Adsense

Selasa, 14 Disember 2010

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Pelajar UIAM bantu umat Islam Kemboja

Posted: 14 Dec 2010 07:07 PM PST


Sukarelawan uiam memberi taklimat kepada kanak-kanak sebelum mereka dikhatankan.


ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: …Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sungguh, Allah sangat berat seksa-Nya... (al-Maidah: 2).

Islam adalah agama yang mementingkan perpaduan dan sikap saling membantu melaksanakan kebajikan yang mana ia merentasi sempadan geografi.

Usaha murni itu perlu dipupuk di kalangan remaja dan belia supaya apabila dewasa , tugas itu bukan asing kepada mereka.

Baru-baru ini, 28 sukarelawan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terdiri daripada enam pegawai dan 22 pelajar 'mengorbankan' cuti mereka untuk menjalankan Program Khidmat Masyarakat di Kemboja.

Program Khidmat Masyarakat itu dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (Censerve) di bawah Pejabat Timbalan Rektor (Ehwal Pelajar) UIAM.

Program yang diberi nama Misi Kemanusiaan Antarabangsa Kemboja itu adalah misi ke-4 anjuran UIAM.

Ia berlangsung selama seminggu mulai 21 hingga 27 November 2010.

Antara tujuan misi kemanusiaan di Kemboja itu adalah melihat dan memantau projek yang telah dilakukan sebelumnya.

Selain itu, ia bagi mengumpul maklumat-maklumat berkenaan keperluan masyarakat di sana. Terutamanya, membantu umat Islam di Kemboja agar mereka menyedari pentingnya pendidikan untuk anak-anak dan generasi muda.

Misi itu juga menyediakan asas untuk kakitangan dan mahasiswa UIAM mengembangkan kemahiran sosial melalui pergaulan dengan masyarakat antarabangsa.

Seterusnya, memahami masalah dan kekurangan mereka serta membina persaudaraan sesama Muslim yang lain.

Pada misi kali ini, UIAM memilih Battambang, iaitu bandar kedua terbesar di Kemboja dengan jumlah penduduk lebih daripada 250,000.

Battambang terkenal sebagai wilayah pengeluar beras terkemuka di negara itu. Selama lebih 500 tahun, ia menjadi pusat komersial utama dari Siam Wilayah Timur.

Pelbagai program dan aktiviti dijalankan sepanjang seminggu program tersebut antaranya berkhatan oleh Ketua Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan UIAM, Dr. Dinon Mohd. dan pegawai perubatan Dr. Md. Soep Fadimon.

Turut diadakan adalah pengajaran modul kepada kanak-kanak seperti mewarna, sembahyang dan doa, gotong-royong, mengadakan ziarah di tujuh kampung, memberi bantuan seperti telekung, tasbih, al-Quran serta dana untuk memajukan masjid dan surau terpilih.

Tidak ketinggalan, memberi pendedahan kepada para penduduk betapa pentingnya untuk menjaga kesihatan.

Selain itu, pelajar melakukan tinjauan demografi untuk mengumpul data berkenaan dengan jumlah keluarga, pendidikan, latar belakang pekerjaan, ekonomi serta pegangan agama di sesebuah kampung.

Data yang dikumpul akan digunakan sebagai rujukan misi seterusnya.

Timbalan Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat UIAM, Martinelli Hashim berkata, pihaknya akan meneruskan program itu agar dapat membantu umat Islam di Kemboja.

Katanya, diharapkan program itu dapat membantu umat Islam di Kemboja mengubah cara hidup mereka ke arah yang lebih baik.

Zikra perlihat realiti kehidupan asnaf

Posted: 14 Dec 2010 07:05 PM PST


sebahagian peserta program Zikra bergambar di hadapan Asrama Baitul Hasanah LZS yang terletak di Kampung Perepat, Klang, Selangor.


BERKATA mengenai zakat, banyak perkara yang pastinya terlintas di fikiran kita. Kadang-kadang kita bertanya di dalam diri, di manakah wang zakat yang dibayar itu disalurkan dan siapakah asnaf penerima yang telah memperoleh manfaat itu?

Adakah wang zakat yang berjaya dikutip itu benar-benar telah diagihkan seadil mungkin? dan bagaimana pula halnya bagi mereka yang lebih memilih untuk membayar zakat terus kepada golongan yang dirasakan layak?

Semua persoalan itu timbul mungkin kerana masih ada kejadian di mana umat Islam dibelenggu kemiskinan dan hidup melarat, kisah-kisah anak yatim terbiar, golongan mualaf terpinggir dan tidak kurang juga, institusi kebajikan yang tidak terurus. Sedangkan, pada masa sama, segelintir agensi pungutan zakat berbangga menguar-uarkan kepada media akan jumlah kutipan mereka yang mencecah jutaan ringgit setahun.

Namun sebenarnya, usaha Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan program yang dikenali sebagai 'Program Ziarah Korporat dan Media Bersama Asnaf' atau singkatannya Zikra dikira satu usaha yang tepat pada masanya dan satu langkah yang perlu dicontohi.

Malah ia sekali gus menjadi platform dalam usaha merungkai kemelut persoalan yang tidak mustahil terlintas di benak atau di kotak fikiran setiap insan yang bergelar pembayar zakat.

Zikra adalah program tahunan LZS dan penganjurannya Rabu lalu merupakan program kali kedua. Zikra yang pertama ke beberapa projek pembangunan asnaf zakat yang terletak di beberapa daerah di Hulu Selangor.

Program ini bertujuan mendedahkan aktiviti agihan secara langsung kepada umat Islam, di samping mendapatkan maklum balas secara terus daripada para peserta jemputan terhadap projek-projek agihan zakat yang dilakukan.

Pengarah Zikra-2 yang juga Ketua Unit Perhubungan Awam, LZS, Hamizul Abdul Hamid menjelaskan, pihaknya mensasarkan penyertaan daripada pihak media massa, demi membolehkan pihak itu membuat liputan secara terus di dalam media masing-masing agar dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.

"Penyertaan pihak korporat antaranya; Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), DEMC Management Sdn. Bhd., Nasim Sdn. Bhd., Universiti Putra Malaysia (UPM), Perpustakaan Negeri Selangor, Galeri Ilmu Sdn. Bhd. dan Pama Niaga adalah sebagai wakil pembayar zakat yang bertindak menjadi 'mata dan telinga' dalam menilai agihan zakat yang telah dilaksanakan.

"Di samping itu, program ini akan turut melibatkan beberapa aktiviti sampingan dan dibuat secara tidak formal dengan tujuan merapatkan ukhuwah, sama ada di antara pembayar zakat, media massa, LZS mahupun asnaf zakat," kata Hamizul natijah akhir daripada program Zikra ini adalah merapatkan jaringan di antara semua pihak demi kebaikan umat Islam di Selangor.

Seawal 8.15 pagi, para peserta berkumpul di perkarangan Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor sebelum rombongan seramai 90 peserta termasuk pembayar zakat, ejen kutipan dan media massa dilepaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof, sekali gus simbolik kepada pelancaran konvoi Zikra-2 tepat pukul 8.45 pagi itu.

Konvoi pagi itu mungkin menjadi kenangan manis kepada sebahagian peserta kerana ia bukan sahaja peluang melihat secara langsung realiti kehidupan asnaf zakat dari dekat.

Namun, seperkara yang jarang dialami dalam hidup para peserta ini ialah apabila rombongan lawatan hari itu diiringitiga polis trafik, yang sudah semestinya berjaya memastikan kelancaran perjalanan keseluruhan program yang bermula dari Shah Alam dan berakhir di Sungai Nibong, Sabak Bernam, Selangor sebelum berpatah balik ke Masjid Negeri Shah Alam. Selangor.

Kecekapan mereka memastikan kelancaran di jalan raya, secara tidak langsung menyumbang kepada ketepatan masa mengikut jadual... Syabas...

Destinasi pertama lawatan adalah ke Pusat Dialisis LZS (MAIS) di Batu 4, Jalan Kapar, Klang dalam masa tidak sampai setengah jam. Pusat Dialisis ini adalah satu daripada empat pusat dialisis yang dibina oleh LZS.

Ketika di sini, para peserta diberi penerangan ringkas oleh Jururawat Bertugas yang juga penyelia, Rosniza Mohamed Addnan tentang operasi pusat tersebut.

Katanya, sejak beroperasi tiga tahun lalu, jumlah pesakitnya bertambah dari semasa ke semasa. Jumlah terkini yang sedang menerima rawatan di pusat itu adalah seramai 47 orang yang dikendalikan oleh 12 kakitangan yang bekerja dalam tiga syif.

"Terdapat 11 mesin di pusat ini dan bayaran untuk sekali rawatan sekitar RM150. Ini tidak termasuk ubat-ubatan dan suntikan. Malah dianggarkan kos untuk seorang pesakit adalah antara RM3,500 hingga RM4,000 sebulan termasuk rawatan dan ubatan.

"Pusat ini juga menyediakan pengangkutan kepada pesakit yang menghadapi kesukaran untuk pergi ke pusat itu," katanya.

Seterusnya, peserta konvoi melawat asrama terbesar anak asnaf fakir miskin di Selangor iaitu di Kampung Perepat, Klang yang dikenali sebagai Asrama Baitul Hasanah LZS, Klang dengan kos pembinaan RM9 juta.

"Cadangan pembinaan asrama Baitul Hasanah kedua ini dibuat pada tahun 2004 dan siap sepenuhnya pada 2009. Matlamat asal pembinaan asrama ini adalah untuk mengelakkan keciciran pelajar daripada golongan sasaran, menjaga kebajikan dan melatih mereka ini ke arah kecemerlangan.

"Walaupun asrama ini berkemampuan menampung 288 pelajar pada satu-satu waktu tetapi kami akan hanya mengisi seramai 250 penghuni. Buat masa ini pada pengambilan pertama terdapat seramai 100 pelajar antara usia 10 hingga 12 tahun," kata Pengurusnya, Mohd. Rodhi Abu Hashim sebelum membawa rombongan melawat ke persekitaran Baitul Hasanah seluas tiga hektar itu.

Tambahnya, pada sesi kemasukan 2011, pihaknya bakal menerima 50 lagi pelajar baru menjadikan jumlahnya 150 orang yang dipilih daripada sembilan daerah di Selangor.

Kata Mohd. Rodhi lagi, pihaknya amat mengalu-alukan segala bentuk sumbangan, terutamanya bahan-bahan bacaan, komputer, kipas angin dan tiga penghawa dingin, memandangkan kos perbelanjaan pengurusan, persekolahan, wang saku dan sebagainya mencecah RM50,000 sebulan.

Destinasi diteruskan ke rumah warga emas LZS, Darul Salamah. Rumah yang dihuni oleh tujuh warga emas perempuan antara usia 55 tahun hingga 80 tahun yang juga sebatang kara serta mempunyai pelbagai penyakit kronik.

Jelas tergambar rasa keinsafan pada raut wajah para peserta bila mana mendapati bahawa tulang belakang terteguhnya rumah itu adalah atas kudrat tua pesara tentera, Mojd. Mukrin Suif, 70, dan isterinya, Saamah Misman, 60.

Komitmen pasangan tua ini memang menyentuh setiap kita yang tidak lari daripada fitrah perasaan kasihan belas. Bagaimana kesungguhan dan kemampuan mereka mengisi sisa-sisa usia tua penghuni rumah ini dengan kelas-kelas pengajian agama sesuai dengan kemampuan dan usia para penghuninya wajar diberi sokongan.

Setibanya para peserta di Desa Ehsan, Sungai Nibong, Sabak Bernam menandakan lawatan Zikra-2 menghampiri ke destinasi akhir. Rombongan disambut dengan bacaan selawat Nabi SAW oleh anak-anak penduduk di situ sambil diiringi paluan kompang.

Lawatan ke Pusat Kegiatan Ekonomi Bengkel Jahitan D'Asnaf Anggun tambah mengujakan apabila melihat kerancakan beberapa pekerja yang diambil daripada golongan asnaf sibuk menyiapkan pakaian sekolah untuk sesi persekolahan 2011 yang bakal bermula tidak lama lagi.

Kami difahamkan bahawa ini adalah bengkel ketiga daripada lima bengkel keseluruhan tetapi adalah yang pertama di Kuala Selangor yang dibina atas pembiayaan LZS.

Buat masa ini, bengkel Jahitan D'Asnaf Anggun hanya menerima tempahan pakaian seragam sekolah anak-anak asnaf zakat sahaja.

Bengkel ini turut memberi pendapatan tambahan kepada pekerja di mana mereka mampu memperoleh antara RM500 ke RM1,000 sebulan bergantung kepada kemahiran dan keupayaan penghasilan mereka.

