Adsense

Selasa, 7 Disember 2010

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Amer bertemu sekolah baru

Posted:

Amer bertemu sekolah baru

Amer bertemu sekolah baru



UJAR si bijak pandai, insan yang berada di tempat nan gelap akan lebih senang melihat cahaya. Buat penyanyi yang pernah menganggotai kumpulan Ruffedge ini, dia sedang berjalan ke arah cahaya itu. Mengiyakan dirinya pernah berada dalam kegelapan, Amer Munawer Yusof mesra dipanggil Amer menilai bahawa pernah alpa dalam meniti kehidupan sebagai insan. Faktor mudah lupa itu dijuruskan kepada kesibukannya yang satu ketika dahulu tidak diketahui hujung pangkalnya.

"Dulu pada satu ketika, bukan main sibuk lagi saya rasakan. Entah daripada mana kesibukan itu, saya pun tidak tahu. Tetapi memang kurang masa dihabiskan untuk diri sendiri dan keluarga. Lama kelamaan saya sendiri menyedari hal itu. Sekarang saya berasa lebih tenang," ungkapnya menilai erti keinsafan yang diperhalusinya satu persatu.

Sedang berjalan perlahan-lahan

Kini dia mengakui sedang berjalan perlahan-lahan meniti kehidupan. Takut dilabel dengan perkataan insaf dan diletakkan persepsi yang pelbagai, Amer lebih senang jika dia diperlihatkan sebagai seseorang yang sedang menerima hidayah Allah.

Hijrah yang sedang berjalan dalam sisi hidupnya diperjelaskan. Pernah bergelar anak seni sewaktu bersama-sama kumpulan terkenal Ruffedge, Amer menerangkan situasi yang sedang dihadapinya dengan lebih jelas supaya tidak disalahertikan.

"Ruffedge adalah sebuah 'sekolah' yang hebat buat saya. Malah saya dan ahli kumpulan yang lain masih berhubung. Bagi saya, saya sudah selesai menjadi graduasi sekolah itu.

"Adat bergelar manusia, inginkan sebuah kehidupan yang lebih baik. Kini saya sedang belajar di sebuah persekolahan yang berbeza. Umpama pergi ke sebuah sekolah yang baru. Itu mungkin transformasi yang saya lalui. Saya bertemu dengan satu perkataan yang membuatkan saya terfikir dan mendalami perkataan tersebut. Magisnya perkataan mahabbah yang bermaksud kasih sayang membuka saya ke arah zon yang lebih tepat," terangnya dalam nada bersembang masih ramah, masih seperti dahulu.


USAI 'belajar' bersama grup Ruffedge, Amer beranggapan dirinya sedang memasuki persekolahan baru yang lebih mengajarnya magis sebuah erti kasih sayang. EP bertajuk Seluruh Mahabbah merupakan tanda hati dirinya untuk peminat-peminat di luar sana.


Saya tanyakan diri seorang lelaki yang sedang melalui perubahan fasa dalam dirinya. Seorang yang sedang merubah analogi kehidupan dengan tenang dan tanpa dipaksa-paksa. Di mana agaknya perkataan mahabbah itu ditemui dan berjaya membuka satu ruang cahaya dalam dirinya?

"Mahabbah atau muhibah itu saya temui sewaktu saya berada di kelas mengaji. Semua orang boleh menjadi baik, kan? Ustaz tempat saya mengaji beri saya kefahaman yang lebih tentang perkataan tersebut. Jelas ia adalah sebuah formula yang mahu saya sebarkan. Kini, saya kenal maksud tersebut," jelasnya yang meletakkan perkataan yang bermaksud kasih sayang tersebut ke dalam sebuah EP terbarunya yang bertajuk Seluruh Mahabbah keluaran Alibi Music.

"Mungkin khalayak memandang saya dengan perbezaan. Muncul dengan sebuah kelainan melalui lagu-lagu yang sedang saya sampaikan kini. Tiga tahun adalah durasi yang saya ambil untuk memahami apa yang sedang saya buat dalam industri seni. Ini adalah maksud seni yang saya cari. Maksud peribadi untuk saya. Sebelum ini sebenarnya saya sudah cenderung kepada lagu-lagu kerohanian. Kini saya sampaikan sendiri dengan cara saya," terangnya mengenai lagu-lagu yang sedang dipromosikan kini.

Rindukan Rasul Allah

EP yang mengandungi dua buah lagu, Seluruh Mahbbah dan Maha Suci Allah dan beserta sebuah 'minus one' Seluruh Mahabbah dihulurkan. Mendengarkan lagu-lagu yang diletakkan sebagai bergenre soul nasyid tersebut, kita sedar Amer sedang menyampaikan sesuatu. Rasa kasih sayang yang ikhlas jelas terpancar daripada vokalnya yang sedap diperdengarkan.


ENGGAN diletakkan sebarang label tentang transformasinya, Amer meletakkan dirinya sebagai seorang yang sedang menerima hidayah daripada Sang pencipta.


"Susunan muzik lagu-lagu tersebut dibikin oleh Ash, ahli grup Bau. Kami mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan konsep, lagu, melodi dan susunan muzik. Rakaman dilakukan pada bulan Syaaban dan proses susunan muzik pula pada bulan Rejab. Akhirnya pada bulan Syawal, EP tersebut siap sepenuhnya

"Melalui lagu Maha Suci Allah, saya berkolaborasi dengan grup Nasyid UNIC. Rezeki saya apabila bertemu mereka sewaktu pelancaran album grup In Team dan mereka mengajak saya untuk bekerjasama dalam sebuah lagu. Maka wujudlah lagu tersebut dan saya teruja dapat berkerja dengan kumpulan yang begitu komited terhadap dunia nasyid," senyum Amer mengiringi penerangannya.

Kerinduan terhadap kekasih Allah, Muhammad SAW disampaikan dengan cara tersendiri. "Ini ekspresi saya dalam melahirkan perasaan sayang kepada Sang Pencipta dan kekasihnya. Semua orang mencari erti kasih sayang dan saya zahirkan dalam single pertama saya. Ini formula yang mahu saya sebarkan," sambungnya yang gembira mengikat tali persahabatan bersama Alibi Music sebagai pengedar. Satu ketika dahulu tidak terlintas difikirannya untuk pergi ke arah komersial, namun dia tidak menolak rezeki yang hadir.

Melalui satu perkataan sahaja yang mengandungi 1001 maksud, Amer sedang bahagia melakari warna perjalanan kehidupannya. Dia mengaku lebih tenang. Mengaku bahawa magis dan hikmah di sebalik kejadian itu berlaku sendiri. Amer Munawer bertemu rahsia kasih sayang yang diterokainya selama ini. Bakal bergelar bapa tidak lama lagi, dia sedang menyelongkari rahsia bergelar insan berasaskan rasa cinta dan sayang kepada Sang Khalik.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Sajian Maal Hijrah RTM

Posted:

Sajian Maal Hijrah RTM

Sajian Maal Hijrah RTM

MAAL Hijrah tertulis kemas di dalam lipatan sejarah Islam di mana bermulanya penghijrahan kaum Muslimin dari Kota Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.

Perpindahan bersejarah itu berlaku pada 1 Muharram dan merupakan hari pertama di dalam Takwim Hijrah.

Di sini bermulanya konsep pengorbanan atau perpindahan sewaktu situasi Muslimin Mekah meninggalkan halaman kediaman mereka semata-mata mencari keredaan Allah dengan memulakan kehidupan baru di kawasan yang asing bagi mereka.

Berkat mengharungi dugaan dan cabaran, para Muslimin Mekah dan Madinah akhirnya bersatu membentuk satu pakatan Islam yang hebat berdekad lamanya.

Keindahan Islam yang dibawa lantas telah membangunkan kehidupan Muslimin daripada pelbagai sudut juga kendiri lantas dapat dipraktikkan sehingga zaman teknologi serba canggih kini.

Menyedari keunikan serta konsep yang diamalkan di dalam Islam, Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menyediakan tiga dokumentari khas untuk dipaparkan buat umat Islam sepanjang hari ini, Selasa, 7 Disember 2010 bersamaan 1 Muharram 1432 Hijrah di TV1.

Kelebihan sistem pajak gadai Islam yang telah mula diperkenalkan di bank-bank dan institusi-institusi kewangan di Malaysia dipaparkan melalui Dokumentari Khas Maal Hijrah: Ar-Rahnu pada pukul 11.30 pagi.

Rancangan yang diterbitkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) menerangkan perihal Ar-Rahnu iaitu pajak gadai Islam yang menggabungkan konsep-konsep syariah Ar-Rahnu, Al Wadiah Yad Dhamanah dan Al Qard. Ar-Rahnu dari sudut syarak merujuk kepada satu barang yang berharga dijadikan sebagai sandaran yang terikat dengan hutang bercagar yang boleh dibayar dengannya sekiranya hutang tersebut tidak dapat dijelaskan.

Sebuah dokumentari khas yang mengetengahkan Kasih Seorang Rasul bersiaran menjelang pukul 12.05 tengah hari. Rancangan ini akan mengupas keperibadian mulia Nabi Muhammad S.A.W yang perlu menjadi ikutan umat Islam.

Namun, tidak lengkap sekiranya sambutan Maal Hijrah tahun ini tidak diakhiri dengan rancangan yang dapat memberi panduan kehidupan khusus kepada penonton TV1. RTM menyajikan sebuah program khas Maal Hijrah pada pukul 6.30 petang dengan dokumentari khas bertajuk Halal dengan kerjasama oleh pihak Jakim.

Dokumentari ini akan memberi penerangan mengenai produk-produk serta barangan-barangan halal 1Malaysia yang dapat diguna pakai oleh semua golongan masyarakat termasuk bukan Islam.

Selain dokumentari, RTM turut menyajikan telefilem khas bertemakan Maal Hijrah. Menerusi TV2, pada pukul 10 malam, ikuti sebuah telefilem berjudul Tempatkan Dia di Syurga yang berkisar tentang seorang wanita bernama Salmah. Dia terpaksa meringkuk dalam penjara selepas secara tidak sengaja tertikam Zakir ketika bergaduh.

Dua tahun berlalu, Salmah dibebaskan daripada penjara dan mencari anaknya, Saliza yang telah diamanahkan kepada jirannya yang hanya dikenali sebagai Mona.

Hancur luluh hati Salimah mengetahui anaknya telahdiperangkap untuk dijadikan pelacur. Apakah tindakan Salimah untuk mendapatkan anaknya kembali?

Telefilem ini dibintangi Tasha Aziz, Hasnul Rahmat, Fauzi Nawawi, Siti Surya Suryani, Shaharudin Thamby dan Fadilah Mansor.

Sementara itu Rozita Che Wan, Remy Ishak, Sabrina Ali, Rashidah Jaafar, Kismah Johar dan Zaibo muncul menerusi telefilem berjudul Masihkah Ada Sinar pada pukul 2 petang, di saluran TV 2.

Telemovie ini mengisahkan Hawati seorang guru berstatus bujang dan berumur akhir 30-an yang terpaksa menanggung empat orang anak-anak adiknya yang masih bersekolah apabila adiknya menemui ajal bersama suami dalam sebuah kemalangan jalan raya.

Lebih malang lagi anak saudaranya menghidapi penyakit jantung berlubang. Hawati pula merupakan penyakit kencing manis yang kronik serta tekanan darah rendah.

Kekasihnya, Mazlan juga seorang guru berhasrat melamarnya, namun dihalang ibu Mazlan. Ikuti telefilem yang penuh dengan keinsafan ini.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.