Nuffnang

Utusan Online - Hiburan

sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Mengharap sinar lebaran

Posted:

Mengharap sinar lebaran

Mengharap sinar lebaran

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar SYEFRY MONIZ


SITI Nurhaliza mengharap sinar Syawal kali ini akan memberi kebahagiaan dan kemakmuran untuknya dalam segenap aspek.


SESUNGGUHNYA ujian yang dilalui oleh wanita jelita ini sepanjang Ramadan lalu cukup berat. Jujurnya, tiada siapa yang mahu diuji dengan dugaan sebesar itu.

Sedang enak dia membuai rasa dengan kejayaan produk kecantikan dan penjagaan wajahnya, SimplySiti yang semakin mendapat tempat, ada pihak bagaikan tidak senang dengan kejayaannya.

Tuduhan yang mengatakan produk SimplySiti menggunakan berus bulu babi benar-benar memberikan impak yang bukan sedikit kepada Datuk Siti Nurhaliza.

Malah, Siti Nurhaliza atau figura unggul yang mesra disapa Siti ini tidak menafikan, hatinya terguris dengan dakwaan yang tidak berasas itu.

Sebagai anak seni yang sudah 16 tahun berkecimpung dalam dunia hiburan penuh pancaroba ini, barangkali ada yang berpendapat dugaan bukanlah asing buat Siti.

Namun, kata Siti, apabila ia membabitkan isu agama dan seolah-olah dia sendiri tidak mementingkan soal kebersihan dalam penghasilan produknya, ia adalah sesuatu yang cukup mengguris hatinya.

Ujarnya, sebagai seorang Muslim, dia tidak akan berkompromi tentang soal kebersihan dan yang paling penting, penggunaan bahan halal dalam setiap produk SimplySiti.

Tanpa selindung juga, Siti mengakui perniagaannya sedikit terjejas ekoran daripada cerita palsu yang disebarkan itu.

Baginya bukanlah satu tugas yang mudah untuk berhadapan dengan masyarakat dalam menjawab setiap persoalan berhubung cerita itu.

"Apabila ia mula tersebar, siapa yang tidak gusar dan bimbang kerana apa yang berlaku adalah tidak benar sama sekali. Adakah saya hanya mahu duduk mendiamkan diri dan membiarkan spekulasi bertebaran?

"Alhamdulillah, saya dan seluruh pengurusan SimplySiti pantas bertindak untuk menjernihkan keadaan. Saya juga harus berterima kasih dengan pihak media yang berterusan memberi sokongan kepada kami.

"Apa yang paling penting adalah penglibatan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang telah banyak membantu menyelesaikan perkara ini," ujar Siti dalam satu sesi fotografi yang berlangsung di Hotel Legend, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Justeru, tiada lain diharapkan oleh penyanyi kesayangan ramai ini agar Syawal 1432 Hijrah yang akan disambut esok (30 Ogos) akan membawa sinar kesejahteraan dan kebahagiaan yang berpanjangan.

Apatah lagi seminggu sebelum Syawal iaitu pada 21 Ogos lalu, Siti dan suami tercinta, Datuk Khalid Mohammad Jiwa menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang kelima.

Bagi empunya diri, dia sendiri bagaikan tidak percaya bahawa sudah lima tahun dia menggalas tanggungjawab dan menjunjung gelaran sebagai seorang isteri.

Pelantun lagu Biarlah Rahsia dan Kau Kekasihku ini menjelaskan dia bersyukur kerana rumah tangganya terus aman dan bahagia seperti mana yang sering dia titip dalam doanya.

"Benar. Terasa pantas masa berlalu dan saya sendiri merasakan seperti baru semalam majlis pernikahan saya berlangsung di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur.

"Selama lima tahun menjadi seorang isteri, banyak pengalaman yang saya perolehi dan saya sedar, untuk menjadi seorang isteri yang baik, ia bukan proses yang dapat berlaku semalaman.

"Sudah pasti, saya harapkan agar perkahwinan saya dan suami akan terus kekal sehingga ke akhir hayat," kata Siti yang juga tidak pernah lupa untuk terus berdoa dan berikhtiar agar dikurniakan dengan cahaya mata untuk menyerikan lagi rumah tangganya.

RTM rayakan merdeka

Posted:

RTM rayakan merdeka

RTM rayakan merdeka

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar Ihsan RTM


Sedutan daripada filem Setem arahan Kabir Bhatia yang ditayang pada hari raya pertama.


BERTEMAKAN Rayakan Merdeka, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tahun ini menghimpunkan lebih daripada 100 program menarik di tiga saluran di bawah naungan stesen tersebut iaitu TV1, TV2 dan TVi bagi meraikan tiga keraian sekali gus.

Bermula 29 Ogos hingga 16 September ini, pelbagai program menarik akan disiarkan di saluran-saluran berkenaan untuk memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hari Kebangsaan dan juga Hari Malaysia yang kebetulan, tarikhnya jatuh berdekatan antara satu sama lain.

Pada sidang akhbar yang diadakan di Auditorium Perdana, Angkasapuri baru-baru ini, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail berkata, program kali ini merupakan yang terbanyak pernah diterbitkan oleh RTM sempena menyambut perayaan tersebut.

"Bagi program-program sempena Aidilfitri, TV1 menyajikan 58 buah rancangan, TV2 (30) dan TVi (12).

"Manakala bagi tujuan memperingati hari kemerdekaan dan penyatuan Malaysia, sebanyak lima program disediakan untuk penonton TV1, tujuh program di TV2 dan sebuah program di TVi," kata Norhyati sejurus tamatnya persembahan pengenalan terhadap promosi Rayakan Merdeka.

Mengulas lanjut mengenai susunan program yang bakal disiarkan, beliau menjelaskan, intipati kesemua rancangan adalah seimbang dari segi ilmiah dan elemen hiburan agar penonton seronok menonton di samping memberikan mereka ilmu.

Tambahnya, beberapa drama dan filem menarik lakonan aktor dan aktres tersohor akan menemui peminat drama Melayu RTM.

"Antara drama yang dimaksudkan ialah telefilem Puasa Terakhir, lakonan Elly Mazlein, Ako Mustafa, Wan Maimunah, Shahrolnizam dan Salina Saibi yang akan ditayangkan pada hari terakhir Ramadan, pukul 12.30 tengah hari di TV2.

"Pada hari tersebut program hiburan berkonsepkan santai, Raya Sama-Sama akan dipancarkan secara langsung pada pukul 10 malam juga di saluran yang sama menampilkan gandingan Saiful Apek, Jep Sepah, Linda Onn dan Adibah Nor sebagai hos.

"Itu adalah antara program menarik sajian RTM buat penonton dan banyak lagi rancangan yang menceriakan sambutan tiga perayaan tersebut," ujar Norhyati.

Katanya lagi, sinonim dengan perayaan Aidilfitri, barisan filem dan drama menjadi tarikan utama untuk penonton berhibur di rumah bersama keluarga sambil menikmati juadah hari raya yang disediakan.

Antara drama yang bakal dihidanglan untuk tetapan penonton setia RTM ialah Hero Desa (2 petang) dan Shah Rukh Khan Malaysia (9 malam) yang akan disiarkan pada hari raya pertama di TV1.

Sementara di TV2, filem Setem lakonan Afdlin Shauki, Rashidi Ishak dan Vanidah Imran turut ditayangkan pada hari raya pertama.

Norhyati memberitahu, bagi menyemarakkan jiwa patriotik di kalangan masyarakat 1Malaysia sempena kemerdekaan, RTM tidak ketinggalan menyajikan program-program yang berunsur perjuangan di setiap salurannya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan