Adsense

Jumaat, 1 April 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Pemenangnya adalah...

Posted: 31 Mar 2011 03:34 PM PDT

Hip

Rakan artis ramalkan Lisa, Sam, Zizan calon pilihan Bintang Paling Popular ABPBH 2010

AHAD ini, akan diketahui siapa pemenang 16 kategori Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2010) selain Bintang Paling Popular apabila nama mereka diumumkan pada malam kemuncaknya di Arena of Stars Genting Highlands.

Bagi mereka yang tidak berpeluang ke Arena of Stars, acara gemilang ABPBH2010 ini boleh diikuti di TV3 selain radio HotFM kerana kedua-dua stesen penyiaran itu turut membuat siaran secara langsung. Bukan sahaja peminat dan pembaca Berita Harian, malahan di kalangan artis sendiri termasuk mereka yang tersenarai dalam Top ABPBH 2010 turut mempunyai pilihan sendiri siapa yang bakal menerima trofi Bintang Paling Popular ABPBH edisi ke-24.

Lisa Surihani, Shaheizy Sam dan Zizan antara calon yang disebut-sebut sebagai Bintang Paling Popular kali ini. Beberapa artis juga turut menjadi sebutan dikalangan rakan artis untuk memenangi kategori yang dipertandingkan seperti Diana Danielle, Scha Alyahya, Yuna, Faizal Tahir, Shahir, Aizat, Sharifah Shahirah, Raja Azura @ Kak Engku, Aznil Nawawi, Bunkface malahan Nurul Elfira Loy juga dikatakan ada peluang masing-masing.

Ramalan untuk berasakan mereka boleh menang adalah berdasarkan kepada bakat, populariti, hasil kerja yang diminati seperti filem atau lagu serta sokongan peminat daripada laman sosial masing-masing seperti Facebook dan Twitter.

Adat pertandingan, ada kalah dan menang. Ikutkan memang semua orang nak menang. Peminat juga mahu artis pilihan mereka menang. Berikut adalah sebahagian artis yang juga finalis ABPBH2010 yang disoal Hip untuk siapakah calon pilihan mereka untuk menang dalam kategori masing-masing yang akan diumumkan 3 April ini.
ZIZAN

"Bintang Paling Popular ABPBH 2010 pilihan saya sama ada Lisa Surihani atau Shaheizy Sam. Nama mereka tengah panas sekarang. Banyak filem yang mereka bintangi, meletup! Tidak mustahil dengan bakat yang mereka miliki, boleh memenangi anugerah itu. Saya mendoakan rezeki untuk kedua-dua rakan saya ini. Malah peminat sendiri boleh menilai sendiri keberkesanan lakonan mereka.

"Bagi Penyanyi Lelaki Popular, nama yang sedang panas ialah Faizal Tahir. Kita dapat lihat di mana-mana saja ada peminat Faizal, lagunya pun kerap diputarkan di radio dan menjadi pilihan pendengar.

"Manakala Penyanyi Wanita Popular, saya rasa Yuna mampu menewaskan calon yang lain. Yuna penyanyi yang rendah diri dan dia juga mampu untuk pergi jauh serta bakatnya yang tiada tandingan.

BLACK MENTOR

"Bintang Paling Popular pilihan saya ialah Zizan. Saya antara peminatnya dan saya suka cara serta idea dia membuat orang ketawa dan terhibur. Anuar Zain berpotensi untuk menang Penyanyi Lelaki Popular dan siapa tahu sekian lama dia tidak muncul, dia akan kembali membuat kejutan.

"Pelakon Filem Wanita pilihan saya ialah Diana Danielle. Dia ada karektor yang positif tidak kira bersama peminat mahupun rakan-rakan, tidak sombong. Artis Baru Lelaki Popular pilihan saya ialah Shahir. Shahir ada peminat yang ramai dan kita boleh tengok ke mana saja dia pergi, mesti dikelilingi peminat serta namanya kini sedang meningkat, tidak mustahil untuk Shahir meraih anugerah ini.

NURUL ELFIRA LOY

"Saya dengar ura-ura, Lisa Surihani, Shaheizy Sam atau Zizan antara yang mampu membawa pulang hadiah Bintang Paling Popular. "Berdasarkan populariti, Bunkface berpeluang memenangi Artis Duo /Berkumpulan Popular. Nama mereka memang popular di kalangan peminat. Bagi kategori Penyanyi Nasyid Popular, kumpulan Rabbani adalah pilihan saya.

LIYANA JASMAY

"Penyanyi Lelaki Popular pilihan saya adalah Aizat, kerana dia memenangi anugerah bagi kategori ini tahun lalu. Tak mustahil Aizat menang lagi. Bagi kategori Pelakon TV Lelaki Popular, saya memilih Aaron Aziz, dan Pelakon TV Wanita Popular pula, Scha Alyahya berkemungkinan besar untuk menang kerana mereka ini berbakat besar dalam dunia lakonan.

AARON AZIZ

"Berdasarkan popularitinya di laman web sosial Facebook yang mencecah jutaan peminat, tidak mustahil untuk Lisa Surihani memenangi anugerah Bintang Paling Popular. Tengok saja bilangan pengikutnya di Facebook dan Twitter, sudah cukup sebahagian daripadanya mengundi, pasti artis lain akan tertewas.

"Pelakon Filem Lelaki Popular yang menjadi pilihan saya ialah Shaheizy Sam. Dia bukan saja popular, malah dia mampu membuat orang ketawa dengan lakonannya yang bersahaja. Rakyat Malaysia gemarkan seorang pelawak dan penghibur, ini kerana apabila kita buat orang ketawa, orang akan cepat sukakan kita.

"Aznil Nawawi berpeluang cerah untuk memenangi anugerah bagi kategori Pengacara Lelaki Popular, kerana tiada siapa yang mampu menandingi kebolehannya. Kita tengok sampai sekarang, memang sukar untuk mencari pengganti Aznil.

ALTIMET

"Lisa Surihani dan Zizan mempunyai ramai peminat. Melihat kepada jumlah peminat di Facebook dan Twitter mereka, sudah cukup ramai untuk membuatkan mereka menang bagi kategori Bintang Paling Popular.

DIDIE ALIAS

"Bagi kategori Bintang Paling Popular, Zizan mampu menang. Dia mempunyai hasil kerja yang berkualiti dan setiap kemunculannya menghiburkan orang ramai. Saya percaya tahun ini tuah akan berpihak pada Zizan. Manakala bagi kategori Artis Baru Popular, saya percaya tuah berpihak kepada Nurul Elfira Loy. Dia bukan saja popular, malah bagus dalam lakonan serta pandai membahagikan masa sebagai pelajar. Bagi kategori Pengacara TV Wanita Popular, Sharifah Shahirah berpeluang untuk membawa pulang anugerah ini kerana namanya sedang meningkat naik sekarang ini.

SHARNAAZ AHMAD

"Bintang Paling Popular pilihan saya ialah Shaheizy Sam sebab dia bagus dan mempunyai karektor yang mantap sebagai orang seni. Lihat saja kepada watak yang dibawanya, cukup memberi kesan kepada penonton. Bagi Penyampai Radio Wanita Popular, Raja Azura berpeluang menang kerana dia sudah lama dalam bidang pengacaraan ini. Dia seorang yang bagus dalam bidangnya dan saya cukup mengagumi dia.

"Bagi Artis Komedi Lelaki Popular, Zizan mempunyai peluang untuk menang, manakala bagi kategori Artis Komedi Wanita Popular, Didie Alias berpotensi untuk menang.

Siapa pula pilihan Lisa?

Menjadi sebutan sebagai antara pemenang dalam ABPBH2010 terutama Bintang Paling Popular pada Ahad ini, memang memberi sedikit kejutan kepada Lisa Surihani. Ini kerana dia sama sekali tidak pernah meletakkan harapan setinggi itu.

"Baiknya mereka yang meramalkan saya menang. Rezeki di tangan Allah. Entah-entah mereka yang menang nanti. Setiap calon ada peluang sama rata untuk menang dalam setiap kategori di ABPBH nanti. Dicalonkan sehingga tersenarai dalam Top 5 pun, Lisa rasa amat bersyukur alhamdulillah," kata Lisa dalam jawapannya yang dikirim menerusi pesanan BlackBerry.

Lisa yang kini sibuk menyiapkan penggambaran filem terbarunya memilih Zizan sebagai calon Bintang Paling Popular, manakala Aizat pula diramalkan sekali lagi memenangi Penyanyi Lelaki Popular dan berasakan Ana Raffali berpotensi untuk memegang trofi Penyanyi Wanita Popular.

"Saya melihat Liyana Jasmay berpeluang cerah untuk menang lagi bagi kategori Pelakon Filem Wanita Popular dan penyampai radio Hot FM, FBI (Faizal Ismail) pula diramalkan boleh naik ke pentas lagi menerima Penyampai Radio Lelaki Popular," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

2 tugas berganda

Posted: 31 Mar 2011 03:26 PM PDT

Hip

ZIZAN (kanan) bersama Johan berjaya mencuit hati penonton dengan lawak jenaka mereka dalam program Raja Lawak.

ZIZAN (kanan) bersama Johan berjaya mencuit hati penonton dengan lawak jenaka mereka dalam program Raja Lawak.

Zizan tidak akan persiakan peluang sebagai pengacara malam kemuncak ABPBH 2010

MUNGKIN orang ramai kurang mengenali jejaka dengan nama Mohd Razizan Abdul Razak, tapi apabila sebut saja Zizan Raja Lawak, pasti ramai yang tersenyum dan terbayang akan karektor anak muda dari Terengganu ini yang sentiasa mencuit hati.

Selepas memenangi tempat kedua program realiti Raja Lawak musim pertama, lima tahun yang lalu, nama Zizan perlahan-lahan mendapat tempatnya yang tersendiri di dalam dunia hiburan tanah air. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa, Zizan pernah mencuba nasib menyertai program realiti Akademi Fantasia musim keempat, tapi tidak kesampaian, namun dia tetap bersyukur kerana diberi ruang untuk menjadi seorang pelawak.

Sering mendapat tawaran mengacarakan acara kerana keletah dan ideanya yang sentiasa membuatkan orang ketawa, secara tidak langsung melonjakkan namanya sehingga diberi peluang menjadi hos di malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH 2010).

Zizan bakal menghangatkan suasana malam 3 April itu bersama dua lagi pengacara yang tidak asing lagi dengan kepetahan masing-masing iaitu, Raja Azura atau lebih sinonim dengan panggilan Kak Engku dan Sharifah Shahirah.

"Pada majlis kemuncak ABPBH 2010 nanti, Zizan bukan saja sibuk dengan satu acara, malah buat pertama kalinya, berganding bersama Dira sebagai hos rancangan Melodi.
"Memang diakui, sejak memenangi anugerah Personaliti TV Terbaik di Anugerah Shout! 2010, rezeki saya semakin mencurah-curah. Saya bersyukur, tahun ini tawaran yang saya terima memang tidak menang tangan.

"Diberi peluang mengendalikan Melodi dan mengacarakan ABPBH dalam satu masa serentak, tidak akan saya sia-siakan. Walaupun agak baru dalam mengendalikan program hiburan, tapi ini adalah peluang keemasan yang tidak saya lepaskan.

Selain itu, saya akan sentiasa cuba sedaya upaya memberikan yang terbaik," katanya ketika ditemui di Studio Berita Harian baru-baru ini.

Mula diterbitkan pada 1992, Melodi yang bersiaran selama 18 tahun pernah dikendalikan oleh ramai pengacara disegani, namun bagi anak muda dari Kuala Terengganu ini, tanggungjawab yang dipikulnya itu adalah satu cabaran memangkin semangat bagi dirinya.

Zizan terharu kerana menjadi sebahagian daripada anak seni tempatan seperti Ogy Datuk Ahmad Daud, Aznil Nawawi, Azwan Ali dan Raja Azura yang diberi kepercayaan menggalas tugas berat mengendalikan program hiburan popular tanah air.

Jadi pelawak tidak mudah

Bukan itu saja, diakui memang rezekinya sejak akhir-akhir ini dan dengan April yang hampir tiba ini, jadual Zizan akan lebih padat dengan penyertaan di dalam rancangan Maharaja Lawak yang menemui penonton bermula malam ini.

Zizan akan bergandingan dengan rakan karibnya, Johan merebut gelaran Maharaja Lawak bersaing bersama Top 3 program realiti Raja Lawak dari musim pertama hingga ke enam.

Menurutnya, gandingan dia bersama Johan sebagai satu kumpulan dalam program realiti berkenaan bukan untuk menunjukkan mereka hebat tetapi kerana keserasian dan kebiasaan bersama menyebabkan mereka mengambil tindakan untuk bergabung.

"Ia adalah satu cabaran besar buat saya. Jangan ingat saya sudah ada nama di dalam bidang ini, saya mampu membuat lawak dengan senang. Pelawak bukan seperti penyanyi, yang mempunyai kebolehan menyanyi walau ke mana saja dia pergi.

"Pelawak harus mempunyai idea yang membolehkan orang ketawa dan ia bukan sesuatu kerja mudah. Kalau lawak kita menjadi, orang gelak dan sekiranya orang terhibur dengan jenaka saya, saya cukup gembira dan itu adalah satu kejayaan bagi seorang pelawak," katanya.

Pembabitan Zizan dalam dunia seni ini sejak lima tahun lalu, bukan mahu untuk meraih populariti. Malah pemuda ini tekad untuk terus mewarnai industri hiburan tanah air dengan bakatnya yang dikurnia Tuhan.

"Jangan pandang remeh kepada pelawak. Ini juga adalah cabang seni dalam dunia hiburan yang memberi pengaruh yang bukannya sedikit. "Seboleh-bolehnya saya mahu menjadikan seni lawak itu sebagai tulang belakang yang membantu menaikkan lagi taraf industri seni negara kita," tambah Zizan.

Zizan juga berterima kasih kepada peminatnya dan rakan media yang banyak memberi peluang untuk dia berkarya dalam industri hiburan. Dalam usianya yang dianggap masih muda di dalam dunia hiburan ini, banyak perkara yang perlu dipelajarinya.

Dengan sikapnya yang bersahaja, jejaka ini turut menjadi pilihan utama untuk dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 2010. Sebelum itu, dia adalah calon Top 5 menerusi dua kategori iaitu Artis Komedi Lelaki Popular yang menyenaraikan Along, Angah, Johan dan Nabil, manakala bagi Pengacara TV Lelaki Popular turut membariskan Ally Iskandar, Aznil Nawawi, Faizal Ismail dan Jimmy Shanley.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.