Adsense

Sabtu, 12 November 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Park Min-Yeong takut leka

Posted: 11 Nov 2011 03:49 PM PST

Hip

BERDIAM diri ada kala menjadi perisai terbaik mengelak diri daripada hambatan spekulasi berlarutan yang cuma membangkitkan pelbagai persoalan membingungkan. Mengunci mulut juga tanpa dipaksa akan menutup ruang paparan cerita peribadi yang berpotensi mengalih perhatian khalayak ketika karier sedang meniti puncak.

Prinsip itu menjadi pegangan aktres kelahiran Seoul, Korea Selatan, Park Min-Yeong tatkala hubungan cintanya dengan aktor Lee Min-ho menjadi intaian meluas media massa. Memadai sekali dia memberi kenyataan mengesahkan hubungan cintanya dengan aktor itu, selebihnya Park Min-Yeong atau Park selesa menyimpan subjek itu sebagai milik peribadinya.

Biar berulang persoalan sama diajukan, gadis berusia 25 tahun itu tidak sesekali memberi ruang kepada media untuk beralih fokus dengan memusatkan perbualan hanya pada karier. Sisi peribadi Park mula disorot media apabila dia dan Lee digandingkan dalam drama terbitan SBS, City Hunter yang mengakhiri siarannya pada 28 Julai lalu. Biarpun cuba menafikan, desas-desus percintaan mereka bertambah kencang apabila Park dan Lee sering dilihat keluar berdua di beberapa lokasi tumpuan umum sekitar Seoul. Sebulan cuba berahsia, Park dan Lee akhirnya mengakui mereka sedang bercinta dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan menerusi agensi masing-masing.

"Hubungan ini baru terjalin, masih di peringkat saling mengenali justeru terlalu awal untuk bercerita lanjut mengenainya. Mohon berikan kami ruang untuk membina cinta ini tanpa desakan dan paksaan sesiapa," kata gadis berbintang Pisces ini.

Tanpa pernah mereka sedari, Park dan Lee sebenarnya pernah dipertemukan dalam satu penggambaran iklan komersial ketika cuba membina tapak dalam dunia lakonan sekitar 2005. Dua tahun selepas itu, mereka kembali bertemu ketika penggambaran drama, I'm Sam. Dalam drama itu, Park memegang watak utama, manakala Lee memainkan peranan pembantu sebagai rakan sekolahnya.

"Mungkin kerana belum saling mengenali, kami tidak banyak berbual kecuali menyapa ringkas apabila terserempak di lokasi. Disebabkan tidak pernah rapat, saya hampir tidak kenali Lee ketika hari pertama di lokasi City Hunter. Kami cuma rapat selepas beberapa hari penggambaran. Dia lelaki baik, Lee juga seorang aktor yang sentiasa bekerja keras memajukan dirinya. Banyak perkara baru saya pelajari daripada Lee," kata Park yang mula diperkenalkan menerusi sitkom, Unstoppable High Kick pada 2006.
Menyifatkan dirinya bukan seorang yang cerewet mengenai lelaki, Park mengakui, dia cuma berharap dipertemukan dengan jejaka yang menghargai, memahami dan menerima kehadirannya seadanya.

"Memadai jika dia bersikap terbuka dan ada sifat kepimpinan tinggi daripada dipertemukan dengan lelaki yang hanya tahu memerintah serta mendesak," katanya mengakui mengenai keserasian mereka di layar kaca, Lee memiliki personaliti jauh berbeza apabila kerja.

Dia akui, Lee mementingkan kualiti kerja dan sangat serius ketika berlakon. Setiap kali kami di lokasi, Lee begitu mengambil berat segala aspek berkaitan lakonan.

"Saya seolah-olah melihat seorang yang berbeza apabila Lee berada di lokasi. Sebelum digandingkan bersama, saya tidak yakin kami mampu mencipta keserasian apatah lagi dia lebih muda daripada saya," katanya.

Usai membintangi City Hunter, Park beralih ke lokasi Man of Honor seterusnya drama, Glory Jane tanpa sempat berehat panjang. Ketika berada di Hawaii bagi menjayakan satu sesi fotografi, Park tidak kesal apabila langsung tidak mempunyai kesempatan untuk bersiar-siar.

"Selesai bekerja, saya terus pulang ke hotel untuk tidur. Jika ada kelapangan, saya memilih untuk menatap skrip drama, Man of Honor berbanding menghabiskan masa di luar. Secara fizikal, ia sangat menguji tetapi saya teruja meniti setiap pengalaman itu. Setiap karakter menuntut penghayatan berbeza dan itu saja sudah cukup membuatkan saya seronok ke lokasi.

"Saya bekerja keras kerana begitu mencintai dunia lakonan. Setiap kali diberi kepercayaan untuk memegang sesuatu watak, saya akan cuba membawa karakter itu dengan diri. Kesungguhan itu membuat penonton merasai apa yang saya berikan. Dalam hal ini, saya bertuah kerana cara saya disenangi penonton," katanya yang pernah berdepan detik menyukarkan apabila lakonannya dikritik hebat.

Sebab itu, Park kini enggan membiarkan dirinya tenggelam setiap kali menerima pujian. Berterima kasih kepada mereka yang menyanjung usahanya, Park sentiasa mengingatkan diri bukan mustahil jika dia kembali berdepan saat kejatuhan jika mengambil ringan soal kerja.

"Saya bersyukur kerana dihargai tetapi di luar sana, ramai lagi pelakon berbakat sedang menanti masa untuk mendaki puncak. Semua itu mendesak saya supaya bekerja lebih keras dan tidak cepat leka apabila dipuji. Setiap kali apabila merungut kerana terlalu letih atau kurang tidur, saya ajar diri supaya mengimbas semula laluan yang pernah saya tempuhi. Ketika itu saya ingin bekerja namun tiada tawaran. Tetapi apabila memperoleh peluang kerja, mengapa saya perlu menjadikan ia sukar," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Rompakan jenaka Ala-Murphy, Stiller

Posted: 11 Nov 2011 03:38 PM PST

Hip

  • Filem: Tower Heist
  • Genre: Komedi, Jenayah
  • Pengarah: Brett Ratner
  • Pelakon: Ben Stiller, Eddie Murphy, Casey Affleck, Alan Alda, Matthew Broderick
  • Durasi: 104 minit
  • Tayangan: Mulai 3 November 2011

APABILA dua bintang komedi bergabung tenaga dalam sebuah filem, tentunya ia membuatkan peminat ternanti-nanti hasilnya. Mungkin begitulah juga dengan Tower Heist yang menampilkan Ben Stiller dan Eddie Murphy, dua nama besar dalam lakonan jenaka. Penampilan mereka berdua saja seakan sudah membayangkan keuntungan box-office yang mampu diperoleh penerbit.

Selain dua bintang berkenaan, ia turut menyenaraikan Casey Affleck, Alan Alda, Matthew Broderick, Tea Leoni, Michael Pena dan Gabourey Sidibe. Filem ini berkisar mengenai watak Josh Kovacs (Stiller), pengurus bangunan mewah untuk golongan kaya. Arthur Shaw (Alan Alda) pula ialah seorang daripada lelaki kaya yang menetap dalam bangunan berkenaan. Dia dikatakan menjalankan skim haram yang menipu duit pencen kakitangan bangunan terbabit.

Kovacs memutuskan untuk melakukan rompakan demi mendapatkan kembali semua wang yang diambil daripada mereka.

Bagi menjayakan rancangan terbabit, dia memerlukan bantuan seorang pencuri (Murphy) yang pernah membesar bersamanya, selain satu kumpulan yang terdiri daripada kakitangan bangunan itu.

Walaupun bukanlah filem komedi yang diletakkan sama taraf filem lakonan Murphy sebelum ini seperti Beverly Hills Cop, ia masih berupaya untuk muncul sebagai hiburan ringan buat semua. Ia umpama penawar mujarab buat waktu bosan anda. Atau lebih tepat, filem yang sesuai ditonton pada hujung minggu.
Selain dibarisi pelakon yang terkenal, filem ini juga sarat dengan babak yang mampu membuatkan penonton berteka-teki sendirian, di samping adegan balas dendam yang seronok disaksikan. Kepintaran kumpulan itu mengatur strategi melakukan rompakan sememangnya berupaya menghadirkan senyuman di bibir peminat.

Bagaimanapun, Murphy sendiri tidaklah menguasai judul arahan Brett Ratner ini. Sebaliknya dia boleh dikatakan hanya muncul pada bahagian kedua filem berkenaan, menyebabkan wataknya kurang menyengat pada awal cerita. Watak lain juga kurang memberangsangkan, dengan kebanyakannya lebih bersifat satu dimensi saja.

Pada ketika sama, Tower Heist memang mempunyai tema yang kuat - mengenai golongan pekerja yang ditipu mentah-mentah oleh penjenayah Wall Street. Walaupun tema sebegitu pernah dipaparkan dalam beberapa filem lain sebelum ini, namun ia masih dapat dirasakan dengan baik, apabila sekali lagi diketengahkan menerusi garapan Ratner.

Keseronokan filem ini juga sebenarnya lebih dirasakan apabila Murphy muncul pada bahagian kedua. Dia nyata memiliki kuasa untuk membuatkan penonton melekat padanya, seperti yang pernah ditonjolkan dalam beberapa filemnya dulu. Sebaik saja dia menjelma, pelakon lain juga mula mengikut rentak, membuatkan Tower Heist lebih kelakar dan menghiburkan.

Dilihat sebagai sebuah komedi yang agak menjadi, filem yang bukanlah bergantung harap kepada elemen jenaka semata-mata ini pada masa sama turut mempunyai cacat celanya, terutama pada rancangan rompakan berkenaan, yang sedikit sebanyak mengganggu keyakinan.

Keadaan itu membuatkan penonton terfikir seketika, apakah ia ditulis pada saat akhir, ketika filem itu sudah pun mula dihasilkan?

Full content generated by Get Full RSS.