Harian Metro: Rap |
Posted: 06 May 2011 10:30 AM PDT CINTA tragik mereka masih belum berkesudahan. Apakah Bella akan memilih untuk terus menjadi pontianak atau beralih kepada seorang lagi kekasih daripada kelompok serigala jadian? Itulah yang menjadi tanda tanya bagi mereka yang menggemari dan mengikuti perkembangan filem bersiri terhebat, Twilight. Kali pertama peminat dibuai kisah cinta Bella Swan lakonan Kristen Stewart dan pontianak berusia 104 tahun, Edward Cullen (Robert Pattinson) adalah menerusi Twilight pada 2008. Ia ternyata mencetuskan fenomena luar biasa di pawagam antarabangsa ketika itu. Keserasian yang ditunjukkan mereka bukan saja melariskan filem adaptasi karya Stephenie Meyer itu malah sekuel seterusnya, New Moon muncul setahun kemudian dan terus mendapat sambutan.
Kini tibalah masanya untuk menonton sekuel terbaru pada tahun ini, The Twilight Saga: Breaking Dawn - Part 1. Mengikut versi novel, plot kali ini dibahagikan kepada tiga bahagian. Pertama, kehidupan Bella selepas berkahwin dan berbulan madu bersama Edward di sebuah pulau. Dua minggu selepas berbulan madu, Bella menyedari dia sudah mengandung tetapi bayi itu adalah separuh genetik pontianak yang membuatkan keadaan tubuhnya mula tidak stabil. Konflik timbul pula apabila Edward meminta isterinya menggugurkan bayi itu tetapi ditolak Bella dengan keras. Lebih mendebarkan, bahagian cerita kedua menyaksikan tindakan masyarakat Quileute mahukan Jacob membunuh bayi Bella itu selepas percaya anak yang bakal dilahirkan itu akan mengundang mara bahaya kepada generasi mereka. Jacob bagaimanapun menentang keputusan itu sehingga Bella melahirkan bayi yang diberi nama Renesmee. Manakala bahagian ketiga lebih memfokuskan bagaimana Bella melalui transformasi menyakitkan selepas fizikalnya berubah menjadi pontianak seperti mana Edward. Dia menempuh kehidupan serba baru dan cuba mengenali kelebihan yang wujud dalam dirinya itu. Dari aspek produksi, babak bulan madu Bella bersama Edward dibuat di St Thomas, Caribbean dan penggambaran itu selesai pada 22 April lalu. Penggambaran sekuel ini turut membabitkan sekuel seterusnya, The Twilight Saga: Breaking Dawn - Part 2. Dua sekuel ini memulakan penggambaran pada November lalu dan turut mengambil lokasi di Brazil, Baton Rouge, Louisiana, Vancouver, Squamish dan British Columbia, Kanada. Jelas keserasian Robert bersama Kristen menerusi tiga sekuel sebelum ini memberi kekuatan kepada filem ini bagi menarik perhatian penonton untuk terus khayal bersama kisah cinta pelik mereka itu. Harian Metro turut menerima beberapa foto eksklusif daripada pihak pengedar Dalam perkembangan lain, Robert, 24, dari London, masih menafikan wujud hubungan cinta antara dia dengan Kristen. Sejak mula membabitkan diri dengan lakonan pada usia 15 tahun, dia tidak mudah mengaku bercinta dengan seseorang untuk meraih publisiti. "Orang selalu beranggapan segala apa yang kami buat diatur pihak tertentu tapi sebenarnya tidak. Tiada unsur 'silap mata' dalam hubungan kami sebaliknya kami hanya menjadi diri sendiri. Memang tiada perkara negatif berlaku pada kami," katanya. Dalam menjelaskan hubungan sebenar antara dia dengan Kristen, Robert terbuka bercerita mengenai hasrat mempunyai majlis perkahwinan sendiri. "Saya pernah menyatakan untuk berkahwin di satu kawasan iaitu Napa Valley, California. Suasana di sana sungguh indah dan mungkin saya melangsungkan majlis kahwin di sana," katanya. Bagi Kristen, dia semakin memahami karakter Bella sebagai wanita yang berani dan berusaha menyayangi anak sendiri selepas melalui pengalaman hidup bersama Edward. "Saya sukakan idea filem ini yang menampilkan watak Bella bertarung untuk menyelamatkan anaknya agar dia dapat dilahirkan. "Apa yang mencabar, Bella sanggup mati demi anaknya. Insiden seperti ini sebenarnya boleh berlaku pada gadis seusia saya dalam kehidupan realiti. "Bukan soal kehidupan pontianak yang ingin disampaikan tapi nilai kasih sayang seorang ibu kepada bayi mereka," katanya. Kristen, 21, tidak hanya bergantung pada satu filem dalam menimba pengalaman lakon tetapi turut mencuba nasib dengan filem lain. Tahun ini, dia juga akan muncul dengan filem terbaru, On The Road arahan Walter Salles menyaksikan dia bergandingan bersama aktor Garrett Hedlund dan Sam Riley. PROFIL NAMA: Robert Thomas Pattinson PROFIL NAMA: Kristen Stewart |
Posted: 06 May 2011 10:09 AM PDT GOSIP cinta antara juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Ahmad Shahir Zawani atau Shahir, 23, dan dramatis popular, Rozita Che Wan, 39, kembali hangat diperkatakan walaupun mereka menafikannya. Timbul cerita mengatakan kedua-dua artis ini sempat 'memadu kasih' sebaik majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH 2010) yang berlangsung awal April lalu di Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang berakhir. Shahir dan Rozita dikatakan sempat bertemu di lobi hotel tempat mereka menginap, bagaimanapun apabila kedua-dua mereka terserempak dengan wakil media yang turut berada di tempat itu, mereka cuba mengelak dengan bertindak seperti tiada apa-apa berlaku antara mereka. Shahir yang menang Artis Baru Lelaki Popular malam itu turut menjelaskan dia turun ke lobi bagi berkongsi kejayaan bersama kelab peminat. Gosip yang disiarkan membabitkan pertemuan mereka itu ternyata menimbulkan rasa kurang senang di kalangan peminatnya hingga Kelab penyokong Shahir dan Adira, Shahiratics menghantar kenyataan akhbar menegaskan apa yang dikatakan penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu adalah benar.
"Oleh itu, kami rasa wajar dan bertanggungjawab untuk membantu Shahir menjelaskan keadaan sebenar kepada media memandangkan isu ini mula disalahertikan," katanya. Jelas Anizah, sebelum bertemu dengan Shahiratics, Shahir turut berkongsi kemenangannya bersama keluarga serta Kelab Peminat Shahir sendiri sejurus majlis Post Party berakhir. "Waktu itu kelab peminat Shahiratics pulang ke hotel (Hotel First World). Namun, pada jam 2.40 pagi, wakil dari pihak pengurusan Astro menghubungi pengurusan Shahiratics dan mengajak kami bertemu dengan Shahir di lobi Hotel Theme Park pada pagi itu juga. "Pertemuan dibuat pada pagi itu juga memandangkan pihak pengurusan Astro sedia maklum ada antara kami yang harus pulang pada pagi itu juga termasuk peminat yang datang satu keluarga dari Singapura. "Kami tiba di lobi Hotel Theme Park lebih kurang jam 3.10 pagi. Dengan kata lain, pertemuan kami dengan Shahir diatur pengurusan Astro yang mengenali kami. "Bagaimanapun setibanya Shahratics di lobi Hotel Theme Park, kami melihat kelibat Rozita turut kelihatan duduk bersama dengan sekumpulan kakitangan Astro. Mereka juga sering bekerjasama menguruskan aktiviti seni Shahir. "Waktu itu, terdapat juga beberapa lagi peminat lain turut menunggu untuk bertemu dengan Shahir di situ. Pertemuan berlangsung selama 40 minit dan kami bersurai sekitar jam 3.50 pagi sebelum Shahir beredar bersama pihak pengurusan Astro," katanya. Penjelasan dilakukan Shahiratics diharapkan dapat menjelaskan kedudukan sebenar mengenai gosip pertemuan 'rahsia' antara pelakon filem Karak itu dengan Rozita supaya tidak berlaku seperti yang sedang hangat diperkatakan. Dalam penjelasan dibuat, Anizah mewakili anggota kelab peminat Shahir dan Adira turut menyertakan beberapa keping gambar yang menjadi bukti bahawa pada pagi itu memang benar penyanyi popular itu hadir di hotel lobi yang dikatakan itu untuk melayani peminat sebagai penghargaan atas sokongan mereka terhadapnya selama ini. Bagaimanapun, gambar membabitkan wajah peminat, terpaksa dikaburkan atas permintaan beberapa peminat itu sendiri. Jelas Anizah, pihaknya mengharapkan agar dengan penjelasan dibuat tidak memanjangkan lagi gosip hubungan cinta antara Shahir dan Rozita. Katanya, pengurusan Shahiratics tampil membuat kenyataan kerana berasa bertanggungjawab dan bersalah terhadap Shahir di atas gosip yang didakwa tidak benar. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |