Utusan Online - Hiburan |
Helmi menerima saya seadanya - Dira Posted: Helmi menerima saya seadanya - DiraOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
DERAI tawanya di hujung talian bagaikan memberi tanda bahawa dia benar-benar melalui fasa hidup yang cukup membahagiakan ketika ini. Hampir setahun bergelar ibu tunggal dan melalui kehidupan bersendirian bersama puteri sulungnya, Tengku Anggun Deandra, Dira Abu Zahar mengakui hidupnya kini kembali terisi dengan kehadiran seorang jejaka. Ya, benar. Dira kini kembali di alam percintaan dan daripada bicaranya itu juga sudah dapat disimpulkan wanita berusia 27 tahun itu sudah bersedia untuk kembali menjadi seorang isteri. Nada suaranya cukup terkejut apabila penulis bertanyakan kesahihan di sebalik cerita yang mengatakan dia bakal mengikat tali pertunangan dengan pengarah fotografi terkenal, Mohd. Helmi Mohd. Yusof, 33, dalam waktu terdekat ini dan seterusnya mendirikan rumah tangga sebelum penghujung tahun ini. Cuba hendak berselindung di awalnya namun, Dira akur dan dengan hati yang terbuka menceritakan hubungannya dengan Mohd. Helmi atau mesra disapa Helmi yang baru terjalin dalam beberapa bulan lalu. "Mana awak tahu berita ini? Siapa yang beritahu? Beginilah. Bukannya saya tidak mahu umumkan tentang perkara ini tetapi sebenarnya, saya mahu menyelesaikan beberapa perkara penting terlebih dahulu. "Saya tiada alasan untuk menyorok perkara yang baik. Bila tiba masanya, saya pasti akan umumkan kepada semua media," katanya dalam nada cukup berhemah dengan disulami ketawa kecil. Untuk pengetahuan, Mohd. Helmi sebelum ini pernah bertunang dengan model dan aktres jelita, Nasha Aziz pada tahun 2006. Walau bagaimanapun, hubungan mereka itu tidak kekal lama. Pandang ke depan Dira pula mendirikan rumah tangga dengan pemuzik bebas, Tengku Shafiz-Rullah As Syafie Tengku Mohd. Shahidd atau lebih dikenali sebagai Ash pada 5 Januari 2007 dan perkahwinan mereka berakhir setahun lalu. Biarpun perkahwinannya sebelum ini berakhir dengan penceraian, bagi Dira ia bukan satu alasan untuknya merasa fobia atau enggan mencari cinta baru dalam hidupnya. "Saya harus akui di awal perceraian, saya berasa sedikit sedih tetapi saya bersikap positif dan optimis dalam perjalanan hidup saya. Sampai bila harus saya berduka di atas apa yang telah berlaku. "Setiap perkara yang terjadi itu ada hikmahya dan saya cukup percaya dengan kenyataan itu. Kita perlu meneruskan kehidupan dan biarkan apa yang berlaku sebelum ini tersimpan kemas dalam lipatan sejarah hidup kita. "Kita harus pandang ke depan dan sudah tiba masanya kita memikirkan tentang masa depan pula. Sampai bila hendak berduka dan seolah-olah itu seperti menghukum diri sendiri. Saya bukan wanita seperti itu," ujarnya lembut namun tegas. Bercerita mengenai teman barunya itu pula, Dira atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar mengakui dia cukup selesa dengan Mohd. Helmi yang disifatkannya sebagai seorang lelaki yang menarik, baik dan memiliki banyak persamaan dengan dirinya. Cerita Dira, dia dan Helmi memang sudah lama saling mengenali memandangkan Dira pernah terlibat dengan kerja belakang tabir sebelum menceburkan diri dalam bidang lakonan secara serius sejak empat tahun lalu. "Namun begitu, ingin saya tegaskan di sini dan saya mahu semua orang faham, Helmi bukan punca keretakan rumah tangga saya. Saya cukup sedar dan tahu pasti akan ada yang cuba mengaitkannya tetapi sebenarnya tidak. "Memang kami sudah lama kenal tetapi hubungan itu semakin rapat hanya beberapa bulan lalu ketika kami sama-sama terlibat dalam filem Untuk 3 Hari. Sudah pasti sebelum itu, saya menyiasat terlebih dahulu sama ada dia sedang berpacaran dengan sesiapa atau tidak. "Begitu juga dengan dirinya. Alhamdulillah, hubungan kami baik dan apa yang penting sekali adalah dia dapat menerima diri saya seadanya. Dia juga tidak kisah dengan status saya sebagai ibu tunggal. "Kita tidak tahu ketentuan Allah SWT dan apa yang telah Dia aturkan untuk kita sebagai hambaNya. Saya dan Helmi masing-masing pernah melalui satu fasa yang membawa kami menyelusuri laluan gelap dalam hidup kami. "Jadi, kami sudah menemui kehidupan yang lebih baik dalam hubungan ini dan insya-Allah, jika semua perkara sudah selesai dan tiada aral melintang, sudah pasti kami mahu membawa hubungan ini melangkah setapak lagi," cerita pelakon drama bersiri Akinabalu, Arjuna dan Tower 13 ini tanpa berselindung. Dalam masa yang sama, anak bongsu daripada enam beradik ini juga mengakui rakan-rakan mereka terutama pengarah terkenal, Afdlin Shauki merupakan individu yang menjadi orang tengah dalam merapatkan Dira dan Helmi. Jelas Dira, sepanjang menjalani penggambaran Untuk 3 Hari yang memakan masa selama 45 hari itu, ketika itulah, mereka mula rapat dan mencari peluang untuk mengenali hati budi masing-masing. "Selama lebih sebulan berada di set, itulah peluang kami untuk menjadi rapat dan mengenali serta memahami diri masing-masing. Mana tidaknya. Masa itu cukup panjang dan lama bagi membolehkan kami berbuat demikian," ujarnya sambil ketawa. | ||
Posted: Grammy: Eminem tidak kisahOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
BIARPUN mendominasi pencalonan Anugerah Grammy Ke-53 dengan 10 kategori, bagi Eminem, dia tidak mahu meletakkan sebarang harapan tinggi untuk memenangi kesemua kategori itu. Apa yang penting bagi penyanyi kontroversi itu hasil penat lelahnya berbalas apabila diiktiraf oleh pihak juri yang merasakan albumnya, Recovery layak untuk dicalonkan bersama barisan calon terbaik yang lain. "Walaupun ramai yang meramalkan saya akan menang besar pada malam Grammy nanti, namun, saya penuh yakin bahawa saya akan pulang dengan tangan kosong "Bukan tidak yakin dengan album saya Recovery itu, tetapi, apabila memperkatakan tentang Grammy segala kemungkinan boleh berlaku. Kejutan sudah menjadi satu kemestian dalam anugerah itu. "Jadi, kerana itu adalah lebih baik untuk saya tidak terlalu memikirkan tentang soal kemenangan. Seandainya, malam itu rezeki berpihak kepada saya, saya hanya mampu bersyukur dan menerima pengiktirafan itu dengan hati yang terbuka," jelas Eminem dalam satu temu bual bersama MTV baru-baru ini. Sememangnya nama Eminem menjadi perhatian untuk Grammy tahun ini memandangkan dia merupakan satu-satunya artis yang mendapat pencalonan terbanyak termasuk untuk tiga kategori utama iaitu Album, Rekod dan Lagu Terbaik. Bagi kategori Album Terbaik, Recovery bakal ditentang hebat dengan empat album lain yang tidak kurang hebatnya iaitu album The Suburbs oleh Arcade Fire, Need You Now (Lady Antebellum), The Fame Monster (Lady Gaga) dan Teenage Dream (Katy Perry). Sementara itu, untuk kategori Rekod dan Lagu Terbaik pula, Eminem dicalonkan menerusi lagu Love The Way You Lie yang dinyanyikan bersama penyanyi seksi, Rihanna. Bukan hanya peminat tetapi pengkritik dan wartawan muzik di Hollywood dengan penuh yakin meramalkan Eminem akan menang besar pada malam yang meraikan karyawan muzik Amerika Syarikat itu. Bagi mereka, album Recovery merupakan lambang kebangkitan Eminem dalam bidang muzik selepas melalui pelbagai masalah dan kesukaran untuk mengembalikan keyakinan peminat terhadap muziknya. Ditambah dengan kebangkitan penyanyi baru yang tampil dengan muzik yang lebih segar dan moden, muzik rap yang diperjuangkan Eminem sejak azali dilihat semakin dipinggirkan. Mungkin ramai yang tidak sedar, beberapa tahun kebelakangan ini, nama Eminem tidak sehangat ketika dia muncul dengan album keramatnya, The Marshall Mathers LP yang memuatkan lagu popular, The Real Slim Shady sekitar 10 tahun lalu. Ekoran itu juga, pencapaian album-albumnya selepas itu juga tidak begitu memberangsangkan biarpun ada di antaranya pernah memenangi Grammy untuk kategori rap. Apabila Eminem atau nama sebenarnya, Marshall Bruce Mathers III muncul dengan album Recovery, para pemerhati dan karyawan muzik Hollywood merasakan ia adalah produk terbaik daripada Eminem sekali gus berpotensi untuk menang besar pada malam Grammy nanti. Jika benar ramalan mereka, Eminem mampu tersenyum puas dan bangga sekali gus dapat menambahkan lagi koleksi anugerah Grammy yang sehingga kini sudah 11 buah trofi di dalam genggamannya. Apatah lagi, Grammy cukup gemarkan kisah kemunculan semula atau comeback seseorang artis yang berdepan dengan masa sukar yang kemudiannya kembali ke persada muzik dengan semangat baru. Sebagai contoh, Tina Turner pernah melalui laluan yang sukar dalam hidupnya dengan dihimpit kisah peribadinya bersama bekas suami, Ike sehingga menjejaskan karier seninya. Namun, apabila dia muncul dengan album Private Dancer pada tahun 1984, ia boleh dikatakan tahun kebangkitannya sebagai seorang penghibur apabila memenangi empat anugerah daripada enam kategori yang dicalonkan pada Grammy setahun selepas itu. Ini termasuklah untuk Rekod dan Persembahan Vokal Pop Wanita Terbaik bagi lagu What's Love Got To Do With It yang sehingga kini menjadi siulan peminat muzik di seluruh dunia. Dalam majlis yang sama, Turner turut membawa pulang trofi Persembahan Vokal Rock Wanita Terbaik bagi lagu Better Be Good To Me. Selain Eminem, penyanyi R&B, Bruno Mars mengekori rapat dengan tujuh pencalonan termasuk Rekod Terbaik bagi lagu Nothin' On You dan Lagu Terbaik (F*** You!). Bukan itu sahaja, Mars juga akan bersaing hebat dengan empat penyanyi lelaki hebat lain iaitu Michael Buble, Michael Jackson, Adam Lambert dan John Mayer bagi merebut trofi Persembahan Vokal Pop Lelaki Terbaik. Apa yang menariknya tentang Grammy, penganjuran dan pengiktirafannya tidak terletak kepada populariti seseorang artis mahupun tertumpu kepada sesuatu genre muzik sahaja. Sebaliknya, ia mengiktiraf hasil kerja terbaik dalam setiap genre muzik di Amerika Syarikat maka itu, tidak hairanlah apabila ia menyediakan 109 trofi untuk lebih 20 kategori yang dipertandingkan dalam acara penuh prestij itu. Seorang lagi bintang ternama, Lady Gaga juga dikatakan bakal memberi saingan yang sengit kepada Eminem untuk dinobatkan sebagai Album Terbaik. Dalam masa yang sama, penghibur berimej pelik itu turut tercalon dalam kategori Rakaman Dance Terbaik bagi lagu Dance In The Dark. Kolaborasi Lady Gaga bersama Beyonce Knowles menerusi lagu Telephone juga membuahkan hasil apabila dicalonkan untuk Kolaborasi Pop Vokal Terbaik dan Gaga sendiri menerima pencalonan dalam kategori Persembahan Vokal Pop Wanita Terbaik bagi lagu Bad Romance. Kemunculan siri televisyen popular, Glee juga mendapat tempat dalam anugerah muzik terulung Amerika Syarikat itu apabila barisan pelakonnya dicalonkan dalam kategori Persembahan Vokal Pop Duo atau Berkumpulan Terbaik bagi lagu Don't Stop Believin. Album runut bunyi, Glee, The Music: Volume 1 turut dicalonkan untuk kategori Album Runut Bunyi Filem atau Televisyen dan bersaing dengan album Crazy Heart, Treme, True Blood: Volume 2 dan The Twilight Saga: Eclipse. Salah satu kategori yang mendapat perhatian saban tahun adalah genre country yang tidak kurang hebatnya. Sebanyak tujuh kategori country dipertandingkan untuk edisi ke-53 termasuklah Album Country Terbaik yang pastinya memperlihatkan saingan yang cukup hebat antara Lady Antebellum dan Miranda Lambert di mana masing-masing mempertaruhkan album Need You Now dan Revolution. Bukan itu sahaja, Lady Antebellum dan Lambert juga dicalonkan dalam kategori Lagu Country Terbaik menerusi lagu Need You Now dan The House That Built Me. Juara American Idol musim keempat, Carrie Underwood sekali lagi menjadi perhatian tahun ini apabila menerima pencalonan Grammy kelapan menerusi kategori Persembahan Vokal Country Wanita Terbaik. Dicalonkan menerusi lagu Temporary Home, pastinya saingan Underwood kali ini bukanlah sesuatu yang harus dipandang enteng kerana empat calon lain juga bukan calang-calang artis. Mereka yang dimaksudkan ialah Miranda Lambert, LeAnn Rimes, Jewel dan Gretchen Wilson. Jika Underwood menang pada malam itu, ia merupakan kemenangan keenam penyanyi popular itu sejak dicalonkan untuk Grammy pada tahun 2007. Sememangnya, Underwood bukanlah nama asing dalam kategori ini kerana dia sudah memenanginya untuk tiga tahun berturut-turut sejak 2007 hingga 2009. Cuma, tahun lalu dia tewas di tangan Taylor Swift untuk kategori itu namun menebus kekecewaannya apabila memenangi Kolaborasi Country Terbaik bagi lagu I Told You So bersama Randy Travis. Sudah namanya pun Grammy. Apalah erti acara penuh gilang-gemilang itu tanpa dibarisi persembahan artis bagi memantapkan lagi perjalanan anugerah itu. Antara nama-nama yang sudah disahkan akan membuat persembahan pada malam itu ialah Eminem, Paramore, Katy Perry, Muse, Bruno Mars, Miranda Lambert, Lady Gaga serta Usher, Justin Bieber dan Jaden Smith. Penghibur malar segar, Barbra Streisand juga akan membuat persembahan selain vokalis kumpulan rock terkenal, Rolling Stones, Mick Jagger yang akan berduet dengan Raphael Saddiq. Sebuah persembahan khas sebagai tanda penghormatan kepada penghibur terkemuka, Aretha Franklin juga akan diadakan dan lima penyanyi wanita ternama akan menyampaikan lagu-lagu popular Franklin iaitu Christina Aguilera, Jennifer Hudson, Martina McBride, Florence Welch dan Yolanda Adams. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |