Adsense

Selasa, 20 September 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Panggilan adik bertukar sayang

Posted:

Panggilan adik bertukar sayang

Panggilan adik bertukar sayang

PERANCANGAN untuk mendirikan rumah tangga sebelum usia melebihi angka 30 tahun tercapai apabila aktor dan pengacara Ashraf Muslim telah selamat bergelar suami kepada wanita pilihannya yang merupakan bakal seorang doktor pada 1 Syawal lalu di hadapan Kaabah di Mekah.

Majlis persandingannya pula berlangsung dengan penuh meriah bertemakan warna ungu di kediaman keluarga pihak perempuan di Gombak pada Sabtu lalu.

Kata Ashraf yang ditemui pada majlis persandingannya itu: "Saya sudah lama mencari wanita untuk menjadi isteri saya kerana saya memang merancang untuk berkahwin sebelum usia 30 tahun. Tahun ini umur saya 30 tahun kiranya perancangan saya masih mengikut landasan.

"Saya tidak tahu nak cakap sampai seru ke tidak sebab ketika saya menunaikan umrah, nama Dayana yang muncul di fikiran saya. Itu yang membuatkan saya yakin, dia wanita yang tepat untuk saya, tambahan pula dia rapat dengan keluarga saya, bagi saya itu perkara paling penting."

Tegas Ashraf, dia sememangnya mahu mencari wanita yang solehah menjadi suri hatinya dan melihat Dayana cukup sempurna untuk dirinya.

"Memang saya berniat untuk cari wanita solehah sebagai isteri, walaupun tidak seratus peratus sempurna tetapi Dayana masih boleh dibimbing dan kerana itu hubungan kami lebih akrab dan kuat," ucap Ashraf sambil menjeling ke arah isterinya.

Bercerita lanjut mengenai pernikahannya yang berlangsung di Mekah pada 1 Syawal lalu, kata Ashraf, pernikahannya dilakukan pada selepas Asar mengikut waktu di Mekah dan pada pukul 9 malam mengikut waktu Malaysia berlangsung dengan sekali lafaz sahaja.

Bagaimanapun, Ashraf yang berada di sana lima hari selepas majlis pernikahan berlangsung, mengakui gementar tatkala menerima Dayana sebagai isteri.

"Selain ayahnya yang menikahkan kami, pernikahan yang berlangsung di hadapan Kaabah membuatkan saya bertambah gementar tetapi Alhamdulilah semuanya berjalan lancar, hanya dengan sekali lafaz, Dayana menjadi isteri saya.


IMPIAN Ashraf untuk mendirikan rumahtangga pada usia 30 tahun tercapai apabila 'seru'nya sampai tahun ini.


"Selepas nikah, kami menunaikan solat sunat nikah, kemudian melakukan tawaf sebanyak tujuh kali, sambil berdoa meminta yang terbaik untuk rumah tangga yang baru dibina," cerita Ashraf mengenai majlis pernikahan yang dihadiri 12 ahli keluarga termasuk mereka serta beberapa orang jemaah yang turut mengerjakan umrah bersama mereka pada bulan Ramadan.

Perubahan hidup

Ketika ditemui Kosmo! Ashraf baru bergelar suami selama 17 hari dan banyak perubahan dalam kehidupannya sejak Dayana, 24, menjadi suri hidupnya.

"Saya rasa kehidupan saya semakin teratur, makan minum terjaga. Sekarang semakin ringan kalau nak membuat sesuatu kerja kerana sudah berdua boleh saling membantu, tetapi tanggungjawab saya semakin berat sebagai seorang suami," kata Ashraf.

Apabila disoal siapakah Dayana di mata Ashraf, kedua-duanya tersipu-sipu malu dan tersenyum. Ashraf memulakan bicara, sebelum bertunang dan bernikah, dia hanya menganggap Dayana sebagai adik disebabkan dia menganggap bapa Dayana sebagai abang kerana dia bekerjasama dengan bapa Dayana di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah.

Bagaimanapun semuanya berubah selepas dia sah menjadi suami Dayana, kini panggilan sayang laju meluncur di bibir Ashraf sebagai ganti nama buat isterinya.

"Banyak yang berubah, daripada segi perkataan, layanan dia terhadap saya, kalau saya ada masalah, saya banyak luahkan kepadanya," ucap aktor yang popular dengan drama Ustaz Amirul itu lagi.

Dayana yang setia duduk di sebelah Ashraf pula menjelaskan, sebelum bernikah, mereka tidak begitu mengenali antara satu sama lain, kerana hubungan mereka berlangsung dengan begitu pantas.


USAI resepsi, pengantin ini terpaksa berkorban 'rindu' apabila Dayana perlu menamatkan pengajiannya di Melaka dan Ashraf berada di Kuala Lumpur.


"Kami bercinta selepas bernikah, sebelum itu biasa-biasa sahaja. Selepas bergelar isteri saya cuba untuk mengenalinya dengan lebih mendalam lagi. Alhamdulillah, saya lihat kami serasi dalam banyak perkara," tutur Noor Dayana.

Melaka, Kuala Lumpur

Tidak seperti pasangan suami isteri yang lain, Ashraf dan Dayana terpaksa berkorban untuk berpisah buat sementara waktu sehingga Dayana tamat pengajiannya dalam bidang perubatan di Universiti Mannipal, Melaka pada Mac tahun depan.

Disebabkan itu perancangan untuk memiliki cahaya mata dalam masa terdekat juga harus ditunda.

"Dia masih belajar, jadi untuk masa terdekat ini kami harus bercinta jarak jauh, hanya hujung minggu sahaja akan berjumpa. Saya akan tinggal bersama keluarga Dayana di Gombak, manakala Dayana pula akan menghabiskan pengajiannya di Melaka," kata Ashraf.

Disebabkan sibuk dengan jadual kerja dan kuliah, pasangan ini tidak akan pergi berbulan madu dalam waktu yang terdekat, tetapi mereka sudah mempunyai destinasi impian yang ingin dilawati bersama kelak.

"Sekarang saya tengah cuti semester, selepas ini akan sibuk dengan kuliah jadi tidak sempat untuk berbulan madu. Tetapi kalau destinasi pilihan, kami berdua pilih untuk ke New Zealand. Bila akan ke sana belum tahu lagi kerana abang Ashraf pun sibuk dengan kerjanya," kata Dayana yang semakin menyesuaikan diri dengan status selebriti suaminya itu.

Kekeliruan pencalonan AIM ke-18

Posted:

Kekeliruan pencalonan AIM ke-18

Kekeliruan pencalonan AIM ke-18

Oleh FATEN SAPHILLA MOHD. ISA
saphilla.isa@kosmo.com.my


BARISAN orang kuat Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) utuh dengan pendirian mereka.


SETELAH ramai yang menunggu dan berteka-teki mengenai lima calon terbaik untuk setiap kategori yang dipertandingkan Anugerah Industri Muzik ke-18, kini terjawab sudah apabila pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengumumkannya pada 14 September lalu sewaktu sidang media di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Banyak kejutan dan perubahan mengenai calon mahupun kategori yang bertanding.

Antaranya beberapa nama artis luar negara yang dicalonkan seperti pengarah muzik, DJ CZA (Singapura) dan sebaliknya, penyanyi tempatan Zee Avi yang layak pula tidak dicalonkan.

Bukan itu sahaja, jika sebelum ini pihak RIM mengumumkan 19 jumlah kategori yang dipertandingkan tetapi kini hanya 18 kategori sahaja yang akan dipertandingkan dalam AIM ke-18 yang akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 12 November ini pukul 9.00 malam.

Ramai yang terkejut dan ada yang terkilan selepas lima calon terbaik untuk 18 kategori AIM ke-18 diumumkan.

