Adsense

Khamis, 6 Januari 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Gabungan klasik

Posted: 05 Jan 2011 02:49 PM PST

Hip

pix_gal0
Jamal, Ahmad Nawab lupakan sengketa 20 tahun untuk bergabung dalam konsert eksklusif di Istana Budaya

GANDINGAN mereka saling tak tumpah seperti irama dan lagu. Walaupun kedua-duanya pernah menghadapi sengketa lebih 20 tahun akibat perbezaan pandangan, kali ini mereka akan tampil dalam satu pentas dan melupakan kisah lama.

Ramai yang mengetahui, selepas menjuarai Bintang RTM 1979, Jamal Abdillah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, terus melakar nama ke puncak persada seni dengan bantuan komposer terkenal, Datuk Dr Ahmad Nawab.

Konsert J2011 yang akan berlangsung pada 7 hingga 10 Januari ini di Panggung Sari Istana Budaya (IB) dianggap begitu eksklusif buat peminat terutama yang menantikan gandingan mereka berdua. Menurut Jamal, konsert kali lebih istimewa dengan kehadiran gurunya yang akan mengiringinya lebih daripada tujuh lagu.

"Saya dapat maklum balas yang banyak daripada peminat, mereka sangat menantikan gandingan saya dan Datuk Ahmad Nawab dan kali ini saya terpanggil untuk menjemputnya bagi menjayakan konsert ini yang dianggap eksklusif.

"Ramai yang menantikan gandingan ini dan saya pasti konsert ini tidak akan menghampakan semua peminat," katanya yang ditemui pada sesi latihan di IB baru-baru ini.

Di pentas yang gah bertaraf antarabangsa ini, Jamal pernah mengadakan konsert solonya dua kali sebelum ini iaitu One Nite Only Jamal Abdillah (2006) dan konsert Kembara Seniman (2009).
Setiap konsert, Jamal akan memastikan kelainan baik konsep yang diketengahkan mahupun pemilihan lagu yang berbeza.

"Saya sendiri akan memastikan setiap konsert yang saya buat akan memperoleh kepuasan sendiri dan fokus saya adalah untuk memuaskan mereka yang hadir.

"Saya tidak mahu setiap konsert itu ada persamaan daripada sebelum ini, dan memandangkan saya sudah banyak kali membuat konsert dan lagu saya selalunya sudah sering peminat dengar, kali ini saya cuba elakkan menyanyi lagu biasa tetapi tumpukan kepada lagu yang terdapat di dalam album saya yang kurang popular.

"Saya mempunyai lebih daripada 20 album dan lebih 200 lagu yang terkandung di dalamnya, jadi saya akui masih banyak lagu yang baik belum pernah didengar peminat.

"Pemilihan konsep pula kali ini, saya akan mempersembahkan konsep yang tidak pernah lagi di lakukan di negara kita iaitu konsep ala Michael Bubble yang akan menggunakan peralatan muzik hon (bertiup) dengan iringan 40 pemuzik," katanya yang masih menyimpan hajat yang besar untuk dilunaskan.

"Saya memang berhajat sangat untuk mengadakan konsert berskala besar dan memuaskan hati semua orang, kerana mana tahu apa yang saya lakukan ini akan meninggalkan sesuatu untuk generasi akan datang, namun apa yang saya luahkan ini masih belum tercapai.

"Masalahnya, untuk memberi kepuasan kepada peminat dengan konsert berskala besar adalah mendapatkan penajaan yang besar. Saya tidak kisah sesiapa saja yang sering menaja artis luar untuk membantu konsert saya yang akan datang.

"Saya bercadang untuk membuat konsert selepas ini di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dan mengharapkan persembahan itu lebih eksklusif yang dihadiri hanya orang tertentu dan orang yang boleh membelanjakan duit untuk menikmati hiburan, berbeza dengan konsert di stadium yang hanya memfokus kepada kelompok bergenre rock," katanya yang tidak dinafikan IB juga banyak menyediakan kemudahan seperti tempat letak kereta, tiket dan kawasan yang selesa.

Menariknya kali ini, Jamal turut berhajat untuk mengundang tetamu istimewa bagi menghadiahkan rasa kegembiraannya mengembalikan maruah negara.

"Tetamu istimewa saya adalah wira-wira bola sepak kita yang mengharumkan nama negara dalam Piala Suzuki baru-baru ini. Memang hajat saya dan saya sudah menghubungi mereka, kini mereka sedang berada di Australia dan pada 8 Januari ini mereka akan pulang ke tanah air, mereka bersetuju untuk datang menyaksikan konsert saya.

"Saya juga teringin melihat mana-mana pemimpin negara yang sudi datang tetapi segala urusan jemputan akan diuruskan oleh pihak IB, mereka lebih arif mengenai protokol," katanya.

Lagu khas untuk Jamal

Sementara itu, antara insan yang bertanggungjawab menyinari nama Jamal Abdillah di persada Seni, Datuk Ahmad Nawab tidak mahu lagi menghampakan undangan Jamal kali ini.

"Bila Jamal memanggil saya untuk turut serta dalam konsert ini, saya tidak tolak dan seronok betul dapat mengiringinya kali ini. Sebelum ini memang ada Jamal memanggil saya pada satu konsert tetapi ia tidak jadi.

"Bagi saya, jika kita dapat bergabung dengan orang baik pada sesuatu persembahan, kita secara tidak langsung akan menjadi baik, sebab Jamal bagi saya seorang penyanyi yang memiliki suara bermutu tinggi, suara dia itu masih belum ada yang mampu menandinginya hingga hari ini, memang dia ini istimewa," katanya yang bukan kali pertama bergandingan bersama termasuklah pada konsert Melodi Emas di IB baru-baru ini.

Ahmad Nawab mengenali Jamal sejak 1979 dan pernah membuat albumnya pada masa itu sehingga melonjakkan nama Jamal dikenali seluruh masyarakat di negara ini.

Bermula dengan album pertamanya, Perpisahan Tanpa Relaku (1980), satu demi satu album Jamal yang diterbitkan komposer tersohor, Ahmad Nawab membantu menaikkan dan mengekalkan populariti penyanyi itu.

Selain itu, enam album diterbitkan antaranya Derita Cinta (1981), Hatiku Luka Kembali (1982), Sendiri (1984) dan Sepi Seorang Perindu (1989).

Pada konsert itu juga, Ahmad Nawab tidak ketinggalan menghasilkan satu lagu istimewa untuk Jamal sempena konsertnya itu.

"Lagu istimewa ini saya ciptakan khas untuk Jamal berjudul Suraya, ia mengisahkan seorang gadis yang dia jumpa di dalam mimpi, setiap kali dia tidur dia akan menjumpai gadis ini, dalam seni katanya dia minta biarlah dia tidur selalu agar dapat berjumpa dengan gadis itu," katanya.

"Saya akan mengiringi persembahan Jamal pada satu segmen saja bermula dengan dua persembahan instrumental dan bersama Jamal dalam tujuh atau lapan lagu, ia termasuk lagu P.Ramlee, lagu lain seperti Seniman Menangis, Jeritan Batinku, Rinduku Rindumu, Hati Yang Rindu," katanya yang hanya mengambil masa dua hari berlatih kerana sudah bersedia lebih awal sebelum ini.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Azura dibawa ke Paris, London

Posted: 05 Jan 2011 02:45 PM PST

Hip

Filem versi Aziz M Osman memulakan penggambaran 20 Januari

DUA bintang baru, Gambit Saifullah dan juara Dewi Remaja 2010, Neelofa Md Noor bakal menjadi Zack dan Azura untuk filem Azura versi baru yang akan memulakan penggambaran pada 20 Januari ini.

Filem yang akan diarahkan oleh Aziz M Osman itu bakal memulakan penggambaran pertamanya di London dan Paris selama 10 hari, sebelum di sambung kembali pada pertengahan Februari nanti bagi memberi laluan kepada Aziz menyelesaikan tugasnya dalam program Pilih Kasih terlebih dulu.

Filem pernah diterbitkan pada 1984 dan dibintangi dua bintang hebat, Jamal Abdillah serta Fauziah Datuk Ahmad Daud hingga mencetuskan fenomena tersendiri milik Sabah Film Productions itu, akan diterbitkan kembali oleh syarikat milik Aziz sendiri Ace Motion Sdn Bhd. Meskipun menyedari impak filem Azura ketika ditayangkan hampir 30 tahun lalu mampu mencatat kutipan sebanyak RM1 juta, satu jumlah yang boleh dikira banyak pada era itu, Aziz ternyata berani apabila memberi kepercayaan kepada dua bintang baru yang masih belum teruji bakat lakonan mereka.

"Biarlah penerbit lain ambil pelakon yang sudah dikenali tetapi sejarah saya sejak dulu lebih suka memberi peluang kepada muka baru. Saya pernah mengetengahkan Ramona Rahman yang ketika itu masih baru untuk membintangi filem Fenomena. Maya Karin untuk filem Seri Dewi Malam dan Sarimah Ibrahim untuk filem Puteri Impian 2. Alhamdulillah dengan hasil tangan saya, mereka berjaya mencipta nama.

"Pemilihan mereka pun bukan dibuat sebarangan. Saya luangkan masa berbual dengan mereka terlebih dulu sebelum uji bakat dilakukan. Perkara pertama yang saya tanya, sampai tahap mana seriusnya mereka dalam bidang seni. Jika mereka kata 85 peratus, saya tidak akan ambil. Saya mahu mereka yang mempunyai minat 100 peratus dalam bidang ini.

"Saya juga melihat sejauh mana IQ mereka, alhamdulillah kedua-dua mereka berjaya meyakinkan saya. Saya memilih Neelofa bukan sebab dia juara Dewi Remaja, pemilihan Neelofa sudah dibuat pada peringkat awal pertandingan itu lagi," kata Aziz.
Memilih London dan Paris sebagai lokasi penggambaran filem itu menurut Aziz mempunyai sebabnya.

Katanya dalam versi asal filem itu, Zack membawa Azura bertemu dengan keluarganya di Sabah. Namun untuk disesuaikan dengan zaman ini, London serta Paris menjadi pilihan bagi menampilkan babak pasangan itu berkahwin lari.
Biarpun sudah dirancang sejak 2008, namun baru kini hasrat Aziz menerbitkan filem itu dapat dilaksanakan. Kata Aziz, penangguhan itu berpunca daripada pencarian bahan filem itu.

Selepas berjaya mengumpul bahan yang dikehendaki, barulah dia berani membuat pinjaman dari bank untuk membikin filem dengan kos RM1.5 juta itu.
"Saya baru saja mendapat kelulusan pinjaman dari bank bulan lalu. Sebaik pinjaman diluluskan, barulah penggambaran dapat dimulakan.

Sandarkan Pada Kenangan dikekalkan

Untuk versi baru ini, saya kekalkan jalan cerita yang sama tetapi digarap dengan cara berbeza, tidak boleh lagi seperti dulu. Sebaliknya ia perlu lebih kontemporari supaya dapat disesuaikan dengan zaman sekarang.

"Saya cuma melakukan sedikit perubahan untuk menjadikan filem ini lebih baik lagi. Itu tidak bermakna Azura yang dulu tidak bagus tetapi jika sudut teknikal dan bajet dipertingkatkan lagi, tentunya filem ini akan menjadi lebih cantik lagi.

"Selain itu, lagu Sandarkan Pada Kenangan dan Azura juga akan dikekalkan dalam filem ini. Bagaimanapun kita akan mendapatkan khidmat M Nasir untuk menyusun semula lagu itu bagi disesuaikan dengan era kini, " kata Aziz.

Aziz yang hampir lima tahun tidak mengarah, begitu optimis Azura versi baru akan menjadi sebuah filem yang menarik dengan gabungan dua wajah baru serta beberapa pelakon lain. Dia juga tidak bimbang dituduh syok sendiri kerana seseorang penerbit seharusnya mempunyai keyakinan diri yang tinggi.

"Sebagai pengarah saya perlu syok sendiri dulu. Jika tiada keyakinan lebih baik tak usah buat filem. Insya Allah, dengan garapan yang saya buat, Azura akan menjadi sebuah filem yang menarik," katanya.

Filem Azura versi asal ditulis pengarah filem veteran Allahyarham M Amin. Filem itu pernah meraih anugerah Kategori Lagu Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke lima dan Anugerah Khas Juri kerana memaparkan kisah masyarakat semasa.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.