Adsense

Isnin, 6 Jun 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Usah lekas jatuh hukum

Posted: 05 Jun 2011 07:48 AM PDT

ZAHIRIL...usah lekas menjatuhkan hukuman atau menabur persepsi.
ZAHIRIL...usah lekas menjatuhkan hukuman atau menabur persepsi.

BIAR setinggi mana mesej yang ingin dipaparkan, drama siri Juvana tidak terlepas daripada stigma kolot dan diselar kononnya bagai menyebar persepsi negatif.

Semuanya kerana siri ini bersandar pada kisah golongan remaja yang terjerat dengan seribu satu masalah sosial hingga ditempatkan di sebuah institusi Juvana. Begitu juga plot ceritanya mencerminkan aksi ganas hingga menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak.

Entah fakta mana yang dilihat serta perspektif apa yang dinilai, masih ada suara nakal menyifatkan drama terbitan Filmscape ini sengaja memaparkan segala macam jenis kejahatan remaja dan bimbang ia akan dijadikan contoh buruk buat penonton khususnya golongan remaja.

Bagaimanapun, barisan pelakon siri ini menyangkal persepsi sebegitu dan menyifatkan apa yang dipersembahkan adalah simbolik sesebuah jalan cerita dan waktu sama, masih sarat dengan mesej dan pengajaran di sebaliknya.


Lihat saja pelakon utamanya, Zahiril Azhim yang melakonkan watak Daim Yahya, meskipun mengangkat karakter remaja bermasalah yang terjerat dengan kesalahan membunuh, apa yang lebih ingin disampaikan adalah keinsafan dan pengajaran kemudiannya.


Kata Zahiril, perjalanan Daim perit kerana terpaksa merempuh detik itu di pusat pemulihan akhlak atas tuduhan yang bukan dilakukannya.

"Usah lekas menjatuhkan hukuman atau menabur persepsi. Jika diperhati dengan teliti dan tidak ketinggalan mengikuti plot ceritanya, Juvana hanya menjadikan semua aksi ganas atau perihal nakal remaja itu sekadar warna pada jalan kisahnya dan bukannya untuk menunjukkan nilai keganasan apatah lagi menyuntik aspek negatif kepada penonton.

"Jujurnya, saya melihat Juvana adalah drama siri yang memaparkan nilai realistik kepada penonton baik pada skripnya, aksi dan gerak lakon mahupun visualnya.

"Ini satu perkembangan yang mencerminkan sudut positif dalam sesebuah penerbitan drama televisyen. Tidak hanya itu, sebagai seorang pelakon yang sudah terlebih dulu mendalami skrip serta garapan pengarahannya, saya sendiri kagum dengan mesej serta nilai murni yang cuba disulam sepanjang ceritanya.

"Lantas mengapa harus persoalkan pada luaran semata-mata dan sengaja memejamkan mata akan mesej positif yang ingin dikongsikan itu. Apa yang ingin dipersembahkan adalah sebentuk hiburan ringan namun sarat dengan pengajaran buat penonton," katanya.

Kronologi Juvana adalah berkisar kehidupan beberapa remaja yang terjerat dengan kesilapan lalu dan disumbatkan ke sekolah khas. Selain berdepan dengan konflik dan masalah sesama mereka, masing-masing sebenarnya menyembunyikan seribu satu kisah peribadi yang menjurus mereka hingga terpaksa gagal dalam percaturan hidup.

Drama 13 episod yang disiarkan di TV3 setiap Isnin, jam 9 malam sejak 25 April lalu, turut diterapkan elemen drama, permainan emosi dan pengertian hidup dengan lebih jelas dan rasional.

Mana tidaknya, mereka mula belajar sesuatu yang baru dan melalui pengalaman manis. Persahabatan, kasih sayang, dendam dan jiwa memberontak remaja disatukan dan diterjemah dengan kemas menerusi Juvana.

Selain Zahiril, Juvana turut membariskan wajah-wajah baru yang begitu berbakat dan berjaya mengikat perhatian penonton untuk setia menyaksikannya setiap minggu termasuk Johan As'ari, Syazwan Zulkifly, Wan Atiqa Farhana, Adam Shah, Khairul Mohamed, Syukri Yahaya, Riki Rikando, Idzham Ismail, Helmi dan Talha Harith.

Malah pelakon-pelakon popular turut tampil menguatkan lagi jalan ceritanya termasuk Bront Palarea, Izreen Azminda, Beto Khusairy dan bintang veteran, Kuswadinata.

Selepas enam episod ditayangkan, drama arahan Faisal Ishak ini sudah berjaya menghimpunkan hampir tiga juta penonton setiap episod. Malam ini, sekali lagi pergolakan mereka akan diteruskan untuk episod ketujuh.

Menyifatkan peluang melakonkan watak sebagai Botak bagai orang mengantuk disorongkan bantal, Johan melihat Juvana akan meninggalkan impak tersendiri buat peminat drama televisyen selain memberikan sebuah dimensi baru dalam penerbitan drama tempatan.

"Pertama kali saya ke sesi uji bakat dan membaca skripnya sebaik diterima memegang watak Botak, saya sudah boleh membayangkan kelainan yang akan disuntik pada plot ceritanya.

"Malah seperkara yang saya lihat berbeza, Juvana begitu mementingkan pembangunan watak dan karakter. Setiap watak yang diwujudkan punya kekuatan tersendiri," katanya.

Lain bagi bintang baru berusia 24 tahun yang melakonkan watak Apek, Juvana benar-benar memberikannya satu perspektif baru dalam lapangan seni lakon yang ingin diperjuangkan.

Selain kagum dengan konsep dan idea asalnya, Syazwan turut berasa bertuah kerana akhirnya berpeluang melakonkan sesuatu yang tampak realistik dan boleh memberi pengajaran kepada penonton.

"Mesej yang diceritakan memang terlalu banyak namun semuanya diletak secara metafora dan penuh simbolik. Pengajaran terbuka luas daripada perjalanan hidup setiap satu wataknya terutama Daim yang begitu kuat melawan hakikat.

"Saya percaya dan yakin Juvana akan memberikan satu pengalaman baru tidak hanya kepada kami barisan pelakonnya, malah kepada penonton juga kerana jalan ceritanya yang jauh tersasar daripada kebanyakan drama televisyen lain," katanya.

Juvana kembali malam ini yang akan terus meninjau perjalanan Daim Yahya, remaja 17 tahun yang pendiam dituduh membunuh ibunya dan teman lelaki ibunya dalam meneruskan hidupnya di Sekolah Pemulihan Akhlak Wira Bakti.

Penghargaan: Unit Perhubungan Media TV3 (Firdaus Suleiman)
Lokasi: Kumpulan Prasarana (Terima kasih Hawa)
Pereka Grafik: Mohd Hariz Rani

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Jambu terus gah

Posted: 05 Jun 2011 07:40 AM PDT

PENAMPILAN gaya dua rockers yang kurang upaya mengadakan konsert, berjaya menambat hati ribuan penonton dan panel juri apabila Pusat Sukan Arena Antarabangsa (PISA) Pulau Pinang bergema dengan sorakan dan tepukan gemuruh lebih 10,000 penonton.

Itulah kelebihan dimiliki Jambu yang dianggotai Yusry Edoo dan Zamaratul Amri Zakaria (Taukeh) apabila Maharaja Lawak minggu ke-10 yang diadakan di lokasi jelajah di Pulau Mutiara, mendapat sambutan.

Tugasan selama tujuh minit yang diberikan untuk membuat persembahan, digunakan sebaik mungkin di samping jenaka yang bersahaja membuatkan penonton tidak kering gusi.

Sebelum persembahan dimulakan, jumlah peratusan undi mereka amat berbeza apabila Jambu hanya mendapat kedudukan keempat dengan 19 mata manakala peserta lain, Jozan (29 peratus) diikuti Sepah (27), Nabil (21) dan R2 hanya lima peratus.


Bagaimanapun, itu bukan alasan untuk Jambu cepat melatah dan hilang semangat sebaliknya terus melakukan usaha terbaik dan akhirnya berjaya apabila selepas persembahan, kedudukan Jambu berubah secara mendadak serta merampas kedudukan Jozan, Sepah dan mengungguli tempat teratas serta mendapat pujian juri profesional.


