Adsense

Selasa, 5 April 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Untukmu ibu

Posted: 04 Apr 2011 02:44 PM PDT

Hip

Impian Shaheizy Sam genggam trofi ABPBH jadi nyata

SELAMA ini dia hanya memerhatikan dari jauh rakan seperjuangannya menggenggam trofi yang menjadi idaman ramai itu. Malah, jauh di sudut hatinya, pernah juga timbul angan-angan untuk memiliki anugerah yang sama. Namun sedar akan kekurangan diri, membuatkan pelakon Shaheizy Sam lebih selesa menyimpan saja hasratnya itu dan menjadikannya sebagai rahsia peribadi.

Tapi, siapa sangka, dari angan-angan, bertukar menjadi kenyataan. Bermula daripada sebuah mimpi, kini ia bertukar menjadi realiti. Anugerah Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH 2010) yang pernah diimpikannya suatu waktu dulu kini menjadi milik mutlaknya. Saat namanya diumumkan sebagai pemenang kategori itu, Sam sedang ditemubual di belakang pentas kerana sebelum itu dia juga mengungguli kategori Pelakon Filem Lelaki Popular. Ternyata Tuhan menjawab doa jejaka ini apabila hasratnya itu dimakbulkan walaupun mengambil masa agak lama.

"Sebelum ini memang saya hanya melihat dari jauh bagaimana artis lain naik ke pentas untuk menerima anugerah Bintang Popular. Terdetik juga dalam hati untuk menjadi seperti mereka. Tapi bila saya sedar yang saya tidaklah popular mana, saya pendamkan saja hasrat itu dalam hati. Maklum saja, sewaktu awal-awal kemunculan saya dalam bidang ini, tak siapa yang sedar kewujudan saya dalam bidang ini.

"Sehinggakan pada suatu ketika kelibat saya jarang muncul di kaca televisyen, mereka menyangkakan saya sudah tidak mahu berlakon lagi," terang jejaka ini.

Pada malam kemuncak ABPBH 2010 yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, malam kelmarin, Sam dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular dengan menerima undian sebanyak 126,168 undian sekali gus menewaskan calon kegemaran lain seperti Shahir, Zizan, Aznil Nawawi dan Faizal Tahir.
Dengan kemenangan itu Sam membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM310,000, iaitu kenderaan Nissan Teana 2.0 berharga RM133,400 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, aksesori mutiara putih koleksi Primadona Klasik tajaan Rafflesia/Mandalay bernilai RM180,000, hadiah iringan dan trofi.

Sambil mengakui persaingan sememangnya cukup hebat, Sam menyifatkan kemenangan itu sebagai isyarat daripada peminat yang menyukai hasil kerjanya.

"Apabila saya menang kategori ini, saya tidak melihat perkara itu sebagai kemenangan dari segi populariti saja tetapi juga satu cara untuk peminat menghargai cara kerja kita. Saya ceburi bidang lakonan kerana saya amat meminatinya dan bukan kerana mahu mengejar populariti. "Begitupun saya percaya, apabila kita buat kerja dengan ikhlas, kita akan mendapat ganjarannya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama keluarga yang banyak memberi sokongan dan dorongan, juga untuk media kerana menulis banyak cerita mengenai saya. Tanpa tulisan anda, saya tidak akan dikenali.

"Ucapan terima kasih ini juga saya tujukan kepada peminat yang sanggup membeli akhbar hari-hari, hantar borang undian. Bukan calang-calang orang boleh buat kerja seperti itu dan saya amat menghargainya," ujar jejaka yang berusia 29 tahun ini.

Ketika namanya diumumkan sebagai pemenang, Sam secara spontan menjemput ibunya yang lebih dikenali sebagai Mummy Khaty naik ke pentas.

Ditanya apakah rasionalnya dia berbuat demikian, tiba-tiba air mata lelakinya gugur membasahi pipi. Suasana menjadi bungkam dan selepas sedu-sedannya reda, barulah Sam kembali bersuara dan menjelaskan segala-galanya.

"Apa yang saya buat selama ini adalah semata-mata untuk ibu saya. Dialah hidup saya dan saya buat semua ini hanyalah kerananya. Sebagai seorang ibu tunggal, dialah yang bersusah payah untuk membesarkan saya dan kerana itulah saya mahu dia bersama-sama dengan saya di atas pentas untuk berkongsi kegembiraan itu.

"Masih terbayang betapa setiap pagi dia akan mengundi saya bukan saja menerusi undian pos, tetapi juga melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS). Kalau dia tak berkesempatan untuk membeli akhbar, dia sanggup cari orang lain untuk menolongnya asalkan rutin hariannya untuk mengundi saya termakbul," katanya yang akan menghadiahkan kalung kemenangannya itu kepada ibu tercinta.

Mengulas stigma yang sering diberikan kepada pelakon yang menang anugerah iaitu akan bersikap demanding dan mula naik harga, Sam menegaskan perkara itu tak mungkin akan berlaku dan penerbit tidak perlu risau kerana dia masih seperti Sam yang dulu.

Harap Sam tidak berubah

HANYA air mata gembira menitis di pipi ibu penyayang itu apabila anak bongsunya diumumkan sebagai Bintang Paling Popular 2010.

Sebagai insan paling akrab, Mummy Khaty mengakui banyak laluan getir yang perlu ditempuhi Sam, namun segala-galanya dihadapi tanpa keluh kesah.

"Sam mula berlakon sejak 12 tahun, jadi Mummy dan semua adik-beradiknya tahu Sam memang berbakat. Cuma barangkali rezeki belum menyebelahinya, hinggalah tibanya hari ini.

"Mummy sekadar memberi galakan dan tidak henti mendoakan kejayaan serta kesejahteraan buat semua anak-anak Mummy tidak terkecuali Sam.

"Sebagai ibu, Mummy lihat dia cukup komited dengan bidang yang dicintainya dan bagi Mummy, Sam sememangnya layak dipilih sebagai Bintang Paling Popular," katanya yang turut ditemani anak-anaknya lain mengiringi Sam ke ABPBH 2010.

Katanya, hubungan kekeluargaan mereka cukup erat, malah kedatangan ke majlis terbabit bukan hanya untuk menemani pelakon terbabit malah menyokong usaha Berita Harian menganjurkan acara gah seumpama itu.

Bercerita mengenai anaknya, si ibu menegaskan kesungguhan Sam terhadap kerja ada kala membuatkan mereka jarang bertemu walau duduk sebumbung.

Cuma dia tidak pernah melupakan ibunya kerana jika ada kesempatan, sebelum pulang ke rumah Sam akan meminta ibunya menunggu untuk makan bersama-sama semata-mata mahu berbual walau pun pada lewat malam.

"Itulah perangai manjanya. Kalau soal kerja memang dia tidak main-main. Sanggup bersengkang mata dan selalunya jika sudah terikat dengan jadual penggambaran, susah untuk berjumpanya di rumah.

"Mummy faham apabila orang sudah beri kepercayaan, dia akan cuba sehabis baik kerana tidak mahu mensia-siakannya. Dia juga bukan jenis bersungut, kalau penat dia tidur. Itu saja," katanya lagi.

Cuma ketika diumumkan mara sebagai finalis ABPBH 2010, katanya Sam pernah mengatakan enggan meletak sebarang harapan kerana tidak mahu kecewa.

Justeru, sudah pasti Mummy Khaty terharu dan bangga apabila hasil usaha keras Sam selama ini mendapat penghargaan sewajarnya.

"Bukan Mummy mahu memuji Sam sebab dia anak Mummy. Dia bermula awal di bidang lakonan tetapi lambat naik. Dia bekerja keras. Dari dulu Mummy sudah nampak hala tujunya dan hari ini kesungguhannya dihargai.

"Cuma Mummy harap dia sentiasa menjadi dirinya, jangan berubah. Mummy selalu pesan pada anak-anak, biar kita kurang makan jangan kurang ajar. Itu juga pesan Mummy padanya," katanya.

Di parti selepas majlis, tidak cukup dengan pelukan sesekali kelihatan Sam mencium pipi ibunya sekali gus menggambarkan sememangnya pelakon Ngangkung itu cukup akrab dengan ibunya.

Tambah Mummy Khaty lagi, walau sudah besar panjang, sesekali Sam masih meminta ibunya menyuapkan makanan walaupun hidangan sudah di depan mata.

"Sebenarnya Sam dan kakaknya, Zizie (Ezzette) cukup manja. Tambahan pula kalau dua tiga hari tak berjumpa sebab sibuk dengan kerja, memang mahu makan bersuap.

"Jadi tidak kiralah siapa saja pilihan Sam nanti sebagai calon isteri, Mummy cuma berharap dia dapat menjaga Sam seperti Mummy menjaganya," ujarnya lagi yang menyatakan Sam amat menggemari masakan ikan keli goreng berlada dan masak lemak telur itik.

Lagi berita dan gambar-gambar menarik sekitar malam kemuncak ABPBH 2010, dapatkan naskhah Berita Harian hari ini


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Juvana didik penonton

Posted: 04 Apr 2011 02:33 PM PDT

Hip

BRONT dan Zahiril, dua tunggak utama Juvana.

BRONT dan Zahiril, dua tunggak utama Juvana.

Kisah remaja dituduh membunuh, jadi mangsa buli

DRAMA tempatan adalah antara medium yang mempunyai pengaruh yang agak besar dalam mendidik minda masyarakat kita. Oleh itu, penggiat seni seharusnya mempunyai daya pemikiran kreatif kerana selain daripada meraih keuntungan, setidak tidaknya hasil karya mereka dapat mendidik penonton supaya sama-sama dapat mencapai kesedaran.

Itulah yang ingin disampaikan oleh sutradara, Faisal Ishak, menerusi drama bersiri arahan terbarunya, Juvana. Ia bukan sekadar hiburan semata-mata, malah mahu mendidik penonton di samping ingin menampilkan kelainan dalam memperkenalkan sisi gelap kehidupan masyarakat kita. Faisal yang banyak bekerjasama dengan pengarah terkenal, Khabir Bhatia ini berkata drama arahannya ini mempunyai moral yang memberi inspirasi kepada sesiapa yang menontonnya.

"Drama Juvana ialah sebuah cereka berdasarkan kehidupan realiti di mana kita lihat kini gejala sosial di kalangan remaja sedang menghantui kehidupan seisi masyarakat. Namun masalah sosial ini bukannya datang daripada keturunan, tapi datangnya dari pelbagai sisi.

"Drama ini mempunyai kekuatan di dalam jalan ceritanya, di mana ia berkisarkan orang tidak bersalah menjadi mangsa tuduhan, seseorang yang ada di suatu tempat pada satu masa yang salah. Menerusi drama ini juga, penonton dapat melihat sisi kehidupan yang jarang digambarkan.

"Bukan semua remaja yang bermasalah mempunyai masa depan yang gelap, apa yang penting adalah keinginan diri sendiri untuk memperbaiki cara hidup. Kita selalu mahu gerak ke hadapan dan bukannya ke belakang, oleh itu drama ini dihasilkan bukan saja untuk penonton yang mahukan kelainan, namun untuk mencabar diri menghasilkan yang terbaik," katanya.
Faisal sebelum ini pernah mengarahkan drama Natasha, Rafflesia, Nur Kasih, Tiramisu, Tudung Ekspress, Habil Qabil, Kabir Hero Kabir Zero dan banyak lagi.

Antara pelakon yang terbabit dalam drama ini ialah Bront Palarae, Izreen Azminda, Zahiril Adzim, Irfan Roslan dan Beto Khusairy.

Drama bersiri sebanyak 13 episod yang akan menemui penonton mulai 25 April ini berkisarkan mengenai seorang remaja berusia 17 tahun, Daim Yahya, yang didapati bersalah atas tuduhan membunuh ibu serta teman lelaki ibunya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman agar dia dihantar ke Sekolah Pemulihan Akhlak Wira Bakti, iaitu sebuah sekolah Badan Bukan Kerajaan (NGO), sehingga dia cukup umur untuk dibicarakan semula.

Daim menjadi mangsa buli oleh sekumpulan pelajar yang terbabit dengan kes jenayah yang serius. Raja, watak yang dibawa oleh Bront Palarae, warden yang tidak mempunyai perasaan belas kasihan enggan campur tangan dan hanya membiarkan kejadian itu terus berlaku.

Tidak selamanya bernasib malang, Daim mempunyai harapan apabila Cikgu Zakiah (Izreen Azminda), satu-satunya guru wanita di situ, ditugaskan ke sekolah terbabit.

Zahiril banyak bermain emosi

DAIM, watak utama yang dibawakan oleh Zahiril Adzim, 27, seorang yang pendiam, kurang keyakinan diri dan sentiasa ditindas di atas kesalahan yang bukan miliknya. Disebabkan saiz tubuh badannya yang kecil, Zahiril sering membawakan watak remaja, namun kali ini watak yang diterimanya diakui agak berat berbanding sebelum ini.

"Watak Daim satu watak yang menarik dan tanpa berfikir dua kali saya terus setuju untuk melakonkan watak itu, iaitu sebagai seorang budak juvana.

"Ia adalah satu watak yang agak berat dan tidak senang untuk menjayakannya, tapi syukur saya boleh melakukannya. Pada mulanya, saya tidak banyak berdialog, di mana mimik muka banyak memainkan peranan. Bukan senang untuk melahirkan reaksi, seperti perasaan marah melalui muka saja.

"Ini adalah suatu perkara yang saya pelajari di mana jika kita mahu penonton rasa yang ingin kita sampaikan, kita juga sebagai pelakon harus merasainya sendiri di samping mendalami sendiri perasaan terbabit," katanya yang ditemui di lokasi penggambaran drama berkenaan, di Hulu Langat baru-baru ini.

Tidak ketinggalan beraksi dalam drama ini ialah Izreen Azminda. Mungkin ramai peminat kurang mengenali wanita ini, tapi Izreen sudah menjayakan hampir lebih 20 drama tempatan, antaranya ialah Gelora Di Hati Sarah, Nenek Kebaya, Isabella dan sedang ditayangkan kini, Samson dan Delaila.

"Sebelum ini saya banyak membawa watak kecil, dan sejak kebelakangan ini barulah saya mendapat watak yang menonjolkan diri saya. Begitu juga, dulu saya banyak menjayakan watak antagonis, namun drama Juvana memberikan saya peluang pertama melakonkan watak baik.

"Selain itu, ini juga adalah kali pertama saya memakai tudung dalam sesebuah drama. Saya sering menginginkan watak yang berlainan. Justeru apabila saya ditawarkan untuk berlakon dalam drama ini sebagai Cikgu Zakiah, tanpa rasa ragu, saya menerimanya dengan tangan terbuka," kata bekas finalis Dewi Remaja 2007 ini.

Ingin menyaksikan cereka yang penuh dengan nilai moral ini menerusi lakonan pelakon pelapis yang tidak kurang hebatnya, jangan lupa nantikan kemunculannya mulai 25 April ini, bersiaran pada setiap Isnin, jam 9 malam, hanya di TV3.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.