Adsense

Selasa, 11 Oktober 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Westlife tetap nombor satu

Posted:

Westlife tetap nombor satu

Westlife tetap nombor satu

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar RASHID MAHFOF dan ihsan JS CONCERT


SEPANJANG dua jam konsert berlangsung, Westlife juga sempat menukar lima set busana untuk persembahan mereka.


APABILA kumpulan yang berasal dari Dublin, Ireland, Westlife dicanangkan akan mengadakan sebuah konsert besar di negara ini, tidak dinafikan ada segelintir yang melahirkan rasa terkejut.

Perasaan itu bukan kerana tidak percaya kumpulan itu akan bertandang ke negara ini untuk ke sekian kalinya, tetapi persoalan yang bermain di fikiran adalah tentang populariti mereka.

Mungkin ada yang mempersoalkan apakah Westlife masih memiliki aura yang berupaya menarik perhatian peminat untuk menonton persembahan mereka.

Sementelah nama mereka dilihat tidak begitu kuat jika hendak dibandingkan sedekad lalu, sedikit sebanyak ia telah mengundang perasaan skeptikal sama ada konsert mereka itu akan mencatatkan kejayaan luar biasa.

Ternyata, segala telahan itu meleset sama sekali kerana Westlife yang masih kekal dianggotai oleh Nicky Byrne, Kian Egan, Mark Feehily dan Shane Filan telah membuktikan keunggulan mereka sebagai seorang penghibur.

Bertempat di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hujung minggu lalu, hampir 10,000 penonton dan peminat Westlife telah memenuhi setiap ruang di dalam stadium dengan satu tujuan - untuk berhibur dan mengimbau nostalgia bersama penyanyi pujaan mereka.

Percayalah, setiap seorang daripada penonton yang hadir pasti akan setuju bahawa persembahan Westlife pada malam itu telah membawa mereka menyusuri jalan kenangan dengan rangkaian lagu-lagu hits mereka.

Penulis yakin mereka yang menonton konsert Westlife tempoh hari adalah mereka yang telah membesar dengan lagu-lagu dendangan kumpulan itu sejak 13 tahun lalu (termasuk diri penulis).

Lewat

Tepat pukul 9.10 malam, konsert Westlife Gravity Tour 2011 itu dimulakan dengan lagu When You're Looking Like That. Biarpun bermula lewat hampir 40 minit, ternyata ia langsung tidak membuatkan penonton resah dan penat menunggu.

Sebaik sahaja kelibat Nicky, Kian, Shane dan Mark muncul di pentas, tepukan gemuruh dan pekikan sorakan penonton sudah tidak mampu dikawal lagi.

Tanpa menunggu lama, mereka terus menyanyi bersama Westlife tanpa disuruh sekali gus membuktikan yang hadir pada malam itu sememangnya peminat tegar Westlife.

Meneruskan persembahan dengan lagu-lagu seperti World Of Our Own, What Makes A Man dan Safe, Westlife membuktikan bahawa usia mereka bukan satu halangan untuk memberikan persembahan yang cukup bertenaga.

Lengkap dengan gerak tari yang minimal, namun kelihatan sungguh sensual dan sempurna di mata peminat sehingga mereka berterusan memekik setiap nama anggota kumpulan itu.

Harus diakui, kelebihan Westlife adalah terletak kepada kekuatan vokal mereka terutama Shane dan Mark yang merupakan tunjang utama dalam setiap persembahan mereka.

Bagaikan tidak lengkap untuk mana-mana persembahan artis jika tiada gimik yang diselitkan dan begitu juga dengan konsert Westlife.

Sama ada ia satu kebetulan atau 'drama' yang sudah ditetapkan, ternyata babak lamaran perkahwinan oleh dua peminat bertuah Westlife sememangnya menjadi.

Romantik

Ditambah pula dengan iringan lagu My Love dan Beautiful Tonight selepas adegan romantik itu, ia telah meninggalkan kesan yang sangat mendalam apabila disambut dengan sorakan meriah daripada audiens.

Sepanjang mewarnai dunia rakaman suara, Westlife juga terkenal sebagai penyanyi kumpulan revival apabila merakamkan semula lagu-lagu popular penyanyi lain dengan gaya penyampaian tersendiri.

Pada konsert itu, lagu-lagu seperti Home, You Raise Me Up dan Seasons In The Sun menjadi pilihan kumpulan yang memiliki penjualan album melebihi 40 juta salinan di seluruh dunia ini.

Suasana romantik begitu dirasai ketika Shane meminta semua penonton menyalakan lampu pada telefon bimbit masing-masing sewaktu menyampaikan lagu You Raise Me Up.

Dengan serta-merta, ruang di dalam stadium berubah menjadi seperti langit yang dihiasi dengan kelip-kelip yang berterbangan di setiap genap penjuru.

Bertukar busana untuk kali keempat, Westlife terus mengekalkan momentum persembahan mereka apabila menyampaikan medley lagu-lagu popular masa kini.

Siapa sangka, Westlife mampu membawakan lagu-lagu seperti Viva La Vida (nyanyian asal Coldplay), Only Girl (In the World) - Rihanna, The Time (Dirty Bit) - The Black Eyed Peas dan Bad Romance (Lady Gaga) dengan begitu baik.

Ternyata sebagai penghibur, mereka berupaya untuk membawa diri mereka seiring dengan perkembangan muzik semasa oleh penyanyi generasi baru.

Untuk set seterusnya, Westlife memilih lagu-lagu seperti Already There dan I Will Reach You sebelum menyampaikan sebuah lagi lagu keramat mereka, Flying Without Wings.

Namun, apa yang mengecewakan apabila Westlife tidak menyampaikan lagu-lagu yang telah memperkenalkan nama mereka kepada khalayak iaitu Swear It Again dan If I Let You Go.

Sebaliknya, mereka memilih What About Now dan Uptown Girl sebagai lagu penutup konsert mereka. Secara tidak langsung, ia meninggalkan sedikit rasa kecewa kepada peminat yang semestinya mahu lagu itu dinyanyikan oleh Westlife sekali gus meninggalkan impak pada konsert mereka.

Di kala ada penyanyi seangkatan mereka telah berkubur dan membawa haluan masing-masing, Westlife masih terus bernafas dan bertahan sehingga 13 tahun lamanya.

Bukan mudah sebenarnya untuk sebuah kumpulan seperti mereka dapat mempertahankan kedudukan mereka dan apa yang penting adalah kesefahaman.

Ini diakui sendiri oleh Mark yang ditemui pada sidang akhbar dua jam sebelum berlangsungnya konsert.

Malah, dia memberitahu persahabatan yang terjalin sejak di bangku sekolah lagi sebenarnya telah menguatkan hubungan setiap anggota Westlife sehingga kekal ke hari ini.

"Jujurnya, kami tidak mempunyai apa-apa rahsia kejayaan sehingga kami mampu bertahan lebih sedekad. Kami mengharungi segala susah dan senang bersama-sama.

"Dalam usia kami sekarang ini, kami mahu terus fokus kepada kerjaya dan populariti sebenarnya bukan lagi keutamaan kami.

"Kami percaya dengan penghasilan muzik yang berkualiti dan bagus untuk peminat, ia akan dapat memanjangkan hayat seorang penyanyi atau kumpulan itu di dalam industri," katanya yang teruja untuk kembali ke Malaysia selepas sembilan tahun

Pada sidang akhbar itu juga, Westlife ditanya tentang khabar angin yang mengatakan mereka akan mengundurkan diri daripada dunia seni.

Sementelah dengan kelahiran album kompilasi mereka, Greatest Hits pada 21 November ini, ia umpama indikator bahawa mereka akan berpecah.

Menjawab persoalan itu, Kian memberitahu ia bukanlah seperti mana yang disangka sebaliknya mereka mahu mengambil cuti rehat selepas bekerja keras menjayakan konsert jelajah dunia sejak setahun lalu.

"Soal bersara dan berpecah ini sudah lama dicanangkan tetapi kami masih di sini. Belum sampai masanya untuk kami mengundurkan diri kerana kami masih mahu menghasilkan muzik.

"Jangan cepat percaya kepada khabar angin dan jika itu berlaku, sudah pasti kami akan mengumumkannya sendiri," ujar Kian yang memberitahu lagu terbaru mereka, Lighthouse turut dimuatkan dalam album Greatest Hits.

Full content generated by Get Full RSS.

Warna-warni di Los Angeles

Posted:

Warna-warni di Los Angeles

Warna-warni di Los Angeles

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
(Yang mengikuti rombongan pemenang Anugerah Skrin 2010 ke Los Angeles baru-baru ini)


BARISAN pemenang Anugerah Skrin 2010 bergambar kenangan di Santa Monica.


APABILA peluang diberikan kepada untuk mengikuti lawatan sambil belajar Anugerah Skrin 2010 ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) selama seminggu bermula 26 September lalu, ia dimanfaatkan sepenuhnya.

Sementelah sebelum ini hanya begitu asyik mendengar cerita serta pengalaman teman media yang pernah mengikuti rombongan serupa sebelum ini, secara tidak langsung penulis juga mahu merasai pengalaman yang sama.

Lawatan kali ini juga cukup bererti bukan sahaja kepada petugas media tetapi juga untuk pemenang Anugerah Skrin 2010 yang lain termasuk pelakon, penerbit dan pengarah filem serta televisyen yang berpeluang menikmati pengalaman yang cukup manis ini.

Semestinya, tujuan utama lawatan ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada karyawan seni tempatan tentang industri perfileman dan hiburan Hollywood secara keseluruhannya.

Tidak seperti enam tahun sebelum ini di mana delegasi Malaysia ke LA diketuai oleh Datuk Seri Farid Ridzuan, tahun ini menyaksikan sedikit perubahan apabila tiada seorang pun 'orang besar' dari Media Prima Berhad yang mengikuti rombongan kali ini.

Tahun ini menyaksikan rombongan diketuai oleh Pengurus Perhubungan Awam dan Acara TV3, Muhammad Aziz dan Penganalisa Jenama Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Asyraf Hamdi Dusuki termasuk 26 orang yang lain telah 'menggegarkan' LA.

Sebagai kelainan, rombongan kali ini juga turut disertai empat pemenang kategori utama Anugerah Seri Angkasa 2010 (ASA 2010) iaitu Drama, Pengarah, Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Terbaik.

Boleh dikatakan sebilangan besar tetamu yang diundang mengikuti lawatan itu semuanya adalah mereka yang kali pertama menjejakkan kaki ke bumi LA.

Antaranya ialah Fadilah Mansor, Sharifah Amani, Bront Palarae, Shaheizy Sam, Shahrul Ezad Mohameddin, Jurey Latif Rosli serta dua penerbit eksekutif yang mewakili Filmscape dan Astro iaitu Shamsiah Mohd. Yusof dan Bonni Sta Maria.

Atas alasan itu, perasaan girang dan teruja menyelubungi diri masing-masing dan dalam masa yang sama juga, gementar sambil membayangkan apakah yang menanti mereka di LA.

Salah seorang ialah aktres terkenal, Lisdawati yang mengikuti rombongan kali ini atas tiket kemenangan suaminya, Fauzi Nawawi yang menjulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik ASA 2010 menerusi drama Sebelum Akhirat.

"Sepatutnya Fauzi yang pergi lawatan ini tetapi disebabkan masalah kelulusan visanya, maka dia membenarkan saya pergi bagi menggantikan tempatnya.

"Saya melihat lawatan saya kali ini juga sebagai penebus kekecewaan kerana saya tidak berpeluang berkunjung ke LA sewaktu saya menang Pelakon Drama Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2005 dulu," ujar Lisdawati yang memenangi trofi pewter bermotif pucuk rebung dan songket itu menerusi drama Miftahul Jamilah.

Selama hampir seminggu di LA, jadual harian sememangnya cukup padat dengan pelbagai aktiviti yang sudah diaturkan.

Bagi penggiat seni dan pengamal media, peluang yang cukup dinanti-nantikan apabila dapat berkunjung ke Universal Studios yang cukup terkenal sebagai taman tema terbesar di LA.

Tidak hanya bersuka-ria dengan pelbagai tarikan taman tema yang mengambil inspirasi daripada filem dan siri televisyen popular terbitan Universal, kunjungan ke pusat hiburan terkemuka itu sebenarnya terletak kepada lawatan lokasi penggambaran filem dan televisyen.

Di sinilah pengunjung dapat melihat sendiri bagaimana helah dan teknik yang digunakan industri sehebat Hollywood dalam 'menipu' audiens dengan kecanggihan teknologi dan studio mereka.

Paling menarik apabila dibawa ke set siri televisyen popular, Desperate Housewives dan melihat sendiri rumah serta landskap indah setiap rumah karakter siri itu seperti mana yang dapat ditonton di televisyen.

Antara lain yang dibawa termasuklah set filem Psycho, Jaws, War of the Worlds, How the Grinch Stole Christmas!, Jurassic Park, Earthquake dan Fast and the Furious.

Tidak ketinggalan,peluang merasai tarikan terbaru Universal Studios iaitu King Kong 360ยบ 3-D yang sememangnya pengalaman yang cukup menakjubkan.

Ia seolah-olah membawa setiap seorang daripada mereka yang berada dalam keretapi mini itu ke dalam filem King Kong arahan Peter Jackson dan merasai babak cemas adegan pertarungan antara King Kong dan dinosaur T-Rex.

Seiring dengan sambutan Halloween pada 31 Oktober ini, Universal Studios turut memperkenalkan House of Horrors yang merupakan sebuah rumah hantu.

Menampilkan karakter dari filem-filem seram yang pernah diterbitkan seperti Frankenstein, Wolf Man, Chucky dan banyak lagi, sesungguhnya memasuki House of Horrors memberikan pengalaman yang cukup mengerikan dan juga melucukan.

Selain Universal Studios, rombongan kali ini juga dibawa ke Warner Bros. Studios yang tidak kurang hebatnya.

Di sinilah, ahli rombongan didedahkan dengan sejarah pembikinan filem dan siri televisyen popular yang semuanya dilakukan di dalam lebih 20 buah studio seluas gudang yang boleh memuatkan dua buah jet persendirian.

Peserta juga dibawa melihat set sitkom popular Friends, The Big Bang Theory dan Chuck selain gudang penyimpanan kereta yang pernah digunakan dalam filem-filem popular seperti Batman, Harry Potter, Austin Powers, Scooby-Doo dan trilogi The Matrix.

Namun, pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh kesemua ahli rombongan kali ini apabila TV3 memberi peluang untuk menonton persembahan Cirque du Soleil di Kodak Theatre.

Lebih membanggakan apabila ahli rombongan Anugerah Skrin 2010 berpeluang menonton persembahan hebat dan menakjubkan berjudul Iris selepas lima hari tirai panggung dibuka.

Tiada kata secantik bahasa dan tiada gambar seindah lukisan yang dapat diluahkan apabila dapat memasuki dewan Kodak Theater yang merupakan 'rumah rasmi' kepada acara berprestij, Anugerah Academy atau Oscar itu.

Selain itu, rombongan juga dibawa ke Rodeo Drive, Santa Monica, The Farmers Market serta Madame Tussauds, Grauman's Chinese Theatre dan Walk of Fame yang terletak di Hollywood and Highland Center.

Sudah pasti, tidak lengkap lawatan ini tanpa acara wajib setiap tahun iaitu membeli-belah di dua lokasi berbeza iaitu Camarillo Premium Outlets dan Desert Hills Premium Outlets yang sememangnya membuatkan semua menjadi seperti 'orang gila'.

Walaupun seharian berada di sana pada dua hari berbeza, ternyata ia seperti tidak cukup buat semua yang berkunjung ke sana.

Bagi Muhammad, pihaknya melahirkan rasa gembira dan puas hati dengan lawatan kali ini yang disifatkannya telah membuka lembaran baru buat semua ahli rombongan.

Malah, dia sendiri memuji sikap dan disiplin artis yang memberikan komitmen seperti mana yang diharapkan.

"Kami di TV3 juga mengharapkan agar semuanya berpuas hati dan mendapat sesuatu yang bermanfaat serta berguna daripada lawatan ini.

"Saya selaku wakil TV3 turut berharap lawatan seperti ini akan dapat diteruskan untuk tahun-tahun mendatang dalam mendedahkan karyawan seni kita demi kebaikan mereka juga," katanya penuh optimis.

Full content generated by Get Full RSS.