Kami juga sempat berkenalan dengan pasangan Mansor Husin, 54, dan Bariah Pandi, 53, penerima bantuan rumah di penempatan berkelompok asnaf fakir dan miskin yang diwujudkan sejak tahun 1998 di beberapa daerah di Selangor.

Mansor yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah kebangsaan berdekatan situ memberitahu, mereka lima beranak sudah 10 tahun tinggal di rumah yang dikira selesa dengan tiga bilik tidur, satu bilik mandi, mempunyai ruang tamu dan ruang dapur yang sederhana luasnya.

"Kalau dahulu kami menumpang di rumah kakak tetapi setelah layak tinggal di rumah pemberian LZS, banyaklah perubahan dalam kehidupan ini yang dirasai. Dulu kami juga menerima perbelanjaan pembiayaan persekolahan ketiga-tiga anak, belanja bulanan dan bantuan-bantuan lain.

"Alhamdulillah, dengan adanya sumbangan pembayar zakat ini serta LZS yang menyalurkan bantuan kehidupan kami sememangnya terbela, tidaklah seterusnya kami hidup di dalam kesusahan.

"Isteri saya juga sejak menjahit di bengkel jahitan, kini dapat membantu perbelanjaan harian dan ada ketikanya mengambil upah menjahit pakaian luar. Memang kami tidak mengharapkan untuk terus tinggal di sini kerana mahu juga bergelar pembayar zakat suatu hari nanti," kata mereka.

Acara hari itu disudahi dengan majlis perasmian penutup yang disempurnakan Mohamed Izam, sebelum para peserta dijamu makan tengah hari.

Impak graduan reka fesyen

Posted: 14 Dec 2010 07:05 PM PST


Kreativiti pelajar menggabungkan unsur tradisional dan futuristik.


DATIN Sharifah Kirana Syed Ghazali, Adnan Hassan, Rizalman Ibrahim, Datin Norma Norell, Amin Johari, Radzwan Razwill, Jasmi Rejab, Saiful Bahrim dan Rizman Ruzaini adalah antara pereka fesyen tanah air yang mewarnai dunia fesyen hari ini.

Tetapi tahukah anda, pereka-pereka fesyen ini merupakan graduan jurusan rekaan fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Kehadiran mereka ini bukan sahaja memeriahkan lagi dunia fesyen tanah air malah mereka juga dilihat berpengaruh dan keindahan seni reka mereka semakin meninggalkan kesan.

Keadaan dunia yang sentiasa berubah dengan keperluan manusia yang pelbagai, arena fesyen turut mengalami evolusinya tersendiri.

Trend dan gaya masa kini memberikan 'wajah' dan 'warna-warna kehidupan' kepada masyarakat sekeliling malah kreativiti dan kemahiran juga 'diluahkan' melalui rekaan masing-masing.

Ini dapat dilihat melalui rekaan yang diilhamkan oleh pelajar-pelajar tahun akhir jurusan rekaan fesyen dari UiTM sempena pertunjukkan akhir peringkat ijazah di Yayasan Tun Razak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Malah rekaan yang luar biasa serta 'menakjubkan' itu membuatkan Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berjanji membawa rekaan serta pelajar-pelajarnya yang terpilih ke London untuk menyertai Minggu Fesyen Graduan London pertengahan Disember ini.

Ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini, Sahol Hamid amat teruja dan ternyata beliau amat berpuas hati dengan produk yang dihasilkan oleh para pelajarnya.

Beliau yang dilihat begitu gembira turut memberitahu bahawa rekaan fesyen yang dihasilkan oleh para pelajarnya mampu diketengahkan dan dibawa ke peringkat antarabangsa.

''Rekaan yang dipersembahkan di Yayasan Tun Razak baru-baru ini merupakan satu persembahan yang luar biasa dan setanding dengan persembahan antarabangsa.

''Kesemua fesyen yang diperagakan sudah pasti hasil serta ilham daripada pelajar-pelajar sendiri malah ia dilihat satu rekaan yang kreatif dan futuristik.

''Jadi sudah pasti hasil titik peluh mereka untuk mengangkat martabat rekaan fesyen terutama di kalangan pelajar-pelajar UiTM tidak sia-sia. Saya turut berjanji untuk membawa sebahagian daripada mereka menyertai Minggu Fesyen Graduan London,'' ulasnya.

Tambah beliau, kunjungan mereka selama enam hari ke London bukan sahaja membawa misi Desteni Anak Bangsa tetapi turut bertujuan meletakkan nama UiTM di peta dunia di samping membuka ruang untuk mewujudkan jaringan dan hubungan dalam bidang akademik dan industri fesyen di peringkat global.

Ketika ditanya mengapa Kota London menjadi pilihan, jelas Sahol Hamid, selain Milan dan Paris, London juga merupakan selah sebuah pusat fesyen terkenal dunia malah beberapa pereka terkemuka Malaysia turut mencipta nama di sana seperti Datuk Jimmy Choo, Bernard Chandran dan Tom Abang Saufi.

Mengulas lanjut mengenai Minggu Fesyen Graduan London yang akan berlangsung 16 dan 17 Disember ini, sebanyak 40 koleksi pelajar tahun akhir yang terpilih akan diperagakan.

''Minggu Fesyen Graduan London akan berlangsung selama dua hari bermula 16 Disember ini di mana ia menjadi tumpuan semua universiti, kolej dan industri fesyen dari seluruh dunia.

''Sepanjang minggu fesyen tersebut berlangsung, lebih kurang 40 fesyen akan diperagakan dan seramai 15 orang pelajar tahun akhir akan turut serta.

''Yang penting, kesemua fesyen yang akan diperagakan mempunyai elemen-elemen warisan budaya dan pengayaan kontemporari untuk ditunjukkan kepada seluruh dunia,'' katanya.

Yang penting, selain mempromosikan nilai budaya dari aspek pelancongan dan fesyen Malaysia, kehadiran mereka pada minggu fesyen tersebut juga diharapkan dapat memberi motivasi kepada diri masing-masing untuk berusaha dengan lebih cemerlang bagi mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Suami isteri perlu bijak urus konflik

Posted: 14 Dec 2010 07:02 PM PST

KEBAHAGIAAN dalam rumah tangga merupakan impian setiap mereka yang berkahwin. Namun dalam melayari kehidupan bersama, pasti akan ada cabaran dan rintangan yang perlu dihadapi bersama.

Umpama air laut, ada pasang surutnya, ada ketika masa tenang namun ada masa gelora dilanda ombak yang begitu kuat menghempas.

Hakikatnya, perkahwinan merupakan perkongsian hidup yang memerlukan satu komitmen yang serius di antara lelaki dan wanita untuk hidup bersama sepanjang hayat.

Oleh itu, sebarang perbezaan dari segi cara berfikir, sikap malah cita rasa antara suami isteri boleh menimbulkan perselisihan faham bahkan pertengkaran.

Perunding Psikologi Keluarga, Suzana Ghazali berkata, setiap pasangan yang berkahwin perlu mempunyai kemahiran dalam menguruskan konflik bagi mengelakkan ia menjadi krisis yang lebih serius.

''Malangnya ramai daripada pasangan selaluinya tidak menyedari bahawa mereka sedang berhadapan dengan konflik,'' ujarnya.

Malah situasi tersebut dibiarkan tanpa ditangani sehingga menjadi lebih serius dan tidak mampu diselamatkan lagi.

Ditanya mengenai punca yang boleh menimbulkan konflik, beliau menegaskan bahawa masalah komunikasi adalah punca utama yang menyebabkan krisis itu berlaku.

Bagaimanapun, pengabaian tanggung jawab sebagai suami atau isteri juga menyebabkan rumah tangga menjadi hambar.

Selain itu, tiada perasaan kasih sayang dan sering menyalahkan pasangan apabila menghadapi masalah juga merupakan faktor penting berlakunya krisis dalam rumah tangga.

Jelasnya, tidak dinafikan, konflik merupakan satu lumrah dalam kehidupan berumah tangga.

''Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri, namun jika sering sangat tergigit pun, boleh mendatangkan kesan yang tidak baik.

''Konflik yang tidak ditangani boleh menimbulkan pelbagai kesan negatif, antaranya perasaan tertekan sehingga menyebabkan penampilan diri tidak ceria, halangan untuk berkomunikasi dengan baik dan kesetiaan serta penghormatan terhadap pasangan berkurangan,'' tegasnya lagi.

Terangnya lagi, dalam rumah tangga setiap pasangan suami isteri perlu bijak di dalam menguruskan konflik.

'Perkara paling penting yang perlu dilakukan ialah bertenang dan bersabar serta kawal emosi agar tidak mengatasi rasional dan kewarasan fikiran.

"Konflik adalah perkara biasa di dalam perkahwinan dan kita tidak boleh mengelak daripada mengalami konflik.

''Yang perlu kita lakukan ialah tangani konflik tersebut secara positif dan tidak merugikan kedua-dua pihak.

''Perlu diingat, perkahwinan dan kehidupan sebelumnya adalah dua perkara yang amat berbeza.

''Jika dulu, kita hidup sendirian tetapi kini dalam diri kita ada suami, begitu juga dalam diri suami ada isteri, jadi tidak salah mempunyai pendapat atau cita rasa yang tak serupa, tidak perlu menukar diri anda menjadi dirinya demi mengelakkan konflik,'' ujarnya.

Teint Miracle serlahkan wajah

Posted: 14 Dec 2010 07:01 PM PST


JURUSOLEK Lancome ketika menyapukan Teint Miracle kepada seorang model.


LANCOME Malaysia, baru-baru ini memperkenalkan bedak asas cecair baru Teint Miracle menerusi kajian selama 10 tahun. Ia merupakan bedak asas cecair pertamanya yang menyerlahkan kesempurnaan kulit dengan teknologi terkininya Aura-Inside. Iaitu satu penemuan besar dalam teknologi kosmetik untuk menghasilkan wajah berseri dari semua sudut.

Program yang diadakan di Sogo, Kuala Lumpur bersempena acara bersama pelanggan menyaksikan Artis Lancome Color Design, Mell, menunjukkan cara penggunaan bedak asas cecair miracle pada penyanyi Jazz, Atilia.

Pengurus Jenama Lancome Malaysia, Elida Wong berkata, bedak asas cecair baru Teint Miracle menandakan era baru untuk kosmetik.

''Teint Miracle menggunakan teknologi Aura-Inside, yang merupakan penghasilan cahaya semula jadi yang digabungkan dengan pigmen generasi baru diilhamkan oleh kajian optik yang digunakan untuk biologi dengan esen cahaya cecair yang unik,'' katanya.

Menerusi penggunaan penemuan saintifik yang terkini, kajian Lancome membuktikan bahawa cahaya bukan sahaja dipantul pada permukaan, tetapi juga dipancarkan semula dari bahagian dalam kulit seterusnya menghasilkan paras 3D secara semula jadi.

Paras 3D inilah yang memberikan kelainan kepada imej wajah selepas solekan.

Ketika melakukan demonstrasi, Mell memberitahu cara terbaik menggunakan Teint Miracle ialah melalui pergerakan pusingan.

''Dengan menggunakan pergerakan pusingan, menyapunya ke atas, dapat membantu merangsang dan menyegarkan sel-sel serta menghasilkan paras wajah yang lebih sekata dan berseri,'' tambahnya.

Siapa yang tidak mahu kelihatan cantik dan menawan. Menerusi perubahan keajaiban yang didatangkan melalui Teint Miracle memberikan harapan kepada semua wanita untuk kelihatan lebih berseri dan jelita sekata.

Dijual pada harga RM130 untuk botol bersaiz 30 ml, Teint Miracle baru terdapat dalam 8 rona dan kini terdapat di semua kaunter kecantikan Lancome seluruh negara.

Kegigihan Wanita Yakult

Posted: 14 Dec 2010 07:00 PM PST


Kuniko Aoyama memeriksa produk jualan yang dimasukan dalam beg khas.


SEAWAL pukul 7.30 pagi, sudah menjadi rutin harian ibu muda ini mengayuh basikal kesayangan bersama anak lelakinya yang diletak di tempat duduk belakang, menuju ke Pusat Wanita Yakult yang terletak di Shin-torigoe Centre, Tokyo.

Perjalanan dari rumahnya menuju ke pusat tersebut mengambil masa 40 minit. Biarpun agak jauh tetapi ibu muda ini, Kuniko Aoyama, 33, selesa dengan tugas harian sebagai Wanita Yakult.

Dalam perjalanan, dia akan singgah di pusat jagaan Yakult dan meninggalkan anak lelakinya yang berusia empat tahun itu di pusat jagaan yang telah disediakan oleh pihak pengurusan.

Setiba di Pusat Wanita Yakult, dia bersama rakan-rakan yang lain mendapatkan beg khas yang telah disediakan yang mengandungi produk jualan yang akan dibawa dengan kereta sorong.

Sambil meletakkan ketulan ais di dalam plastik, dia akan memastikan pesanan yang diminta oleh pelanggan mencukupi.

Tepat jam 8.30 pagi, selesai taklimat ringkas dia memulakan tugas dengan menemui pelanggan setia yang sedang menanti kehadirannya bersama produk minuman yang ditempah.

Dengan berpakaian seragam Yakult, Aoyama menolak kereta sorongnya mengelilingi kawasan yang telah ditetapkan.

Begitulah rutin hidup wanita ini setiap hari sejak empat tahun lalu selepas bergelar Wanita Yakult dengan meraih pendapatan kira-kira 110,000 Yen atau kira-kira RM3,800 sebulan.

''Biarpun banyak berjalan tetapi saya sukakan kerja ini kerana setiap hari ia memberikan pengalaman yang berbeza,'' ujar ibu tunggal ini yang pernah berkhidmat sebagai jurujual di sebuah pasar raya sebelum ini.

Katanya lagi, setiap hari dia boleh berjumpa dengan bermacam-macam ragam manusia.

"Itu semua memberikan keseronokan dan ketenangan pada diri saya,'' ujarnya ikhlas.

Malah setiap hari ibu muda ini akan mengelilingi kawasan-kawasan yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan termasuklah di rumah-rumah dan pejabat.

Ceritanya, sejak kecil lagi dia didedahkan dengan Yakult dan pernah bercita-cita untuk menjadi Wanita Yakult kerana pakaian seragam yang sangat menarik.

''Sejak kecil saya sering melihat Wanita Yakult berpakaian uniform mengunjungi dari rumah ke rumah. Malah, saya juga pelanggan setia minuman tersebut yang bukan sahaja bagus untuk kesihatan tetapi juga berkhasiat,'' ceritanya sambil ketawa.

Melihat kerajinan dan ketekunan yang ada di dalam diri ibu muda ini membuatkan penulis terpegun.

Malah terfikir di benak, adakah rakyat Malaysia juga mampu membuat kerja yang sama seperti ibu muda ini yang sanggup berjalan kaki sambil membawa kereta sorong mengelilingi kawasan demi mencari rezeki berbekalkan senyuman manis, dia tekun melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Penulis yang berkesempatan mengikuti tugas tersebut agak kepenatan kerana terpaksa berjalan jauh, namun bagi Aoyama, itu adalah tugas hakiki dirinya demi mencari sesuap nasi untuk diri serta anak tunggalnya.

Dia yang sudah hampir lima tahun berkhidmat sebagai Wanita Yakult memberitahu, setiap hari hampir 45 hingga 60 buah premis harus dilawati bagi menghabiskan jualan hariannya.

''Setiap hari kita mempunyai jadual yang tertentu untuk menjaja minuman ini ke premis-premis seperti pejabat dan juga rumah persendirian,'' terangnya.

Namun mereka juga mempunyai pelanggan yang tetap untuk dikunjungi.

Bagaimanapun, ada juga premis yang tidak membeli produk minuman itu, tetapi itu semua sudah menjadi adat dalam proses menjual beli.

''Biasanya menjelang jam 2 petang, semua jualan akan habis dan saya akan kembali ke pusat jualan untuk membuat persiapan jadual esok dan juga memastikan stok barangan mencukupi,'' ujarnya yang tamat kerja pada pukul 3 petang setiap hari.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult Bahagian Jualan, cawangan Tokyo, Mase pula memberitahu, bukan mudah menjadi Wanita Yakult kerana harus berdepan dengan pembeli yang mempunyai pelbagai kerenah.

Namun dengan latihan dan tunjuk ajar yang diberikan mereka mampu menjalankan tanggung jawab yang diberikan.

Tegasnya, setiap hari kesemua wanita Yakult akan memulakan tugas seawal pukul 8.30 pagi hingga 3 petang.

Biasanya mereka akan selesai bertemu pelanggan sekitar pukul 2 petang dan akan balik ke pusat bagi membuat persiapan tempahan serta jualan untuk keesokan harinya.

''Selesai kerja, mereka akan mengira wang jualan sebelum diserah kepada pusat dan pulang ke rumah masing-masing ,'' ujarnya lagi.

Terang beliau, hampir semua Wanita Yakult di Pusat tersebut adalah suri rumah yang berusia antara 21 hingga 75 tahun.

Kesemua mereka diambil di kalangan komuniti sekitar bandar itu dengan tujuan membantu mereka menambah pendapat keluarga.

Sebelum memulakan kerja mereka akan diberikan kursus tentang kaedah penjualan serta cara menjalankan tugas dengan baik.

Bagaimanapun katanya, kesemua mereka adalah pengedar bebas yang memperoleh pendapatan melalui komisen kira-kira 110,000 Yen sebulan.

Wanita Yakult adalah antara penggerak kejayaan Yakult Honsha Co. Ltd., syarikat pengeluar produk minuman berasaskan probiotik terkemuka dunia.

Ia mula diasaskan oleh Dr. Minoru Shirota yang merupakan seorang doktor perubatan yang menemui sejenis bakteria asid laktik iaitu 'lactobacillus casei' yang boleh memberikan kebaikan kepada kesihatan manusia.

Mengikut sejarah, sistem Wanita Yakult mula diperkenal pada tahun 1963 dengan tujuan membantu golongan suri rumah dalam menambah pendapatan keluarga.

Bas untuk wanita melegakan

Posted: 14 Dec 2010 06:58 PM PST


Wanita kini lebih selamat menaiki bas awam khusus untuk wanita. - Gambar hiasan


KEWUJUDAN bas dan koc komuter khusus untuk wanita, saya anggap sebagai satu rahmat kepada pengguna kenderaan awam seperti saya.

Hanya mereka yang setiap hari menggunakan kenderaan awam untuk pergi dan balik kerja saja yang faham 'kesengsaraan' yang kami alami.

Selain terpaksa menunggu lama kerana kebanyakan bas sampai tidak mengikut masa, kami juga terpaksa berhimpit-himpit dalam bas yang penuh sesak.

Waktu inilah golongan wanita seperti kami terdedah dengan jenayah 'raba' oleh lelaki-lelaki yang tidak bertanggungjawab dan dalam keadaan sesak seumpama itu kadang kala kami tidak boleh berbuat apa.

Itu belum lagi dengan bermacam-macam 'haruman' yang menyakitkan hidung yang terpaksa dihidu terutama pada waktu balik kerja.

Oleh itu kehadiran bas untuk wanita cukup melegakan dan harap diperbanyakkan lagi pada masa depan.

Alasan ia menyusahkan penumpang yang berjalan bersama suami sebenarnya tidak timbul kerana mereka masih mempunyai pilihan untuk menaiki koc atau bas untuk kedua-dua jantina.

– Halimah Saidin, Eksekutif Jualan, Kuala Lumpur

Bagi mereka yang menaiki kenderaan sendiri ke tempat kerja langkah ini mungkin tidak membawa makna apa-apa, tapi ia cukup melegakan kepada pengguna pengangkutan awam.

Pengenalan bas atau koc khusus untuk wanita bukan sesuatu yang baru malah Malaysia dianggap ketinggalan berbanding negara-negara lain yang telah lama melaksanakannya.

Sebagai contoh di London sudah lama terdapat perkhidmatan teksi khusus untuk wanita dikenali sebagai Pink Ladies di mana teksi ini diwarnakan dengan warna merah jambu dari dalam hingga luar. Penumpang teksi ini perlu terlebih dahulu mendaftarkan diri sebagai ahli dalam komuniti Pink Ladies.

Saya rasa golongan lelaki tidak perlu berasa resah kerana mereka masih ada banyak pilihan lain. Bahkan mereka harus tumpang gembira kerana kini mereka tidak perlu berasa bimbang isteri, adik atau anak perempuan mereka tidak lagi berdepan dengan ancaman seksual ketika menggunakan pengangkutan awam.

Mungkin amalan ini boleh diperluaskan dalam perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti kaunter pembayaran khas untuk wanita diperkenalkan di pasar raya-pasar raya terkenal.

– LINDA HANI, Kuala Lumpur

SAYA rasa apa yang diperkenalkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad dengan koc merah jambu dan kini bas awam khusus untuk wanita merupakan satu langkah yang sangat bagus kerana ia dapat menjamin keselamatan golongan wanita.

Ini kerana walaupun mereka masih lagi perlu berasak-asak tetapi mereka tidak lagi perlu risau dengan jenayah seksual seperti kejadian raba yang sering terjadi di dalam bas ataupun komuter dan juga LRT.

Walaupun saya seorang lelaki, tetapi saya amat memahami masalah yang sering dialami oleh kaum Hawa kerana sudah pasti menaiki kenderaan awam tanpa kaum Adam merupakan satu rahmat buat mereka terutama sekali apabila tiba waktu puncak dan kini mereka (wanita) boleh menggunakan kenderaan awam dengan lebih selesa walaupun berasak sesama jantina dan itu lebih selamat.

- ZAINOL ABIDIN ZAKARIA,

KUALA LUMPUR

Dasar 1M1S hanya untuk murid sihat

Posted: 14 Dec 2010 06:57 PM PST

PUTRAJAYA 14 Dis. - Kementerian Pelajaran mengingatkan pihak pentadbir sekolah bahawa pelaksanaan dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S) mulai tahun depan adalah dikhususkan untuk murid yang tidak mempunyai masalah kesihatan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, semua murid termasuk yang berkeperluan khas wajib didaftarkan untuk mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan.

''Selain itu, pihak sekolah hendaklah membuat perancangan bagi pengurusan aktiviti sukan secara sistematik supaya dapat meningkatkan penyertaan dan membantu dalam perkembangan potensi setiap murid dalam sukan.

''Pihak sekolah hendaklah mengoptimumkan penggunaan kemudahan, peralatan dan kepakaran yang sedia ada di sekolah atau kawasan persekitaran dengan mengutamakan keselamatan murid," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu surat pekeliling yang dipetik dari laman web rasmi kementerian di sini, hari ini.

Pada 17 Mac lalu, mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Sukan Sekolah yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran telah memutuskan bahawa Dasar 1M1S akan dilaksanakan mulai tahun depan di semua sekolah kementerian.

Dasar itu diwajibkan untuk tahun empat hingga tahun enam di sekolah rendah dan peralihan, tingkatan satu hingga tingkatan enam di sekolah menengah.

Abdul Ghafar memberitahu, pihak sekolah digalakkan untuk mewujudkan rangkaian kerjasama dengan agensi atau pihak luar bagi program pembangunan sukan di sekolah masing-masing.

''Pihak sekolah hendaklah memastikan aktiviti sukan dijalankan sepanjang tahun berdasarkan aktiviti rumah sukan dan kelab sukan," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, sistem penilaian bagi penyertaan murid itu adalah berdasarkan kepada sistem sedia ada yang berasaskan kehadiran, jawatan serta sumbangan, penglibatan dan pencapaian.

''Perubahan pada sistem penilaian sedia ada akan berkuatkuasa dengan murid tahun empat dan tingkatan satu mulai tahun 2012," katanya.

Pelajar digesa promosi keindahan negara

Posted: 14 Dec 2010 06:56 PM PST


Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (duduk, tengah) menunjukkan menu masakan Perlis semasa melancarkan promosi masakan Perlis di Penang Malaysian Chinese Restaurant, Adelaide, Australia, malam semalam. Turut hadir, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah (duduk, tiga kanan). – BERNAMA


MELBOURNE 14 Dis. – Pelajar Malaysia di luar negara digesa membantu mempromosikan keindahan dan keunikan Malaysia bagi memikat pelancong.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (gambar) bertitah, Perlis sebagai contoh mempunyai keindahan tersendiri antaranya landskap alam yang sesuai untuk kegiatan sukan lasak, produk inap desa, kegiatan pelancongan untuk belia, kos pelancongan yang rendah dan budaya hidup masyarakat setempat serta keenakan makanannya.

Pelajar sepatutnya mempunyai sebab untuk menggamit kehadiran rakan-rakan mereka ke Perlis, titah baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) semasa melancarkan promosi masakan Perlis sempena program Jelajah Ilmu V1 UniMAP ke Australia di sini malam tadi.

Raja Muda Perlis bertitah, kedudukan Perlis sebagai negeri transit ke Thailand juga patut digambarkan secara kreatif oleh pelajar seperti peluang pelancong melawat dua negara hanya dalam satu sesi lawatan selain menjadi transit ke pulau Langkawi yang terkenal sebagai pulau pelancongan.

Baginda turut mengenengahkan 10 ikon Perlis yang sewajarnya terlakar dalam hati setiap pelajar Malaysia di luar negara untuk menarik pelancong iaitu Gua Kelam, Muzium Kota Kayang, ladang anggur, Taman Negeri Perlis, pekan Kuala Perlis, mempelam harumanis, Taman Herba, pasar Wang Kelian dan Padang Besar, Gunung Perlis dan permainan woodball.

Sempena pelancaran promosi masakan Perlis di restoran Sambal Kampung di sini malam tadi, delegasi Jelajah Ilmu V1 UniMAP terdiri daripada pegawai kanan universiti itu serta pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) turut memperkenalkan ikon-ikon pelancongan Perlis kepada tetamu yang terdiri daripada penduduk Melbourne.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan kesenian Perlis termasuk tarian canggung oleh pelajar UniMAP.

Restoran Sambal Kampung yang diusahakan oleh wanita berasal dari Johor, Vivian Lee, 20, menyajikan masakan Malaysia.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah.

Ini adalah promosi kedua masakan Perlis di Australia oleh UniMAP selepas promosi di sebuah restoran di Adelaide.

Pada program Jelajah Ilmu V1 UniMAP selama seminggu sejak Khamis lepas, anggota delegasi program turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelajaran Australia Selatan, Jay Weatherill dan melawat beberapa universiti di sekitar Adelaide dan Melbourne.

PSN didik sains secara tidak formal

Posted: 14 Dec 2010 06:55 PM PST


FASILITATOR turut membantu pengunjung memahami konsep sains dan teknologi.


TENTU ramai yang pernah mendengar tentang Pusat Sains Negara (PSN) tetapi tidak sedar tentang fungsi dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Malah, jangan terkejut jika dikatakan ada di antara kita tidak mengetahui langsung tentang kewujudan pusat yang kaya dengan maklumat sains itu.

PSN mungkin tidak mempunyai populariti seperti Zoo Negara mahupun Muzium Negara yang pasti menjadi destinasi wajib bagi membawa anak-anak berjalan ketika musim cuti sekolah.

Namun, tanpa kita sedari, destinasi ilmiah tersebut sebenarnya menawarkan peluang penerokaan dunia sains dan teknologi terbaik kepada para pengunjung terutama kanak-kanak.

Dibuka secara rasmi pada 29 November 1996, pusat berkenaan berperanan sebagai institusi pembelajaran tidak formal untuk pelajar-pelajar sekolah dan juga institusi pendidikan.

Menurut Pengarah PSN, Prof. Madya Dr. Irmawati Ramli, kandungan bahan pameran di PSN dibina khas untuk menarik minat serta merangsang para pengunjung mendalami ilmu tersebut.

"Matlamatnya adalah untuk memupuk kesedaran dan kefahaman orang ramai terhadap kepentingan ilmu sains dan teknologi.

"Galeri pameran di PSN ini dibangunkan dengan bantuan kepakaran tempatan menerusi penerapan beberapa konsep yang bersesuaian dengan industri sains negara,'' katanya.

Sesuatu yang unik mengenai PSN, ia sering mengetengahkan konsep pameran bertema secara berkala.

Di samping itu, aktiviti-aktivitinya turut dijalankan secara interaktif bagi membolehkan pengunjung memahami konsep-konsep sains yang dipamerkan secara menyeluruh.

Menerusi cara itu, ia akan dapat membantu para pengunjung melatih minda dan menjana idea-idea kreatif serta inovatif seterusnya berani untuk mendekati dunia sains.

Ruang pameran di dalam PSN dilengkapi dengan sokongan pelbagai peralatan mengikut modul asas fizik, kimia, biologi dan matematik selain bantuan daripada fasilitator.

Di bahagian luarnya pula, terdapat sebuah taman konsep dilengkapi pelbagai komponen alam sekitar seperti tumbuhan herba, kaktus dan serangga bagi memberi peluang kepada pengunjung mempelajari serta menikmati keindahan biodiversiti secara asli.

Bagi menarik lebih ramai pengunjung melawat PSN, pusat tersebut kini sedang dalam rangka kerja meningkatkan perkhidmatan dan penambahbaikan aktivitinya dari sudut galeri dan ruang pameran.

Maklumat lanjut mengenai PSN boleh diperolehi daripada laman web www.psn.gov.my atau hubungi talian 03-20921150.

Sistem komunikasi

Posted: 14 Dec 2010 06:54 PM PST


Mohd. Farhan Kamaruzaman (kanan) menunjukkan rekaciptanya yang memenangi pertandingan inovasi Karnival Malaysia Inovatif (MI2010) kategori orang kelainan upaya (OKU) Zon Tengah di Melaka, baru-baru ini.


SETIAP insan yang diciptakan Tuhan memiliki keistimewaan tertentu biarpun terdapat di kalangan kita yang memiliki sedikit kekurangan. Namun setiap kekurangan tersebut bukan penghalang untuk seseorang itu meluahkan daya kreativiti mereka.

Pelajar Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Mohd. Farhan Kamaruzaman membuktikan biarpun bergelar orang kurang upaya (OKU) akibat masalah pendengaran namun beliau mampu menghasilkan sesuatu yang amat berguna kepada masyarakat OKU seperti beliau.

Mohd. Farhan yang mengalami masalah pendengaran sejak dilahirkan sedikit pun tidak merasa kecewa dengan kekurangan diri beliau namun terus bertekad untuk membantu golongan seperti beliau dengan mencipta Sistem Komunikasi Video.

Beliau yang mendapat idea mencipta sistem tersebut setelah melihat kedua-dua ibu bapanya yang juga mengalami masalah pendengaran sukar untuk berkomunikasi dengan pekerja bawahan ketika melakukan kerja di kilang milik keluarganya.

Menurut Mohd. Farhan, pekerja bapa beliau juga terdiri daripada mereka yang mengalami masalah pendengaran justeru agak sukar untuk memanggil mana-mana pekerja dalam masa yang singkat.

Justeru, melalui sistem panggilan video memudahkan mereka untuk berkomunikasi.

Jelas Mohd. Farhan, ia seperti mana berhubung menggunakan video melalui Internet namun menggunakan jaringan video tempatan seperti CCTV dua hala.

Setiap jabatan dalam kilang bapanya akan di sediakan dengan sebuah televisyen serta video kamera.

Manakala, sebuah lagi sistem yang sama disediakan di dalam bilik kawalan yang diuruskan oleh pengurus kilang atau bapanya.

Untuk menarik perhatian pekerja ketika pangilan video dilakukan, beliau menyediakan lampu khas berwarna merah.

Lampu tersebut akan menyala sekiranya panggilan dibuat, kemudian pekerja yang berhampiran akan menghidupkan kamera serta televisyen untuk menjawab panggilan.

Komunikasi akan dilakukan melalui bahasa isyarat.

Rekaan Mohd. Farhan tersebut membolehkan beliau memenangi Pertandingan Inovasi sempena Karnival Malaysia Inovatif (MI) 2010 bagi Zon Tengah di Melaka baru-baru ini.

Beliau beraya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 serta trofi.

Mengurus keselamatan maklumat

Posted: 14 Dec 2010 06:50 PM PST


Pekerja perlu mengetahui kepentingan keselamatan maklumat serta impak pelanggaran keselamatan kepada organisasi. - Gambar hiasan


PENGURUSAN Sistem Keselamatan Maklumat (ISMS) merupakan sistem pengurusan menyeluruh mengenai ciri-ciri pengawalan keselamatan maklumat untuk sesebuah organisasi.

ISMS penting bagi memastikan wujudnya kawalan keselamatan dalam sesebuah organisasi untuk melindungi aset berharga mereka.

Organisasi boleh melaksanakan sistem tersebut berdasarkan beberapa standard antaranya ISO/IEC 27001:2005.

Bagaimana pun, pensijilan untuk ISMS hanya diberikan kepada organisasi yang menepati kriteria-kriteria yang telah ditetapkan dalam standard ISO/IEC 27001.

Organisasi di Malaysia boleh juga memilih pensijilan MS ISO/IEC yang mana standard ini telah diperakui dan diterima sepenuhnya sebagai standard Malaysia.

Standard ini menetapkan ciri-ciri pengurusan keselamatan maklumat yang merangkumi rangka kerja reka bentuk, pelaksanaan, pengurusan, penyelenggaraan dan penguatkuasaan proses keselamatan maklumat dan kawalan dalam untuk sesebuah organisasi.

Inisitiaf Malaysia menyokong perlaksaan ISMS dalam usaha melindungi Prasarana Maklumat Kritikal Negara (CNII) patut dipuji.

Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pada 24 Februari lalu telah memutuskan supaya sektor-sektor CNII melaksanakan pensijilan MS ISO/IEC 27001:2007 dalam masa tiga tahun.

Tidak dapat dinafikan, kepentingan perlaksaan ISMS boleh membawa keuntungan kepada organisasi.

Oleh itu, diharapkan CNII serta organisasi di Malaysia sedar dan mengambil langkah sewajarnya dalam melaksanakan ISMS memandangkan angka pensijilan ISO/IEC 27001 yang terlalu rendah jika dibandingkan dengan negara Jepun.

iGREET kongsi idea teknologi hijau

Posted: 14 Dec 2010 06:49 PM PST


Pusat Khidmat Shell merupakan bangunan ulung di Cyberjaya yang menerima sijil Emas Kepimpinan dalam Tenaga dan Reka Bentuk Alam Sekitar (LEED).


APABILA Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenal Teknologi Hijau sebagai antara pemacu baru untuk ekonomi negara, Cyberjaya diberi penghormatan sebagai perintis bandar raya hijau.

Ir. Hafidz Hashim, Pengarah Urusan Cyberview Sdn. Bhd., pemilik tanah dan pemaju bandar raya siber perdana di Malaysia, berkata selaras dengan status baru ini siri seminar bulanan iGREET (Maklumat Mengenai Teknologi Hijau) diperkenal oleh syarikat.

"iGREET merupakan platform unggul bagi mereka yang berkepentingan untuk berkongsi idea mengenai bagaimana untuk mengambil kesempatan daripada infrastruktur hijau dan ekosistem holistik yang dapat ditawarkan oleh ekosistem Cyberjaya. iGREET juga merupakan peluang yang baik bagi para hadirin menjana peluang perniagaan dalam kalangan pemaju dan penyewa sedia ada di Cyberjaya," katanya.

Seminar-seminar ini yang diadakan di Rumah Kelab Tasik Cyberjaya bertujuan memperkenal pelbagai kemungkinan teknologi hijau kepada para pemaju dan pemegang kepentingan di Cyberjaya.

"Siri iGREET diperkenal bukan sahaja kerana status baru kami sebagai bandar raya hijau perintis seperti yang disampaikan oleh kerajaan, tetapi juga sebagai inisiatif tersendiri untuk memperjuang tanggungjawab ekologi bandar raya siber terkemuka di Malaysia dan hab Koridor Raya Multimedia Malaysia," tambah Hafidz.

Seminar iGREET ketiga yang diadakan baru-baru ini, mendedahkan bahawa majlis -majlis tempatan boleh menjimatkan sehingga RM2.5 juta setiap tahun dalam bil utiliti untuk setiap 300 lampu jalan menggunakan penyelesaian bersepadu pemantauan penggunaan kuasa.

Seorang penceramah jemputan, Sumit Goel dari KLG Systel Ltd., rakan teknologi Lucid Energy Sdn. Bhd., menunjukkan bahawa sistem pengurusan pintar kuasa ConnectGaia yang digunakan untuk mengawal lampu jalan di Mumbai, India, telah membantu mengoptimum penggunaan kuasa.

"Pengurusan aktif bekalan kuasa boleh dilakukan dari jauh, dan boleh menambah baik dengan signifikan kos infrastruktur kediaman, komersial, dan metropolitan. Sebagai contoh, menghidupkan berselang lampu jalan di luar waktu puncak trafik boleh dengan segera mengurangkan penggunaan kuasa sehingga separuh," kata Goel.

Siri iGREET sebelum itu mendalami topik seperti mengumpul air bukan kumbahan, dan rawatan serta penggunaan semula, penyelesaian pencahayaan LED yang cekap dari segi tenaga, dan pengurusan bahan buangan organik bagi penyelesaian penjanaan kuasa dan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

Sesi ketiga ini juga menampilkan K.C. Low, naib presiden perniagaan IT Schneider Electric bagi Malaysia dan Thailand yang mengadakan demonstrasi sistem pengurusan kecekapan tenaga dan penyejukan di pusat-pusat data.

Penyampaian APC menunjukkan pembaziran hingga 50 peratus tenaga di pusat data konvensional dalam menyediakan kuasa dan penyejukan, dan penggunaan penyelesaian APC yang boleh diskala, dapat meningkatkan kecekapan sehingga 95 peratus.

Penyelesaian-penyelesaian APC kini dilaksanakan di Basis Bay, sebuah pembekal khidmat penyumberan luar IT terkemuka dan pusat data di Cyberjaya yang memberi khidmat kepada lebih 300 pelanggan tempatan dan antarabangsa.

Sementara itu, Augustine Koh dari Green Purchasing Network Malaysia memberi gambaran mengenai Sistem Kitaran Semula Wongpanit di Thailand yang inovatif dan sangat berjaya, satu model berpotensi bagi Cyberjaya sebagai bandar raya hijau perintis.

Yuso Yamada dari Yasui Architects and Engineers juga menunjukkan beberapa kemungkinan mengubah suai pelbagai bangunan sedia ada di Cyberjaya untuk mencapai sekurang-kurangnya status perak GBI.

Para peserta juga melawat tapak Pusat Khidmat Shell, bangunan ulung di Cyberjaya yang menerima sijil Emas Kepimpinan dalam Tenaga dan Reka bentuk Alam Sekitar (LEED). Satu penyampaian akan reka bentuk dan pembinaan mesra alam disampaikan oleh Jeffery Ling, pengarah firma arkitek - Architects61.

Siri seminar sehingga ini menyaksikan minat yang baik daripada kalangan pemegang kepentingan, pemaju dan penyewa di Cyberjaya.

Katanya sebagai bandar raya siber yang canggih dari segi inovasi dan teknologi, Cyberjaya dijangka menjadi tuan rumah pembangunan komersil, kediaman, perniagaan dan institusi menggunakan teknologi-teknologi lestari yang boleh memperkukuh sentimen pelabur dan penyewa ke arah empat tonggak Cyberview - menjadi tempat untuk hidup, belajar, bekerja dan bergembira.

Pasar raya koperasi di setiap negeri bermula 2011

Posted: 14 Dec 2010 06:47 PM PST


ISMAIL Sabri Yaakob beramah mesra dengan sebahagian peserta Konvensyen Perdagangan Pengedaran Koperasi di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 14 Dis. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyasarkan penubuhan sebuah pasar raya koperasi di setiap negeri bermula 2011.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini dua buah negeri telah mempunyai pasar raya koperasi iaitu di Tanjung Malim dan juga Kota Kinabalu.

Katanya, tujuan pembinaan pasar raya koperasi itu adalah sebagai pusat pengeluaran barang keperluan harian secara pukal selain dapat menyaingi harga barangan keperluan harian yang dijual di pasar raya besar seperti Tesco dan Carrefour.

''Selain itu, saya juga berharap dapat menggabungkan kesemua 800 koperasi yang berada di seluruh negara untuk mewujudkan sebuah entiti yang berfungsi membekalkan barangan keperluan harian terus dari kilang.

''Ini merupakan strategi serta usaha kami bagi membantu pembangunan koperasi negara supaya mampu menyaingi jenama pasar raya dari luar negara, sekali gus membantu memacu perkembangan ekonomi bumiputera dan negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Perdagangan Pengedaran Koperasi 2010 di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Kementeriannya, Datuk Daud Tahir; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Mangsor Saad; Timbalannya, Datuk Md. Yusof Samsudin; Pengerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Dr. Ali Baharom dan Pengarah Maktab Kerjasama Malaysia, Idris Ismail.

Menurut Ismail Sabri, peruntukan untuk dana program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) akan ditambah sebanyak RM20 juta berbanding RM10 juta yang diberikan sebelum ini.

Katanya, penambahan tersebut bertujuan memastikan segala perancangan yang dilakukan untuk program itu berjalan lancar.

''Tambahan RM20 juta itu adalah daripada Tabung Pinjaman Modal Pusingan Koperasi yang ditubuhkan oleh SKM sendiri bagi memastikan segala pelan yang dirancangkan untuk pembangunan koperasi runcit negara berjaya dilaksanakan.

''Selain itu, saya juga berharap penggunaan kad Ko-op di kalangan anggota koperasi akan dipertingkatkan kerana jumlah pengunaannya masih rendah berbanding jumlah ahli walaupun banyak kelebihan boleh didapati daripadanya,'' jelasnya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, senarai harga barang kawalan sempena perayaan Krismas akan diumumkan Jumaat ini kerana masih menunggu kelulusan daripada Kabinet.

Fibromyalgia sakit tiada punca

Posted: 14 Dec 2010 06:44 PM PST


Pengamal perubatan masih belum dapat diagnosis yang tepat mengenai Fibromyalgia. – Gambar hiasan


SAKIT ini hanya pada fikiran awak saja, jangan kisah sangat," kata seorang doktor kepada Mary Gaspar, 54, yang berjumpa dengannya kerana rasa sakit yang berterusan.

Mary bertugas di sebuah bank sebelum mengalami rasa sakit itu sejak 2005, yang puncanya tidak diketahui.

"Lama kemudian, baru saya diberitahu yang saya menghidap Fibromyalgia atau ringkasnya FM. Ini menyebabkan saya kemurungan.

"Saya tidak dapat berjalan, tidak dapat tidur. Semua ini menyebabkan saya menangis siang dan malam," jelas Mary.

Pakar Perunding Anestesiologi di Hospital Selayang, Dr. Mary Suma Cardosa berkata, sebenarnya rasa sakit mereka itu memang benar. Namun, dengan bantuan ia dapat diuruskan.

Dia yang juga bakal Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata demikian ketika mengumumkan hasil Tinjauan Kesedaran, Kebimbangan dan Trend Fibromyalgia di Asia Tenggara (SEAFACTS), baru-baru ini.

Sidang akhbar itu dianjurkan oleh Pfizer Inc. dan ia membantu membuka mata banyak pihak yang masih tidak sedar akan penyakit ini.

Apa yang menyebabkan Fibromyalgia atau sindrom FM ini?

Profesor Ramani Vijayan, Presiden Persatuan Malaysia Bagi Kajian Kesakitan, berkata, "Tiada kata putus saintifik akan punca penyakit ini. Ia boleh berlaku pada individu dengan kepincangan tertentu. Ia juga mungkin berpunca daripada faktor biologi seperti genetik, usia, trauma, jantina atau kecederaan pada tisu.

"Kemurungan, rasa cemas, kepercayaan seseorang akan rasa sakit dan strategi menahan sakit turut sama penting.

"Dua hingga lima peratus daripada orang terjejas kerana rasa sakit kronik ini. Ia biasa berlaku di kalangan wanita berusia lingkungan usia muda hingga pertengahan. Ia dicirikan oleh kesakitan otot skeletal dan rasa lembut di bahagian atas, bawah, kiri dan kanan tubuh," tambah Ramani.

Katanya, mereka yang menghidap FM sebenarnya mengalami kecacatan signifikan dan kualiti kehidupan yang lebih rendah.

Kumpulan usia yang paling terdedah kepada masalah ini ialah mereka yang berusia antara 30 dan 65 tahun.

Simptom Fibromyalgia ialah kekakuan, kejang otot, kelesuan dan kemurungan.

Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada kes FM yang direkodkan dalam kalangan kanak-kanak dan mereka di bawah usia 20 tahun.

Sementara itu kata Dr. Mary Cardosa, menurut keputusan kajian, satu daripada lima pesakit FM di Malaysia mendapati kualiti kehidupan mereka telah merosot selain tidak dapat meneruskan pelbagai kegiatan.

"Tiga suku daripada pengamal perubatan am dan hampir kesemua doktor pakar yang ditinjau bersetuju bahawa fibromyalgia masih kurang difahami oleh pakar perubatan," katanya.

Kebanyakan pesakit FM terpaksa menunggu antara 3.3 dan 15.4 bulan, bersama purata pertemuan dengan dua orang pakar perubatan sebelum mendapat diagnosis yang tepat.

Pesakit yang mengalami FM bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan sehingga mereka berasa lebih sihat atau mampu belajar menguruskan penyakit ini.

Malangnya, tiada ujian makmal yang boleh didapati untuk mendiagnosis simptom FM. Lebih kurang 40 juta orang di seluruh dunia mengalami sakit kronik ini.

"Sejumlah 506 orang mengambil bahagian dalam kajian ini di Asia Tenggara. Sejumlah 941 pakar perubatan juga ditanya mengenai kefahaman mereka tentang Fibromyalgia. Hasil tinjauan ini membuktikan penyakit ini kurang difahami oleh banyak pihak.

"Kajian juga menunjukkan penghidap penyakit juga mengalami masalah lain dalam kehidupan mereka seperti masalah kewangan, termasuk kurang kemampuan untuk bekerja," katanya.

Setakat ini, Pregabalin merupakan ubat preskripsi pertama yang yang menerima kelulusan FDA Amerika Syarikat bagi Fibromyalgia. Ubat ini berkesan, ia mengurangkan simptom kesakitan, gangguan tidur dan keletihan.

Buat masa ini tiada jalan singkat untuk mengatasi kesakitan yang dialami oleh mereka yang menghidap FM. Ubat-ubatan sahaja tidak akan menghilangkan rasa sakit yang meruncing itu tetapi akan melegakannya apabila ia diambil bersama sesi senaman selepas mempunyai pengetahuan yang secukupnya tentang penyakit ini.

"Selain itu, kumpulan sokongan FM juga merupakan satu lagi pilihan untuk mempercepat faktor ketahui penyakit anda. Memaklumkan para pesakit dan anggota keluarga mereka akan hipersensitiviti terhadap rasa sakit oleh mereka dengan FM, adalah penting. Ia akan membantu pesakit berasa lebih lega dan juga mencuba penawar lain," demikian syor Dr. Mary.

Dasar Pertahanan

Posted: 14 Dec 2010 06:43 PM PST


Dasar Pertahanan Negara diwujudkan bagi memberi penekanan terhadap siap siaga dalam menghadapi sebarang ancaman kepada negara.


SESUAI dengan hasrat Kementerian Pertahanan untuk melibatkan semua pihak dalam menjaga keamanan dan kedaulatan negara melalui pendekatan Pertahanan Menyeluruh (Hanruh), satu dasar telah digubal bagi memberi penjelasan kepada masyarakat berhubung tanggungjawab dan peranan mereka.

Objektif utama dasar tersebut yang dilancarkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 9 November lalu adalah untuk mempertahan dan melindungi kepentingan yang menjadi teras kepada kedaulatan, keutuhan wilayah dan kesejahteraan negara.

Dasar Pertahanan Negara (DPN) diwujudkan bagi menekankan siap siaga semua pihak termasuk rakyat dalam menghadapi sebarang ancaman kepada negara.

Sungguhpun tugas mempertahankan negara merupakan tanggungjawab pasukan keselamatan, kewajipan untuk memastikan bahawa pasukan berkenaan mampu menghadapi cabaran adalah tanggungjawab nasional.

Menyedari betapa pentingnya kerjasama serantau dan bantuan luar, Kementerian Pertahanan yakin bahawa dasar keupayaan berdikari seharusnya menjadi tonggak pertahanan negara.

Sehubungan itu, kerajaan akan terus berusaha ke arah meningkat dan membangunkan keupayaan ATM di samping menggalakkan semangat patriotik di kalangan rakyat

Dasar yang memberi penekanan pada tanggungjawab bersama bagi melindungi dan mempertahankan kepentingan negara daripada sebarang ancaman sama ada dari luar atau dalam negara meliputi kawasan utama iaitu daratan Malaysia, kawasan ekonomi luar pesisir iaitu Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan pelantar benua negara serta laluan strategik perairan dan ruang udara negara.

Sementara itu, bagi memantap dan memperkasakan ATM, pembangunan keupayaan dan strategi pertahanan negara harus bersepadu dan seimbang dengan menggabungkan aset dan sumber lain demi untuk mempertahankan negara.

Berikutan itu, keupayaannya dirancang dan dimensi ketiga-tiga cabang perkhidmatan perlu diperkasakan dengan mengambil kira spektrum elektromagnetik kerana peperangan pada masa kini sudah berubah.

Bagi menyokong keupayaan pertahanan negara, dua elemen penting perlu diberi keutamaan iaitu industri pertahanan tempatan dan sains teknologi pertahanan supaya atur gerak pasukan seiring dengan kemajuan sains dan teknologi terkini yang boleh berdaya saing dengan negara maju lain.

Merapatkan hubungan pelbagai hala dengan negara serantau termasuk Amerika Syarikat (AS) yang dianggap kuasa besar dunia, adalah sokongan kepada usaha bagi memupuk pembinaan dan keyakinan, selain memastikan kepentingan negara sama ada dalam aspek keselamatan dan ekonomi terus terjamin.

keamanan serantau

Selain itu, penyertaan ATM di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1960 memberi ruang dan peluang kepada pasukan itu untuk bersama membabitkan diri dalam menjaga keamanan serantau, malah menjadi sebuah pasukan yang disegani di rantau ini.

Hubungan Malaysia dengan pertahanan luar berasaskan kepentingan ekonomi yang sedang pesat membangun bagi kestabilan dan kemakmuran rantau ASEAN dan juga Asia Pasifik yang memberi faedah kepada negara.

Sehubungan itu, penubuhan Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) pada 2006 menunjukkan keazaman Malaysia meningkatkan hubungan kerjasama pertahanan dengan negara ASEAN.

Komitmen tegas Malaysia terhadap Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu memerlukan negara berpegang pada pendirian pertahanan yang bercorak defensif.

Oleh itu juga, dasar pertahanan telah menggubal strategi berdasarkan prinsip cegah rintang dan pertahanan menyeluruh.

Dasar tersebut telah menggariskan tentang perlunya mengelak daripada terjadinya konflik dalam wilayah sendiri, sama ada dengan mencegahnya dari berlaku atau melalui cara berdepan dengan musuh sejauh mungkin di luar wilayah Malaysia.

Konsep cegah rintang bertujuan untuk menghindarkan bakal musuh dari mengamalkan dasar-dasar yang bertentangan dengan langkah penyelesaian konflik secara aman.

Ia memerlukan pelaksanaan strategi pencegahan di samping turut menjalankan usaha-usaha berterusan untuk membangunkan sebuah angkatan tentera yang memiliki keupayaan yang mantap bagi menghadapi peperangan.

Dalam pada itu, ia juga dapat memastikan negara mempunyai keupayaan bagi menghalang sebarang tindakan kekerasan atau keganasan oleh pihak lawan tanpa mengira masa dan keadaan.

Pancaragam PDRM nadi jiwa Alina

Posted: 14 Dec 2010 06:36 PM PST


BERSAMA anggota dan pegawai Pancaragam PDRM.


BAGI kebanyakan orang, tarikh hari lahir sendiri dan ahli-ahli keluarga tersayang merupakan tarikh istimewa yang perlu diraikan pada setiap tahun sebagai tanda ingatan dan kasih sayang.

Begitu juga dengan sambutan hari ulang tahun perkahwinan bagi pasangan yang sudah berumahtangga atau sedang hangat bercinta.

Bagi Supritendan Alina Saad, 43, pula, selain daripada tarikh-tarikh tersebut, tanggal 12 September 2010 tidak kurang istimewa kepadanya apabila berpeluang melakarkan sejarah dalam karier sebagai pegawai polis.

Apa tidaknya, pada tarikh tersebut, Alina bertanggungjawab memimpin Pancaragam Pusat PDRM membuat persembahan penuh istiadat di hadapan kira-kira 1,000 tetamu yang hadir di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur untuk meraikan majlis perbarisan perpisahan sempena persaraan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang bersara setelah 41 tahun berkhidmat dalam pasukan itu.

Persembahan pada hari tersebut amat bermakna bagi Alina dan juga sejarah dalam PDRM kerana pertama kali upacara seumpama itu dipimpin oleh seorang pegawai wanita.

Alina mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Ketua Pengarah Muzik PDRM pada 2 Januari tahun lalu kerana menjadi wanita pertama memegang jawatan tersebut semenjak 78 tahun penubuhan Pancaragam Pusat PDRM.

"Saya rasa amat terharu apabila mendapat peluang dan diberi kepercayaan memimpin anggota-anggota saya membuat persembahan di hadapan Tan Sri Musa dan lain-lain pegawai kanan polis pada majlis penuh bersejarah itu.

"Tidak dinafikan perasaan terharu turut terdetik di hati saya semasa menjemput Tan Sri Musa untuk membuat penampilan istimewa memimpin pancaragam menyampaikan lagu 'Sway' pada majlis tersebut," kata Alina memberitahu sebab mengapa tarikh 12 September 2010 dianggap istimewa dalam hidupnya kepada Gaya Polis ketika ditemui di Pulapol baru-baru ini.

Pemilihan Alina sebagai Ketua Pengarah Muzik PDRM memang bertepatan sekali kerana selain mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan muzik, beliau juga mempunyai kelulusan yang sesuai dengan bidang tersebut iaitu Ijazah Sarjana Muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Selain boleh menyanyi, bermain gitar dan piano, Alina juga berkebolehan mencipta lagu. Mulai 25 Mac tahun lalu iaitu bersempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-202, lagu ciptaannya bertajuk 'Tegas, Adil dan Berhemah' dipilih sebagai lagu tema bagi moto PDRM.

Menurut Alina, pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah Muzik PDRM adalah ibarat mimpi menjadi kenyataan kerana memang cita-citanya menyertai PDRM untuk berkhidmat di cawangan berkenaan.

Ditanya mengapa meminati tugas di cawangan ini, beliau berkata, selain minat dalam bidang seni, cawangan Pancaragam Pusat PDRM mempunyai bidang tugas dan sejarah yang tersendiri.

"Pancaragam Pusat PDRM sudah lama ditubuhkan iaitu pada tahun 1932 hasil cetusan idea J.D Hussey, seorang pegawai Inggeris yang bertugas sebagai Komandan Polis Depot pada masa itu.

"Ketika itu, PDRM masih lagi dikenali sebagai Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu," katanya mengimbas kembali asal usul sejarah penubuhan cawangan tersebut.

Pada peringkat awal, kata Alina, pancaragam ini hanya dianggotai oleh 10 pemuzik yang dipimpin oleh seorang pegawai bernama Chico sebelum tugasnya diambil alih oleh Profesor Gulvest.

Beliau berkata, Ketua Pengarah Muzik pertama dilantik di cawangan ini ialah Deputi Supritendan (DSP) A.W. Croft, diikuti Alias Arshad, DSP Shamsuddin Ismail, DSP Abu Bakar Long dan Supritendan Mangsor Ibrahim.

Ketika ini, Pancaragam Pusat PDRM diketuai oleh Alina dengan dibantu oleh Timbalannya, DSP Mohamad Rosli Omar; Pengarah Pancaragam Pusat, ASP Norman Mohd. Noor dan Penolong Pengarah Pancaragam Pusat, Inspektor Mohd. Noor Effendy Yusup.

Sepanjang penubuhannya, kata beliau, Pancaragam PDRM telah mencatatkan kejayaan cemerlang apabila banyak kali dijemput untuk membuat persembahan di luar negara.

"Pancaragam Pusat PDRM pernah dijemput melawat United Kingdom selama lima bulan untuk membuat persembahan di hadapan pegawai-pegawai kanan British.

"Kami juga pernah membuat persembahan di Thailand, Vietnam, Brunei, Singapura, Indonesia, Hong Kong dan Australia," ujarnya.

Menurut Alina, ketika ini, Pancaragam Pusat PDRM di Pulapol mempunyai 130 anggota terdiri daripada empat pegawai dan 126 anggota pangkat rendah.

Selain Pulapol, katanya, Pancaragam Pusat PDRM juga terdapat di Kontinjen Kedah dan Sarawak yang masing-masing mempunyai 68 anggota, diikuti Sabah dengan 59 anggota.

Mengenai Pancaragam Pusat PDRM, beliau berkata, ia dibahagikan kepada enam kumpulan iaitu 'Orkestra', 'Bagipe', 'Drummers', 'Kombo', 'Quintet' dan 'Quartet'.

"Persembahan pancaragam pula dibahagikan kepada dua kategori iaitu dipanggil 'Brass Band' jika persembahan diadakan di padang dan 'Concert Band' jika persembahan dibuat di dalam dewan.

"Pemilihan anggota bagi pancaragam biasanya diambil di kalangan pelatih baru melalui uji bakat dan biasanya anggota yang benar-benar berminat sahaja akan dipilih. Mereka yang dipilih akan diasah bakatnya selepas itu," katanya.

Fasha luah perasaan di Twitter

Posted: 14 Dec 2010 06:35 PM PST


FASHA Sandha menggunakan Twitter bagi merapatkan hubungan dengan para peminatnya.


LAMAN sosial Twitter di Internet bukan setakat menjadi tumpuan masyarakat biasa, sebaliknya kalangan artis seperti pelakon yang mempunyai ribun peminat turut tidak terkecuali menggunakannya.

Twitter bukan sahaja laman sesawang untuk bersosial, malah ia juga boleh dijadikan ruang untuk meluahkan perasaan termasuklah pelakon Fasha Sandha yang sering dilanda gosip dan cerita-cerita panas.

Menurut pelakon berusia 26 tahun itu, selama ini dia banyak meringankan beban perasaan sedih dan kecewa yang dihadapinya dengan meluahkannya secara terbuka di Twitter untuk dikongsi bersama-sama para peminat.

"Saya memang menjadikan Twitter untuk meluahkan apa juga perasaan yang terbuku di hati. Sama ada ia yang menggembirakan atau menyedihkan hati saya. Saya mahu berkongsi perasaan itu dengan para peminat saya di Twitter.

"Setakat ini, saya mempunyai 37,000 peminat yang banyak menyokong kerjaya saya sebagai pelakon. Apabila saya meluahkan perasaan saya di Twitter ramai yang memberi maklum balas dan memberi sokongan moral kepada saya.

"Saya suka berterus terang di Twitter tentang apa juga perasaan yang saya lalui ketika itu. Pada masa sama saya terbuka dengan kritikan," katanya kepada Hits sewaktu ditemui di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Pada pertemuan sewaktu pelancaran drama bersiri 26 episod Dia Atilia lakonannya yang disiarkan di Astro Prima setiap Selasa 9 malam bermula 30 November lalu, Fasha menafikan dia menyalahgunakan laman sosial tersebut.

Malah, pelakon filem Anak Halal itu turut menafikan dia telah memburuk-burukkan teman-teman artis yang tidak sehaluan dengannya di Twitter biarpun ramai yang sudah semakin ramai bercakap mengenainya.

"Kalau saya tulis di Twitter saya tulis secara berlapik dan tidak bertujuan memburuk- burukkan sesiapa. Tetapi siapa yang makan cili dialah yang terasa pedasnya. Ini kerana, saya menulis berdasarkan pendapat saya sahaja.

"Sungguhpun begitu, ada juga yang cuba 'menyerang' saya di Twitter. Namun, saya tidak membalasnya dengan cara yang kasar. Pada masa sama, ramai lagi peminat saya di Twitter yang akan mempertahankan saya.

"Apa yang saya tulis dan luahkan di Twitter selama ini adalah untuk merapatkan lagi hubungan saya dengan para peminat. Asalkan apa yang saya tulis itu tidak melampaui batas , cukuplah. Saya juga kena jaga hati ramai orang," ujarnya.

Jelas Fasha, menerusi laman sosial Twitter, dia bukan sekadar merapatkan hubungan dengan para peminatnya, malah pelbagai aktiviti dan berita tentang dirinya dapat disebarkan dengan lebih mudah dan cepat.

"Selama ini para peminat hanya mengetahui perkembangan tentang diri saya melalui akhbar, majalah, televisyen dan radio sahaja. Tetapi kini mereka boleh tahu lebih cepat melalui Internet serta telefon bimbit.

"Kalau ada cerita terbaru tentang saya, saya akan terus tulis di Twitter. Ini bermakna, apa sahaja berita yang saya salurkan ia datangnya terus daripada saya.

"Misalnya, saya baru sahaja habis menjalani penggambaran filem Dari Kerana Mata lakonan saya bersama Awie arahan Melissa Saila, maka saya boleh terus sampaikan di Twitter supaya mereka bersedia menontonnya nanti.

"Secara tidak langsung ia bukan sahaja memudahkan para peminat mengetahui berita terbaru tentang saya, malah ia juga mampu menarik lebih ramai pengikut saya di Twitter kerana ia disediakan percuma," katanya.

Tambah pemegang watak Atilia dalam Dia Atilia yang persis filem Hindi, Kuch Kuch Hota Hai ini, kebanyakan cerita yang diperbualkan di Twitter adalah kisah-kisah peribadi terutama hubungannya dengan kekasihnya, Jejai.

Sedaya upaya, kata Fasha, dia enggan mengulas panjang kisah cintanya itu, tetapi tidak menolak hubungannya dengan Jejai atau Rizal Ashram Ramli yang merupakan anak bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

"Apa yang boleh saya kata sekarang ini saya sudah bersedia untuk bergelar isteri dan ibu. Insya-Allah kami akan melalui adat Melayu di mana ia akan bermula dengan bertunang dan seterusnya berkahwin. Tarikhnya sudah ada.

"Buat masa ini saya tidak mahu mengumumkannya bila kerana menghormati keputusan pihak keluarga Jejai. Saya tidak mahu memandai-mandai. Kalau sampai masanya nanti (bernikah) kami akan mengundang wartawan," ujarnya.

Azean Irdawati Disuruh Buat Wasiat

Posted: 14 Dec 2010 06:33 PM PST

Kenapa tiba-tiba seniwati tersohor negara ini disuruh menulis surat wasiat? Ajal maut di tangan tuhan. Memang semua sedia maklum Azean Irdawaty sedang menanggung barah yang kini telahpun masuk ke tahap empat, namun ManggaOnline (MO) lihat wanita yang lebih mesra disapa Kak Yan ini semakin sihat dan sudah boleh berjalan tanpa bantuan sesiapa.


Sebenarnya kejadian ini berlaku semasa Kak Yan mendapatkan rawatan untuk penyakitnya dan doktor membuat perkiraan dia mungkin akan meninggal dunia sekitar Oktober lepas. Namun kuasa di tangan Allah yang menentukan segalanya dan syukur kini kesihatannya semakin pulih.

"Doktor sahkan barah Kak Yan kini tahap empat. Kalau ikut cakap doktor Kak Yan akan meninggal Oktober lepas melihatkan kepada keputusan scan yang dibuat. Waktu itu bulan Oktober 2008 dan dia ramal Kak Yan ada masa lagi dua tahun untuk hidup.

"Doktor tersebut nasihatkan Kak Yan untuk membuat surat wasiat. Menurutnya ramai yang tidak sempat berbuat demikian, Kak Yan dikira bernasib baik kerana boleh membuat persediaan awal menghadapi saat kematian.

"Namun setiap hari Kak Yan memohon kepada Allah agar dipanjang umur dan tidak mengambil nyawa selagi belum memeluk Benjy yang kini dalam tahanan," luah wanita tabah ini.

Tempoh rawatan yang panjang dengan kos perubatan yang mahal menyukarkannya meneruskan rawatan. 26 sesi kimoterapi dan 24 sesi radioterapi masih belum mampu memulihkan barah payudara yang dihidapi, malah tambah Kak Yan, dia tidak sanggup meneruskan rawatan kimoterapi yang disifatkan sangat menyakitkan.

"Kak Yan rasa sihat sekarang ini selepas beralih kepada rawatan alternatif. Kak Yan tak mampu untuk berjumpa doktor lagi sebab dulu Kak Yan berhabis lebih RM200 ribu untuk rawatan di hospital dan barah Kak Yan masih naik ke stage empat.

"Sekarang Kak Yan hanya amalkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dengan Tuan Haji Lokman. Menurutnya setiap ayat dalam Al-Quran adalah ubat dan setiap kali Kak Yan pergi, dia akan bagi surah untuk diamalkan. Tuan Haji nasihatkan Kak Yan berhati-hatu buat rawatan kimoterapi kerana ia membahayakan kesihatan.

"Selain itu, Kak Yan juga amalkan Co Enzim Q10 sejak Januari lalu dan dalam masa tiga bulan Kak Yan mampu berjalan. Orang kena barah ni kalau kena panas cepat lesu dan kalau dulu untuk angkat pinggan pun tak boleh, tapi sekarang Kak Yan dah boleh menyapu sampah," katanya yang membelanjakan sekitar RM1000 sehingga RM2000 sebulan untuk rawatan alternatif.



MO tabik dengan Kak Yan yang begitu tabah menghadapi dugaan yang datang tak putus-putus dalam hidupnya. Malah primadona ini dilihat begitu tenang apabila persoalan mengenai Benjy terpacul dari kalangan teman media.

"Benjy sangat cekal. Kak Yan dapat berjumpa dia dua bulan sekali dan kadang kala dia akan menelefon saya dan meluahkan rindunya kepada saya, adik-adik dan anaknya. Kalau jumpa pun kami tak dapat bersentuhan, selalunya kami akan meletakkan tangan ke cermin seolah-olah sedang memegang tangan.

"Kak Yan berharap dia dapat keluar cepat dan kami dapat berjumpa sebelum Kak Yan pergi mengadap Ilahi. Hanya tuhan yang tahu apa yang Kak Yan harungi," katanya yang akan muncul dalam Teater Muzikal Tun Mahathir musim kedua.

MO - Semoga Allah SWT memberi Kak Yan kekuatan untuk menghadapi semua ini.

SOFAZR Angkat Mohd Atlas

Posted: 14 Dec 2010 06:31 PM PST

Pada sidang media pelancaran album Sofazr semalam, nama Mohd Atlas menjadi persoalan yang bermain di kepala rakan media yang hadir. Masakan tidak, nama itu diangkat menjadi sebahagian judul album, Maaf Dari Hati Mohd Atlas. Nama itu juga disebut-sebut sebagai tulang belakang yang banyak membantu karier Sofazr, malah lirik dan lagu sepenuhnya album ini juga oleh Mohd Atlas. Siapa Mohd Atlas sebenarnya?

Setelah puas berteka teki akhirnya Zimi (gitar kedua) yang juga merangkap Pengarah Urusan Global Record tampil meleraikan kekusutan. Jelasnya Mohd Atlas tidak wujud di dunia nyata.

"Mohd Atlas hanyalah sebagai simbolik bagi ahli kumpulan Sofazr dan seorang lagi rakan kami. Kami bekerjasama menghasilkan album keenam Sofazr dan sebab itu kami menggunakan nama pena tersebut. Mohd adalah lambang kepada kami semua lelaki dan Atlas mencerminkan dunia. Sebab itulah judul album kami mempunyai maksud tersirat, Maaf Dari Hati Mohd Atlas yang bermaksud maaf seorang lelaki untuk seluruh dunia," katanya.

Tampil dengan nama baru, Sofazr menurut Zimi bukanlah untuk mengelirukan peminat. Namun katanya Sofazr dianggotai enam orang justeru penambahan huruf R dibelakangnya adalah pangkal nama Rodie selaku pemain keyboard.

"Dulu Sofaz hanya ada lima orang ahli. Dan nama Sofaz diilhamkan daripada gabungan nama setiap ahli. Selepas itu Rodie menyertai kami sewaktu album kedua namun kami masih kekalkan nama Sofaz. Selepas kontrak bersama Suria Recods tamat, kami mengambil keputusan menggunakan nama baru ini di bawah pengurusan Global Record.

"Lagipun peminat Sofazr sedia maklum penambahan R adalah untuk Rodie," jelasnya yang menerima wang suntikan berjumlah RM100,000 daripada Global Record.



Album yang menelan belanja RM50,000 ini memuatkan sepuluh lagu antaranya Maaf Dari Hati, Terasa Di Syurga, Jiwa Kacau, Kenapa Aku Mencintaimu dan Su dan bakal berada di pasaran akhir Disember ini.

Beralih Ke Lakonan

Bukanlah sesuatu yang asing bagi penyanyi terjun ke dalam bidang lakonan. Walau masih di dalam dunia yang sama, namun kepakarannya tentu jauh berbeza. Ada juga sesetengah artis yang terjun menceburi bidang lakonan kerana karier nyanyian dipandang sepi peminat seni tanah air.

Mungkin wajah Aremeer (vokalis) bukanlah asing kepada peminat drama Melayu dan ManggaOnline akui Aremeer berbakat. Namun bagaimana pula apabila anggota Sofazr yang lain turut diketengahkan sebagai pelakon dan dengar kata mungkin sebuah filem mengisahkan kehidupan anggota Sofazr akan difilemkan.

"Kami pernah berlakon bersama dalam drama Awal Muharram berjudul Dakwah Muharram dan itulah kali pertama didedahkan dengan dunia lakonan. Kemungkinan besar kisah kehidupan kami akan difilemkan dan ia masih lagi dalam perancangan. Filem ini bergenre komedi dan kami sanggup ambil risiko untuk melangkah jauh ke depan. Abang Badul dam Fauziah Gous banyak membantu kami teknik lakonan yang berkesan," ujar Zimi.

Tujuh tahun dalam industri muzik, namun Sofazr masih belum mampu berdiri megah dengan jenama mereka. Mengakui hakikat tersebut, Zimi rela berada pada tahap yang mendatar seperti yang dihadapi Sofazr saat ini.

"Kami bertahan kerana Sofazr ada konsep yang tak ada pada kumpulan lain. Sehingga kini band kami masih stabil dan belum pernah lagi bertukar ahli. Terima kasih kepada peminat yang tak pernah menghampakan.

"Biarkan graf kami terus mendatar. Kalau terlalu cepat naik, kami bimbang jatuh juga mendadak. Bila begini senang untuk uruskan Sofazr," katanya yang baru selesai mengadakan persembahan di Singapura.

Kesederhanaan Adelia pikat Pasha Ungu

Posted: 14 Dec 2010 06:30 PM PST

Kejutan kek birthday buat Pasha pada majlis lamaran

Selepas Pasha bercerai semasa kumpulan Ungu sedang hot, banyak yang menanti mahu tahu siapakah yang bakal memikat hati duda anak tiga itu.

Akhirnya selepas tujuh bulan mengenali hati budi sang kekasih, Adelia, tanggal 28 November lalu Pasha melamar pramugari itu untuk menjadi suri hidupnya. Apa yang ada dalam diri Adelia sehingga memikat Pasha yang sememangnya menjadi pujaan ramai wanita itu?

Pasangan bahagia...

"Dia seorang yang sederhana. Tidaklah jenis yang melaram over. Lihat saja cara dia berpakaian, nampak kesederhanaanya. Kalau mahu beli baju mahal pastinya dia mampu, tapi semamangnya dia sudah seorang yang macam itu.

"Kesederhanaan itu membuatkan Adelia nampak mahal," kata Pasha pasal bakal suri hidupnya itu. Mereka merancang bernikah Mac depan.

Adelia, 21, juga menerima diri Pasha, 31, seadanya malah menerima hakikat Pasha sebagai seorang selebriti yang menjadi idola ramai orang. Dia juga sedia sekiranya harus menjadi suri rumah sepenuh masa selepas mereka menikah nanti.

Nikah dalam pesawat?

Pasha belum dapat memberitahu bilakah tarikh dia akan bernikah keana masih sibuk dengan acara bersama Ungu yang baru muncul dengan single baru.

Yang pasti acaranya bakal diadalah Mac depan. Adakah pada tanggal 22 Mac sempena ulangtahun Adelia yang ke 22?

Mengaminkan doa semoga bahagia

"Soal tanggal berapa tu kita berdua masih mencari tarikh yang sesuai. Saya sendiri sedang sibuk mempromosikan album baru dan Adel pula masih padat jadual terbangnya," kata Pasha.

Walaupun Pasha belum fikirkan pasal tema majlis pernikahan, bapanya inginkan anak lelakinya itu bernikah dalam pesawat memandangkan bakal menantunya itu seorang pramugari.

"Saya pernah usulkan kepada Pasha dan Adelia untuk bernikah dalam pesawat sahaja. Bernikah, keliling dengan pesawat dan turun di Bandung lalu mengadakan resepsi di halaman Monas (Monumen Nasional)," kata Syamsuddin Said, bapa Pasha.

Saat ketibaan di rumah Adelia bersama bapa

Kiki Farel diet kerana teguran ibu

Posted: 14 Dec 2010 06:27 PM PST

Kiki Farel (kanan) bersama anggota Z5

Kalau anda peminat sinetron Cinta Kirana yang ini sedang ditayangkan di Astro Ria, pasti mengenali wajah pelakon kacak Kiki Farel. Kiki salah seorang pelakon yang membintangi drama bersiri itu.

Ia bukanlah sebuah sinetron baru, sebab itulah mungkin ada pelakon yang wajahnya tampak beza, terutamanya bila susuk tubuh masing-masing sedikit berisi. Kiki Farel juga pernah naik tubuhnya. Semasa saya ke Indonesia mengikut rombongan Tropic Jaya ke Nagaswara Music Awards 2010 di Jakarta, Indonesia baru-baru ini sempat bertemu Kiki.

Kini Kiki kembali aktif bersukan

Kiki dan empat lagi rakan pelakon iaitu Fendy Chow, Bagus Akbar, Gretha dan Pamela Bowie menubuhkan kumpulan Z5 dan bernaung di bawah bumbung syarikat Nagaswara.

Mereka sedang popular dengan lagu Cuma Sekali Mencinta. Kalau ada peluang kumpulan itu juga ingin mencuba nasib di Malaysia.

Kiki Farel semakin popular dan ramai peminat

Sejak beberapa bulan lalu dia tak sempat ke gimnasium kerana kesibukan rakaman album dan berlakon. Akibatnya berat badannya bertambah. Kini Kiki kembali langsing. Apa rahsia Kiki?

"Ibu saya bising-bising... pastilah teman-teman juga menegur saya. Sebab itu saya sekarang diet dan kurang makan nasi. Susah sangat nak menguruskannya terutamanya bahagian pipi saya ni," kata Kiki.

Dia nekad untuk diet apabila tidak muat mengenakan pakaian tajaan. Dia sempat menjadi duta kepada satu jenama pakaian.

"Baru-baru ini saya memakai jaket mereka. Akibat badan saya sudah naik, saya membuatkan jaket itu terkoyak... saya terpaksa membeli jaket lain," katanya sambil ketawa.

Kiki mengaku ketika itu dia tidak boleh menolak berbagai makanan enak yang disajikan sehingga badannya naik sekitar dua kilogram tanpa disedari.

"Waktu itu ada kerja di luar kota dan makanannya enak-enak. Rasa sayang kalau tak dinikmati. Sehinggalah banyak orang tegur kata saya nampak buruk dalam gambar," kata Kiki.

Sebab itulah pria kelahiran 16 Mei 1986 ini kembali aktif bersukan dan ke gimnasium kerana mahu cepat turun berat badannya.

Dugaan wajah anak ikan

Dunia hiburan memang tak pernah surut dengan cerita sensasi cinta sejenis. Kiki Farel akui dirinya pernah diekori lelaki.

Kadag-kadang dia jadi serba salah kerana memiliki wajah comel atau dalam bahasa lazim di Malaysia disebut wajah anak ikan. Alih-alih bukan cuma anak dara yang meminati, malah lelaki juga turut memandang tajam melihatnya.

"Pernah juga dulu aku diperhatikan cowok walaupun di khalayak umum," pengakuan Kiki kepada media di Indonesia.

Sebab itulah Kiki ambil langkah hati-hati kerana tak mahu timbul gosip negatif.

"Kalau ke pusat fitnes, saya buat tak peduli dengan orang dan membuat hal sendiri," jelas Kiki.

Tak lama dulu Kiki pernah digosip sebagai lelaki gay gara-gara dia tak pernah bercerita pasal teman wanita.

Penyiasat Seekers sahut cabaran

Posted: 14 Dec 2010 06:23 PM PST


TIGA penyiasat Seekers musim ketujuh. (Dari kiri) Azimah, Zahirah dan Syai.


APABILA bercakap tentang alam ghaib, tentu tidak ramai yang gemar mengambil endah apatah lagi ada yang menyifatkannya begitu condong kepada unsur-unsur tahyul.

Namun, bagi masyarakat yang lebih moden dan berfikiran terbuka, bercerita tentang alam ghaib, entiti dan sebagainya bukan tiada kebenaran.

Cuma, bagi mereka tiada ertinya pelbagai cerita penemuan makhluk halus yang dicanang andai tidak disertakan dengan bukti kewujudannya.

Seekers antara program televisyen yang membongkar kewujudan entiti di sesebuah tempat yang cukup mendapat perhatian daripada peminatnya tersendiri.

Dengan menggunakan pelbagai alatan moden dan gajet terkini, bukti atau kesahihan cerita yang sering dimomokkan kepada masyarakat sesebuah tempat dapat dikenal pasti.

Melangkah ke musim ketujuh, program Seekers yang bersiaran di ntv7 pada setiap Rabu, pukul 9 malam dengan intipati yang pasti menggamit penonton untuk terus menyaksikan pembaharuan yang di lakukan.

Mengekalkan penyiasat, Azimah, 26, (Norazimah Nor Muslim) yang menyertai rancangan itu sejak musim kelima, dua penyiasat baru yang diperkenalkan pada musim kali ini ialah Zahirah, 26, (Zahirah Radzi) dan Syai, 29, (Syaiful Redzuan Md. Noor).

Lokasi rakaman untuk kesemua 14 episod termasuk kawasan di Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah dan Johor.

Bercerita tentang Seekers musim terbaru, menurut penerbitnya, Aezul Reeza Ismail, rancangan yang bercorak dokumentari realiti itu menerapkan unsur-unsur dramatik yang pastinya mampu menarik minat penonton.

Selain menampilkan tiga penyiasat bagi musim kali ini, turut menyahut cabaran pada episod-episod tertentu ialah artis dan selebriti terkenal antaranya Julia Ziegler, Daus AF8, Ikhwan, Intan Ladyana dan Munir.

"Dalam rancangan ini, selebriti yang terlibat akan mengambil bahagian sebagai menyahut cabaran dan membuktikan keberanian mereka.

"Inilah yang kami ingin terapkan kepada masyarakat supaya jangan takut kepada benda-benda ghaib seperti hantu dan sebagainya," katanya.

Penglibatan artis pada musim kali ini adalah pembaharuan ketara berbanding musim-musim sebelumnya.

Pelbagai kisah dan pengalaman yang dirasai oleh selebriti ini ketika ditinggalkan bersendirian di sesuatu kawasan yang bakal dikongsikan bersama peminat mereka.

"Kali ini bukan hanya duduk sendirian tetapi kita mahu penyiasat serta artis yang terlibat berinteraksi dengan entiti. Maksudnya mereka boleh berinteraksi serta saling mencabar entiti supaya menampakkan diri," kata Aezrul lagi.

Vee, Awal taruhan terbaru TV3

Posted: 14 Dec 2010 06:16 PM PST


Awal Ashaari


KELANCARAN dan kesempurnaan sebuah acara anugerah bukan hanya terletak kepada pihak produksi yang menerbitkannya.

Tetapi, pengacara juga memainkan peranan yang cukup besar bagi memastikan acara berjalan dengan baik tanpa mengundang rasa bosan dan jelik kepada penonton.

Anugerah Skrin (ASK) anjuran TV3 yang lebih sedekad diadakan sering kali berhadapan dengan pemilihan pasangan pengacara yang dilihat sukar untuk memberikan impak kepada rancangan tersebut.

Semuanya dapat dilihat daripada kegagalan beberapa gandingan yang diberi tanggungjawab untuk menerajui ASK yang dilabelkan sebagai anugerah penuh prestij itu.

Untuk tahun ini, TV3 telah membuat keputusan yang cukup berani apabila menggandingkan Vanidah Imran atau Vee bersama Awal Ashaari.

Pemilihan kedua-dua selebriti terkenal itu diumumkan pada sidang akhbar ASK 2010 yang berlangsung di Hotel Empire, Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Bukan mahu menidakkan kebolehan kedua-dua figura popular itu, tetapi, persoalannya kini mampukah Vee dan Awal menghidupkan perjalanan ASK 2010 selama dua jam setengah itu?

Kalau dilihat kepada portfolio Awal, memang tidak dapat dinafikan lagi kemampuannya dalam mengacarakan rancangan berbentuk hiburan dan muzikal.

Tetapi, untuk rancangan sebesar ASK 2010, mampukah dia membuktikan versatiliti sebagai seorang pengacara generasi baru yang dilihat dapat pergi jauh di dalam industri?

Sementelah gandingannya pula adalah Vee yang cukup terkenal akan kehebatannya di pentas teater, drama dan juga filem. Adakah Vee juga dapat melunaskan tugasnya dengan baik?

Apatah lagi, dia baru ditabalkan sebagai pengacara Nona yang baru dan di sinilah terletaknya cabaran Vee untuk menguji kredibilitinya sebagai seorang pengacara serta menyakinkan masyarakat terhadap bakatnya.

Sebagai seorang yang sudah lama dalam bidang seni, dengan jujur Vee memberitahu, sebetulnya dia memang berasa gementar dan terperanjat apabila namanya diumumkan sebagai pengacara ASK2010.

Dalam masa yang sama juga, isteri kepada Rashidi Ishak ini melahirkan rasa bangga dan berbesar hati apabila diberi kepercayaan oleh stesen televisyen nombor satu negara itu.

Apabila memikirkan seolah-olah menjadi satu trend seorang pengacara yang mengemudikan acara anugerah di negara ini yang perlu membuat lawak, Vee sedar akan kekurangan dirinya dalam aspek itu.

"Saya sudah jelaskan kepada TV3 yang saya ini tidak pandai untuk mencipta lawak spontan jika itu yang mereka mahukan dalam menghidupkan ASK 2010. Tetapi, apabila difikirkan semula, pasti ada sebab mengapa saya yang dipilih tahun ini.

"ASK 2010 adalah tentang anugerah yang berprestij. Jadi, saya ikut arus itu dan berusaha memainkan peranan sama prestijnya seperti anugerah itu sendiri," kata Vee yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Filem Terbaik menerusi The Red Kebaya pada ASK 2007.

Keserasian semula jadi

BEGITU juga dengan Awal yang tidak menyangka namanya dipilih sebagai pengacara anugerah yang mengiktiraf karyawan drama dan filem tanah air itu.

Jelas anak jati Kuala Lumpur itu lagi, dia dan Vee dipanggil oleh TV3 untuk menjalani uji bakat sama seperti nama-nama yang dipilih oleh stesen itu.

Selepas menjalani saringan peringkat pertama, Awal kemudiannya digandingkan dengan seorang artis wanita popular untuk menguji keserasian antara mereka.

Entah bagaimana, sementara menunggu giliran, Awal secara tiba-tiba menghampiri Vee yang turut berada di bilik rehat itu lalu menyuarakan hasrat mahu mencuba untuk mengacara bersama.

"Daripada situ, keserasian itu timbul dengan spontan dan ia lahir secara semula jadi antara saya dengan Vee. Saya percaya gandingan kami untuk ASK 2010 ini mampu melancarkan perjalanan anugerah itu nanti.

"Setidak-tidaknya, penonton diberi senario yang baru apabila saya dan Vee dipilih sebagai pengacara ASK 2010," ujarnya penuh diplomasi.

Bagi Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar pula, pihaknya memang mahu memberi peluang kepada muka-muka baru dalam mengacarakan ASK.

"Kerana itu, kami yakin dan sanggup mengambil risiko dengan menggandingkan Vee dan Awal untuk ASK 2010. Kalau kita tidak memberi peluang itu, masakan kita tahu kebolehan mereka untuk menerajui anugerah berprestij seperti ini," ujarnya optimis.

Turut hadir di sidang akhbar tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya yang mewakili RTM serta Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar selaku wakil Astro.

Tidak ketinggalan, Pengurus Besar TV9, Sherina Mohamed Nordin; Penerbit ASK 2010, Nurhul Huda Khalid dan Pegawai Operasi Procter & Gamble Malaysia dan Singapura, Ellie Xie.

Almy Nadia Jawab Desas-Desus Putus Cinta Fizz Fairuz

Posted: 14 Dec 2010 06:15 PM PST

Almy Nadia tetap bahagia dengan Fizz Fairuz.

PETALING JAYA: "Putus? Tidak... kami tak putus!" Itulah jawapan ringkas pelakon Almy Nadia apabila diajukan persoalan kononnya hubungan cintanya dengan Fizz Fairuz sudah putus.

Berita kehancuran kisah cinta mereka itu semakin kuat kedengaran sejak kebelakangan ini apabila kedua-dua mereka kononnya tidak sehaluan lagi apabila Fizz dikatakan kecewa dengan sikap Almy yang terlalu mendesak untuk bertunang ataupun bernikah.

Mstar Online bagaimanapun mendapatkan penjelasan Almy sejauh manakah kebenaran dakwaan itu tetapi Almy menafikan hubungan tersebut sedang bergelora seperti mana yang diperkatakan.

"Terus terang saya katakan, saya dan Fizz masih berkawan macam dulu. Kami masih lagi pasangan kekasih. Kami tidak putus hubungan," ujarnya ketika dihubungi di sini, Selasa.

Kata Almy lagi, dia mengakui jarang bertemu dengan Fizz kerana kekasihnya itu terlalu sibuk dengan penggambaran drama.

Walau bagaimanapun mereka masih lagi berhubung walaupun sekadar menghantar mesej khidmat pesanan ringkas (SMS).

Menurut Almy, dia mengakui sejak kebelakangan ini ramai wartawan yang bertanyakan perkara itu kerana jarang melihat mereka muncul pada majlis-majlis rasmi yang dianjurkan tetapi ia bukan bermakna hubungan itu sudah retak.

Ditanya kenapakah selama ini Almy yang banyak memberi kenyataan berbanding Fizz, ujar Almy dia mengenali kekasihnya itu yang tidak begitu gemar bercerita kisah cinta kerana bimbang ia disalah tafsir.

Bagaimanapun kata Almy, dia memahami tugas pihak media dan sebab itulah dia mengambil pendekatan menjawab apa juga soalan yang dikemukakan dengan sebaik mungkin.

"Saya faham tugas pihak media dan sentiasa memberi kerjasama. Tapi sekarang ini saya pun dah tak tahu nak jawab apa lagi bila orang asyik tanya saya dengan Fizz kerana semuanya telah saya jawab sebelum ini.

"Jujurnya saya ingin beritahu, hubungan kami masih berjalan seperti biasa tanpa ada sebarang masalah," katanya.