Harian Metro: Rap |
Posted: 11 May 2011 08:10 AM PDT GANDINGAN dua anak seni berbeza perspektif ini sememangnya menarik dan unik, sekali gus memberikan satu suasana temu bual yang jauh tersasar. Kelainan itu bakal membuka satu dimensi baru yang melangkaui imaginasi. Mana tidaknya, pertama kali dipertemukan, ia tidak sekali mengundang rasa janggal sebaliknya primadona filem tempatan, Erra Fazira begitu bijak menyusun cerita bagi memancing perhatian pasangannya, aktivis teater terkenal, Namron Abdan yang jelas tampak kekok pada awalnya. Bagaimanapun, senario itu bukanlah sesuatu yang pelik kerana mengenali jiwa seni Namron yang sebelum ini ligat beraksi di pentas teater, soal fotografi dan segala macam material publisiti bukanlah 'makanannya'. Mujur Erra yang sudah lebih 15 tahun berdiri depan lensa kamera, bijak membuka ruang buatnya bernafas selesa. Seloroh Namron yang sebelum ini terkenal menerusi lakonan hebatnya sebagai teraju utama filem Aku Tak Bodoh, pelik sungguh apabila diminta jurugambar memberikan gaya terbaik.
Entah apa agenda tersembunyi, hakikatnya si empunya nama sebenar Fazira Wan Chek disatukan julung kalinya bersama Namron untuk naskhah sentuhan Sabri Yunus, Sanggul Beracun. Drama istimewa terbitan Balang Rimbun Sdn Bhd untuk pakej Citra di Astro itu mengangkat simbolik mitos dan perjalanan misteri seorang wanita yang membunuh kejam 100 suami bagi mengekalkan kejelitaan yang diberikan kuasa syaitan. Ia digarap mengikut kisah dongeng klasik seram mempertaruhkan Erra selaku teraju utamanya bersama Namron, Haryanto Hassan dan Kaza Saisi bakal menemui penonton Ahad ini, jam 10 malam eksklusif di saluran 131, Astro Citra. Memegang watak sebagai Siti Aminah, aktres terkenal ini mengakui Sanggul Beracun antara yang terbaik dan berbeza berbanding mana-mana naskhah yang pernah dilakonkannya. "Meneliti skripnya dan memahami keseluruhan plot cerita, drama ini memerlukan semangat dan kesungguhan yang berbeza. Watak saya menuntut semua perasaan yang ada dan segala macam emosi yang tersorok. "Saya percaya 10 hari menjalani penggambarannya dengan gandingan hebat bersama Namron, memberikan satu pengalaman dan kepuasan yang luar biasa. "Mana tidaknya, kisahnya berpaksikan mitos yang kononnya Aminah terperangkap dalam satu perjanjian syaitan. Wajah Aminah hodoh sejak dilahirkan hingga ibu kandung sendiri meninggalkannya sebaik dilahirkan dan tidak lama kemudian, ayahnya pula meninggal dunia. "Lantas Aminah mengandaikan dirinya pembawa malang dan menyeru akan nasibnya yang memiliki wajah hodoh. Entah mana datangnya kuasa itu, Aminah diberikan wajah jelita, namun berpegang pada satu syarat, dia perlu membunuh 100 lelaki yang dikahwininya pada malam pertama. "Walaupun pernah singgah rasa ingin berubah dan cintakan lelaki yang dikahwininya, syaitan itu akan datang berbisik kepadanya untuk mengingatkan soal perjanjian jika tidak mahu kembali menjadi buruk. "Bayangkan, saya perlu memberikan sepenuh rasa untuk menghidupkan watak ini dan semuanya bertambah rumit apabila muncul pula watak Hassan lakonan Namron. "Namun, semuanya adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat diteka penonton jika gagal mengamati jalan ceritanya nanti. Sanggul Beracun adalah kisah serius penuh konflik," katanya yang begitu mengagumi Sabri selaku pengarah. Terlanjur bertemu aktres yang popular dengan deretan filem hebat dan pelbagai pengiktirafan pada majlis anugerah ini, lekas bibir bertanyakan mengenai perkembangan terbarunya. Sedar atau tidak, bintang berusia 37 tahun kelahiran Rawang, Selangor ini bagai sedikit senyap dan tidak sekerap dulu untuk muncul di gelanggang publisiti untuk lakonan di layar perak. Lama-kelamaan, pesona bintangnya bagai ditenggelami wajah baru yang kian menyinar. Menafikan ada bayangan ingin bersara atau merajuk daripada mana-mana pihak, Erra yang juga bintang filem Sembilu dan Hingga Hujung Nyawa ini memberitahu dirinya masih ada cuma kini komitmen dan tanggungjawabnya bukan setakat sibuk mengukuhkan kerjaya sebaliknya tumpuan perlu diberi kepada keluarga. "Saya sendiri yang memperlahankan kerjaya seni kerana ingin meluangkan lebih masa dengan keluarga dan membesarkan Engku Aleesya. Maklumlah, saya tidak mahu keluarga dan anak membesar tanpa perhatian sepenuhnya daripada saya. "Jujurnya, lebih 15 tahun bergelumang dalam lapangan seni dan membina empayar hingga ke hari ini, saya sudah puas dan mampu tersenyum dengan pengalaman yang ada. "Justeru tidak timbul soal merajuk atau terasa dengan kebangkitan wajah baru kerana sebagai seorang anak seni, saya begitu bangga melihat perkembangan industri perfileman yang tidak lagi ketandusan pelakon dan kekeringan idea untuk menggarap filem nafas baru. "Itu semua lumrah dan saya sudah bersedia untuk mengatur langkah ke fasa baru yang jauh lebih dewasa," katanya yang kini menunggu kontraknya sebagai wajah eksklusif Astro disambung untuk tahun ketiga. Mendengar sembang si jelitawan itu, Namron atau nama sebenar, Shahili Abdan sesekali menjengah pendapat dari jauh. Namun, jelas gaya mencelah anak kelahiran Kangar, Perlis ini begitu halus berlapik pendapatnya yang sebenarnya pedas. Peluang mendekati jiwa anak seni berbakat besar ini tidak sekali dipersiakan. Meskipun hadir bagi mempromosikan drama terbaru lakonan mereka berdua yang bakal ditayangkan di Astro Citra, sembangnya jauh melarat. Melihat pandangan mereka mengenai perkembangan industri seni, meninjau ulasan peribadi akan isu tertentu, malah sesekali masing-masing meluahkan pengalaman lampau untuk dijadikan topik perbualan. Lain pada gayanya, berbeza pada laras bercerita, kedua-dua bintang penuh warna ini begitu rancak berkongsi pengalaman berlakon bersama. Namron sendiri umpamanya yang bakal muncul dengan teater Tycoons bermula 20 hingga 28 Mei ini bertempat di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka menyifatkan setiap tawaran lakonan itu adalah keajaiban buatnya sebagai anak seni. "Setiap karya atau naskhah yang datang menjemput saya bagi menghidupkan watak "Lakonan sebuah budaya seni yang begitu halus dan memerlukan sepenuh fokus untuk menggerakkannya. Namun, peranan pengarah dalam menggarapkan sesebuah emosi itu begitu besar dan itu juga antara faktor utama mengapa saya begitu seronok untuk berlakon dalam drama ini. Sabri Yunus adalah penggiat teater yang begitu kreatif dan punya gaya kepengarahannya sendiri dan pastinya saya percaya dengan kredibilitinya. "Bercerita soal kerjaya lakonan saya yang lain, memang diakui ia tiada elemen populariti atau sebarang publisiti seperti kerja seni lain kerana kebiasaannya seni pentas teater bukan mencari nama atau mengumpul peminat kerana apa yang penting adalah perjuangannya sendiri. Namun, saya akui walau sejauh mana sekalipun mesej sesebuah teater itu, ia akan lebih lengkap jika ada sedikit suntikan komersial yang diberi. "Lantas saya kini gigih mencari ruang untuk membawa karya tersembunyi itu untuk dibawa ke depan agar peminat seni lain akan ia dapat dikongsikan dengan semua," katanya yang pernah membintangi beberapa filem lain termasuk Misteri Jalan Lama, Histeria, Gubra dan Paloh. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: 11 May 2011 08:05 AM PDT BUKAN hanya dikenali menerusi lakonan, pembabitan Omar @ Abdul Majid Puteh atau Aimi Jarr, 72, dalam dunia seni tanah air cukup dikenali dengan mata penanya yang kritis dan telus. Sebagai wartawan hiburan merangkap penulis skrip beliau berpengalaman luas mengenai selok-belok dunia seni tanah air lebih-lebih lagi era filem Melayu sekitar 50-an dan 60-an.
