Adsense

Rabu, 8 Disember 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Terkilan, kesal

Posted: 07 Dec 2010 02:43 PM PST

Hip

Scha tidak menduga mesejnya dalam laman sosial disalah erti

ADA perasan kesal di wajahnya. Terasa diri bagai dihukum atas kesalahan yang dia sendiri tidak pernah melakukannya. Bagi pelakon Scha Al-Yahya, dakwaan yang mengatakan dirinya melabelkan wartawan sebagai monyet seperti yang diperkatakan di internet cukup melampau dan menyakitkan hatinya.

Mana tidaknya, tiga tahun dia membina nama dan mempunyai reputasi yang cukup baik di kalangan media, alih-alih ada pihak yang cuba mencalarkan hubungan itu dengan mendakwa yang bukan-bukan. Justeru, pada majlis pelancaran drama bersiri Awan Dania musim ketiga, Scha mengambil kesempatan untuk menjelaskan segala kekeliruan yang timbul. Kata pelakon tinggi lampai ini, apa yang berlaku adalah disebabkan ada pihak silap menterjemah apa yang ditulis di laman sosial Twitter.

"Saya akui saya ada menulis kenyataan berbunyi "When a production is run by a bunch of monkeys, you will get peanuts" di laman Twitter milik saya. Kenyataan itu adalah secara am yang saya tulis berdasarkan keluhan rakan saya yang tidak puas hati dengan tempat dia bekerja. Production yang saya maksudkan cukup meluas dan bukannya penerbitan akhbar atau majalah.

"Tak sangka pula apabila ada yang menyalah tafsir kenyataan saya itu dan mendakwa ia ditujukan kepada wartawan. Apa yang membuatkan saya lebih terkejut apabila kenyataan itu kononnya ada kaitan yang saya bersekongkol dengan seorang pelakon wanita yang kebetulan ada masalah dengan pihak media.

"Cerita itu memang karut dan saya bukanlah pengikut pelakon wanita itu di laman Twitter. Jadi saya tidak ada kaitan dengan apa yang dilakukannya," ujar Scha yang cukup terkilan dengan apa yang terjadi.
Menurutnya, sewaktu mendapat tahu perkara itu dia cukup terkejut dan tidak sangka namanya akan diheret dalam kontroversi yang sedaya mungkin cuba dielakkannya.

"Awal (Awal Ashaari) yang menelefon saya dan memberitahu bahawa perkara ini sudah hangat diperkatakan pelbagai pihak. Kalau betullah berkata begitu, saya takkan buat di laman Twitter yang boleh dibaca oleh peminat. Lagipun, saya juga ada rakan-rakan media yang menjadi pengikut di laman sosial itu. Takkanlah saya nak gali kubur saya sendiri dengan menulis yang bukan-bukan.

"Saya tak mahu kehadiran saya dalam bidang ini disertai dengan kontroversi," katanya penuh pengharapan.

Mengenai musim terbaru drama bersiri Awan Dania, Scha berkata watak dan perwatakannya dalam drama itu semakin berkembang. Daripada seorang pramugari di sebuah syarikat penerbangan, dia kini melangkah setapak lagi dengan menjadi anak kapal untuk jet peribadi.

Bukan saja berkembang dari segi karier tetapi dia juga bergelut dengan pelbagai konflik percintaan.

"Watak saya dalam Awan Dania semakin matang. Ada banyak konflik yang berlaku antara saya dengan kekasih. Ditambah dengan kehadiran watak baru lakonan Gambit dan Zed Zaidi membuatkan konflik yang sedia ada semakin rumit.

"Sebenarnya, selepas tiga musim membawakan watak Dania, saya akui semakin penat. Ditambah dengan tanggungjawab melakonkan watak Dania dalam Awan Dania The Movie.

"Walaupun keduanya menampilkan watak yang sama iaitu Dania tetapi karakter dalam keduanya adalah berbeza. Bukan mudah untuk menukar karakter ini apabila berada di lokasi kerana saya sudah serasi dengan karakter Dania dalam drama bersiri," katanya.

Ditanya tidakkah bimbang jika penonton akan melabelkan stereotaip terhadap watak Dania itu, buah hati kepada pelakon dan pengacara Awal Ashaari ini mengakui terdetik juga perasaan sebegitu di hatinya.

"Pernah juga terfikir perkara itu. Kalau boleh saya tak mahu peminat menyamakan dengan watak Dania. Sebagai pelakon, saya mahu juga mencuba watak baru. Mungkin saya akan pertimbangkan perkara ini apabila tiba masanya nanti," ujarnya sambil mengukir senyuman manis.

Belum bicara soal kahwin

TIADA lagi rahsia dan ramai yang sudah tahu bahawa pengacara program Sehati Berdansa ini memang sah bergelar kekasih kepada Awal. Malah, kedua-duanya mengakui mereka memang menjalinkan hubungan istimewa.

Justeru, dengan pengakuan itu, tentu ramai yang tertanya-tanya bila pasangan ini bakal menoktahkan kisah cinta mereka dengan ikatan pertunangan atau pernikahan.

"Kalau ikutkan keluarga saya, mereka lebih jika kami tidak bertunang tetapi terus bernikah. Bagaimanapun, buat masa ini kami tidak pernah membicarakan soal perkahwinan secara serius. Tapi kalau setakat sembang-sembang di laman Twitter itu adalah. Begitupun, antara kami masih lagi mahu menumpukan sepenuh perhatian pada kerjaya masing-masing terlebih dulu,"cerita Scha.

Terlalu kerap beraksi di layar kaca dan juga filem, tidakkah merindui bidang pengacaraan yang semakin sebati dalam jiwanya?

"Memang rindu sangat nak kembali mengacara. Mungkin selepas semua penggambaran selesai, barulah saya memikirkan kembali soal pengacaraan," kata pelakon yang juga wajah ekslusif Astro ini.

INFO: Scha Al-Yahya

  • Nama Penuh: Sharifah Norazean Syed Mahadzir Al Yahya
  • Nama Komersial: Scha Al-Yahya
  • Tarikh Lahir: 30 Mei 1983
  • Asal: Sungai Petani, Kedah
  • Keluarga: Anak kedua daripada empat beradik
  • Pendidikan: Diploma Teknologi Maklumat dari Kolej Pusat Teknologi dan Pendidikan Lanjutan (PTPL), Shah Alam
  • Pencapaian: Dewi Remaja 2006/2007
  • Filem: Antoo Fighter: Amukan Drakulat, Histeria, Papadom, Evolusi KL Drift 2, Dimensi Cinta, Libas dan Adik Manja Returns
  • Drama: Bella, Honeyz, Awan Dania, Naik Hantu dan Awan Dania 2
  • Pengacaraan: Chopp!. Sehati Sejiwa, Kata Kau & Sehati Berdansa
  • Komersial: Rexona, Hotlink, Watson, Oral-B, Nokia, Celcom, My EG dan Bio Essence
  • Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

    Reza 'lepas gian'

    Posted: 07 Dec 2010 02:33 PM PST

    Hip

    REZA (tiga dari kanan) bersama anggota kumpulannya, dari kiri; Nor hanafi, Melina William, Stephanie Chan, Savy Ho dan Sharon Chong.

    REZA (tiga dari kanan) bersama anggota kumpulannya, dari kiri; Nor hanafi, Melina William, Stephanie Chan, Savy Ho dan Sharon Chong.

    Setelah lama memendam rasa, baru sekarang tampil dengan album Realize

    NAMA Reza Salleh barangkali agak asing bagi pengikut aliran muzik arus perdana, namun dendangan anak muda berusia 28 tahun itu sudah mesra sebagai halwa telinga di kalangan peminat gig tempatan dan 'menangkap' perhatian masyarakat luar negara, khususnya di Australia.

    Kelebihan menyambung pengajian di negara itu digunakan sebaik mungkin bagi meluaskan pengaruh muziknya yang digarap bertunjangkan perjalanan hidup dengan dan dilabel sebagai hitam, jujur, keliru serta santai dihayati bersama hirupan secawan kopi. Seringkas peribadinya, keseluruhan dendangan lagu yang diadun dalam album sulung berjudul Realiza itu cukup meresap dalam diri bagai bait cerita mengenai bibit percintaan, alam pengajian dan laluan kehidupan yang cukup dekat dengan pengalaman pendengar.

    Cuma agak menarik untuk dikongsi, hanya selepas lebih sedekad menghasilkan lagu dan memperdengarkan gubahannya di gig serta kelab, barulah 16 lagu ciptaan terbaik daripada lebih 50 dendangan yang berada dalam simpanan dikongsi dengan lebih ramai pendengar.

    "Sebaik pulang ke tanah air lima tahun lalu, saya meneruskan tugas menganjurkan persembahan pentas yang sudah dimulakan sejak zaman kuliah dan melihatkan sambutan dengan penyertaan ramai penyanyi indie, setiap minggu jadual gig sentiasa padat membuatkan saya tidak cukup tangan.

    "Sesekali, saya turut lepas gian dengan memperdengarkan beberapa lagu tetapi ketika itu soal album terpaksa ditolak ke tepi hinggalah merasakan masanya kini cukup tepat melihatkan pencapaian rakan sealiran seperti Yuna, Najwa dan Liyana Fiza," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Realize.
    Ketika itu, jejaka yang kelihatan agak pemalu itu sempat memperdengarkan enam buah lagu termasuk sebuah nukilan berbahasa Melayu yang pertama dicipta, Kasih bersama iringan lima pemuzik pengiring yang sudah menemaninya sejak lima tahun lalu.

    Nyata Realize yang di dominasi lagu Inggeris mempunyai tarikan tersendiri dengan sentuhan aneka genre muzik dari bossa nova, funky disko, grunge malah sesekali lagunya kedengaran mempunyai suntikan muzik country yang tentu saja membuatkan teman media teruja untuk terus menghayati persembahan itu.

    Apatah lagi lagunya diperkukuhkan alunan instrumen string seperti biola ditambah seni kata begitu 'catchy' malah keseluruhan inti pati Realize diibaratkan sebagai perjalanan hidupnya selaku anak muda yang berdepan aneka rencah duniawi.

    Antara dendangan yang dimuatkan dalam album Inggeris ini termasuk For Her, Battery dan Smoke City selain lagu daripada single sulung yang dikeluarkan menerusi online, lima hari sebelum album penuhnya berada di pasaran, Stracciatella.

    Sempat menyingkap kenangan lalu dengan membuka mulut mengenai kisah di sebalik pembikinan setiap gubahannya, sebagai contoh For Her antara lagu terawal yang dihasilkan, iaitu tatkala berusia 19 tahun khusus untuk teman wanitanya yang kini sudah berumahtangga dengan jejaka lain.

    "Pengalaman seperti itu yang saya garapkan di dalam lagu. Saya bukan jenis duduk dan memerah otak untuk mencari melodi atau lirik sebaliknya ilham datang tanpa mengira masa. Kerana itu saya lebih selesa menyampaikan semua ciptaan sendiri bukan memberikannya kepada penyanyi lain.

    "Inilah warna kehidupan saya yang mahu dikongsi dengan mereka di luar sana. Segala memori pahit manis yang saya lalui begitu indah apabila dikenang semula tetapi judul Realize yang dipilih sekadar ingin mengingatkan orang ramai kewujudan Reza Salleh dan album ini," ungkap jejaka yang dilahirkan di Melbourne itu.

    Apa pun, kehebatannya sudah mampu memancing perhatian Dewan Philharmonic Petronas (DFP) apabila diundang mengadakan persembahan solo Jun 2010 bersama iringan orkestra - suatu peluang keemasan yang tentu saja dicemburui pemuzik lain.

    Akuinya, tawaran yang dianggap bagai bulan jatuh ke riba itu tidak mungkin dipersiakan malah dalam kesibukan menganjurkan gig dan mengadakan persembahan bergerak bagi mempromosikan album, latihan menghadapi persembahan di pentas bertaraf dunia itu tetap dijalankan.

    "Saya masih bersemangat menganjurkan persembahan gig namun tidak melupakan jadual promosi kerana Realize adalah hasil jerih perih saya sendiri.

    "Cuma peluang ke DFP sebagai pemangkin kewujudan Reza Salleh di arus perdana bukan sekadar penyendal," katanya yang cukup sinonim dengan jenama Moonshine selaku penganjur acara.

    PROFIL: Reza Salleh
    Asal: Kuala Lumpur
    Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Sistem Perniagaan, Universiti Monash Australia
    Adik-beradik: Anak sulung daripada tiga bersaudara
    Kerjaya: Penyanyi, Komposer, Penganjur Persembahan.


    Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.