Harian Metro: Rap |
Posted: 21 Feb 2011 07:23 AM PST KISAH cintanya yang penuh kontroversi, sudah menjadi sejarah. Secara peribadi, pelakon Fasha Sandha juga berharap kisah cinta yang tidak kesampaian dengan Rizal Ashram atau Jejai itu tidak perlu dibangkitkan lagi. Semuanya kerana dia menemui cinta baru iaitu Chinta Hair Salon & Beauty yang ditubuhkan dengan hasil titik peluhnya dalam bidang seni. Bagi Fasha, kisah cintanya dengan Jejai sudah basi dan ia sudah berlalu. Dia enggan enggan mengulas lagi apabila ditanya apakah mereka masih berkawan selepas putus atau tidak. "Semua itu tidak perlu saya ulas kerana ia sudah berlalu. Apapun, saya masih belum bertemu pengganti Jejai kerana buat masa ini fokus saya pada salun dan pusat kecantikan milik saya dan keluarga ini saja," katanya.
Bagaimanapun, apabila ditanya jumlah kos salunnya itu, Fasha mengatakan tidak dapat memberitahu kos sebenar kerana ia tidak perlu diuar-uarkan kepada peminat. "Terus terang, saya tidak ditaja Jejai atau orang lain untuk membuka salun ini. Sebaliknya, saya ingin orang menilai sendiri sama ada saya mampu atau tidak membuka salun selepas tujuh tahun berkecimpung dalam bidang seni dan 10 tahun bergelar model iklan. "Sejujurnya, sudah lama saya mengimpikan untuk membuka perniagaan sendiri iaitu sejak empat tahun lalu. Keinginan mempunyai salun peribadi tercetus ketika terpilih menjadi bintang iklan Pantene dulu. Ketika itu, saya masih terlalu muda dan belum mempunyai modal yang cukup dan belum beri komitmen pada karier lain. "Hari ini adalah detik yang paling bahagia buat saya kerana berkat sokongan keluarga, teman rapat dan sokongan wartawan serta peminat kerana baru sekarang impian saya untuk buka salun ini direalisasikan," katanya. Kata Fasha, dia ada beberapa sebab tersendiri kenapa memilih nama Chinta untuk salunnya itu. Baginya, nama Chinta terlalu unik dan disayangi ramai sama seperti nama karakternya dalam slot Akasia TV3, Chinta yang disiarkan hujung tahun lalu. "Watak Chinta bermula sebagai gadis baik dan selepas itu dia berubah menjadi jahat, kemudian menjadi baik semula. Nama saya juga kembali di hati peminat kerana kejayaan Chinta selepas berehat seketika daripada aktiviti lakonan selama setahun. "Saya juga menamakan salun Chinta kerana dengan hasil pendapatan diperoleh melalui lakonan dalam drama Chinta, saya jadikan modal dan pelaburan pertama perniagaan ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran salunnya di Wangsa Link, Wangsa Maju, Ahad lalu. Pada petang itu, wartawan dan jurugambar yang membuat liputan diberi peluang mencuci dan menggunting rambut secara percuma sekali gus penghargaan buat wakil media yang menyokong kariernya selama ini. Mengenai perkembangan karier seni, Fasha berkata, dia baru selesai penggambaran Samson Delaila yang kini disiarkan di TV3 menerusi slot Samarinda setiap Selasa hingga Khamis, jam 10.30 malam. Lakonannya dalam Dia Atilia bergandingan dengan Zamarul Hisyam pula kini disiarkan di saluran Astro. Terbaru, Fasha juga menjayakan penggambaran drama 5 Tahun 5 Minit bergandingan dengan Aqasha untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM). "Saya bersyukur kerana tawaran berlakon juga tidak pernah putus tahun ini. Sekalipun sering dilanda kontroversi, produser dan pengarah masih memberi kepercayaan pada saya untuk berlakon dalam produksi mereka. "Saya juga ingin berlakon dengan semua stesen TV dan tidak terikat dengan satu stesen saja seperti mula-mula terbabit dalam lakonan dulu," katanya. Kesibukan berlakon ternyata tidak menghalang Fasha menceburi bisnes salun kerana ibunya yang akan mengawasi perjalanan pusat kecantikannya itu. "Jika tidak terbabit dengan penggambaran drama, saya akan berada di salun ini untuk membantu pekerja apa yang patut. Saya juga menggunakan khidmat tiga pendandan rambut dan pakar kecantikan kulit dan jurusolek artis terkenal, Deq Sha di salun ini. Kami juga akan cuba memberikan perkhidmatan dan layanan terbaik kepada pelanggan yang berkunjung ke salun ini," katanya. Kata Fasha, buat masa ini dia mahu fokus pada salunnya itu terlebih dulu sebelum memikirkan perancangan untuk mengembangkan bisnesnya dengan membuka cawangan lain. "Saya memang tidak suka menguar-uarkan perkara yang belum pasti lagi. Seperti perancangan membuka salun ini sudah lama dan baru sekarang saya memberitahu kepada peminat dan pihak media iaitu pada hari pelancaran ini," katanya. Chinta Hair Salon & Beauty yang beroperasi di Jalan Wangsa Delima 13, Wangsa Link dari jam 9 pagi hingga 9 malam setiap hari, menawarkan harga promosi dan pengenalan untuk bulan pertama dengan harga serendah RM15 untuk pelanggan yang berambut pendek. Perkhidmatan disediakan di salun ini ialah semua jenis dandanan rambut seperti rebonding, warna, rawatan rambut, rawatan muka, bengkel kecantikan bersama jurusolek artis Deq Sha (tiga kali sebulan) dan pusat solekan ke majlis dengan menggunakan khidmat jurusolek berpengalaman. >PROFIL |
Posted: 21 Feb 2011 07:19 AM PST MEMULAKAN persembahan ketika tumpuan peminat seni lebih terarah kepada Anugerah Seri Angkasa 2010 (ASA) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), seakan-akan tidak menjadi kudis buat teater muzikal Terima Kasih Cinta (TKC). Buktinya, pementasan teater arahan Pat Ibrahim yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya sejak 19 Februari lalu tetap mendapat sambutan hangat daripada peminat. Rata-rata peminat yang menonton TKC yang akan dipentaskan sehingga 6 Mac ini, meluahkan perasaan puas hati menerusi laman sosial facebook. Tidak kurang mengatakan TKC yang menampilkan 21 lagu adalah sebuah pementasan broadway tempatan yang menarik. Apatah lagi setiap pelakon yang terbabit antaranya Latiff Ibrahim, Norish Karman, Safura Ya'cob, Deja Moss, Anding, Farah Aqilah, Shajiry dan Tony Eusoff memberikan persembahan yang mantap serta menarik.
Ternyata sebagai komposer yang berpengalaman luas, Roslan Aziz memberikan sentuhan berbisanya bagi menguatkan teater ini. Tempoh latihan selama 3 bulan diperuntukkan benar-benar memberikan ruang kepada semua yang terbabit dalam pementasan TKC untuk menyajikan kemantapan dalam pelbagai sudut.
Norish mengakui agak penat kerana jadual pementasan yang begitu padat. Mereka beruntung kerana diberikan cuti pada Isnin (21 Februari) sebelum persembahan diteruskan semula hari ini (Selasa) dan seterusnya. Namun, katanya, biar penat atau sakit, segala perasaan itu hilang apabila mereka beraksi di pentas.
"Saya juga minta sokongan kepada rakan artis supaya datang memberikan sokongan terhadap TKC. Mungkin dengan menonton mereka dapat mengambil sesuatu di dalamnya untuk dimanfaatkan dalam karier. Jangan duduk di bawah kepompong sendiri saja. Sesekali mereka perlu menonton persembahan sebegini dan menjadikannya contoh," katanya.
|
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |