Adsense

Jumaat, 23 September 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Bukan cuba bunuh diri

Posted:

Bukan cuba bunuh diri

Bukan cuba bunuh diri

SELAIN menegaskan dia masih waras, Marsha turut menafikan dia sanggup membunuh diri hanya kerana cinta.


SEMENJAK bergelar anak seni, memang tidak keterlaluan kalau dikatakan kisah kontroversi ternyata lebih banyak menghiasi ruang lingkup kehidupan Marsha Milan Londoh berbanding kisah perjalanan kerjayanya.

Jika sebelum ini timbul cerita panas yang mengatakan penyanyi yang lahir daripada program realiti televisyen Akademi Fantasia ini sudah mendirikan rumah tangga, baru-bari ini timbul pula cerita sensasi yang mengatakan dia telah menelan sebanyak 30 biji pil sehingga dimasukkan ke hospital.

Cerita tersebut mula timbul apabila Marsha telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) setelah dia didapati pengsan di parkir kereta di kawasan kondominium kediamannya pada 7 September yang lalu.

Apabila kejadian tersebut berlaku ternyata telah timbul pelbagai tanggapan memandangkan tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan olehnya atau ahli keluarga terdekat. Sehingga ada yang mengatakan bahawa penyanyi berkenaan telah cuba membunuh diri.

Bagaimanapun, selepas dua minggu kejadian tersebut berlaku, kelmarin artis berkenaan telah tampil untuk menjelaskan perkara yang sebenar dalam satu majlis rumah terbuka yang dianjurkan oleh Alibi Music Sdn. Bhd.

Kelihatan sihat dan cukup bersemangat, Marsha tidak lagi bersembunyi, sebaliknya telah berkongsi perasaan dan menjawab semua spekulasi yang tersebar sebelum ini.

Kosmo!: Boleh jelaskan tentang apa yang telah berlaku ke atas diri anda?

Marsha: Pada hari kejadian itu iaitu 7 September, saya memang berada dalam keadaan yang kurang sihat. Ketika dalam perjalanan pulang daripada membeli sarapan, saya mengalami kemalangan kecil apabila telah terlanggar pembahagi jalan. Namun saya masih dapat terus memandu sehinggalah tiba di kediaman saya.

Kemudian ketika berada di kawasan parkir, tiba-tiba saya pengsan dan apabila sedar saya telah berada di hospital. Saya telah dimaklumkan bahawa saya telah ditemui terbaring oleh pengawal keselamatan dan terus dihantar ke hospital oleh pihak pengurusan kondominium sekitar pukul 11 pagi.

Namun ada yang mengatakan anda telah menelan sehingga 30 biji pil. Adakah ia benar?

Saya sendiri sangat hairan bagaimana cerita tersebut boleh timbul. Memang saya akui pada malam sebelum kejadian, saya ada mengambil ubat untuk mengatasi masalah tekanan darah rendah yang saya hadapi.

Bagaimanapun saya menafikan sekeras-kerasnya yang saya telah menelan sehingga 30 biji pil sehingga dikatakan cuba untuk membunuh diri. Saya masih lagi waras dan kalau benar saya menelan pil sebanyak itu, sudah tentu saya sudah mati sekarang ini.

Mengapa anda mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat kenyataan?

Pertama sekali saya minta maaf kerana mengambil masa yang lama untuk menjelaskan perkara yang sebenar. Selepas kejadian, saya memerlukan masa yang lebih untuk berehat dan memang mencari masa yang sesuai untuk bertemu dan memberi kenyataan kepada pihak media.

Memandangkan pihak Alibi Music ada menganjurkan rumah terbuka kelmarin, maka saya merasakan itu adalah masa yang sesuai untuk saya bertemu dengan media menjawab segala persoalan yang ditimbulkan.

Ketika wartawan datang ke hospital untuk menziarahi anda, difahamkan ayah anda telah mengarahkan pengawal keselamatan untuk menghalang wartawan daripada bertemu dengan anda. Boleh anda komen sedikit?

Tentang perkara itu juga saya ingin memohon maaf banyak-banyak kerana ia berada di luar kawalan saya dah ahli keluarga yang lain. Pada saya, mereka sekadar menjalankan tugas untuk menjaga privasi pesakit lain dan bukanlah di atas arahan ayah saya untuk menghalang wartawan menziarahi saya.

Malah, ayah saya juga tidak dapat bertemu dengan pihak media kerana dia belum biasa untuk membuat kenyataan kepada wartawan. Sejujurnya, sepanjang saya bergelar artis memang ahli keluarga tidak pernah masuk campur dalam sebarang perjalanan karier seni saya.

Ada pihak tertentu yang membuat tanggapan anda juga mengalami tekanan kerana putus cinta dengan bekas kekasih?

Memang benar hubungan saya dengan kekasih sudah pun berakhir, tetapi hubungan saya dan dia putus beberapa minggu sebelum kejadian saya ditemui pengsan tempoh hari. Namun, ia bukanlah punca sehingga saya mengalami tekanan kerana saya masih dapat terima hakikat yang hubungan kami berakhir.

Apakah yang menyebabkan hubungan anda berdua putus?

Kami mengambil keputusan untuk mengakhiri hubungan percintaan setelah tiada lagi keserasian antara kami. Lagipun sepanjang dua tahun kami bercinta, sudah beberapa kali hubungan kami putus, namun bersambung kembali. Cuma kali ini memang kami mengambil keputusan untuk tidak bersama lagi.

Malah, saya juga menafikan yang kami tidak dapat meneruskan hubungan ini disebabkan oleh halangan ahli keluarga yang memang berpegang kepada ajaran Kristian.

Sebenarnya keluarga saya tidak pernah menghalang hubungan kami dan bekas kekasih juga pernah menemui mereka sebelum ini.

Adakah bekas kekasih ada melawat anda di hospital?

Hubungan saya dan bekas kekasih masih lagi baik sehingga kini dan dia ada melawat saya di hospital.

Jadi sekarang ini anda tiada teman istimewa?

Buat masa ini saya boleh katakan yang sekarang ini saya masih lagi solo. Cuma ketika ini saya memang agak rapat dengan seseorang dan apa yang boleh saya katakan kami masih lagi di peringkat berkawan.

Adakah lelaki tersebut sama seperti bekas kekasih, seorang jejaka Melayu dan beragama Islam?

Saya akui dia seorang jejaka Melayu dan beragama Islam dan saya sudah lama mengenalinya sejak beberapa tahun yang lalu. Sehingga sekarang kami masih lagi berkawan seperti biasa dan masih lagi mengenali hati budi masing-masing.

Adakah anda masih tidak serik untuk bercinta dengan lelaki yang tidak sama kaum dan agama dengan anda?

Pada saya semuanya terserah pada jodoh dan saya memang mempunyai ramai kawan lelaki yang berketurunan Melayu. Lagipun keluarga juga tidak pernah menghalang untuk saya berkawan dengan sesiapa sahaja. Cuma buat masa ini saya masih belum lagi terfikir untuk mendirikan rumah tangga dan mahu lebih fokus kepada karier terlebih dahulu.

Solehah mencari Ikon Muslimah

Posted:

Solehah mencari Ikon Muslimah

Solehah mencari Ikon Muslimah

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


BERGANDING. Irma Hasmie dan Nurul Iman bertanggungjawab menjadi hos program realiti Solehah.


SEJAJAR dengan statusnya sebagai televisyen percuma yang berkonsepkan Islam, TV AlHijrah sedar akan kekurangan program realiti televisyen yang berkonsepkan Islam dan juga berkisar tentang wanita.

Oleh itu, ingin memberikan yang terbaik buat penonton setia mereka, AlHijrah telah mengambil pendekatan untuk mengadakan program realiti yang berkisar tentang wanita iaitu Solehah yangmampu menjadi program pendidikan Islam tidak formal yang mengiktiraf sumbangan peranan dan sumbangan wanita terhadap agama, bangsa dan negara.

Sesi ujibakat yang diadakan selama tiga bulan telah dihadiri oleh 600 peserta sebelum disenarai pendek dan hanya 10 orang sahaja layak untuk meneruskan perjuangan di dalam program ini.

Mereka adalah Amie Sofia Ahmad, 25, berasal dari Alor Setar, Kedah, Wan Suhaili Wan Mohd Yusof, 24, Dungun, Terengganu, Mariyam Sa'ari,24, Kuala Terengganu, Terengganu, Sarah Azizul, 25, Kajang, Selangor, Renny Johnnuin, 21, Kundasang, Sabah, Tuan Nor Shazni Tuan Muda, 23, Terengganu, Siti Adibah Zelkefly, 21, Kuching, Sarawak, Nurul Eswani Syafazlin Abdul Halim, 24, Kulim, Kedah, Wan Nor Mazuani Wan Mokhtar, 22, Kuantan, Pahang dan Rosmarieza Rafiee, 25, Asahan, Melaka.

"Solehah merupakan sebuah program realiti televisyen yang berhasrat untuk melahirkan barisan muslimah yang mempunyai ciri-ciri dan sifat seorang muslimah solehah dan mampu menggalas tanggungjawab sebagai model kepada wanita masa kini," jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Apa yang unik mengenai program ini adalah, realitinya mereka tidak akan mempunyai sesi penyingkiran dari mula hingga ke episod akhir dan pengumpulan markah akan diperoleh sepanjang program akan menentukan siapa pemenang melalui markah tertinggi peserta tersebut.


BARISAN peserta program Solehah yang akan memulakan persaingan mereka bermula malam ini.


"Penyingkiran peserta tidak dibuat kerana apa yang kita nampak, kadangkala prestasi peserta di setiap minggu berlainan dalam keadaan tertentu. Mungkin jawapan itu tidak bersesuaian dengan kemampuan soalan dan mungkin minggu hadapan mereka akan mempunyai prestasi yang baik berbanding sebelumnya dan boleh menampung kembali pemarkahan mereka. Oleh itu kesemua 10 peserta Madrasah Solehah akan dikekalkan hingga ke akhir episod siaran.

"Kita tidak akan lakukan seperti kelaziman program realiti praktiskan. Kesemua peserta akan melalui sesi pembelajaran dan akan keluar serentak sebagai barisan muslimah yang baharu diiktiraf," tegas Jamil Khir lagi.

Format program ini akan dibahagikan kepada dua penerbitan utama iaitu penerbitan lokasi yang membabitkan kapsul diari Madrasah dan Tugasan Solehah serta penerbitan secara langsung.

Program ini juga akan melibatkan seramai empat orang musyrifah yang akan bertanggungjawab mendidik dan mengadili kesemua peserta sepanjang program ini berlangsung.

Selain itu, juri yang juga akan mengadili, menilai serta yang bertanggungjawab memberi pemarkahan kepada peserta terdiri daripada tiga orang tokoh akademik terkenal dari Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa.

Ketika ditanya mengenai mungkin ada sesetengah peserta yang akan menyembunyikan karakter sebenar mereka untuk menyertai program tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Bukhari Che Muda mempunyai jawapan tersendiri.

Jelas Bukhari Che Muda: "Memang mungkin ada, tapi berdasarkan pengalaman dan kekuatan yang ada pada para pendidik kita, mereka akan boleh mengesan dan menilai perkara tersebut melalui realiti kehidupan dan latar belakang mereka."

Solehah akan bersiaran secara langsung selama 13 episod mulai 23 September ini di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur. Bagi mengikuti perkembangan terkini peserta Solehah, TV AlHijrah akan menyiarkan kapsul harian selama dua minit khas untuk penonton setia AlHijrah.