Adsense

Selasa, 7 Disember 2010

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Syukur & pasrah

Posted: 06 Dec 2010 07:17 AM PST

SELEPAS kemeriahan Aidiladha, kini tiba pula giliran tahun baru dalam kalendar Islam iaitu Maal Hijrah sempena 1 Muharam 1432H.

Justeru, pastinya sepanjang setahun yang berlalu ini tercatat pelbagai kisah suka dan duka yang mewarnai episod kehidupan manusia.

Begitulah juga yang dilalui dua pelakon muda tanah air ini, Fouziah Gous, 27, dan Aeril Zafrel, 22, yang berhadapan kisah berbeza.

Bagi Fouziah, dia bersyukur perjalanan kariernya berjalan lancar, manakala Aeril pula reda dan pasrah.


Di sebalik kegembiraan berganda bagi Fouziah yang tak menang tangan memperoleh tawaran berlakon, Aeril pula sebaliknya dengan status yatim piatu selepas ibu bapanya menyahut panggilan Ilahi pada awal Disember 2009 dan hujung November lalu.


Pastinya ia dugaan yang berat, namun apakan daya. Suratan hidup manusia direncana Tuhan tidak sama dan pastinya ada hikmah di sebalik itu.

Justeru, jangan putus asa dan kecewa pada kesedihan dihadapi. Malah, usah mendabik dada jika meraih kejayaan.

Bagi Fouziah, sebagai manusia biasa pengertian 'hijrah' pada seseorang berbeza.

Bagi dirinya dia sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dalam kariernya.

Tak terkecuali, Aeril yang akur pada suratan takdirnya kerana sedar hidup perlu diteruskan.

Rentetan pada kisah suka dan duka ini, apakah perancangan Fouziah dan Aeril seterusnya? Ikuti luahan harapan mereka ketika sesi fotografi khas bersama Harian Metro sempena Maal Hijrah ini. Semoga yang baik dapat dikongsi bersama.

Hijrah Fouziah pada karier

BIARPUN memiliki pakej iaitu cantik dan bakat, namun ia nyata bukan sandaran utama pelakon popular, Nor Fouziah Mohd Gous untuk mudah berasa selesa.

Bagi Fouziah, dia sentiasa merancang berhijrah ke arah lebih baik dalam karier lakonan diceburinya.

Ujar Fouziah, dia sentiasa membuat perancangan bagi memastikan mutu lakonannya menjadi lebih baik setiap masa.

Katanya, jika dulu, dia mungkin tidak bersikap selektif pada watak kerana masih baru dan ingin mengumpul pengalaman sebagai pelakon.

"Namun, sekarang saya sedar perlu memberikan yang terbaik pada setiap watak dilakonkan.

"Justeru, untuk itu tak dinafikan saya mula memilih karakter supaya dapat menonjolkan lakonan lebih bagus serta penghayatan yang baik. Bagi saya, tiada salahnya.

"Selain itu, saya melihat sekarang ini masanya untuk berusaha dan bekerja keras mengumpul wang memandangkan banyak tawaran berlakon diterima.

"Dalam soal ini, saya harus bijak memproduk diri ke arah lebih baik selagi industri masih memerlukannya.

"Apapun, saya sangat gembira kerana 2010 adalah tahun yang cukup membawa kegembiraan. Saya dapati, rezeki di murahkan Yang Maha Esa apabila banyak benda tak dijangka diperoleh. Selain berlakon, saya turut dipilih sebagai duta produk Adidas dan Alaisyah.

"Saya bersyukur kontrak bersama Adidas kini sudah masuk tiga tahun, manakala produk kecantikan Alaisyah pula baru setahun.

"Malah, jika ada rezeki kontrak akan disambung lagi. Apa yang saya lakukan kini bukan untuk diri sendiri, tetapi demi ibu bapa," katanya.

Menurut Fouziah, berkat restu diterima daripada keluarga menyebabkan rezekinya dimurahkan Tuhan.

Tanpa berselindung, Fouziah mengakui dia tidak memikirkan soal jodoh.

Katanya dia melihat kedua-dua perkara itu adalah urusan Tuhan.

"Oleh itu, saya akui tak meletakkan sasaran usia bila mahu mendirikan rumah tangga. Bagi saya, apabila sampai 'seru' dan jodoh itu, pasti tak ke mana. Apa yang pasti, buat masa ini saya hanya mahu memberi perhatian dan keutamaan pada karier.

"Selepas beberapa tahun menjadi pelakon, kini bakat saya semakin mendapat perhatian ramai. Malah, saya baru saja selesai menjayakan penggambaran drama 40 episod, Trilogi Cinta bersama aktor, Rosyam Nor. Saya juga terbabit dalam drama seram, Mantera Anjasmoro.

"Saya turut menjadi pelakon pembantu dalam drama Tiramisu arahan Kabir Bhatia. Tidak dinafikan, dapat bekerja dengan pengarah dan penerbit ternama di negara ini adalah impian saya. Siapa yang tidak mahu menjadi pelakon terbaik dan anak seni berjaya?

"Sehubungan itu, wajar untuk saya pastikan dapat memberikan komitmen yang baik pada karier. Malah, lebih penting, saya harus sentiasa menjaga disiplin dan sikap. Ini kerana, saya percaya tanpa disiplin dan sikap yang baik, pasti akan kecundang," katanya.

Sempena sambutan Maal Hijrah 1432 hari ini, Fouziah turut muncul menjayakan telefilem khas, Dakwah Muharam di TV3 arahan Erma Fatima.

Membawakan watak Syuhada, kata Fouziah, telefilem itu memuatkan banyak mesej positif kepada penonton mengenai dakwah.

Turut laris di layar perak, Fouziah berkata beberapa filem lakonannya akan menemui penonton di pawagam pada tahun depan.

Katanya, antara filem itu ialah Ratu, Hantu Bukit China dan Rasuk.

Dalam filem, Fouziah banyak berlakon di bawah arahan Profesor Madya A Razak Mohaideen.

PROFIL
NAMA: Suhairil Suhari
PANGGILAN KOMERSIAL: Aeril Zafrel
TARIKH LAHIR: 2 Disember 1988
USIA: 22 tahun
KARIER: Pelakon
STATUS: Bujang
KELUARGA: Anak ke-4 daripada 5 beradik
DRAMA: Kisah Kaisara, Kasut Tumit Tinggi, Kita, Senja Permai, Durja Ningsun dan Klik
FILEM: Aku Tak Bodoh
MULA BERLAKON: 2008

Aeril tabah hadapi dugaan

PADA usia yang masih muda serta mengharapkan lagi kasih sayang ibu bapa, bintang filem Aku Tak Bodoh, Aeril Zafrel atau nama sebenarnya, Suhairil Suhari terpaksa akur pada suratan takdir. Ini kerana, tak sampai setahun dia sudah kehilangan ibu bapa tercinta.

Jika bapanya, Sunari Sulaiman, 48, meninggal dunia akibat barah tonsil pada 4 Disember 2009, baru-baru ini pula ibu, Supiah Munahid, 48, menyusul menyahut panggilan Ilahi pada 30 November lalu.

Paling memilukan, Aeril meraikan ulang tahunnya ke-22 pada 2 Disember lalu.

Menyedari ajal dan maut ketentuan Tuhan, Aeril tabah.

Katanya, sekalipun sedih kerana sudah kematian ibu bapa di kala masih lagi memerlukan kasih sayang mereka, dia akur.

Katanya barangkali, ia laluan terbaik untuk ibu bapanya yang menderita sakit barah.

"Arwah ibu saya, lebih dulu disahkan menghidap barah payudara kira-kira dua tahun lalu.

"Malangnya, ayah yang pergi dulu akibat barah tonsil yang tidak disedari. Kematian ayah, dianggap mengejut kerana ia dikesan dalam tempoh yang singkat.

"Selama enam bulan arwah ayah terlantar sakit dan ketika itu, saya sibuk di lokasi penggambaran filem Aku Tak Bodoh. Kini, di saat Aku Tak Bodoh ditayangkan di pawagam, ibu pula 'pergi' meninggalkan kami sekeluarga. Memang saya sangat sedih.

"Saya menyimpan impian ingin membawa kedua-dua ibu bapa menonton Aku Tak Bodoh. Hampir dua tahun bergelar pelakon, ibu bapa saya restu dan memberikan sokongan. Sayangnya, mereka tak sempat melihat hasil filem pertama lakonan saya di pawagam.

"Apapun, saya reda dengan takdir Ilahi ini kerana ia laluan lebih baik buat mereka.

Lagi pun, saya sangat sedih ketika melihat mereka menjalani rawatan di hospital. Ia sangat menyakitkan, tetapi mereka mempunyai semangat yang kuat untuk hidup keluarga.

"Namun, sekalipun sekarang ibu dan ayah sudah meninggal dunia, tetapi saya takkan patah semangat untuk meneruskan hidup. Saya harus bersikap positif dan menerima dengan hati terbuka demi masa depan. Malah, sekarang hanya mampu berdoa," katanya.

Masih 'setahun jagung' dalam industri hiburan tanah air, Aeril sebenarnya sudah banyak mendapat pendedahan berlakon drama.

Dia memulakan karier seninya pada 2008 menerusi drama Kisah Kaisara arahan Aziz M Osman dan dibintangi Sari Yanti.

Selepas itu, dia mula mendapat tawaran berlakon drama lain untuk stesen TV tempatan. Antaranya drama dibintanginya ialah Kasut Tumit Tinggi, Kita, Senja Permai dan terbaru, Klik untuk Astro. Malah, Aeril juga berlakon drama Durja Ningsun (TV3).

Menyentuh pandangannya mengenai industri hiburan tanah air yang kini banyak mengetengahkan bintang baru, Aeril berkata ia satu perkembangan yang sihat.

Ujarnya, tidak semua pelakon baru kurang berbakat, cuma mereka memerlukan pendedahan.

"Saya yakin sekiranya pelakon baru diberi peluang dan ruang untuk menonjol dan menggilap bakat, mungkin ia bagus untuk industri. Apa yang pasti, saya melihat seseorang pelakon harus membuktikan lakonan mereka menerusi karakter dibawa," katanya.

PROFIL
NAMA: Nor Fouziah Mohd Gous
PANGGILAN KOMERSIAL: Fouziah Gous
TARIKH LAHIR: 11 Disember 1982
TEMPAT LAHIR: Hospital Kuala Lumpur (HKL)
USIA: 27 tahun
STATUS: Bujang
KELUARGA: Bongsu daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Diploma Kesetiausahaan (BSC), Kolej Systematic
KARIER: Pelakon, model
DRAMA/TELEFILEM: Antaranya Enigma, Demi, Sangga Saadah, Qa'naah, Cinta Medik, Impak Maksima The Series, Otai The Series, Pencak Akhir, Anak Mami, Kain Ketat, SpaQ 2, Dedebab, Menantu 3 Rasa, Dedabab Raya, Trilogi Cinta, Mantera Anjasmoro, Tiramisu dan Dakwah Muharam
FILEM: Antaranya Bujang Senang, Malaikat Maut, Otai, Sifu dan Tongga, Rasukan Ablasa, Skrip 7707, Ratu, Hantu Bukit China dan Rasuk
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) di ASK2007
DUTA PRODUK: Adidas dan Alaisyah

PENGHARGAAN:

  • Busana Fouziah - Butik Hajaba
  • Busana/solekan Aeril Zafrel - Rose Jr (012-743 7620)
  • Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

    Gandingan mantap

    Posted: 06 Dec 2010 07:03 AM PST

    SENTUHAN emas komposer terkenal, Sharon Anne Paul dan penulis lirik, Ahmad Fedtri Yahya menerusi lagu Senyuman Kemegahan yang dinyanyikan Dewi Liana Seriestha berjaya mengungguli Pertandingan Akhir Cipta Lagu Patriotik yang berlangsung di Amphitheather Kompleks Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

    Penyanyi berbakat dan bekas peserta Mentor, Dewi Liana menyampaikan lagu berentak pop itu dengan cara tersendiri. Lirik lagu penuh makna yang dinyanyikan berjaya meniup semangat patriotik dan menghiburkan penonton yang hadir. Pertandingan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Jabatan Penyiaran Malaysia, RTM, Majlis Muzik Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia menyaksikan lapan peserta mengambil bahagian di peringkat akhir.

    Bagi Sharon dan Ahmad Fedtri, saingan pertandingan itu cukup sengit. Setiap lagu mempunyai kelebihan tersendiri kerana menampilkan rentak berbeza dan rancak. Kemenangan itu membolehkan mereka menerima hadiah wang tunai RM10,000 berserta piala iringan.

    Menurut Sharon, untuk penyertaan itu, dia melakukan rombakan dari segi susunan muziknya. Dia tidak menyangka lagu berkenaan memenangi pertandingan itu memandangkan cabaran daripada peserta yang bersaing tidak kurang hebatnya.


    "Untuk lagu ini, saya merakamkannya dalam dua versi. Lagu yang dinyanyikan Dewi berbeza sedikit untuk menambah kelainan pada rentak lagunya. Saya mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan lagu ini. Persaingan daripada peserta yang bertanding juga hebat belaka.


    "Lagu ini berentak pop. Ia ternyata berbeza daripada lagu dengan tema patriotik sebelum ini. Mungkin disebabkan itu, lagu ini menjadi pilihan juri," kata Sharon yang merancang mengagihkan wang hadiah kemenangan itu bersama penyanyi lagu berkenaan.

    Personaliti televisyen, Ahmad Fedtri pula berkata, penyertaan pada saat akhir menerusi pertandingan itu menyaksikan persaingan sengit daripada peserta yang bertanding. Malah, Fedtri tidak menyangka dua lagu ciptaannya dipertaruhkan pada peringkat akhir.

    "Biasanya orang mengenali lagu patriotik berentak 'march', begitupun untuk memenuhi permintaan penganjur dengan konsep yang berlainan sedikit, saya membayangkan mencipta lirik dengan sesuatu yang berbeza. Ilham mencipta lagu ini datang ketika menyaksikan temasya Sukan Asia di Guangzhou, baru-baru ini. Senyuman Kemegahan terbayang ketika mendengar lagu Negaraku berkumandang di Guangzhou selepas atlit negara memenangi pingat emas.

    "Memang saya banyak bekerjasama dengan Sharon menghasilkan lagu. Beberapa lagu yang belum diterbitkan seperti Kini Detiknya nyanyian Velvet dan Cahaya Inspirasi (Ning Baizura)," katanya.

    Selain lagu Senyuman Kemegahan yang berentak pop, Ahmad Fedtri turut mencatat nama sebagai penulis lirik menerusi lagu Sahutan Cinta Pertiwi ciptaan komposer dan penyanyi, Hafiz Hamidun yang dipertandingkan pada malam itu. Pencapaian itu adalah pertandingan kedua anjuran RTM yang dimenanginya selepas Pertandingan Cipta Lagu Etnik menerusi lagu Cendera Kirana juga bersama Sharon Paul.

    Tempat kedua yang membawa pulang wang tunai RM8,000 serta piala dimenangi komposer muda, Rohaizad Hamzah manakala lirik ditulis Asrul Iman Rosli menerusi lagu Malaysia Bersatu nyanyian Mohd Aidillah Esa dan Linaber Haidir.

    Sementara tempat ketiga dibolot pelajar jurusan muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Fauziah Suhaili atau lebih popular dengan gelaran Fauziah Gambus menerusi lagu karyanya, Jasa Pejuang.

    Fauziah Suhaili memberitahu, percubaan pertama mencipta lagu patriotik membuahkan hasil apabila berjaya tersenarai dalam kelompok akhir. Kejayaan menduduki tempat ketiga turut didorong semangat menyanyikan lagu patriotik diiringi adik-adik berbakat besar yang turut serta dalam persembahan itu.

    "Ini pertama kali saya menyertai pertandingan mencipta lagu patriotik. Kebetulan pula, saya antara peserta terakhir yang menghantar penyertaan. Malah, saya sendiri tidak menyangka daripada ratusan peserta yang mencuba nasib, saya tersenarai dalam kelompok peserta akhir, seterusnya menduduki tempat ketiga teratas. Tidak dinafikan banyak bakat baru yang menyerlah pada pertandingan ini," katanya.

    Fauziah yang turut memenangi Anugerah Persembahan Terbaik membawa pulang wang tunai RM7,000 serta trofi manakala peserta yang berjaya ke peringkat akhir menerima hadiah sagu hati.

    Peserta yang mengambil bahagian antaranya komposer, Errie Naham Abu Hamid manakala penulis lirik, Enni Sulastri Abu Hamid menerusi lagu Negaraku Malaysia yang dinyanyikan Datuk Yusni Hamid, Dzulkifli Zakaria (Di Sinilah nyanyian Nur Athirah Abdul Rahim), Intan Norul Azlina Ahmad dan Mohd Zazly Zainal Ariffin menerusi lagu Satu oleh Anaz Farhan Shahruddin.

    Tidak ketinggalan Ainol Naim Azizol dengan lagu Ku Temui Satu Malaysia dinyanyikan Andy Siti Nurhidayah Rahim dan Mohd Hafiz Hamidun menerusi lagu Sahutan Cinta Pertiwi.

    Hadiah disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf diiringi Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli.

    Penonton yang hadir turut dihiburkan dengan telatah lucu gandingan pengacara, Norkhiriah dan Ivan Teoh serta persembahan artis popular tanah air antaranya M Nasir menerusi lagu Phoenix Bangkit, Fiq (Manifestasi Cinta), Ana Raffali (Hujan Bunga Di Kuala Lumpur), Altimet dan penampilan khas pasukan kawad senyap Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) dengan iringan DJ Fuzz dan pasukan pancaragam Sekolah Victoria, Kuala Lumpur.

    Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.