Adsense

Ahad, 13 Februari 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Nabila makin sempurna

Posted:

Nabila makin sempurna

Nabila makin sempurna



JIKA bertemu orang yang dikenali, pasti ketawanya mengilai, ada sahaja topik menggeletek hati. Secara alamiah, Nabila Huda Shuhaimi memang seorang yang gila-gila. Kepada sang pengamat yang mengikuti perjalanan populariti puteri sulung rockers ternama Amy Search itu, turun naiknya mudah dikesan.

Awalannya, Nabila banyak bersimbah pandangan kurang manis bahkan banyak gelaran negatif singgah ke pangkal namanya. Gadis liar antara kata nista yang acap benar dilemparkan ke mukanya. Penyudahnya, jalan hidup itu tidak pernah statik, setiap kekurangan berbalas kepuasan dan setiap kelat yang menular masuk ke paru-paru, ada kemanisan menunggu di pangkal jiwa.

Barangkali pernikahan dengan Zaidi Zailani pada 2 Disember 2008, menjadi titik fasa kedewasaan Nabila bermula. Bukan ditempa-tempa mengikut kemahuan pihak luar, dia akui, faktor usia juga menjadi penyumbang.

"Hidup saya dah penuh sekarang, sudah ada kehidupan sendiri. Tapi secara luaran, saya tetap Nabila yang ramai orang kenali. Di luar, di lokasi kerja, saya jadi orang lain, tetapi di rumah saya kena jadi lain. Saya membawa kerjaya dalam rumah. Di rumah, saya jadi wanita macam orang lain juga isteri dan ibu," katanya tanpa sedar dilihat berubah di kaca mata umum.

Karier jangan disentuh

Lucunya, pelakon yang lebih intim disapa Abil itu mengakui, ketika usianya menjangkau 27 tahun, barulah banyak sifat pemalu memasuki dirinya.

"Sebenarnya, saya sendiri tidak begitu perasan dengan perubahan itu dan saya masih ada 'gila' saya, cuma saya perasaan yang saya sudah menjadi seorang yang agak pemalu, mungkin sebab dah besar panjang.

"Jiwa saya dan suami masih remaja, kalau siapa-siapa yang setiap hari jumpa kami, mereka kenal siapa saya. Di rumah, saya dan suami tak buat diri kami macam 'kakak-kakak' atau 'abang-abang', kami gilakan anak kami, hiasan rumah dan pakaian kami semuanya bercirikan remaja. Kami ibu bapa moden yang penting rock!" celoteh ibu kepada Kheisya Laila itu rancak dalam selamba.


TIDAK campuri urusan kerja dan komitmen sebagai isteri dan ibu, Nabila membentuk dirinya menjadi karakter berbeza ketika rumah dan ketika di lokasi kerja.


Penulis bertanyakan kepadanya, jika sedikit masa dahulu, ketika belum bergelar ibu, Abil juga seorang yang nakal, lasaknya mengalahkan lelaki, gila-gila pula sudah menjadi sifat tabie, bagaimana pula sekarang?

"Sekarang saya sudah perlahan. Zaman kenakalan saya sudah habis begitu juga perkara-perkara yang negatif. Saya dah banyak berubah. Cara berfikir juga sudah berubah, mungkin sudah sedikit matang.

"Jika hendak dibandingkan dengan zaman belasan tahun dan sekarang sudah 27 tahun, 'gila-gila' saya lebih rileks, katanya yang banyak berada di rumah sehabis waktu kerja.

Zaman melepak atau keluar bersama-sama teman-teman sudah tidak dihiraukan. Kepadanya, penat-lelah di lokasi penggambaran lebih baik diredakan oleh senyum dan keletah Kheisya, lapan bulan, yang sedang bugar di depan mata.

Hampir sepuluh tahun bergelar pelakon, Abil tidak pernah penat dengan kariernya. Pernah sekali dia merakamkan album, itu pun secara suka-suka, bagi Abil lakonan adalah perkara yang tidak boleh diusik oleh sesiapa, waima suami sendiri.

Kembali kepada bohsia

"Antara saya dan Zaidi, kami sudah cukup kenal antara satu sama lain. Dia tidak boleh masuk ke dalam dunia lakonan saya dan saya juga tidak masuk ke dunia pekerjaannya. Jika kami tidak kelihatan bersama di majlis-majlis hiburan, itu normal.

"Jadi saya tidak akan ambil hati jika dia tidak ambil peduli soal kerja saya sebab saya sendiri jenis yang tidak gemar memberi banyak penjelasan. Kalau orang lambat faham, nada suara akan cepat meninggi macam nak marah," jujur beritahunya yang kini sedang di lokasi penggambaran sekuel kedua filem Bohsia arahan Syamsul Yusuf, Bohsia Jalan Kembali.

Kembali sibuk dengan kerja lakonan, Abil kembali ke jalanan, menjejaki dunia bohsia yang pernah ditinggalkan dua tahun lalu. Meneruskan semula watak Tasha, bezanya, dalam sekuel kedua ini gadis bohsia itu lebih banyak berdepan konflik seperti pelacuran dan mula tercari-cari kiblat sebenar.

"Kali ini, Tasha dah jadi 'bohsia legenda' dah otai sangat," kata Abil.


BERIKAN apa sahaja watak, nescaya tidak sia-sia di bahu Nabila.


Memberi kesinambungan kepada Bohsia Jangan Pilih Jalan Hitam, tidaklah semudah yang disangka. Paling sukar buat Nabila kerana dia seboleh-bolehnya menjauhi karakter yang pernah dilakonkan sebelum ini. Tawaran itu diambil sebagai cabaran untuk membuktikan kemampuan skil lakonnya.

"Bohsia yang pertama dulu sudah diterima baik, sekarang kena kembali fokus yang mencari elemen apa lagi yang harus saya berikan. Saya buat Bohsia yang pertama dulu ketika belum berkahwin, sekarang saya dah kahwin dan dah ada anak, macam manalah. Paling utama, saya kena kuruskan badan supaya betul-betul nampakkan karakter bohsia itu semula," ketawa juga yang menoktahkan ceritanya.

Masih berbaki sekurang-kurangnya 20 hari sebelum menamatkan filem pertama selepas melahirkan Kheisya, si ibu muda ini tidak duduk diam. Lapang dari lokasi filem, Abil turut mencuri kesempatan yang ada untuk mengacarakan sebuah siri baru berkonsepkan kewanitaan pelbagai budaya.

"Program itu sedikit berlainan, ia tentang penjagaan ibu-ibu yang baru selamat melahirkan anak tetapi digarap secara moden dan lebih santai. Sesuailah dengan stail saya," katanya yang sempat ke Melaka mengenal budaya pantang wanita Portugis sepanjang penggambaran.

Ujar Abil, kecenderungannya kini lebih kepada drama berbanding filem.

"Drama menyediakan ruang yang lebih puas untuk meluahkan emosi. Ya, Abil sendiri lebih dikenali menerusi drama berbanding filem," katanya.

Persoalan itu terungkai saat hatinya ditebak dengan sedikit usikan, tidakkah Abil tergolong dalam carta popular yang sedang asyik mengusung nama panas bahkan ada yang menjual wajah bukannya bakat.

"Dalam industri ini, semua benda yang hendak dijual harus ada muka yang boleh dijual. Sebenarnya saya sendiri tidak pedulikan semua itu sebab saya percaya, saya ada bakat. Saya tidak perlu terkejar-kejar ke arah itu," ucap pelakon drama Emily yang masih basah dalam ingatan penulis itu, berterus-terang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Lisa gagal pikat hati Sam?

Posted:

Lisa gagal pikat hati Sam?

Lisa gagal pikat hati Sam?


DALAM soal buah hati, Shaheizy Sam bukan mencari seorang yang benar-benar sempurna cukuplah jika ditemukan dengan wanita yang memiliki sifat-sifat yang menyentuh hatinya.


TIBA-TIBA sahaja dua nama yang pernah berkasihan dalam filem berjudul Satu Lagi, Shaheizy Sam dan Lisa Surihani saling dikaitkan antara satu sama lain.

Bukan setakat teman sebumbung yang bernaung di MIG, kemesraan dan keintiman Lisa dan Sam seperti satu petanda awal. Seperti ada debunga cinta yang bertebaran setiap kali mereka disatukan dalam acara hiburan.

Paling ketara, kemanisan hubungan Sam - Lisa dapat dirasai semua sepanjang sesi jelajah dan promosi Anugerah Bintang Popular yang turut menamakan mereka sebagai antara calon popular.

Lisa dan Sam sama-sama mengakui, hubungan mereka tidak lebih sebagai kawan, bahkan hubungan itu sudah bermula sejak mereka di bangku sekolah lagi.

Sedang sibuk dengan penggambaran filem Bini-Biniku Gengster, kata Sam, dia bukan bersama Lisa sahaja bahkan dia turut mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Lisa termasuk arwah bapa Lisa.

"Lisa juga mengenali keluarga saya. Lisa pernah berlakon dengan ibu dan kakak saya, Zizie Ezzette. Saya pula pernah berlakon dengan Lisa, dan ibunya sering mengikutnya ke lokasi penggambaran.

"Secara tidak langsung kami menjadi rapat, tetapi rapat itu tidak lebih daripada seorang teman," kata pelakon terkenal menerusi filem Adnan Sempit itu yang bagai putus idea hendak menjelaskan spekulasi percintaannya.

Sensasi Bintang: Jika bukan Lisa, jadi siapa sedang istimewa di hati Sam ketika ini?

SHAHEIZY SAM: Tidak ada siapa-siapa. Memang saya ada mengenali seseorang tetapi hubungan itu tidak lebih daripada kawan. Macam saya berkawan dengan orang lain juga. Dalam hati saya ini ada bermacam perasaan, takut dan belum sepenuh hati. Ada juga rasa ia masih terlalu awal, nantikan lama-lama, takut tak jadi..


LISA SURIHANI adalah kenalan lama dan hubungan mereka bersambung penuh kemesraan sebagai rakan artis yang sebumbung di MIG.


Anda sedang popular, segala sisi, karier mahupun soal peribadi tentang anda sedang diperhatikan, termasuk cerita kekasih?

Shaheizy Sam itu seorang sangat dekat dengan kesempurnaan. Bukan nak kata saya belum jumpa wanita yang tepat, sebab saya sendiri tidak mencari. Saya menunggu!

Mungkin wanita itu harus ada kriteria tertentu?

Dia tidak seharusnya sempurna segenap segi, biarlah sederhana tetapi menyentuh hati saya. Kalau boleh, biarlah wanita itu ada sifat-sifat yang comel dan jangan mendesak.

Ramai artis dihambat sensasi kerana kisah peribadi, tapi anda agak sepi dengan cerita sebegitu, adakah Shaheizy Sam itu terlalu perahsia?

Mungkin sebab saya hidup dalam dunia sendiri. Apa yang orang luar lihat, itu adalah saya ketika bekerja.

Pendapat tentang percintaan artis dengan artis?

Cinta itu perasaan dan perasaan tidak boleh ditepis. Kalaulah hati saya tersentuh oleh artis saya terima, begitu juga kalau dari kalangan wartawan, pun saya terima.

Bila agaknya misteri hati anda akan terungkai, ada jangkaan tertentu untuk tamatkan zaman bujang?

Bukan misterilah, saya perahsia sebenarnya tapi itu tak bermakna saya tidak berkongsi cerita dengan orang ramai, boleh. Saya ada masalah. Masalah saya ialah merasakan diri saya seorang yang sangat membosankan!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sofazr bikin filem

Posted:

Sofazr bikin filem

Sofazr bikin filem


ATAS DARI KIRI: One, Aremeer, Zimi dan (bawah dari kiri) Fairouz serta Shah mempersembahkan album Maaf Dari Hati Mohd Atlas.


TEMPOH tujuh tahun band Sofazr bernaung di bawah syarikat rakaman SRC membuatkan ahli-ahli kumpulan itu sedikit demi sedikit mengerti perihal asam garam dunia seni.

Melewati usia-usia matang, kumpulan yang dianggotai oleh Aremeer, Zimi, Shah, One, Fairouz dan Rodie itu nekad membawa nama Sofazr untuk bergerak sendiri.

Sepakat menubuhkan Global Record iaitu sebuah syarikat rakaman milik Sofazr sendiri, keenam-enam anak muda itu kini merasai sendiri cabaran sebagai ahli perniagaan dalam industri seni.

Bersedia dengan stigma masyarakat terhadap artis yang mengundur diri daripada sesebuah syarikat rakaman untuk memilih hala tuju sendiri, Sofazr ada jawapannya.

"Hubungan kami dengan pihak SRC masih baik dan tiada apa-apa masalah.

"Penghijrahan kami sebenarnya sebagai satu usaha untuk Sofazr berdikari dan tempoh tujuh tahun bersama label lama banyak mematangkan kami," kata Aremeer selaku penyanyi utama.

Buah tangan pertama Global Records pastinya dengan album terbaru Sofazr sendiri. Album terbaru yang dijangkakan dipasarkan bermula awal Mac ini diberi judul Maaf Dari Hati Mohd Atlas.

Album keenam Sofazr itu menampilkan lagu-lagu yang bakal hits seperti single Maaf Dari Hati, Jiwa Kacau, Bagai Disayangi dan tujuh lagu lain. Semua lagu berkenaan kini sedang dijual dalam bentuk caller ringtone..

"Terdapat sepuluh buah lagu dalam album pertama daripada Global Records ini.

"Sebelum diedarkan dalam bentuk cakera padat (CD), lagu-lagu itu terlebih dahulu dijual melalui caller ringtone oleh syarikat Maxis kerana kami melihat kaedah ini lebih berbaloi.

"Secara tidak langsung peminat-peminat akan mendekati lagu-lagu kami terlebih dahulu," kata Aremeer lagi.

Selain mengejutkan peminat dengan membuat kemunculan kembali melalui syarikat rakaman lain, transformasi nama Sofaz kepada Sofazr pastinya menimbulkan tanda tanya kepada peminat.



Menjawab persoalan itu, Sofazr menjelaskan bahawa di bawah pengurusan sendiri itu mereka bebas untuk memilih jenama yang sesuai untuk mereka.

"Sofazr kini bebas meletakkan nama sendiri dan penambahan huruf R di hujung nama Sofaz bagi menyatakan kewujudan Rodie dalam kumpulan kami.

"Seperti peminat maklum nama kumpulan kami terhasil daripada gabungan huruf pertama setiap ahli," kata Aremeer menjelaskan nama baru itu.

Tidak hanya tertumpu kepada bidang nyanyian sahaja, perancangan rapi Sofazr pada 2011 juga tertumpu kepada cabang seni lain iaitu menghasilkan sebuah filem.

Mengambil langkah selamat dengan mempertaruhkan naskhah bertema komedi, filem berjudul Sofazr The Movie: Jiwa Kacau (STM) itu bakal menampilkan ahli-ahli Sofazr sebagai pemain utama.

STM yang melibatkan produksi penerbitan daripada syarikat mereka sendiri iaitu Nusanbakti Corporation Sdn. Bhd. dengan kerjasama Global Record itu dijangkakan memulakan penggambarannya pada bulan hadapan.

"Latar ceritanya adalah mengenai kehidupan Sofazr dalam keadaan gila. Kami akan memegang watak dengan nama sendiri tetapi karekter yang akan dibawakan itu adalah berbeza daripada yang sebenar.

"Tetapi sifat gila-gila yang ada dalam diri ahli Sofazr diterjemahkan dalam filem itu.

"STM turut menampilkan pelakon-pelakon lain seperti Angah Raja Lawak, Along Raja Lawak dan Azrul Charm. Kami menjangkakan STM akan menemui penonton di pawagam pada pertengahan tahun hadapan," kata Zimi selaku pemain gitar kedua.

Mereka kini sedang menjalani latihan lakonan saat akhir sebelum memulakan penggambaran filem itu. Pada masa yang sama band yang pernah hits dengan lagu Dan Bila Esok itu turut sibuk dengan siri-siri konsert yang akan datang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.