Adsense

Khamis, 15 September 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Stacy mengaku rapat dengan Akim

Posted:

Stacy mengaku rapat dengan Akim

Stacy mengaku rapat dengan Akim

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar NOORADZRENE MOHD NOOR


Ibu Stacy, Agnes Kalloos membawakan kek untuk anaknya sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-21.


UMURNYA baru menginjak 21 tahun pada tanggal 18 Ogos lalu. Justeru, bagi anak kelahiran Penampang, Sabah, Stracie Angie Anam atau lebih dikenali dengan nama Stacy, dia masih belum puas untuk menikmati usia mudanya.

Merangkul gelaran juara program realiti Akademi Fantasia musim keenam (AF6) pada 2008, nama Stacy dilihat masih kukuh di persada seni tanah air biarpun nama rakan-rakan seangkatannya tenggelam di bawa arus dek gagal menempatkan diri dalam dunia seni tempatan.

Tiga tahun berdiri kukuh antara penyanyi wanita popular tempatan, Stacy akui, pelbagai pahit maung dihadapinya dan dia juga tidak terlepas daripada kontroversi terutamanya percintaannya dengan bintang AF7, Akim.

Mendekati gadis lincah dan periang itu ketika majlis pelancaran album keduanya yang diberi judul Stay-C di Hotel Hilton Kuala Lumpur baru-baru ini, Stacy memberi penjelasan sebaik mungkin kepada rakan media yang hadir.

Masih berkawan

MULAI rapat dengan Akim atau Afiq Hakim Ahmad, 20 ketika sama-sama mengadakan persembahan bersama bintang-bintang AF yang lain dua tahun lalu, Stacy akui, jejaka kelahiran Johor Bahru, Johor itu begitu serasi dengannya.

Apatah lagi dengan perwatakan Akim yang sentiasa ceria dan pandai berjenaka, Stacy mengatakan, ia cukup membuatkan hatinya tertarik untuk mengenali pemuda itu dengan lebih rapat.

Lantaran dari momen itu, dia suka berhubungan melalui telefon bimbit, sama ada membuat panggilan atau pun melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Sekarang, sudah dua tahun kami mengenali antara satu sama lain. Jujurnya, tiada hubungan cinta yang wujud antara kami berdua.

"Ia sekadar hubungan rakan sesama artis, cuma kami lebih akrab.

"Sebab itulah, timbul gosip yang mengatakan kami sebagai pasangan kekasih," kata Stacy menjelaskan perkara sebenar.

Namun, kebelakangan ini timbul pula khabar angin yang mengatakan mereka berdua sudah tidak lagi berkawan gara-gara Stacy dikatakan telah mempunyai teman istimewa yang lain.

Tidak terperanjat dengan dakwaan itu, Stacy menafikan spekulasi berkenaan lalu menerangkan keadaan sebenar yang berlaku antara mereka berdua.

Tegasnya, dia bukanlah seorang yang mementingkan diri sendiri sehingga sanggup membuang kawan apabila menemui cinta hati.

Tambahnya, dia dan Akim masih lagi berkawan seperti biasa dan dia juga menepis dakwaan bahawa dia telah mempunyai kekasih baru.

"Saya berkawan baik dengan Akim dan masih berhubungan melalui SMS atau telefon.

"Buktinya, salah sebuah lagu saya, Cemburu adalah hasil karya Akim selaku penulis lirik.

"Cuma kebelakangan ini jarang berjumpa sebab masing-masing sibuk dengan aktiviti seni.

"Saya sibuk dengan proses rakaman lagu baru untuk dimuatkan dalam album kedua saya, manakala Akim pula sibuk dengan persembahannya.

"Tambahan pula, Akim aktif sebagai penulis lirik dan komposer. Saya tidak mahu mengganggu Akim di kala rezekinya dalam bidang ini semakin berkembang.

"Ketika proses rakaman lagu Cemburu, dia ada datang memberi sokongan," jelasnya panjang lebar menceritakan kebenaran.

Tidak kisah peluk Islam

DALAM pada itu, Stacy diutarakan soalan adakah dia bersedia untuk memeluk agama Islam sekiranya bertemu pujaan hati yang beragama Islam?

Tanpa perlu mengambil masa yang lama, Stacy menyatakan persediaannya untuk bergelar mualaf jika jodoh menyatukannya dengan pemuda beragama Islam.

Tambah Stacy, agama Islam bukanlah sesuatu yang asing bagi dirinya mahu pun keluarganya kerana ada saudara maranya yang berkahwin dengan orang Melayu yang beragama Islam.

"Jadi, tidak timbul sebarang masalah kepada saya atau famili apabila saya memeluk agama Islam untuk berkahwin dengan jejaka Melayu.

"Tetapi itu tidak bermakna saya sudah bersedia untuk berkahwin dalam masa terdekat. Buat masa ini, saya mahu fokus terhadap kerjaya seni.

"Saya masih belum mendapat kepuasan optimum dalam bidang ini. Saya meletakkan had masa sekurang-kurangnya empat tahun lagi untuk memikirkan bab kahwin," jawab Stacy terlebih dahulu sebelum sempat Hits bertanyakan mengenai rancangan perkahwinannya.

Tiara sudah boleh tarik nafas lega

Posted:

Tiara sudah boleh tarik nafas lega

Tiara sudah boleh tarik nafas lega

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar WAHIDIN SALIM


TIARA melahirkan rasa bangga kerana dapat berlakon di samping pelakon hebat seperti Adibah Noor dan Stephanie Van Driesen (kanan) untuk The Secret Life of Nora.


WANITA berhati waja ini mengakui hatinya sedikit terusik apabila mengetahui tiada pihak yang sudi menaja pementasan mega ketiga terbitan syarikatnya, Enfiniti Vision Media (EVM), The Secret Life of Nora (NORA).

Tidak seperti dua pementasan sebelum ini, Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLM) dan P. Ramlee the Musical (PRM) yang mendapat perhatian meluas daripada syarikat korporat dan swasta yang tidak lokek untuk menjadi penaja.

Namun, bagi Datin Seri Tiara Jacquelina, kegagalan NORA untuk mendapat penajaan langsung tidak mematahkan semangatnya meneruskan pementasan.

"Sedih memanglah sedih kerana perjuangan saya dalam memartabatkan industri seni persembahan negara bukanlah untuk saya seorang.

"Sebaliknya, apa yang saya lakukan ini adalah untuk membawa nama Malaysia ke persada dunia agar satu hari nanti negara ini juga mampu menjadi hab seni persembahan setanding dengan negara Barat.

"Apa pun yang terjadi, pasukan saya kini sudah bersedia untuk mementaskan NORA dengan semangat juang yang tinggi bagi memastikan ia mendapat tempat di kalangan penonton kelak. Kami berikrar akan memberikan yang terbaik untuk mereka," ujar Tiara dalam nada yang cukup optimis sewaktu ditemui pada sesi latihan di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPac), Sentul, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tetapi, kesedihan yang ditanggung aktres dan penerbit gigih itu tidak lama apabila syarikat telekomunikasi gergasi negara, Maxis tampil menjadi satu-satunya penaja untuk NORA yang akan mula dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) bermula 29 September ini.

Ternyata, Tiara bersyukur dengan berita gembira itu dan sudah mampu menarik nafas lega dan berharap akan ada pihak lain yang sudi mengikut jejak langkah Maxis untuk pementasan ini.

Dalam masa yang sama juga, bintang utama filem Puteri Gunung Ledang dan Ringgit Kasorrga itu amat berterima kasih kepada IB kerana mereka telah banyak membantu dari mula dia menyuarakan hasrat serta membentangkan idea untuk mementaskan NORA.

Begitu juga dengan beberapa pihak seperti Pusat Membeli-Belah Pavilion, Kuala Lumpur; rangkaian kosmetik M.A.C dan TGV Cinemas yang sudi bekerjasama dalam membantu mempromosikan dan menghebahkan tentang NORA kepada khalayak.

Kata Tiara lagi, soal penajaan bukanlah perkara baru yang perlu dihadapi oleh karyawan seni tempatan baik dalam apa jua cabang seni sekali pun.

"Apabila memperkatakan tentang konteks seni persembahan terutama teater muzikal khususnya, kalau diperhatikan ia telah menunjukkan peningkatan yang sangat positif.

"Bukan mahu mendabik dada atau membangga diri, tetapi selepas pementasan PGLM dan PRM, barulah ramai pihak membuka mata tentang teater muzikal.

"Malah, ramai penerbit baru seperti Hans Isaac juga sudah berani mengeluarkan bajet yang begitu tinggi untuk menerbitkan teater muzikal. Ternyata, apa yang dilakukannya berjaya dan mendapat sambutan.

"Sebagai teman seperjuangan, saya sendiri tumpang bangga dengan pencapaian mereka yang berani mementaskan teater muzikal. Setidak-tidaknya industri kita terus meriah dengan pelbagai naskhah yang menarik untuk dipentaskan," kata Tiara panjang lebar.

Mengulas tentang watak Nora yang akan dilakonkannya dalam pementasan teater muzikal arahan Steven Dexter itu, Tiara menjelaskan dia kini begitu gigih menjalani latihan intensif.

Biarpun penat kerana perlu berlatih dari 12 hingga 14 jam sehari, isteri kepada Datuk Seri Effendi Norwawi itu gembira kerana dia sudah mendapat rentak dalam membawakan watak Nora itu.

Satu yang pasti kata ibu kepada sepasang cahaya mata itu lagi, dia cukup teruja untuk menantikan respons daripada audiens kelak.

Apatah lagi, inilah kali pertama dia membawakan watak komedi yang pastinya memberikan dimensi baru untuk Tiara sebagai seorang aktres.

"Untuk itu, saya telah menonton beberapa filem komedi dan cuba untuk mendapatkan jiwa humor itu. Saya cukup berbangga dan puas hati apabila mendapat pelakon hebat seperti Aznil Nawawi, Adibah Noor, Ryan Silverman, Tony Eusoff, Stephanie Van Driesen dan Aaron Khaled dalam muzikal ini.

"Saya cukup sedar harapan tinggi yang diletakkan ke bahu kami oleh penonton dan peminat yang ternanti-nantikan pementasan ini. Insya-Allah, kami akan memberikan yang terbaik untuk mereka yang tidak pernah jemu menyokong kami," kata Tiara dalam nada penuh teruja.

Tiket-tiket untuk menyaksikan NORA kini sudah mula dijual dengan harga dari RM30 hingga RM350. Bagi mereka yang belum mendapatkannya, bolehlah melayari laman web www.airasiaredtix.com atau berkunjung sendiri ke kaunter Box-Office, Istana Budaya.