Mengulas tentang isu itu, Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur AIM ke-18, Rosmin Hashim memberitahu, sepatutnya terdapat 19 kategori untuk tahun ini, tetapi panel hakim telah sebulat suara memansuhkan satu kategori iaitu Lagu Hip Hop Terbaik kerana kekurangan penyertaan yang menepati kriteria.

"Walaupun kategori berkurangan, jumlah pencalonan AIM tahun ini masih menggalakkan. Ini bermakna syarikat rakaman masih aktif menghasilkan lagu-lagu.

"Saya juga lihat sudah banyak pihak rakaman dan artis lebih mengutamakan penerbitan lagu single dari album. Jadi, ia boleh dikatakan industri muzik kita masih dinamik," katanya.

Mengulas mengenai isu calon luar negara yang tersenarai manakala artis Malaysia sendiri tidak tersenarai, kata Rosmin, pihak RIM telah menetapkan untuk album, sekurang-kurangnya 60 peratus lagu bahasa Melayu perlu dihasilkan oleh warganegara Malaysia.


Datuk Sheila Majid menjadi tumpuan selepas tersenarai di dalam AIM-18.


"Untuk single pula, ia mesti 100 peratus digubah oleh komposer tempatan dan juga di bawah label tempatan. Ini bermakna, jika seseorang artis Malaysia itu menyanyi atau menggubah lagu dengan sendiri tetapi bernaung di bawah syarikat luar negara maka secara automatik dia tidak layak. Hanya calon atau artis yang bernaung di bawah label Malaysia dan berdaftar dengan RIM sahaja yang layak bertanding.

"Merujuk kes Zee Avi, dia memang artis Malaysia, namun dia tidak layak bertanding kerana bernaung di bawah label Amerika. Pencalonan untuk DJ Cza pula kerana dia bernaung di bawah label Malaysia. Kedua-dua individu ini layak tercalon kerana syarat-syarat yang ditetapkan jelas menyatakan artis luar negara layak bertanding selagi terikat dengan label Malaysia," jelas Rosmin.

Selain itu, Rosmin turut mengumumkan Datuk Ramli MS sebagai Ketua Hakim AIM ke-18 selama tiga tahun berturut-turut serta menyiarkan nama-nama hakim lain yang terlibat dalam penghakiman nominasi AIM ke-18 untuk pengetahuan umum.

Antara artis yang banyak mendapat pencalonan untuk beberapa kategori ialah Aizat Amdan, Yuna, Anuar Zain, Najwa dan Sheila Majid.

Sementara itu, Sheila Majid tidak menyangka menerima empat pencalonan dalam AIM ke -18.

Menyifatkan pencalonan itu sebagai rezeki, antara kategori yang mencalonkan nama Sheila ialah kategori Album Terbaik, Lagu Pop Terbaik menerusi lagu Dengarkanlah manakala untuk kategori Album Terbaik pula dan dua pencalonan dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu untuk lagu Jeritan Batinku dan Ku Mohon.

"Sebenarnya saya masih terkejut kerana berjaya dicalonkan untuk empat kategori. Mungkin sudah menjadi rezeki saya dipilih oleh pihak juri.

"Saya muncul dengan album The Malaysia Philharmonic Orchestra Celebrates 25 Years of Sheila Majid adalah untuk peminat yang tidak dapat hadir pada konsert tersebut dan tidak pernah mengimpikan sebarang anugerah," ujarnya mengenai album yang menerima pencalonan kategori Album Terbaik.

Akademi Amber di Kuala Lumpur

Posted:

Akademi Amber di Kuala Lumpur

Akademi Amber di Kuala Lumpur

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my


AMBER CHIA bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul Airmata Ibu.


USIA sekadar angka, bidalan itu tepat mengena pada figura tinggi lampai, Amber Chia. Bukan hanya kekal aktif berkarier, dalam masa yang sama menatang keluarga sepenuh jiwa apatah lagi setelah bergelar seorang ibu.

Malah, Amber,30, juga tidak lari daripada kesibukan bergelar seorang usahawan wanita di samping berjaya mengekalkan sosoknya yang langsing dan menawan.

Buktinya, Amber Chia Academy yang ditubuhkannya pada tahun 2010 itu kini sudah pun punyai cawangannya yang keempat.

"Cawangan pertama di Petaling Jaya, kemudiannya berkembang ke Melaka dan Pulau Pinang dan kini sudah bertapak di pusat beli-belah Times Square, Kuala Lumpur," cerita bekas juara Pencarian Peragawati Antarabangsa Guess 2004 itu.

Bukan itu saja, akademi peragaan itu juga sudah memiliki lebih 400 orang pelajar yang berderap menapak mengikut langkah dan pesona model dan pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu.

"Saya anggap mereka (pelajar) seperti anak-anak saya, pada saya memberi mereka tunjuk ajar pada masa yang sama saya juga masih belajar selok-belok dalam perniagaan," katanya yang ditemui selepas majlis pelancaran Stepper Eyewear dan Pantone Universe Eyewear di pusat beli-belah Viva, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bercerita mengenai petua kecantikannya biar pun menjengah ke usia 30-an, ujar Amber, rutin senaman dan yoga dipraktikkannya tika kelapangan masa.

"Jika ada masa saya akan bersenam, tak semestinya di gim tapi di mana-mana saja, kadangkala saya akan membuat yoga untuk mengekalkan bentuk badan dan kesihatan dalaman saya," ujar si jelita itu lagi.


AMBER CHIA membuat yoga untuk mengekalkan bentuk badan dan kesihatan dalaman.


Bukan itu saja, pengambilan nutrisi tambahan dan makanan yang seimbang menjadi amalannya sementelah dia belum bergelar selebriti lagi.

"Buat masa sekarang saya akan mengambil vitamin tambahan seperti Vitamin C dan B, selain itu juga ada mengambil kalsium dan Omega-3 untuk diet," tambah supermodel yang mula bergiat dalam bidang peragaan sejak berusia 17 tahun itu.

Ditebak pertanyaan penyusutan berat badannya yang kelihatan turun mendadak selepas melahirkan bayi lelakinya pada 28 September tahun lalu, bicara model yang membesar di Sabah itu berkenaan penurunan berat badannya akibat kesibukan berkarier.

"Ketika mengandung, berat badan saya hampir mencecah 68 kilogram, tapi selepas sebulan setengah berdiet, berat badan turun hingga 50 kilogram sampai ke hari ini.

"Orang nampak saya kurus mungkin sebab ketinggian saya, tapi sejujurnya saya akui disebabkan kesibukan sehari-hari sedikit sebanyak menyebabkan badan saya semakin kurus tapi dalam masa yang sama membentuk otot-otot pada lengan saya akibat sentiasa mendukung bayi lelaki saya," tuturnya yang ceria berkongsi kisah bahagianya menimang cahaya mata sulungnya, Ashton Wong.

Dilantik menjadi 20 duta produk di Malaysia, Indonesia dan Taiwan, Amber kini masih dipegang untuk menjadi jurucakap kepada S2 Slimming dan Huggies. Sebelum ini, Amber pernah menjadi duta produk Guess Watches, Stila, Whisper (P&G) dan L'Oreal.

Namun kariernya sebagai pelakon tidak ditolak ke tepi. Amber bakal muncul dalam filem berjudul Airmata Ibu yang mencerminkan budaya masyarakat Malaysia selain menerapkan elemen 1Malaysia.

Dalam filem itu, Amber mendukung watak seorang wanita yang bercita-cita tinggi untuk menjadi supermodel selain diselitkan dengan kisah cinta dan konflik keluarga.

"Saya akan bercakap dalam pelbagai bahasa dan rasanya watak saya dalam filem ini hampir sama dengan realiti dunia sebenar saya," katanya yang pernah muncul dalam filem The 3rd Generation, Trio & a Bed, Possessed dan Seed of Darkness itu penuh teruja.