Nuffnang

Kosmo Online - Hiburan

sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Seminggu beraya di Bangkok

Posted:

Seminggu beraya di Bangkok

Seminggu beraya di Bangkok

AIDILFITRI berlainan makna bagi Intan Ladyana, 29, yang menyambutnya di luar negara. Berbeza bagi sesetengah daripada kita yang pulang ke Malaysia semata-mata untuk merayakan Aidilfitri bersama sanak-saudara tercinta di kampung halaman.

Namun begitu, bukan sengaja Intan atau empunya nama sebenar Intan Nurladyana Mohamad Yahaya memilih lokasi tersebut untuk menyambut lebaran yang muncul hanya sekali setahun.

Salasilah keturunan yang membuatkan Intan tertawan dengan negara jiran sebelah Malaysia iaitu Thailand. Benar! Keluarga sebelah ibunya memiliki darah daripada penduduk Thailand.

"Itupun sudah jauh daripada beberapa generasi terdahulu, mungkin kerana tempat itu sangat nostalgia bagi keluarga sebelah ibu maka setiap tahun mesti beraya di sana," katanya yang hampir setiap tahun beraya di Bangkok, Thailand.

Intan yang berdarah kacukan Thailand sebelah ibunya, Wan Zurina Wan Isa, 50-an, sempat berkongsi cerita keunikan beraya di sana.

"Pastinya akan ada sangat ramai saudara-mara yang akan berkumpul untuk meraikan hari raya seperti mana di kampung-kampung kalau di Malaysia.

"Lebih kurang 30 orang kalau tak salah sepupu dan saudara sebelah ibu dan biasanya setiap hari raya pertama kami akan berkongsi-kongsi hadiah," ujarya.

Hadiah yang dimaksudkan tidak semestinya hadiah mewah dan mahal-mahal, cukup sekadar tanda ingatan setelah hampir setahun berpisah dan sibuk dengan urusan masing-masing, kata Intan lagi.

"Konsepnya mudah saja, kami buat seolah-olah cabutan bertuah dan pastinya setiap orang akan mendapat hadiah. Sama juga sebenarnya jika hanya bertukar-tukar hadiah tapi cara ini lebih seronok dan meriah," cerita Intan bersungguh-sungguh.

Tempoh berada di tanah tumpah moyangnya itu bagaimanapun cuma mampu diluangkan kurang daripada seminggu berikutan kesibukan kariernya.

"Biasanya hanya empat atau lima hari Intan akan beraya di Thailand dengan saudara-mara sebelah ibu, dan selebihnya di Kuala Lumpur," tambah Intan.

Tiada ketupat


INTAN LADYANA hanya akan ke rumah keluarga Kamal Adli di hari raya nanti jika dia mempunyai masa terluang.


Raya pertama di Bangkok seolah-olah perayaan kecil-kecilan bagi masyarakat minoriti yang menganut agama Islam di sana.

Kata Intan, tidak terasa bahang dan kemeriahan raya di Thailand tambahan pada hari raya pertama bukanlah cuti umum.

"Maka, majoriti penduduk di sana memakai pakaian yang kebiasaan dipakai sehari-hari seperti orang di Malaysia begitu juga kami sekeluarga.

"Tak ada baju kurung, baju Melayu atau pakaian yang istimewa seperti yang kita pakai apabila Hari Raya Aidilfitri di Malaysia," keluhnya.

Bukan itu saja, juadah lazat yang hanya terhidang di kala pagi lebaran juga tiada yang menarik melainkan makanan ruji masyarakat di sana.

"Lainlah kalau ada antara kami yang sudi bawakan masakan khas hari raya seperti ketupat, rendang, lemang dan sebagainya.

"Jika tidak, raya pertama seolah-olah hari biasa cuma mungkin kami sekeluarga akan makan besar beramai-ramai," getus Intan.

Rutin pagi raya yang lazimnya mengamalkan amalan kunjung mengunjung antara jiran tetangga juga turut berubah di sana.

Oleh kerana seluruh keluarga Intan telah berkumpul bersama maka secara automatiknya tiada siapa yang boleh mereka lawati sepanjang sambutan Syawal.

"Tapi, aktiviti terluang kami diisi dengan program shopping besar-besaran, bukan kerana murah atau tawaran potongan harga sempena perayaan tapi itu sudah menjadi kewajipan bagi kami apabila berkumpul sekali," katanya yang gemarkan fesyen yang pelbagai dari Thailand.

Kamal Adli

Ditanya adakah Intan akan menyambut lebaran tahun ini bersama insan istimewa antaranya aktor kacak, Kamal Adli, lantas jawapan jika ada kelapangan diberi.

"Tengok dulu kalau ada masa, insya-Allah kami akan beraya bersama," ujarnya ringkas.

Hubungan antara Intan dan Kamal yang terjalin lebih dua tahun setengah itu masih utuh dan mementingkan persefahaman saban hari.

"Masing-masing faham dengan tugas, dia pun sibuk dan begitu juga Intan. Kadang-kadang kami langsung tidak sempat berjumpa dan hanya berhubung melalui SMS (khidmat pesanan ringkas) atau BBM (Black Berry Messenger) setiap hari," ujar Intan yang percaya akan kesetiaan kekasihnya itu.

Berbalik pada rutin harian Intan sepanjang bulan Ramadan, cerita gadis itu tiada apa yang membezakan bulan penuh keberkatan ini untuk melaksanakan tuntutan harian walau akan sedikit kepenatan.

"Maka apabila bersahur Intan hanya akan banyak meminum air suam berbanding air manis bagi menyediakan badan untuk kekal aktif sepanjang hari.

"Tapi, apabila saat berbuka pastinya Intan akan lupa diri dan ketika itulah semua makanan di depan mata kelihatan sangat sedap," kata Intan yang menggemari ayam percik, putu piring dan tepung pelita di kala bulan Ramadan.

Raya bersama rockers

Posted:

Raya bersama rockers

Raya bersama rockers

Oleh HARYATI KARIM


MANTAP. Dari kiri: Mael, Mus dan Nash.


KEMERIAHAN raya semakin dirasai. Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, tahun ini TV3 tampil dengan program raya muzikal istimewa 3 Gegaran yang menampilkan tiga kumpulan rock legenda seperti kumpulan May, Lefthanded dan XPDC.

Selepas 15 tahun, buat pertama kalinya tiga kumpulan rock legenda ini berkongsi pentas yang sama dalam program yang dirakamkan pada Julai lalu.

Meskipun tanpa baju Melayu dan songkok sebaliknya mereka tampil dengan imej rock dan rambut panjang mengurai, bukan satu halangan untuk mereka menghiburkan penonton pada hari raya.

Menurut vokalis kumpulan Lefthanded, Nash, pertemuannya di pentas bersama rakan-rakan Lefthanded, May dan XPDC merupakan yang pertama kali dalam masa 15 tahun.

"Saya rasa semua yang membuat persembahan untuk program ini teruja kerana sudah lama tidak jumpa. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak TV3 kerana mewujudkan idea untuk kami semua tampil dalam satu pentas," ujarnya yang mengatakan mereka langsung tidak berkesempatan untuk berlatih bersama sebelum program itu dirakamkan.

Lefthanded yang mempersembahkan lagu hits mereka seperti Ku Di Halaman Rindu dan Tiada Lagi Kidungmu itu bakal mengadakan konsert jelajah dan mengeluarkan dua single terbaharu tidak lama lagi.


KANAN: Grup XPDC masih mempunyai sengat tersendiri.


"Kami merancang untuk mengadakan konsert jelajah pada tahun 2012, setakat ini semuanya masih dalam perbincangan, kalau tidak ada aral melintang mungkin Lefthanded, May dan XPDC akan bersatu sekali lagi tetapi di pentas konsert pula," balasnya.

Kumpulan May pula tidak kurang hebatnya. Mereka menghiburkan penonton dengan barisan lagu seperti Dari Kacamata, Pelayaran, Sinar dan lagu hit Cintamu Mekar Di Hati.

May yang diwakili vokalisnya, Mus menjelaskan mereka sememangnya tertunggu-tunggu peluang untuk beraksi bersama dalam sebuah program seperti ini.

"Kumpulan May memang masih aktif, setakat ini apa yang dirancangkan adalah konsert seperti yang diberitahu oleh Nash.

"Bagi saya rock kapak tidak pernah mati sebaliknya ia menjadi irama malar segar yang tidak pernah pupus. Buktinya sehingga ke hari ini orang ramai masih mencari lagu-lagu kami. Syukur, sepanjang May ditubuhkan tidak ada satu persembahan kami yang hambar, semuanya mendapat sambutan daripada penonton," katanya.

Sebuah lagi kumpulan yang pernah menggegarkan industri muzik tanah air, XPDC juga tidak ketinggalan menghiburkan penonton dengan seleksi lagu berhantu mereka seperti Semangat Yang Hilang, Apa Nak Dikata, Talam Dua Muka dan Hidup Bersama.


UNGGUL. Nash (tengah) diapit pemain gitar Lefthanded, Man Kidal (depan) dan pemain bass, Yan.


Walaupun lama sudah tidak menyaksikan kumpulan XPDC beraksi secara langsung bersama vokalisnya Mael, ternyata persembahan mereka tidak menghampakan malah, berjaya membawa penonton mengimbas kembali ke zaman kegemilangan mereka.

"Satu penghormatan buat saya dan juga ahli XPDC yang lain kerana rasanya sudah terlalu lama kami tidak membuat persembahan secara langsung di kaca televisyen.

"Alhamdulillah, peminat XPDC masih setia meskipun kami tidak muncul dengan lagu baharu sebaliknya mereka masih setia dengan lagu-lagu lama kami. Kalau tidak ada aral melintang kami akan muncul dengan lagu baharu," katanya.

Persembahan penutup, penonton dihiburkan dengan ketiga-tiga kumpulan membuat persembahan bersama dengan mendendangkan lagu daripada kumpulan Deep Purple, Smoke On The Water.

Penerbit program 3 Gegaran, Khalijah Mohamed memberitahu selepas dua tahun berturut-turut mereka menampilkan program muzikal raya yang sama, tahun ini mereka mencari kelainan.

"Rasanya ini pertama kali untuk program raya kami membina tiga pentas untuk tiga buah kumpulan. Mereka tidak berkongsi pentas yang sama.

"Program ini akan mengubat kerinduan peminat May, Lefthanded dan juga XPDC selain menyuntik elemen berbeza untuk program raya. Kami yakin program ini akan ditonton orang ramai kerana kami menampilkan kumpulan rock legenda yang jarang-jarang muncul di kaca televisyen," ujar Khalijah.

Program 3 Gegaran akan disiarkan pada 4 September bersamaan dengan hari raya keenam pada pukul 5 petang di TV3.

Ainul Aishah buka kedai ketika Hari Raya

Posted:

Ainul Aishah buka kedai ketika Hari Raya

Ainul Aishah buka kedai ketika Hari Raya

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


AINUL AISHAH kini menumpukan perhatian kepada bisnes Tutti Frutti milik keluarganya.


DIKENALI sebagai seorang pelakon wanita yang cukup berbakat dan mempunyai potensi besar dalam bidang lakonan, namun semenjak kebelakangan ini penampilan Ainul Aishah kini dilihat semakin berkurangan sama ada di kaca televisyen atau di layar perak.

Selain mencipta nama sebagai dramatis yang sudah membintangi pelbagai drama, pelakon berkenaan juga sudah tampil dengan beberapa buah filem seperti Nana Tanjung, Nana Tanjung 2, Otai, Skrip 7707 dan Histeria.

