak mahu dikatakan popular kerana gosip murahan, bukannya hasil kerja.

Full content generated by Get Full RSS.