Adsense

Selasa, 16 Ogos 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Masih gadis timur

Posted: 15 Aug 2011 02:47 PM PDT

Hip

Pekakkan telinga hadapi tohmahan

TIDAK surut dugaan ditempuhi aktres muda, Miera Leyana Kasmi, 18, apabila baru saja reda kontroversi gaun seksi yang menampakkan bahagian tertentu tubuhnya, kini timbul pula cerita dia dikatakan mabuk selepas berlibur di pusat hiburan.

Bagi empunya diri, ia tohmahan yang jelas cuba memburukkan namanya, malah jauh di sudut hati berharap si penyebar cerita palsu jangan memfitnah sesuka hati tanpa memikirkan maruah insan lain. "Saya pernah dicop seksi, namun tidak bermakna saya pemabuk. Memang saya terkejut kerana saya tak buat benda seperti itu. Malah lokasinya pula dikatakan berlaku di sebuah pusat hiburan berhampiran kediaman keluarga saya.

"Walau ibu bapa saya bersikap terbuka, pergaulan serta tatasusila sebagai orang timur tetap dititikberatkan. Jangan menilai buku daripada kulitnya. Biar tampak lincah, saya bukan jenis mudah lupa diri," kata pelakon berbakat besar itu penuh bermakna.

Akuinya, kebebasan yang diberikan keluarga tidak mungkin dipersiakan dan bersama kepercayaan itu Miera berani melangkah sama ada di arena lakonan mahu pun peragaan yang diminati sejak kecil.

Gadis berdarah campuran Melayu-Cina ini sebenarnya mempunyai hati waja apabila menganggap gosip atau khabar angin sebagai asam garam yang perlu dilalui semua insan seni.
"Ramai lagi yang pernah berdepan dugaan lebih hebat. Bagi saya jika tidak benar, baik pekakkan telinga dan pejamkan mata. Saya bersyukur apabila setiap kali datangnya ujian, ibu bapa antara insan pertama yang akan menjadi penenang.

"Bermula lebih awal di bidang peragaan iaitu pada usia 15 tahun menyediakan mental dan fizikal saya supaya kalis tekanan. Pengalaman mengajar saya supaya tidak cepat melatah," kata si tinggi lampai yang pernah terbang hingga ke Jerman untuk memperagakan pakaian.

Enggan memanjangkan isu kontroversi, gadis yang ditemui pada pertunjukan fesyen Hari Raya di sebuah pusat beli belah di ibu kota baru-baru ini, bicaranya dialihkan ke projek baru semetelah namanya kian mendapat perhatian penerbit.

Baru selesai penggambaran drama bersiri berjudul Psikik, katanya, orang kuat produksi berkenaan turut membuka peluang kepadanya tampil bersama sebuah lagu khusus untuk produk terbabit, Miliknya.

Lagu tema berentak balada yang bakal diedarkan sebagai single itu ialah percubaan pertama Miera di arena rakaman, membuatkannya gementar menanti maklum balas orang ramai.

Katanya, dia sendiri tidak menyangka kerana segala-galanya bermula secara kebetulan iaitu selepas penerbit mendengarnya mendendangkan sebuah lagu Yuna dalam satu babak.

"Menyanyi sudah menjadi hobi keluarga, tetapi sekadar suka-suka. Cuma apabila diberi peluang merakamkan lagu, saya minta tempoh untuk memikirkannya kerana langsung tidak punya asas nyanyian.

"Namun ibu bapa saya memberi galakan, selain penerbit yang menaruh kepercayaan. Memang sukar kerana selain mengawal vokal, pernafasan juga sama penting. Alhamdulillah, saya mampu melepasi ujian itu," katanya yang mengambil masa dua hari untuk menyempurnakan rakaman.

Dijangka lagu tema akan dipromosikan dulu di stesen radio sebelum drama bersiri terbabit menemui penonton sekitar akhir tahun ini, manakala penggambaran pula sudah diselesaikan lebih awal sebelum bermulanya puasa.

Lash hanya kawan

MENERUSI Psikik, Miera digandingkan bersama pelakon baru, Lash Mokhtar, dan dek keakraban mereka dikatakan intim apatah lagi tersebar gambar yang menandakan kemesraan kedua-duanya.

"Lash macam kawan lain. Macam biasalah kalau bergambar sudah tentu kita duduk rapat dengan orang di sebelah. Dalam gambar itu pun kami bukan berpeluk. Lagi pun ada ramai lagi teman yang ada ketika itu sebab ia berlangsung ketika penggambaran Psikik.

"Biar apa pun orang cakap saya sudah tak kisah. Antara saya dan Lash tetap berkawan. Dia sendiri pun tahu saya jenis gila-gila dan cepat mesra, jadi mereka yang rapat tahu sejauh mana persahabatan kami," dedah si jelita yang sememangnya peramah itu.

Bercerita soal sambutan Syawal pula, Miera berkata, tahun ini mereka sekeluarga akan terbang ke Eropah mengambil cuti panjang yang sudah dirancang sejak tahun lalu.

Begitupun, mereka akan menziarahi dulu sanak-saudara di sekitar ibu negara dan menghabiskan masa di kampung sebelah ayah di Parit Buntar, Perak sebelum berlepas ke negara orang.

"Mama sudah merancang percutian ini sejak tahun lalu dan lebih seronok kerana ia turut disertai anggota keluarga terdekat. Baik destinasi mahu pun persiapan, segala-galanya diuruskan ibu saya tambahan pula kami sudah lama tidak bercuti sekeluarga.

"Memang tak sabar kerana selain menenangkan fikiran, saya dapat meninjau perkembangan fesyen di sana. Kami akan ke London dulu sebelum singgah ke Paris. Ikut perancangan awal, percutian ini berlangsung selama tiga minggu," katanya bintang filem Apokalips yang tampak begitu teruja.

PROFIL

NAMA: Miera Leyana Kasmi
TARIKH LAHIR: 28 Ogos 1993
USIA: 18 tahun
TEMPAT LAHIR: Johor Bahru
KARIER: Pelakon dan model
KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik
HOBI: Membeli-belah, berenang dan menari
CITA-CITA: Ahli perniagaan
DRAMA: Luna Fantasiku, Ceria- Ceria Cikgu Rubina, Kecuali Cintamu, Apa Itu Cinta, Ada Ubi Ada Batas, Kamelia Katrina, Aalia, Sejambak Bukan Serumpun dan Nana Naruto
FILEM: Apokalips


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Air Mata Man Bai

Posted: 15 Aug 2011 02:43 PM PDT

Hip

MENGANGGAP Kau Ilhamku sebagai karya yang sekali-sekala saja muncul dalam dunia muzik.

MENGANGGAP Kau Ilhamku sebagai karya yang sekali-sekala saja muncul dalam dunia muzik.

Inspirasi muncul selepas lima tahun berusaha

MINATNYA terhadap bidang muzik dan nyanyian sememangnya tidak pernah padam. Apatah lagi untuk dia meletakkan titik noktah pada karier yang memperkenalkan dirinya kepada peminat.

Sejak mencipta nama bersama kumpulan Gersang sekitar 1988 hingga 1990 dengan kemunculan tiga album, diikuti karier secara solo bersama dua album, Man Bai atau Abdul Rahman Osman terus aktif dalam dunia yang cukup disayanginya itu hingga ke detik ini. Cuma mungkin kerana tidak banyak publisiti diberikan kepadanya, maka sebahagian peminat berasakan lelaki ini sebenarnya tidak lagi bergiat cergas dalam dunia seni. Lebih-lebih lagi, album terakhirnya sudah pun hampir berusia 13 tahun.

Namun penyanyi ini pada hakikatnya mempunyai keazaman yang masih kuat untuk menghadiahkan lagu mahupun album buat peminat. Tanpa publisiti atau ruang untuk menonjolkan diri, Man Bai berusaha juga menghasilkan produk baru, walaupun mengambil masa bertahun-tahun.

Berkat kesabaran dan usahanya itu, muncul buah tangan terbaru daripada penyanyi ini apabila Inspirasi berjaya disiapkan dengan kerjasama Sony Music. Ia sebuah naskhah yang menurutnya, mengambil masa kira-kira lima tahun untuk direalisasikan.

"Inspirasi ialah segala idea saya yang terpendam selama ini. Ia umpama sebuah hadiah yang akhirnya mampu saya persembahkan buat seluruh peminat yang lama menanti.
"Saya sendiri sememangnya teringin sekali untuk terus menyanyi. Inilah pekerjaan yang saya sukai. Cuma, mungkin sebelum ini saya tidak mendapat banyak publisiti, sedangkan karier saya tidak pernah pun terhenti. Mungkin peluang untuk saya tiada, ketika itu," katanya yang menganggap tempoh lima tahun untuk menyudahkan projek album itu agak sukar untuk ditempuhi.

Saat itu, hanya kesabaran dan minat mendalam terhadap muzik, yang membolehkan artis ini terus kekal bertahan sehingga akhirnya muncul juga album berkenaan.

"Apabila saya menghasilkan album ini, ia bukan bermakna saya mengejar populariti. Sebaliknya jika ia datang seiringan dengan kemunculan buah tangan terbaru, tentu sekali saya menganggapnya sebagai bonus," katanya.

Ditemui pada majlis rakaman Melodi Raya di Pusat Dagangan Dunia Putra baru-baru ini, Man Bai memberitahu, album terbabit boleh dilihat sebagai terjemahan dirinya selama ini. Muzik dan rasa yang dimuatkan di dalam Inspirasi ialah cita rasa dan identiti dirinya sendiri.

Biarpun dia menerbitkan kesemua lapan lagu termuat dalam album itu, namun hanya sebuah lagu diciptanya sendiri. Lagu berjudul Kita Cinta itu dinyanyikannya bersama Datuk Khadijah Ibrahim.

"Sebenarnya lagu berkenaan sudah lama dirakam. Namun hanya apabila pihak Sony berminat untuk menjayakan projek ini, barulah saya susun semula muziknya," dedah Man Bai yang turut merakamkan kembali dua lagu popularnya, Masih Aku Terasa dan Kau Ilhamku.

Kedua-dua lagu berkenaan bagaimanapun diberikan sentuhan baru, dengan memasukkan sekali muzik bertali. Kata penyanyi ini, Kau Ilhamku ciptaan sepenuhnya Asmin Mudin kedengaran lebih santai pada kali ini.

Selain tiga lagu terbabit, dimuatkan sama dalam albumnya itu ialah Air Mata (Asmin Mudin), Tentang Cinta (Ahmad Zahir / Jisteraizi), Sendiri (Ahmad Zahir) dan Awan Berlalu Pergi (Alim OAG).

Ditanya kepadanya, apakah album terbaru terbabit turut menyenaraikan lagu yang mempunyai kekuatan sama seperti Kau Ilhamku, yang sememangnya cukup sinonim dengan populariti dirinya, Man Bai tanpa ragu-ragu memberitahu, Air Mata yang dihasilkan pencipta sama boleh dianggap karya yang betul-betul mempunyai 'rasa' yang sama dengan lagu berhantu itu.

"Lagu itu berkisar pada tangisan dan kesedihan manusia dalam kehidupan ini. Sedikit sebanyak, ia juga menyentuh pengalaman saya sendiri. Tangisan itu sesuatu yang memang amat saya hargai. Kebanggaan dan keangkuhan diri kita sebenarnya lenyap dengan gugurnya air mata di pipi," katanya berfalsafah.

Cukup menggembirakan dirinya apabila maklum balas yang diterima daripada teman dan peminat yang sudah mendengar album itu lebih bersifat positif. Bahkan dia sendiri berasakan selepas sekian lama, kemampuan vokalnya bertambah baik.

"Namun saya tetap berasakan, saya belum memberikan keupayaan 100 peratus untuk album ini. Masih ada 30 peratus yang masih tersimpan dalam diri. Tunggulah, mungkin selebihnya akan ditampilkan dalam produk lain nanti," katanya sambil tersenyum.

Katanya lagi, album berkenaan sepatutnya sudah dilancarkan dan menemui peminat di pasaran, namun dek populariti lagu nyanyiannya bersama kumpulan Pop Shuvit, Seperti Syurgamu, yang terkandung dalam album kumpulan itu, maka produknya disimpan terlebih dulu untuk memberikan laluan kepada kumpulan berkenaan menggapai publisiti dan kejayaan terbaik.

Gersang kembali bersatu

KINI, selepas berjaya muncul bersama album solo terbaru, Man Bai sudah berkira-kira pula untuk tampil dengan sebuah lagi projek. Kali ini, dia akan bergandingan sekali lagi bersama anggota Gersang yang lain seperti Acis, Man Greng, Jojet, Ajib ataupun Kid, untuk menghasilkan album baru kumpulan itu.

"Perbincangan awal bersama Acis sudah pun dilakukan. Pada asasnya, masing-masing teruja untuk melaksanakan projek ini, yang dijangka dapat disempurnakan pada 2012 nanti," katanya yang masih berhubungan dengan kesemua anggota kumpulan yang dibubarkan sekitar 1990 itu.
Projek yang diharap dapat mempromosikan kembali kumpulan berkenaan bakal memuatkan lagu lama dan baru.

"Saya percaya, bunyi dan produksi untuk album berkenaan akan nyata berbeza daripada apa yang pernah didengar peminat ketika kami mula-mula muncul dulu. Maklumlah, masing-masing sudah banyak menimba pengalaman sepanjang tempoh itu," katanya lagi.

Bersama kumpulan berkenaan, Man Bai pernah muncul bersama album Gersang (1988), Takdir (1988) dan B29 (1989). Secara solo pula Man Bai menghasilkan album Man Bai (1997) dan Positif (1998).


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.