Beliau menyambut seruan Ilahi di kediamannya di Taman Melawati, Kuala Lumpur jam 8.05 pagi Selasa akibat serangan jantung. Sepanjang hayatnya, minat dan kecenderungan terhadap bidang penulisan tidak pernah padam. Sehinggakan pada usianya itu Allahyarham masih aktif sebagai panel perunding skrip di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) selain berkhidmat bersama rakannya, Datuk Yusof Haslam di Skop Productions Sdn Bhd sebagai panel penulisan skrip.
Beliau yang menganggap rakannya itu cukup dikenali dengan penulisan selain sumber rujukan utama memandangkan berpengalaman luas dalam dunia seni. "Saya mengenalinya sejak 1955. Dia seorang wartawan hiburan yang banyak mengetahui mengenai artis 50-an dan 60-an. Dia tidak henti menulis sejak bertugas di majalah Gelanggang Filem terbitan Allahyarham Tan Sri P Ramlee lagi. Ini satu kehilangan besar buat kita. "Dia bagaikan rujukan kepada kami sehinggakan ada beberapa babak dan lakonan membabitkan saya sendiri cukup diingati. Memang dia banyak mengetahui mengenai selok-belok filem Melayu disebabkan itu dia mendapat kepercayaan Finas. "Kami juga berkesempatan berlakon bersama dalam drama bersiri 13 episod, Pak Kadok yang masih disiarkan di TV2 setiap Sabtu jam 5 petang," katanya ketika ditemui di Masjid Klang Gate, Hulu Klang, kelmarin. Mengulas corak penulisan Aimi, Mustapha berkata, arwah agak kritis dan telus.
"Saya kagum dengannya yang cukup profesional. Ramai artis terhutang budi kepadanya. Dia banyak berjasa dalam dunia hiburan. Jiwa pada bidang penulisan cukup sebati dalam hidupnya. Selain berlakon dia juga menulis skrip," katanya. Sementara itu, Tan Sri Jins Shamsuddin berkata, Allahyarham sebagai rakan dan penulis yang baik. Dia mengenali Allahyarham lebih 50 tahun lalu. "Dia bukan sekadar wartawan tetapi sentiasa memberi pandangan mengenai filem dengan ideanya tersendiri. Kali terakhir kami berlakon bersama dalam drama Roda-Roda Kuala Lumpur (TV1) baru-baru ini. "Saya agak terkilan juga kerana tidak berkesempatan bertemunya kali terakhir kerana sebelum ini saya dapat tahu dia kurang sihat," katanya. Pelawak dan pelukis, A Rahim Muda atau Imuda pula, berkata arwah berpengalaman luas dalam bidang seni. Katanya, walaupun pernah menulis mengenai berita membabitkan dirinya, namun menganggap arwah cukup profesional dalam kerjayanya. "Dia seorang penulis yang berani. Saya masih ingat dia ada menulis mengenai gosip saya berkahwin dengan Susan Lancester tidak silap saya ketika dia bertugas di majalah VariaPop. "Walaupun digosipkan saya tidak memberikan apa-apa maklum balas. Pada saya ia adalah sebahagian daripada tugasnya malah saya juga tidak perlu memberi maklum balas kerana ia hanya khabar angin," katanya. Jenazah Aimi disembahyangkan di Masjid Klang Gate sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Klang Gate, Hulu Klang selepas solat Zuhur, kemarin. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Noriah Ishak, 74, tiga anak - Norimy, 44, Norlizda, 40, dan Romy, 34, serta dua cucu. Saudara-mara, kenalan media dan rakan artis turut menziarahi jenazah antaranya Datuk Yusof Haslam, Datuk A Rahman Hassan, Datuk M Daud Kilau, Datuk Sarimah Ahmad, Ahmad Tamimi Siregar, Rubiah Suparman, Habsah Hassan, Abby Abadi, Lydiawati dan Noreen Nor. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |