Adsense

Isnin, 10 Januari 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


‘Tidak adil’

Posted: 09 Jan 2011 03:31 PM PST

Hip

pix_gal0
Adira nafi dakwaan dia dan rakan kurang berdisiplin

KECAMAN hebat daripada media kerana sesuka hati membatalkan sesi fotografi pada saat akhir barangkali banyak mengajar Adira. Mungkin tidak mahu namanya terus dipalit kontroversi, gadis kelahiran Ranau, Sabah ini hadir satu jam setengah lebih awal ke balai berita daripada waktu dijanjikan.

Wajahnya dibiarkan kosong tanpa sebarang calitan solekan, sementara matanya kelihatan kurang bertenaga. Sejak tujuh bulan tamat pengajian di Akademi Fantasia (AF), jadual naib juara musim kelapan ini sentiasa padat dengan pelbagai undangan persembahan sehingga masa berkualiti untuk diri sendiri terabai.

Melihat raut wajah dan matanya, jelas sekali gadis ini ternampak seperti keletihan. Seolah-olah tidak diberikan masa rehat yang mencukupi untuk dia mengumpulkan tenaga supaya boleh tampil segar. Selama tujuh bulan dalam gelanggang seni suara menyedarkan anak bongsu dari lapan bersaudara ini betapa dia tidak boleh main-main dalam mengharungi kehidupan sebagai seniman. Lebih-lebih lagi apabila namanya 'dibusukkan' oleh kontroversi ciptaan sendiri.

Tidak lama selepas kes Adira, temannya iaitu gelaran juara AF8, Shahir pula mengikut jejak Adira, Jejaka berasal dari Perak itu tiba-tiba 'menghilangkan' diri untuk sesi fotografi dan persembahan yang sudah diatur pihak pengurusan. Apabila dua-dua pemenang utamanya buat hal, ramai mula mempertikaikan, adakah ke semua pelajar AF8 bermasalah?

Gadis peramah ini bagaimanapun kurang bersetuju apabila mereka dituduh sedemikian rupa. Katanya, janganlah sewenang-wenangnya menyalahkan mereka kerana kontroversi yang berlaku.

"Orang di luar tidak tahu masalah yang kami hadapi, contohnya seperti Shahir. Mungkin pada ketika itu dia mempunyai masalah yang tidak boleh dikongsi dengan semua orang. Jadi kita perlulah menghormati tindakannya.
"Saya mengaku pernah melakukan kesilapan tetapi masalah itu sudah pun selesai. Kalau boleh saya tidak mahu mengulang kesalahan yang sama dan saya takut perkara itu terjadi lagi. Bagaimanapun semuanya berlaku secara tidak disengajakan yang berpunca dari masalah komunikasi.

"Namun saya kurang setuju jika orang melabelkan semua pelajar AF8 bermasalah dan bersikap teruk. Bagi saya dakwaan itu tidak betul kerana mereka tidak tahu hujung pangkal cerita kami," kata Adira yang bersyukur kerana kerjaya seninya berkembang mekar.

Walaupun kerja seninya semakin laju, Adira berkata di awal pembabitan, dia agak terkejut dengan jadual kerjanya yang terlalu padat sehingga tidak mempunyai ruang waktu untuk berehat.

Fikir Adira, kerjaya sebagai penyanyi mudah. Tidak perlu berpenat lelah dan mempunyai banyak masa terluang untuk diri sendiri. Namun sebaik melangkah ke dunia ini, barulah dia tahu kerjaya sebagai anak seni menuntut pengorbanan yang besar.

"Pada mulanya saya fikirkan jadi artis senang dan tidak memenatkan. Tetapi bila sudah berada dalam bidang ini barulah saya tahu dunia seni menuntut pengorbanan besar. Antaranya masa tidur yang tidak mencukupi, tiada masa rehat dan pengorbanan paling besar apabila tidak dapat bersama dengan keluarga.

Tidak ada rasa kesal

BUKAN mengeluh tetapi Adira mengaku kesibukannya memenuhi jadual kerjaya seninya membuatkan masa untuk keluarga dan adik-beradik di Sabah menjadi sangat terbatas.

"Kali terakhir saya berjumpa keluarga kira-kira tiga hingga empat bulan lalu. Jika ada undangan persembahan di Sabah, saya ambil kesempatan pulang ke rumah keluarga di Kundasang. Kalau tak sempat, keluarga akan datang menjenguk di hotel saja ataupun ibu saya akan terbang ke sini.

"Sebab itu jika ada masa terluang, saya lebih suka menghabiskan masa di rumah dengan tidur dan berehat secukupnya. Saya tidak berapa suka keluar berjalan-jalan, kalau hendak keluar sekalipun, saya hanya akan keluar bersama kakak, abang ataupun teman AF lain seperti Aien, Daus, Iwan mahupun Maulana.

"Bagaimanapun, saya tak pernah menyesal dengan keputusan yang sudah dibuat. Saya menyertai AF kerana minat terhadap dunia nyanyian, jadi saya tidak akan sesekali mempersia-siakan peluang ini," kata Adira yang namanya tersenarai dalam pencalonan awal bagi kategori Artis Baru Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2010).

Gadis ini nyata beruntung kerana meskipun masih baru tetapi namanya menjadi sebutan peminat malah antara yang popular di laman sosial facebook ABPBH.

Sebagai pendatang baru, gadis ini tentu sekali terkejut apabila peminat memberikan sokongan padu kepadanya. Namun perkara itu tidak pernah membuatkan artis kecil molek keturunan Dusun ini untuk mendabik dada.

"Tidak dinafikan saya terkejut apabila mendapat tahu yang nama saya dicalonkan pada peringkat awal. Maklumlah bukan senang untuk berada pada kedudukan itu apatah lagi perlu bersaing dengan banyak nama popular.

"Bagi saya sudah tercalon pun kira bernasib baik, saya hanya meletakkan harapan untuk menang pada rezeki," katanya yang merindui kehidupan di kampung seperti bersiar-siar menaiki motosikal dan mandi manda di sungai.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Seronok, teruja dan kelakar

Posted: 09 Jan 2011 03:21 PM PST

Hip

Mazhar akui terasa lucu melihat karakter bapanya dipertontonkan

KISAH kapal yang pernah dibina mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya terbongkar gara-gara pementasan pertama teater muzikal Tun Mahathir tahun lalu.

Sebelum ini, kapal yang dinaiki isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan anaknya, Mukhriz serta Marina hampir karam disebabkan mengalami kebocoran, namun kisah itu dirahsiakan Dr Mahathir.

Sehinggalah produksi CTRA Production dengan kerjasama Istana Budaya (IB) dan Persatuan Penulis Wanita Malaysia dan Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA) mencetuskan idea melahirkan pementasan muzikal Tun Mahathir tahun lalu. Cerita itu disampaikan anaknya sendiri Mazhar Mahathir, 27, yang turut berlakon dalam pementasan itu sewaktu meminta bapanya melakar gambaran sebenar kapal yang pernah di bina bapanya.

Menurut Mazhar, cerita yang menggelikan hati itu diceritakan sendiri bapanya ketika mereka sekeluarga menikmati makan malam di rumah.

"Cerita dari mulut bapa saya sendiri ketika dia melukis kapal itu. Cerita yang semua orang tidak tahu masa itu, apa yang dia tidak cerita adalah pengalaman dia ketika kali pertama membawa mak, abang dan kakak menaiki kapal itu.

"Bapa saya seperti tergesa-gesa masa dalam perjalanan balik ke pelabuhan kerana dia perasan ada kebocoran pada belakang kapal itu tanpa diketahui oleh semua orang. Hanya dia seorang saja yang tahu, dan ketika bapa saya cerita di meja makan di rumah, semua orang terkejut dan tergelak besar, ia agak kelakar apabila semua orang baru ketahui kisah itu," katanya yang ditemui baru-baru ini ketika sesi latihan teater Muzikal Tun Mahathir musim kedua.
Pementasan teater Tun Mahathir 2 yang akan berlangsung pada 21 hingga 30 Januari ini di Panggung Sari, IB turut melakar kenangan manis buat Mazhar kerana kisah bapa dan maknya dipentaskan.

"Sebenarnya bapa, mak serta keluarga saya cukup berbangga apabila kisah mereka dipentaskan, namun mereka akui sangat malu untuk melihat kisah yang tidak pernah diketahui masyarakat.

"Sebelum persembahan itu kami selalu berbincang ketika makan di rumah, macam mana perjalanan latihan dan persediaan sekarang dan mereka memang teruja nak tahu setiap hari, saya selalu bergurau tak nak bagi tahu dan kalau nak tahu pergi tengok sendiri.

"Cuma saya ada kata kepada mereka ada adegan romantik mereka berdua, secara peribadi, babak yang paling saya suka adalah kisah mak dan bapa saya mula-mula berjumpa, keduanya malu-malu ketika di taman.

"Sebabnya saya suka kerana saya tahu bagaimana hubungan mereka mereka di rumah, keserasian dan untuk melihat sendiri bagaimana mereka bercinta itu yang paling saya suka," katanya yang sentiasa tersenyum ketika bercerita kepada HIP mengimbau kembali kisah keluarganya.

Jadi tempat rujukan

SEBELUM ini, Mazhar turut menjadi perantara antara produksi dan keluarganya untuk mengetahui dengan lebih mendalam kehidupan keluarganya terutama bapa dan ibunya.

"Kebanyakan kajian menyeluruh penceritaan ini, pengarah dan penulis sudah membuat yang terbaik, sedikit bantuan yang saya hulurkan adalah membetulkan perkara yang mereka musykil seperti nama keluarga, rakan-rakannya dan karektor bapa dan ibu saya secara peribadi.

"Bagi pelakon pula, selepas membuat kajian watak, mereka akan bertanya saya sebagai orang yang rapat dengan bapa mengenai karektor secara peribadi. Kebanyakan orang kenal bapa dan mak saya di luar tetapi bagaimana keintiman mereka ketika di rumah, itulah antara perkara yang mereka bertanya.

"Walaupun saya rasa ia sangat kelakar kerana mengenali ayah saya sebagai seorang yang sangat serius, tiba-tiba orang buat kisahnya dalam bentuk muzikal, menyanyi dan menari tapi rasa ia sesuatu yang seronok dapat terbabit.

"Kisah hidup dia bukan semata-mata seperti yang orang tahu hanya politik, walaupun ia tetap tidak lari dalam hidupnya, tapi apa yang menarik bagi saya cerita ini adalah ia menunjukkan macam mana hidupnya secara peribadi sebagai seorang individu sejak dari kecil, apa yang dibuat, hubungan peribadinya dengan mak saya dan keluarga yang orang tidak tahu, itu yang sangat unik teater ini bagi saya.

"Memang menarik sebab orang terfikir untuk mementaskan kisah peribadinya. Saya sangat berpuas hati pada persembahan pertama, walaupun saya kali pertama mengikuti produksi teater muzikal ini secara profesional, namun secara keseluruhan saya melihat persediaan, kajian, jalan cerita dan kerja keras produksi, apa misi pengarah dan penulis, saya rasa mereka ingin membuat cerita yang sempurna kisah hidup bapa saya.

"Sebelum ini pun saya tidak nampak dari sudut penonton kerana saya juga terbabit, namun selepas dapat mengetahui sambutan jualan tiket yang sangat memberangsangkan, memang terkejut. Apa yang penting bagi saya apakah pandangan keluarga terutama bapa dan mak mengenai pementasan ini," katanya yang turut mendapat pujian daripada abangnya kerana terbabit sama dalam teater ini.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.