Adsense

Isnin, 27 Disember 2010

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Potensi filem adaptasi

Posted:

Potensi filem adaptasi

Potensi filem adaptasi

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR


HARRY Potter yang mengutip berbilion ringgit merupakan kisah yang diangkat dari novel.


PELBAGAI cerita dan mesej termasuklah yang berunsur propaganda boleh diserapkan menerusi filem. Bahan-bahan yang diangkat ke layar perak itu biasanya berdasarkan cerita-cerita asal yang diungkap menerusi skrip.

Bagaimanapun, banyak juga sumber penceritaan di filem yang dikembangkan jalan ceritanya daripada novel, buku cerita-cerita rakyat dan komik. Ini adalah senario biasa apabila naskhah-naskhah itu dijadikan sebagai suatu medium yang menghubungkannya ke dunia filem.

Jika di Barat, terutamanya di Hollywood, banyak novel penulis tersohor barat tidak disia-siakan dan diangkat serta dikembang-luaskan melalui filem.

Contohnya, Charles Dicken menerusi novelnya seperti Oliver Twist (1837) telah banyak kali diangkat sama ada menerusi layar perak atau kaca. Biarpun novelnya itu berusia lebih 100 tahun tetapi ia masih relevan dan menarik untuk difilemkan sehingga kini.

Watak-watak adisatria seperti Batman, Spider-Man dan Superman pula merupakan karekter-karekter popular daripada komik yang telah banyak kali dipindahkan plot serta penceritaannya di layar perak.

Menurut pengkritik filem, A Wahab Hamzah, 50, trend adaptasi daripada novel ke filem atau daripada naskhah-naskhah lain sudah lama berlaku walau di mana-mana juga dunia perfileman termasuklah di negara ini.

Ia termasuklah dalam dunia perfileman Melayu pada era tahun 1940-an menerusi filem Cinta Gadis Rimba arahan Datuk L. Krishnan di mana Allahyarham S. Romainoor merupakan salah seorang pelakonnya.

"Malah, sebelum itu pun sudah ada proses adaptasi daripada cerita-cerita penglipur lara yang diangkat ke filem. Contohnya, filem Si Tanggang, Badang, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dan Batu Belah Batu Bertangkup yang difilemkan suatu ketika dulu.

"Cuma masalahnya, sejauh manakah proses itu dilakukan secara menyeluruh. Atau cuma sedikit sahaja idea yang diambil daripada naskhah-naskhah asalnya," katanya ketika ditemui pada Bengkel Adaptasi Novel Ke Filem anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama DBP baru-baru ini.

Pengarah filem dan drama, Mior Hashim Manap, 56, berkata, terdapat banyak novel berpotensi di negara ini yang boleh diangkat ke filem.

Jika tidak katanya, sampai bila-bila pun nilai-nilai pemikiran dan falsafah yang ada dalam novel tidak akan dikupas secara lebih luas.

"Kita ada banyak novel hebat seperti Hujan Pagi karya A. Samad Said dan Pantai Harapan tulisan Arenawati.

"Sayangnya tiada siapa pun yang ambil peduli cerita-cerita di sebalik karya-karya itu. Jauh sekali membuat kajian atau menterjemahkannya ke dalam medium perfileman," katanya.

Mungkin kesedaran ke arah itu agak tipis kerana penerbit mahupun pengarah lebih terarah untuk menerbitkan karya-karya popular berbanding membuat kajian serta perhatian terhadap karya-karya berat yang biasanya terkandung dalam novel.

Mior Hashim sendiri melalui pengalaman tersebut apabila usahanya untuk mengangkat novel popular berjudul Warkah Cinta Berbau Syurga nukilan A. Ubaidillah Alias terhenti di tengah jalan kerana kurangnya sokongan semua pihak.

"Siapa kata novel yang menampilkan isu berat tidak boleh diangkat ke layar perak dan menjadi sebuah produk komersial?

"Semua itu memerlukan kajian di mana pengarah atau penulis skrip harus mengkaji nilai-nilai yang ada di dalam sesebuah novel bagi disesuaikan dalam filem.

"Contohnya, filem Ayat-Ayat Cinta yang pernah popular di Indonesia juga diadaptasi daripada novel bertemakan keislaman. Tetapi apabila ia digarap semula dalam medium filem ia diberi suntikan komersial agar mampu menarik minat para penonton terutamanya remaja," jelasnya.

Proses adaptasi daripada novel yang biasanya berteraskan kepada tiga pendekatan iaitu adaptasi penuh, diilhamkan (inspired by) dan didasarkan (based on) boleh digunapakai bagi melakukan proses tersebut.

Bukannya tidak ada novel yang diangkat ke filem di mana contohnya, novel tulisan Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad bertajuk Ranjau Sepanjang Jalan pernah difilemkan pada tahun 1980-an.

Sebaliknya, ramai yang lebih cenderung memilih trend budaya popular yang berlaku pada hari ini seperti gejala mat rempit sebagai bahan penceritaan ringan dalam filem bagi meraih kutipan tiket yang tinggi.

Sedangkan terlalu banyak novel berkualiti dan telah mencatat jualan ratusan ribu unit terbiar lesu di rak-rak buku perpustakaan mahupun di stor DBP sejak sekian lama.

Novel Bukan Puteri Lindungan Bulan karya Liana Afiera Malik yang dicetak lebih 100,000 unit antara sekian banyak karya penulisan yang boleh diangkat ke filem.

Adalah menjadi suatu kerugian apabila novel-novel popular seperti itu dibiar tanpa dikembangkan nilai pemikirannya.

Sepatutnya novel yang mempunyai ramai pembaca mampu menarik golongan pembacanya ke pawagam apabila difilemkan.

Senario yang berlaku sekarang ialah bukan sahaja penerbit atau pengarah tidak mempunyai niat untuk memfilemkan novel itu, malangnya ramai antara mereka tidak tahu pun akan kewujudan karya-karya hebat tersebut.

Salah satu puncanya ialah budaya membaca di kalangan rakyat negara ini yang masih rendah.

Untuk mengangkat novel-novel ke layar perak ia tentunya pendekatan yang kurang popular, sama tidak popularnya bahan-bahan bacaan itu sendiri di kalangan rakyat negara ini.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Prospek filem adaptasi cerah

Posted:

Prospek filem adaptasi cerah

Prospek filem adaptasi cerah


Animasi Avatar antara kisah adaptasi antarabangsa yang cukup menarik perhatian penonton.


CERITA-cerita adaptasi daripada novel yang dikembangkan di layar perak jarang merugikan para penerbit filem kerana ia berasaskan jalan cerita dan sambutan menggalakkan daripada karya-karya asalnya.

Ini kerana, biasanya proses adaptasi hanya mengangkat novel-novel atau bahan-bahan tulisan lain yang telah terbukti mempunyai nilai pemikiran, gaya artistik dan jalan cerita yang tersendiri untuk diangkat ke dunia filem.

Paling ketara melalui banyak novel yang diangkat ke filem di Hollywood sejak tahun 1950-an seperti filem Gone With The Wind (1957), The Godfather (1972), Titanic (1997), Harry Potter (2001) dan The Lord of the Rings (2002).

Titanic arahan James Cameron misalnya, merupakan filem kedua terlaris di dunia dengan kutipan tiket AS$1.8 bilion (RM3.2 bilion) selepas filem Avatar juga arahan pengarah yang sama dengan kutipan AS$2.7 bilion (RM6.2 bilion)

Ia dibuktikan juga melalui dunia perfileman Melayu yang mengadaptasi daripada novel hingga mencatat sambutan luar biasa daripada segi kutipan tiket selepas ia ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara.

Filem Lagenda Budak Setan yang diadaptasi daripada novel tulisan Ahadiat Akashah yang ditayangkan di pawagam Jun lalu mengaut kutipan tiket RM4.28 juta misalnya, bukti adaptasi novel ke filem mampu memberi pulangan yang baik.

Ia merupakan filem Melayu terbaru yang mencatat kejayaan membanggakan berdasarkan populariti dan kejayaan novel itu yang mendapat sambutan hangat para pembaca sewaktu ia diterbitkan pada pertengahan tahun 1990-an.

Selain filem yang diadaptasi daripada novel, komik juga banyak yang dijadikan sasaran para penerbit bagi mengangkat serta dikembangkan lagi karakter-karakternya seperti Batman yang diterbitkan dalam filem The Dark Night.

Filem terbaru watak Batman itu yang ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh dunia pada tahun 2008 itu berjaya mengutip kutipan tiket sebanyak AS$1 bilion (RM3 bilion) sebagai antara yang berjaya dalam adaptasi komik ke filem.

Meskipun statistik banyak membuktikan filem-filem yang diadaptasi jarang mengecewakan tetapi tidak semua pengarah berani menggunakan pendekatan itu kerana adakalanya ia mempunyai risiko yang besar.

Pengarah filem, Kamal Ishak, 54, berkata, dia contohnya pernah menolak tawaran mengarahkan filem adaptasi daripada buku tokoh agama terkenal Kelantan, Tok Kenali kerana menganggapnya sebuah naskhah yang besar.

"Selepas membuat kajian selama bertahun-tahun saya dapati naskhah Tok Kenali amat besar. Sebab itu, saya tolak tawaran mengarahkan filem dengan kos hampir RM15 juta kerana tidak sanggup memikul tanggungjawab tersebut.

"Saya tidak mahulah di kemudian hari nanti anak cucu Tok Kenali menyalahkan saya kalau apa yang saya cuba angkat kisahnya di filem tetapi ia tidak kesampaian. Biarlah saya mengarah filem filem yang saya mampu sahaja," katannya.

Pendirian pengarah filem Cinta Kita (1997) dan Penyair Malam (1998) itu ada kebenarannya kerana terlalu payah baginya untuk menggambarkan watak seorang tokoh hebat seperti Tok Kenali di atas layar skrin.

Selain berdepan dengan isu agama, kepercayaan dan persepsi masyarakat, Kamal lebih suka menggunakan pendekatan mengadaptasi karya-karya novel sedia ada termasuklah novel popular sedia ada.

Beliau antaranya mengadaptasi novel karya isterinya Wan Noor Wan Chik yang berjudul Ombak untuk dijadikan drama TV, Ombak Itu yang diterbitkan oleh Nur TV Production.

Tidak dinafikan trend adaptasi daripada novel atau komik memang sudah lama dilakukan dalam dunia perfileman tanah air seperti yang dilakukan oleh Prof. Dr. Hatta Azad Khan yang mengadaptasi komik Datuk Lat berjudul Mat Som.

Sayangnya trend itu belum menular dengan meluas dalam industri perfileman tanah air kerana ada di kalangan penerbit filem yang mengambil langkah berhati-hati agar proses adaptasi itu mampu dikomersialkan dan diterima ramai.

Filem Puteri Gunung Ledang arahan Saw Teong Hin terbitan Infiniti Production yang menelan kos mencecah RM20 juta dan ditayangkan pada tahun 2004 hanya mampu mengutip kutipan tiket sekitar tidak sampai RM3 juta.

Justeru, dalam hal ini perancangan teliti, promosi dan kaedah-kaedah pengembangan jalan cerita dan watak-watak dalam filem adaptasi amat penting bagi memastikan filem-filem dalam genre ini terus mendapat sambutan para penonton.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.