Jambu memperoleh 59 peratus diikuti Sepah dan Jozan (55), Nabil (50) dan R2 (33 peratus), membuatkan Jozan, Nabil dan R2 berada pada kedudukan tiga kumpulan mendapat undian paling rendah. Ketiga-tiga mereka perlu bekerja keras untuk memastikan tidak tersingkir walaupun minggu ini tiada sebarang penyingkiran.

Juri profesional terdiri daripada Mamat Khalid, Ahmad Idham dan Saiful Apek, memberikan pelbagai komen termasuk menegur persembahan Nabil yang kurang mantap seperti kehilangan punca, begitu juga R2.

Persembahan minggu ke-10 dilihat agak menarik dan setiap peserta menampilkan gaya serta kehidupan gender manusia seperti lelaki lembut, wanita mengandung, tukang gunting dan budak gemuk.

Bagi Yus, walaupun Jambu diberi pujian mereka tetap merendah diri. Katanya, mereka tekankan 'punch line' yang dilakukan setiap 15 saat secara bergilir-gilir.

"Apa yang kami harapkan, penonton dan peminat terhibur kerana kami akan senantiasa menampilkan kelainan untuk setiap tugasan supaya meninggalkan kenangan seperti lawak jenaka pada minggu-minggu sebelumnya.

"Saya amat berterima kasih kepada Saiful Apek kerana memberi pandangan positif apabila memuji usaha menggambarkan dua rockers yang kurang upaya sehingga mengamit sorakan dan tepukan penonton.

"Biarpun memuji setiap minggu persembahan yang konsisten, beliau sempat berpesan agar tidak terlalu selesa kerana untuk menjadi juara, perlu kekalkan prestasi yang baik," katanya.

Bagi Nabil, teguran diberikan Mamat Khalid diambilnya dengan tangan terbuka kerana dia beraksi secara berseorangan dan mengaku punch line kurang selain menekankan elemen nasihat dan teguran.

Baginya, dia tidak langsung memandang rendah golongan berbadan besar kerana ianya adalah gurauan semata-mata, namun percaya apa yang berlaku disebabkan tumpuan dan fokus secara tiba-tiba hilang.

"Sekiranya minggu ini saya tersingkir, pastinya ramai yang terkejut. Bagaimanapun, sedia menerimanya dengan rasa terbuka biarpun sebelum ini setiap minggu menerima pujian juri.

"Suka atau tidak, bukannya masalah dan menyerahkan kepada peminat untuk menilai serta memohon keberkatan Allah SWT," katanya.

Sementara itu, pasangan adik-beradik yang kembali beraksi di pentas Maharaja Lawak melalui undian masuk, R2 melahirkan rasa kecewa terutama Ridhzuan apabila gugup melihat penonton yang ramai.

Ridhzuan berkata, dia seperti tidak menyangka kehadiran penonton yang ramai membuatkan punch line yang dilakukan seolah-olah hilang. Namun sokongan abang, Rahim membuatkan dirinya tabah menghadapi.

"Apa yang penting, R2 akan berusaha sedaya upaya walaupun berada pada kedudukan terbawah dan mengharapkan sokongan peminat agar terus mengundi R2," katanya.

Bagi Ketua Saluran Astro Warna, Nizam Sani berkata, dia melahirkan rasa terharu dengan sambutan luar jangkaan penonton apabila lokasi pertama di PISA, berjalan lancar.

Katanya, walaupun mereka terpaksa berbaris panjang mengambil pas percuma yang diberikan selama dua hari, objektif Astro memberi penghargaan kepada penonton tercapai.

"Ini jelas dilihat pada wajah penonton yang hadir tergambar kepuasan walaupun ada yang menyangka berlaku penyingkiran. Namun segalanya meleset dan semua peserta selamat.

"Penyingkiran tetap akan berlaku dan mungkin minggu depan atau minggu seterusnya kerana setiap minggu tetap ada kejutan. Saya mengharapkan sokongan penonton tidak akan terhenti begitu saja," katanya.

Lokasi seterusnya ke Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuantan Pahang, Jumaat ini dan lokasi terakhir di Dewan Tertutup Majlis Perbandaran Johor Bahru, 17 Jun depan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.