Berkesempatan menemui pelakon berkenaan dalam satu majlis berbuka puasa baru-baru ini, Ainul memberitahu buat masa ini dia sememangnya tidak terlibat langsung dalam sebarang aktiviti seni.

"Saya akui yang sekarang ini saya langsung tidak berlakon sama ada drama ataupun filem. Namun, saya bukanlah mahu terus berhenti berlakon dan akan kembali semula apabila sudah bersedia.

"Kalau nak dikatakan saya merajuk dengan industri lakonan juga adalah tidak benar sama sekali. Sebaliknya, sekarang ini saya mahu memberikan lebih tumpuan kepada perniagaan yang dijalankan bersama ahli keluarga," jelasnya.

Menurut pelakon yang bernaung di bawah syarikat pengurusan Aquila Emas Sdn. Bhd. itu lagi, semenjak membuka rangkaian kedai makanan yogurt Tutti Frutti di Bandar Baru Bangi, Selangor pada Februari lalu, perniagaannya itu sekarang semakin berkembang.

Jelas Ainul, sambutan yang diterima daripada orang ramai ternyata sangat menggalakkan dan disebabkan itu buat masa ini dia lebih senang memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaannya itu.

"Boleh dikatakan saya sangat berpuas hati dengan perniagaan yang diceburi ini. Malah, saya dan ahli keluarga yang lain juga merancang untuk membuka rangkaian kedai kami yang kedua di Nilai, Negeri Sembilan nanti," jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sambutan Aidilfitri pada tahun ini, pelakon itu memberitahu dia akan menyambutnya di Kuala Lumpur memandangkan kedai makanan yogurt miliknya itu akan turut beroperasi pada hari raya pertama.

Bagaimanapun, jelas Ainul dia sendiri sebenarnya tidak kisah untuk menyambutnya di Kuala Lumpur memandangkan dia turut mempunyai saudara-mara yang agak ramai di sekitar Lembah Klang.

"Berkemungkinan besar kedai saya itu akan tetap terus dibuka pada hari raya. Namun begitu, ia juga bergantung kepada keputusan yang dibuat oleh Kumpulan Naza yang merupakan pemegang lesen utama bagi rangkaian Tutti Frutti di Malaysia," jelasnya.

Menurutnya lagi, meskipun pada tahun ini dia terpaksa beraya di Kuala Lumpur, tetapi dia sekeluarga masih akan pulang berhari raya di kampung halamannya di Sungai Lokan, Butterworth, Pulau Pinang.

Duit raya dicuri

Sama seperti kebanyakan artis lain yang mempunyai kenangan menarik ketika menyambut hari raya, Ainul juga mempunyai kisah yang menarik untuk dikongsi bersama pembaca.

Menurutnya, menyambut hari raya sewaktu zaman kanak-kanak adalah suatu saat yang paling menyeronokkan. Ketika itu, selepas solat sunat Aidilfitri, dia dan rakan-rakannya yang lain akan terus pergi beraya.

"Kalau diingatkan kembali memang rasa seronok sangat sambut hari raya masa zaman kanak-kanak. Semata-mata nak kumpul duit raya, saya dan rakan-rakan akan beraya satu kampung termasuk ke rumah-rumah yang tidak dikenali.

"Biasanya duit raya yang dikumpul itu saya gunakan untuk membeli makanan ringan. Malah, duit raya saya juga pernah dicuri oleh sepupu sewaktu saya sedang sibuk mengira duit raya yang diperoleh," ujarnya.

Bagaimanapun, pelakon berkenaan turut mempunyai kenangan pahit sewaktu sambutan Aidilfitri apabila neneknya meninggal dunia iaitu sehari sebelum umat Islam menyambut bulan Syawal pada tahun 2002.

"Itu adalah kenangan yang paling menyedihkan buat diri saya. Bayangkan ketika umat Islam yang lain sedang sibuk membuat persiapan raya, saya pula telah kehilangan ahli keluarga yang paling disayangi," ujarnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan