Adsense

Selasa, 19 Julai 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Ejekan bakar semangat

Posted: 18 Jul 2011 05:50 PM PDT

Hip

Sheila Abdul

Sheila Abdul

Empat tahun bergelar penyanyi, Sheila belum cukup dikenali

BIARPUN tidak meluahkan secara terbuka, tampak jalur kecewa pada wajah penyanyi yang menggunakan Sheila Abdul sebagai nama pentas. Walau sudah empat tahun memperdagangkan bakat dan suara, ramai belum menyedari kemampuan bakat anak kelahiran Johor Bahru itu.

Jika menyelak semula latar belakang gadis berusia 23 tahun ini, dia bukan hanya mempunyai vokal meyakinkan malah berbakat menghasilkan lagu dan lirik sendiri yang tidak kurang indahnya. Cuma barangkali belum rezeki Sheila atau nama sebenar Nursheila Abdullah untuk berada pada kedudukan selesa seperti teman seangkatan, namun cabaran seperti itu membuatkan dirinya lebih gigih berusaha.

"Bukan sedikit dugaan yang saya hadapi... Diperlekeh dan diperkecilkan sudah menjadi asam garam kehidupan. Terima kasih di atas pengalaman seperti itu kerana ia menyuntik semangat saya supaya tidak mudah menyerah kalah.

"Sekali pun tidak sepopular penyanyi muda lain, saya bersyukur apabila pendengar masih menghargai dendangan saya malah ada yang tidak putus memberikan sokongan," kata bintang yang digilap menerusi pertandingan nyanyian kelolaan Adnan Abu Hassan.

Menerusi lagu ciptaan komposer terbabit berjudul Mungkinkah yang turut dijadikan sandaran dalam album sulungnya pada 2008 Sheila mula membina nama dan selepas dua tahun dia tampil pula bersama single baru.
Akuinya sebagai penyanyi dia perlu mempunyai produk baru malah kepuasan lebih terasa apabila memiliki album fizikal yang tentu saja membabitkan kos tinggi serta kepakaran pemasaran.

"Dalam zaman serba moden kini, muat turun lagu sudah menjadi trend namun saya rasa lebih puas apabila dapat memuatkannya dalam satu album. Walaupun memerlukan kos tinggi dan kesabaran, saya tetap akan merealisasikan album baru.

"Kalau melihat situasi masa kini, jualan album tidak serancak sekitar 90-an. Begitupun saya pasti di luar sana ramai yang menghargai album fizikal kerana ia pek lengkap," katanya yang sudah pun merakamkan tiga single.

Mempertaruhkan lagu nukilan sendiri, Pengkhianat Cinta sebagai single pertama, dendangan lain ialah Semuanya Kerana Mu, Bila Kau Di Situ serta sebuah lagi lagu nyanyian semula, Kaulah Segalanya.

Bersyukur apabila Pengkhianat Cinta mula meraih perhatian pendengar, sedikit sebanyak ia menyemarakkan semangat wanita ini untuk lebih aktif menghasilkan lagu.

Baginya, produk baru penting untuk mengingatkan masyarakat mengenai kewujudan seseorang artis sekali gus mengelakkan pendengar bosan sekiranya asyik disogokkan bahan sama.

Nyanyian, kuliah diutamakan

DALAM rancak mengatur langkah termasuk memenuhi undangan pentas, Sheila nyata harus bijak membahagikan masa apabila turut menggalas tanggungjawab sebagai penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM).

Bersyukur apabila menjadi antara selebriti yang berpeluang melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda menerusi Pengajian Luar Kampus (PLK), penyanyi ini hanya meluangkan waktu untuk memenuhi undangan nyanyian apabila tidak bercanggah dengan jadual kuliah.

Meskipun hanya ke kuliah dua kali sebulan iaitu pada hujung minggu, seperti penuntut pusat pengajian tinggi lain, tanggungjawab menyiapkan tugasan selain kerja berkumpulan tidak terlepas tergalas di bahunya.

"Kalau ikutkan, memang jadual saya agak penuh terutama dengan tugas kuliah. Syukurlah hingga memasuki tahun ke dua ini, semua tugasan dan markah peperiksaan masih pada tahap membanggakan.

"Walau ada kalanya rasa tidak terkejar, saya berpuas hati apabila hasil tugasan dapat disempurnakan malah ramai lagi rakan artis lain yang saya lihat begitu bersemangat sepanjang pengajian," katanya yang mengambil jurusan komunikasi.

Antara teman seangkatan lain yang turut menyertai skim khas untuk golongan seni kelolaan UUM ialah Noh (Hujan), Emelda Rosmila, Diddy Hirdy, Akim (AF), Suffian (Saujana), Zehra Zamri, Yok (Bunkface) dan Neves (Pretty Ugly).

Kini hanya tinggal kira-kira dua tahun lagi untuk Sheila menamatkan pengajian, bahkan jauh di sudut hati dia berharap perjalanan dalam kedua-dua laluan, seni dan pelajaran mampu bergerak seiring.

Ditanya tidakkah berminat mencuba lakonan untuk menguji kemampuan, tanpa teragak-agak katanya buat masa ini dia langsung tidak terfikir mahu bergelar aktres disebabkan pemalu.

"Saya agak pemalu di hadapan kamera. Menyanyi tidak sama dengan berlakon yang memerlukan pelbagai ekspresi. Rasanya bakat saya bukan ke arah itu, jadi biarlah saya tumpukan dulu kepada nyanyian. Jika merasakan sudah bersedia berlakon, saya akan lakukan," katanya yang pernah mendapat tawaran membintangi drama.

PROFIL

NAMA: Nursheila Abdullah
TARIKH LAHIR: 13 Ogos 1988
TEMPAT LAHIR: Johor Bahru
UMUR: 23 tahun
ADIK BERADIK: Anak bongsu daripada tiga bersaudara
CITA-CITA: Pensyarah Muzik


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

'Hubungan kami serius'

Posted: 18 Jul 2011 05:40 PM PDT

Hip

pix_gal0
Zul, Abby belum bersedia bincang soal kahwin

KEINTIMAN hubungan pelakon Zul Ariffin dengan Abby Abadi bukan lagi suatu rahsia. Sejak awal perkenalan, pasangan ini bersikap cukup profesional tanpa pernah menyembunyikan keakraban mereka.

Namun entah dari mana, tiba-tiba timbul cerita kononnya hubungan jejaka bertubuh sasa itu dengan ibu tunggal kepada tiga cahaya mata terbabit dikatakan semakin renggang. Zulkifli Ariffin, nama sebenar jejaka berasal dari Taiping, Perak ini juga dikatakan enggan namanya dikaitkan lagi dengan Abby. Kononnya tidak mahu lagi menumpang populariti wanita itu kerana mahu mencipta identiti sendiri.

Bagaimanapun, pertemuan dengan Zul pada majlis memperkenalkan program Ramadan Astro, baru-baru ini memberi peluang kepada penulis untuk bertanyakan sendiri kepada pelakon siri Gerak Khas itu kesahihan khabar angin berkenaan.

Dengan wajah terkejut, pemuda berusia 25 tahun ini dengan serius menegaskan, dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian. Lagipun selama ini memang menumpang nama Abby, jadi tiada sebab kenapa dia perlu menggugurkan nama wanita itu daripada hidupnya.

"Nama saya sudah dikaitkan dengan Abby sejak dulu lagi. Kami dikaitkan atas sebab kerja, jadi saya rasa tiada sebab kenapa saya tidak mahu dikaitkan lagi dengan dia. Khabar angin mengatakan hubungan kami tidak lagi baik juga tidak benar. Saya dan Abby masih lagi baik sebagaimana kami kenal sejak tiga tahun dulu. Semua dakwaan mengatakan saya rimas dengan sikap Abby adalah khabar angin semata-mata.
"Sudah tiga tahun kami berkawan, saya tidak malu untuk mengakui hubungan kami memang serius. Cuma mungkin belum waktunya untuk kami mengambil langkah seterusnya dalam perhubungan kami.

"Memang kami pernah berbincang, tetapi bukanlah perbincangan yang serius.
Kalau boleh kami tidak mahu terlalu memperkatakan hal sebegini. Bukan apa, jika terlalu diperkatakan dan rancangan itu tidak menjadi, kami juga yang akan ternganga. Jadi sebagai langkah berjaga-jaga, lebih baik soal kahwin itu tidak perlu terlalu dibincangkan," kata Zul yang bakal muncul dalam drama bersiri Moreh di Astro Oasis sempena Ramadan nanti.

Daripada kata-kata itu, memang terserlah keikhlasan Zul bersahabat dengan wanita yang dikenali ketika sama-sama membintangi drama Apa Itu Cinta pada 2008. Namun sebelum membuat keputusan untuk berumah tangga, kata jejaka ini penuh jujur, biarlah kedudukannya stabil terlebih dulu sebelum dia bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

Kestabilan yang dimaksudkan jejaka ini tidak hanya menjurus pada soal kewangan, malah merangkumi soal kerjayanya yang baru hendak bertapak kukuh.

Ingin kukuhkan kedudukan

PERKAHWINAN, tegas Zul, sememangnya menjadi sebahagian daripada hidup setiap insan. Dia sendiri mempunyai hasrat untuk berkahwin dan memiliki anak, tetapi buat masa ini dia mempunyai keutamaan lain, iaitu mahu mengukuhkan kerjayanya terlebih dulu.

"Saya tidak pernah main-main sejak mengenali Abby kerana saya bukannya bercinta dengan budak sekolah. Sebaliknya saya memikirkan kedudukan yang masih lagi belum stabil. Saya masih mengejar peluang agar lebih dikenali dalam dunia lakonan. Mungkin saya memerlukan antara dua hingga tiga tahun untuk memastikan kedudukan kerjaya saya stabil dan kukuh.

"Kami tidak pernah meletakkan sasaran dalam tempoh berapa tahun perlu berkahwin. Saya bukan tidak mahu berkahwin kerana bimbang dengan gelaran bapa segera yang akan dipikul. Bagi saya terma bapa segera tidak pernah wujud, gelaran itu bukanlah satu masalah besar pun. Jika saya sudah buat keputusan untuk berkahwin, bermakna saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab itu," kata Zul yang berjaya membawa lakonan berkesan dalam telefilem Sayang Abah yang disiarkan sempena Hari Bapa lalu.

Tiga tahun berkecimpung di dalam dunia lakonan, Zul melahirkan perasaan lega kerana watak yang ditawarkan memberi ruang kepadanya untuk memantapkan lagi mutu lakonannya. Biarpun mungkin populariti yang dikecapi agak perlahan, namun dia tetap berpuas hati dengan pencapaiannya setakat ini.

"Setiap kali mendapat tawaran berlakon, saya tidak suka main-main. Sebaliknya saya akan memastikan tawaran lakonan itu dilakukan dengan baik. Saya yakin jika kita menunjukkan kesungguhan, ia akan membuka peluang untuk menerima lebih banyak tawaran pada masa depan," kata jejaka yang gemar ke gimnasium antara dua hingga tiga kali seminggu bagi meningkatkan stamina.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.