Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Kasih Kita

Posted: 19 Jun 2011 05:36 PM PDT

Hip

pix_gal0
Pulau Janji menyatukan Hunny Madu dengan Anuar Zain

SELEPAS hampir empat tahun mengerah idea demi mendapatkan hasil yang terbaik, kini Hunny Madu atau nama sebenarnya Hani Farhana Mohd Hatim, 27, tampil bersama album terbarunya yang diberi judul Pulau Janji.

Penyanyi dan juga Penyampai radio Fly FM yang mula menulis lagu sejak dari usia 12 tahun ini berkata, album penuh pertamanya itu mengetengahkan pelbagai konsep dari jazz, hip hop, rap hingga pop, menghabiskan masa kira-kira setahun di studio sebelum sampai ke tahap yang memuaskan hati. Antara yang menarik dalam album Pulau Janji apabila terdapat lagu menggandingkan suaranya dengan Anuar Zain dengan judul yang romantik sekali iaitu Kasih Kita.

Wanita bertubuh langsing biarpun sudah berstatus isteri ini, ternyata bersungguh-sungguh terhadap album ini. Dan, seperti kebanyakan penyanyi, dia juga turut menaruh harapan agar albumnya mendapat sokongan daripada peminat dan pendengar.

"Seperti judul yang diberi, Pulau Janji adalah tempat konsep di mana saya meluahkan kesemua buah fikiran termasuk hasil nukilan yang berbentuk muzik ataupun puisi.

"Boleh dikatakan semasa pembikinan album ini, idea saya datang mencurah-curah dan banyak lagu yang datang menerusi mimpi-mimpi saya, kemudiannya diterjemahkan ke dalam melodi atau tulisan.
"Selesainya album ini, bermakna saya sudah keluar dari lokasi khayalan saya, Pulau Janji yang diberi nama khusus buat hasil titik peluh saya ini yang dicipta untuk peminat di luar sana," katanya yang ditemui di Kuala Lumpur Performing Acts (KLPAC) bagi menjayakan pelancaran albumnya baru-baru ini.

Album edaran Laguna Music ini memuatkan 12 lagu yang terdiri daripada tujuh lagu berbahasa Melayu dan lima Inggeris.

Kesemua lagu ini adalah hasil ciptaan dan penulisan dirinya sendiri, selain paduan idea bersama beberapa produser seperti Rafikoncept, Bo Amir Iqram, Mohd Hazri Shihabuddin dan Selvam Gana.

Tambah menarik lagi, album ini turut menampilkan lagu duet Hunny bersama dua penyanyi yang tidak asing lagi dengan kesyahduan dan kelunakan suara masing-masing iaitu Anuar Zain dan penyanyi soul, Najwa Mahiaddin.

Bukan calang-calang nama, Hunny akui dia memakan masa hampir empat tahun untuk menyiapkan lagu tersebut demi merealisasikan impiannya untuk berduet bersama idolanya yang juga penyanyi lelaki terkenal dengan lagu Sedetik Lebih itu.

"Lagu duet berkonsepkan balada yang diberi tajuk Kisah Kita itu adalah sepenuhnya hasil ciptaan saya khas buat Anuar.

"Semua pastinya tahu bahawa Anuar Zain, adalah penyanyi yang amat selektif serta cerewet dalam pemilihan lagu dan disebabkan itu saya merasai sangat bertuah dan gembira kerana abang Anuar menyukai lagu saya dan sekali gus bersetuju untuk berpadu suara bersama.

"Ia adalah suatu proses pembelajaran yang menyeronokkan dan juga proses yang panjang bagi menyiapkan lagu berkenaan, namun ia adalah peluang yang berharga yang saya tunggu sejak sekian lama lagi kerana sememangnya dari zaman remaja lagi, saya meminati karya seni dan barisan lagu nyanyiannya.

"Demi menjayakan lagu ini, buat pertama kali saya menghadiri kelas vokal bersama Lah Ahmad. Lagu ini saja mengambil masa dalam enam hingga tujuh bulan untuk menyiapkannya," ujarnya yang turut berduet bersama Najwa menerusi lagu 'Hey R'.

Bagaimanapun, Hunny menolak sangkaan bahawa dia mahu menumpang populariti dua penyanyi berbakat berkenaan bagi melariskan album pertamanya itu.

Impian seorang wanita

SELAIN itu, menerusi Pulau Janji ini, Hunny yang juga bergelar pengacara ini mempertaruhkan dua single pertama yang berlainan bahasa, iaitu 'Dari Masa Hadapan sebagai single pertama versi Bahasa Melayu, manakala lagu berbahasa Inggeris ialah lagu yang berjudul, Out There.

Bakat seni wanita berusia 27 tahun ini terserlah apabila turut mahu dikenali sebagai penyampai radio Fly FM, pengacara, pencipta lagu, dan penyanyi.

Mengenai kerjayanya, penyanyi yang sudah mendirikan rumah tangga setahun yang lepas ini berkata di samping bergelar isteri, Hunny juga merancang untuk memiliki anak dalam tahun hadapan.

"Tahun ini saya sibuk menyiapkan dan menguruskan pembikinan album Pulau Janji ini, dan kini saya bersyukur semuanya berjalan dengan lancar. Saya berterima kasih atas sokongan tiada penghujung dari suami dan keluarga, yang tidak putus memberi semangat meneruskan impian saya menghasilkan album.

"Seperti wanita lain, saya juga menyimpan impian untuk bergelar ibu dan dengan izin Tuhan serta adanya rezeki, saya ingin mempunyai anak. Saya tidak merancang tapi hanya menunggu rezeki dari Tuhan dan gembira dengan kehidupan saya sebagai isteri sekarang," katanya.

INFO

Nama penuh: Hani Farhana Mohd Hatim
Tarikh lahir: 1 April 1984
Asal: Kuala Lumpur
Kerjaya: Penyampai radio Fly FM, Pengacara, Pencipta Lagu dan Penyanyi
Bilangan adik-beradik: Anak kedua daripada empat adik-beradik
Pencapaian akademik: Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam dan Kewartawanan
Pencapaian dalam bidang seni: Menerima pencalonan dua tahun berturut-turut dalam Favourite Radio Show, Shout Awards.
Pendidikan: Sekolah Rendah Damansara Utama (1991-1996), Sekolah Menengah Damansara Utama (1997-2001), program berkembar di Kolej Damansara Utama (2002-2003) dan Universiti Murdoch, Perth, Australia (2004-2006)


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Belasungkawa: Tiada lagi usikan Pak Uda

Posted: 19 Jun 2011 05:27 PM PDT

Hip

Cinta Zami Ismail kepada bidang seni kekal ke akhir hayat

TIADA lagi usikan nakal daripada lelaki yang lebih dikenali sebagai Pak Uda, nama wataknya dalam sitkom popular, Pi Mai Pi Mai Tang Tu apabila beliau pergi menghadap Yang Maha Esa kira-kira jam 10.30 pagi semalam akibat kegagalan jantung.

Pak Uda atau nama sebenarnya Zami Ismail, 67, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) selepas seminggu menerima rawatan. Allahyarham pada mulanya ke hospital berkenaan untuk melakukan pemeriksaan rutin, bagaimanapun, ditahan oleh pihak hospital. Sebelum ini, pelakon kelahiran Perak itu sudah beberapa kali dimasukkan ke hospital. Kali pertama pada 1997 diikuti pada 2007 apabila Allahyarham sekali lagi diserang sesak nafas ketika sedang menjalani penggambaran filem Shh... Dia Datang arahan Saiful Apek.

Kali ketiga pada Mei lalu, apabila Allahyarham mengadu sesak nafas ketika dalam perjalanan ke lokasi penggambaran program Aidilfitri berjudul Gulai Tempoyak di Hulu Langat. Allahyarham kemudian di hantar ke Hospital Ampang dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Allahyarham meninggalkan isteri Haizan Ibrahim serta sembilan anak iaitu Mohd Hitler, 39, Ahmad Yamashita, 38, Mohd Soupi, 37, Ismail Fahmi, 36, Khairul Afendi, 30, Aida Nurul Asikin, 29, Aida Nurul Wahyu,27, Mohd Firdauh, 24 dan Zaid Al Bahman, 21.

Cinta Zami atau Pak Uda yang sering memakai butang tidak betul pada bajunya dalam siri Pi Mai Pi Mai Tang Tu terhadap dunia seni yang diceburi secara serius sejak 80-an tidak pernah padam. Dalam keadaan kesihatan yang kian merosot hari demi hari, Allahyarham masih gigih berlakon.
Kata Allahyarham ketika ditemubual oleh akhbar Metro Ahad pada Mei lalu, kepuasan mencari duit daripada hasil kudrat sendiri lebih memuaskan hati walaupun anak-anaknya tidak pernah melupakan tanggungjawab mereka. Bagaimanapun, dia pula tidak mahu membebankan anak-anak kerana mereka juga perlu menanggung keluarga sendiri.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni lakon, Zami sudah menjayakan kira-kira 17 buah filem dan puluhan drama serta teater. Filem terakhirnya yang menemui penonton adalah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid yang berjaya mencatat kutipan lebih RM 8 juta. Manakala filem lakonannya yang juga di bawah arahan Mamat Khalid iaitu Husin, Mon dan Jin Pakai Toncet akan menemui penonton selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Sementara itu filem Shh... Dia Datang masih lagi belum menemui penonton berikutan beberapa masalah yang timbul.

Selain itu beberapa filem yang turut menyaksikan pembabitan Zami ialah Roda-Roda, Mat Som, Cinta Rosevilla, Gemerlapan, Diari Romeo, Man Laksa, Zombie Kampung Pisang, Dunia Baru The Movie serta banyak lagi.

Kredibiliti Zami sebagai pelakon tidak boleh dipertikaikan kerana beliau pernah menerima anugerah Pelakon Komedi Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) ke-9 untuk filem Mat Som. Zami juga turut dicalonkan bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada FFM 11 untuk filem Wanita Bertudung Hitam namun nasib tidak berpihak kepadanya ketika itu.

Hasrat peminat untuk melihat Zami kembali beraksi di pentas teater untuk sitkom popularnya The Return of Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada 26 Jun ini bagaimanapun tidak kesampaian apabila beliau terlebih dulu meninggalkan kita. Dibawakan khas Karyawan dengan usaha sama Kumpulan Syarikat Seri Melayu, sitkom berkenaan adalah hasil inisiatif Imuda yang juga pendukung watak Budin bagi mengenang kembali nostalgia sitkom popular yang dicetuskan oleh Dr Hatta Azad Khan sekitar 1987 dan diarahkan Othman Hafsham.

Anaknya Ahmad Yamashita berkata, bapanya dimasukkan ke IJN sejak seminggu lalu selepas menjalani pemeriksaan rutin. Kira-kira jam 2.30 pagi semalam, pernafasan bapanya terhenti. Bagaimanapun, pihak hospital berusaha juga untuk membantu Allahyarham.

"Keadaan bapa kritikal kira-kira jam 2.30 pagi apabila jantungnya berhenti berdenyut sehingga arwah terpaksa dibantu dengan mesin bantuan pernafasan. Doktor kemudian mencadangkan supaya arwah bapa menjalani pembedahan bagi memasukkan bateri kira-kira jam 5.30 pagi tadi.

"Selepas proses berkenaan, doktor memberitahu tindak balas selepas memasukkan bateri itu negatif dan meminta kami bersedia pada bila-bila masa saja. Arwah bapa kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 10.30 pagi. Kami sebenarnya tidak tahu bapa menghidap sakit jantung sehinggalah keadaannya kritikal malam tadi ," kata Ahmad Yamashita.

Jenazah Allahyarham Zami Ismail di bawa ke kampung halamannya di Tapah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tapah Road.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan