Adsense

Ahad, 10 April 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Bidang Lakonan Bantu Shahir Hayati Nyanyian

Posted: 09 Apr 2011 10:39 AM PDT

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Shahir merasakan bidang lakonan banyak membantunya untuk menghayati nyanyian sesebuah lagu itu.

Lebih-lebih lagi penghayatan itu diperlukan ketika membikin klip video.

Juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) ini akui sejak berlakon dalam filem Karak, rindunya untuk berlakon lagi semakin kuat dalam hati.

"Saya sedar bahawa saya berasal sebagai bintang realiti nyanyian. Apabila saya cuba menyelami diri sebagai pelakon, ia sedikit sebanyak membantu saya untuk menghayati lagu.

"Selepas ini, saya dijangka akan berlakon dalam sebuah telefilem yang masih dalam perbincangan dengan pihak Astro," kata Shahir yang menantikan kemunculan filem Karak di pawagam bermula 26 Mei ini.

Selain bergelar penyanyi dan pelakon, anak jati Perak ini turut melibatkan diri dalam bidang gubahan lagu dan lirik.
Shahir ketika memberikan ucapan sempena kemenangan Artis Baru Popular.

Terbaru, Shahir sedang mencipta lagu dan lirik berentak pop rock. Dia juga menulis lirik lagu yang ditujukan khas buat ibu.

Beralih kepada album sulungnya, penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan ini telah merakamkan lima buah lagu yang mempunyai kekuatan berlainan dengan sentuhan daripada komposer terkenal seperti Sham (Kamikaze), Audi Mok dan Edry Abdul Halim.

"Kalau boleh saya nak cepat terbitkan album ini tetapi sehingga sekarang masih menunggu masa yang sesuai.

"Jadi, saya mengeluarkan lagu single satu persatu. Sekarang ini, single Luar Biasa sedang diputarkan di radio," ujarnya.

Mengulas sedikit tentang kejayaannya dipilih sebagai Artis Baru Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) 2010, Shahir yang pada mulanya tidak menjangkakan kemenangan tersebut amat berterima kasih kerana peminat masih menyokongnya dari belakang.

"Saya rasa bertuah kerana peminat masih kuat menyokong saya. Sokongan mereka memberikan saya semangat yang kuat untuk kembali semula dalam industri selepas menyepi seketika sebelum ini.

"Industri seni kita sangat kecil dan peminat sendiri yang akan menaikkan seseorang artis itu.

"Sebolehnya saya tidak mahu naik disebabkan kontroversi," komennya yang kalah kepada Faizal Tahir bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular.

Rosnan Berjaya Jiwai 4 Watak Dalam 'Rebab Berbisik'

Posted: 09 Apr 2011 10:38 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pementasan pertama teater monodrama Rebab Berbisik pada malam Jumaat lalu nyata berjaya memberi kelainan kepada penonton yang biasa dihidangkan dengan pementasan teater muzikal sejak kebelakangan ini.

Bertempat di Lambang Sari, Istana Budaya, teater yang dilakonkan oleh satu-satunya pelakon Pak Yong di Malaysia, Rosnan Rahman ini, berjaya menyampaikan mesej utama iaitu memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepupusan tarian tradisional tersebut.

Mengambil masa selama lebih kurang 1 jam 15 minit, Rosnan berjaya membawa penonton menghayati dan menyelami isi hati pengiat seni tarian yang hampir dilupai ini.

Bukan itu sahaja, empat watak yang dibawakan oleh Rosnan iaitu watak Pak Su Mat, Mek Ning, Ustaz dan Mak Yah dilakonkan dengan baik dan dapat difahami audien.

Kesinambungan dari satu watak ke watak yang lain turut membantu jalan cerita lebih difahami, contohnya peralihan antara watak Pak Su kepada watak Ustaz membantu penonton memahami situasi yang cuba diceritakan oleh watak Pak Su.

Begitu juga watak Mak Yah atau Mimi iaitu watak salah seorang anak Pak Su sangat menghiburkan sehingga membuatkan penonton tidak kering gusi.

Bagaimanapun, Rosnan yang ditemui selepas selesai persembahan tersebut mengakui tidak berpuas hati dengan persembahan pada malam pertama itu.

"Saya akui agak gementar mungkin kerana ini merupakan persembahan pertama dan disaksikan oleh Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said.

"Namun apa yang saya cuba sampaikan secara keseluruhannya berjaya disampaikan pada malam ini, Insya-Allah pada malam seterusnya saya akan buat lebih baik lagi," katanya.

Tambahnya, cabaran utama ketika membuat persembahan tersebut adalah peralihan antara satu watak ke watak yang lain.

"Saya tak mahu penonton keliru dengan empat watak tersebut. Jadi saya kena pastikan kelainan terutamanya dari imej dan bahasa,

"Selain itu, cabaran besar tentunya membawakan watak Pak Su Mat berusia 70-an sedangkan saya sendiri baru berusia 30-an." katanya yang sudah 12 kali mementaskan teater tersebut.

Menurut Rosnan, Rebab Berbisik mula dipentaskan di Stor Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2007. Kemudian monodrama arahan Rahimidin Zahari itu turut dibawa ke negeri lain dan dipentaskan di pusat pengajian tinggi awam.

Rebab Berbisik mengisahkan emosi Pak Su Mat dan Mek Ning yang juga primadona Mak Yung terkenal pada zaman kegemilangan seni itu suatu ketika dulu.

Pementasan monodrama ini diadakan selama empat hari bermula 8 April hingga 11 April.

Manakala, tiket pada 9 dan 10 April habis dibeli JW United Corporation Sdn Bhd dan Institut Terjemahan Negara manakala Yayasan Pink Tringle membuat tempahan semua tiket pada 11 April.

Aeril Zafrel Tak Mahu Jadi Hero Kanak-Kanak

Posted: 09 Apr 2011 10:37 AM PDT

PETALING JAYA: Sering mendapat tawaran memegang watak belasan tahun, Pelakon Aeril Zafrel , 23 memberitahu dia ingin keluar dari kepompong hero kanak-kanak tersebut.

Tambah Aeril, dia mahu diberi peluang untuk memainkan watak yang agak dewasa atau seusia dengannya.

"Sejak mula terlibat dalam lakonan saya bermula dengan drama Kisah Kaishara, menjadi pelajar belasan tahun yang masih menduduki sekolah menengah.

"Selepas itu ada juga beberapa drama dan filem Aku Tak Bodoh, juga saya memainkan watak pelajar sekolah menengah. saya tidak memilih tapi jika diberi pilihan saya ingin cuba watak yang seusia dengan umur saya," ujarnya.

Bagaimanapun, Aeril mengakui dirinya lebih dikenali dikalangan remaja berbanding peminat dewasa.

"Ramai yang tidak kenal saya, kalau ada peminat sekalipun kebanyakkanya dikalangan remaja dan pelajar sekolah," katanya.

Namun begitu, jelas Aeril, dia bakal bergandingan dengan pelakon popular, Tiz Zaqyah dalam filem terbaru berjudul Cinta Kura-Kura.

"Pertama kali saya keluar dari watak pelajar sekolah apabila dapat bergandingan dengan Tiz Zaqyah dalam filem Cinta Kura-Kura.

"Saya harap selepas ini saya akan diterima untuk watak-watak dewasa lagi," katanya.

Dalam pada itu, Aertil juga memberitahu dia tidak suka mengambil lebih daripada satu tawaran dalam sesuatu masa.

"Saya mahu watak saya dapat dibezakan dalam satu drama ke suatu drama. Kalau boleh imej saya juga boleh nampak berbeza, contohnya satu drama fesyen rambut dan imej berbeza dengan drama yang lain," katanya.