Adsense

Isnin, 6 Jun 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Elak terjebak dengan kontroversi

Posted:

Elak terjebak dengan kontroversi

Elak terjebak dengan kontroversi

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH dan ihsan SONY MUSIC


Bergelar juara American Idol telah mengubah hidup Lee DeWyze.


SEDANG elok namanya bersih daripada sebarang kontroversi murahan, tiba-tiba alam maya digegarkan dengan cerita yang kurang enak tentang juara American Idol musim kesembilan, Lee DeWyze.

Ketika namanya hampir dilupakan oleh sebahagian daripada peminat American Idol (AI) dan juga pencinta muzik secara amnya, 'populariti' Lee kembali melonjak sekali gus menjadi bahan berita menarik beberapa minggu lalu.

Semuanya berpunca daripada insiden yang mengatakan Lee tidak diundang ke konsert akhir yang berlangsung beberapa minggu lalu yang menjadi tradisi untuk setiap bekas juara AI.

Bukan itu sahaja, Lee juga dikatakan telah berperang mulut dengan penerbit eksekutif AI10, Nigel Lythgoe sehingga perkara yang dianggap kecil, menjadi besar.

Menganggap perkara tersebut tidaklah sebesar mana sehingga perlu dikecohkan, Lee akhirnya bersuara dan menjernihkan keadaan dengan memberitahu perkara sebenar di laman Twitter.

Dalam kenyataannya itu, Lee telah melahirkan rasa kecewanya terhadap pihak produksi AI10 atau lebih khusus lagi kepada Nigel yang dianggapnya membuat permintaan yang menjatuhkan maruahnya sebagai seorang juara AI.

"Saya lebih berbangga dan sebenarnya berharap seandainya saya diundang untuk membuat persembahan pada malam akhir itu kerana AI telah merubah impian saya menjadi kenyataan.

"Tetapi, apabila permintaan mereka untuk saya menyerahkan trofi kemenangan kepada juara AI10 iaitu Scotty McCreery, saya menganggap perkara itu adalah satu kesalahan besar.

"Adakah wajar untuk saya naik ke pentas semata-mata hanya untuk menyampaikan trofi dan mencuri tumpuan Scotty pada malam itu?

"Daripada melakukannya, adalah lebih baik untuk saya duduk di dalam dewan dan menjadi penonton. Jadi, apabila Nigel menepuk bahu saya dan meminta saya berbuat demikian (menyampaikan trofi), sudah pasti saya akan katakan tidak," tegas Lee mempertahankan dirinya berhubung isu panas yang menjadi perhatian beberapa minggu selepas AI10 melabuhkan tirainya.

Kalau disingkap tentang perbalahan antara alumni AI dan rancangan itu sendiri, kes Lee bukanlah yang pertama kerana ia pernah berlaku beberapa kali sepanjang AI bersiaran selama 10 musim.

Antara kes yang paling diingati bagaimana juara AI pertama, Kelly Clarkson secara terang-terangan menentang idea Pengerusi RCA, Clive Davis berhubung hala tuju muzik yang mahu diketengahkan dalam album ketiganya, My December.

Hasilnya, album tersebut gagal di pasaran dan akhirnya Kelly akur dengan kehebatan Clive sebagai seorang yang memiliki magis luar biasa dalam bidang muzik.

Jadi diri sendiri

BERBALIK kepada kesnya itu, Lee menganggap isu tersebut sebenarnya boleh diselesaikan dengan cara baik dan tertutup, tetapi nampaknya Nigel lebih selesa untuk bercerita kepada umum.

Katanya lagi, dia tidak mahu menjadikan apa yang berlaku sebagai isu besar yang harus dipanjangkan kerana adalah lebih baik untuk dia terus fokus kepada kerjayanya.

Tidak salah sebenarnya kalau hendak melabelkan Lee sebagai seorang yang berani bersuara kerana hakikatnya, Lee menegaskan dia tidak mahu menjadi seorang yang hipokrit.

Sebagaimana perjuangannya dalam bidang muzik, begitu jugalah prinsip hidupnya apabila dia tidak kisah dengan apa yang diperkatakan tentang dirinya.

Duduk berbual dengannya dalam satu temu ramah yang diaturkan oleh Star World dan Sony Music sempena rangka promosi album sulungnya, Live It Up di ibu negara, baru-baru ini, semuanya terpancar jelas menerusi butir bicaranya.

Lee lebih selesa untuk bercerita tentang perkembangan karier seninya dan perkara yang lebih menjerumus ke arah yang positif berbanding perkara remeh.

Ia termasuklah tentang isu yang mengatakan populariti yang diraih selepas menjuarai AI tahun lalu tidak sehebat bekas juara lain terutama Kelly dan Carrie Underwood.

Lebih malang lagi, apabila album Live It Up tidak mencatatkan rekod sebaik bekas juara mahupun alumni AI yang lain apabila hanya sekadar menduduki tangga ke-19 dalam carta Billboard 200 sebaik sahaja dilancarkan pada 16 November tahun lalu.

Ia sekali gus meletakkan Lee di belakang juara AI8, Kris Allen yang mencatatkan penjualan album yang kurang memberansangkan dan sehingga kini, album Live It Up hanya terjual sebanyak 141,000 salinan sahaja di Amerika Syarikat (AS).

Sambil menghela nafas panjang, jelas Lee, populariti bukanlah agenda utamanya dalam bidang seni mahupun mengejar anugerah bagi membuktikan kehebatannya sebagai seorang karyawan.

"Apa yang saya persembahkan setiap minggu di pentas AI sehingga bergelar juara merupakan identiti saya sendiri. Sukar sebenarnya untuk memuaskan hati semua pihak kerana setiap individu mempunyai cita rasa yang berbeza.

"Saya mahu melebarkan sayap seni saya bukan hanya sebagai seorang penyanyi tetapi juga komposer serta penulis lirik yang berjaya.

"Justeru, saya mahu mengubah senario itu dan melihat bahawa lebih ramai bakat di luar sana yang memiliki pakej lengkap sebagai penyanyi, komposer dan penulis lirik.

"Dalam hal ini, saya menghormati Kris Allen yang telah membuktikan dia mampu menjadi lebih daripada hanya sekadar seorang penyanyi," jelas Lee atau nama sebenarnya, Leon James DeWyze, Jr. panjang lebar.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Magnet dua purba

Posted:

Magnet dua purba

Magnet dua purba

Oleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
Gambar ASWAD YAYHA


SETELAH 27 tahun, Sweet Charity dan Blues Gang akan bersatu kembali bagi menggegarkan Stadium Merdeka pada 9 Julai ini.


AURA Sweet Charity dan Blues Gang tidak pernah malap biarpun dua kumpulan legenda itu telah lebih 40 tahun meniti onak dan duri sebagai anak seni.

Buktinya, Teratai, Batu, Apo Nak Di Kata dan Mak Siti masih lagi meniti bibir peminat-peminat dua kumpulan otai itu.

Bait-bait lirik lagu yang pernah mereka rakamkan juga masih terus menjadi siulan bukan sahaja peminat seusia mereka tetapi generasi muda hari ini.

Bukan mudah bagi seseorang artis itu untuk merentas zaman dan memenangi hati peminat namun itulah yang berjaya ditempuhi oleh Sweet Charity dan Blues Gang apabila generasi baru hari ini turut sinonim dengan lagu-lagu mereka.

Berikutan itu, untuk menghargai para peminat yang selama ini tidak pernah jemu menyokong mereka, Sweet Charity dan Blues Gang sekali lagi berkongsi pentas untuk menghiburkan para peminat mereka menerusi Konsert 2 Raksasa, 9 Julai ini.

"Kita ingin ulangi semula fenomena yang pernah tercetus dahulu apabila Sweet Charity dan Blues Gang berkongsi pentas menjayakan Konsert Raksasa pada tahun 1984.

"Biarpun telah 27 tahun berlalu, kami tetap yakin 2 Raksasa pasti tetap menyengat dan berbisa sama seperti dahulu," jelas Ramli Sarip ketika ditemui pada sidang akhbar Konsert 2 Raksasa yang diadakan di Hard Rock Cafe, baru-baru ini.

Bagi penyanyi yang diberi jolokan Papa Rock itu, Konsert 2 Raksasa dilihat sebagai satu saluran terbaik untuk mengembalikan nostalgia lalu.

"Kami akan membawa peminat untuk menggamit kenangan lalu melalui lagu-lagu kami dan 2 Raksasa juga akan menceritakan perjalanan seni kami menerusi sebuah konsert.

"Kami juga akan merakamkan rakamkan detik indah itu agar ia akan terus menjadi sebuah kenangan yang terindah.

"Mana tahu mungkin 2 Raksasa boleh dijadikan satu khazanah dalam industri muzik tanah air," jelasnya.

Selain itu, biarpun setelah 27 tahun berlalu, Ramli mahupun Ito yakin bahawa konsert yang akan diadakan di Stadium Merdeka itu nanti dapat menarik peminat-peminat mereka.

Bukan sahaja mensasarkan peminat seusia mereka tetapi generasi baru yang membesar dengan lagu-lagu mereka.

"Bukanlah berbangga diri atau bercakap besar, tetapi saya yakin konsert itu nanti dapat menarik minat peminat-peminat kami untuk bersama mengabadikan detik indah itu," ujar penyanyi kelahiran Singapura itu.

Sementara itu, vokalis Blues Gang, Ito atau nama nama sebenarnya Ito Muhammad @ Mohd. Arif Kendut beranggapan 2 Raksasa akan mewujudkan sejarahnya sendiri seperti mana yang pernah ditinggalkan oleh konsert Raksasa dahulu.

Baginya apa yang penting adalah melakukan yang terbaik agar kehangatan 2 Raksasa akan menjadi detik terindah untuk para peminatnya.

"Konsert 2 Raksasa adalah khas untuk peminat kami dan sudah tentu kami akan lakukan yang terbaik untuk memuaskan mereka," ujarnya.

Ditanya berkenaan dengan stamina untuk tampil pada konsert berkenaan, jelas Ito, itu bukalah masalah kepadanya yang mempunyai banyak pengalaman beraksi di pentas.

"Pengalaman lebih daripada 30 tahun banyak mengajar saya bagaimana untuk mengawal stamina di ketika beraksi di atas pentas.

"Sebagai penyanyi apa yang penting adalah teknik untuk menyanyi kerana teknik itu banyak membantu persembahan.

"Insya-Allah saya tiada masalah untuk membuat persembahan itu nanti biarpun usia kini telah lebih daripada separuh abad," jelas Ito.

Sementara itu, bagi peminat yang berminat, tiket konsert berharga RM73.00 boleh didapati di www.airasiaredtix.com.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03-8775 4666 atau semua cawangan Redtix di Rock Corner dan Victoria Music.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.