Adsense

Sabtu, 4 Disember 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Magis Williams

Posted: 03 Dec 2010 12:43 AM PST

Hip

pix_gal0
Kepulangan ke pangkuan Take That lariskan album baru

DIA dilihat sebagai penyanyi yang cukup berwarna-warni. Pernah digelar budak jahat gara-gara suka menimbulkan kontroversi serta banyak lagi perbuatan kurang elok termasuk merokok di atas pentas, namun nama lelaki ini terus mekar dalam industri muzik antarabangsa.

Bahkan, sejak dua dekad lalu, nama Robbie Williams antara paling menyerlah dalam sejarah muzik United Kingdom (UK), sehingga diundi sebagai Artis Paling Hebat Pada Dekad 90-an. Dengan 15 Anugerah Brit, lebih daripada penyanyi lain, Williams tidak syak antara yang terhebat pernah muncul di persada seni UK.

Beberapa minggu lalu, album koleksi terbaiknya berjudul In and Out of Consciousness: The Greatest Hits 1990-2010 memasuki pasaran, sebagai simbol dua dekad pembabitannya dalam industri seni. Dia juga masih mampu muncul bersama single popular selepas tempoh yang lama itu, menerusi Shame. Lagu itu turut menyaksikan kolaborasi pertama antara Williams dan anggota kumpulan Take That, Gary Barlow, dalam masa 15 tahun, selepas dia meninggalkan kumpulan terbabit.

Bukan saja muncul di tangga pertama carta album UK, malah ia juga terjual melebihi 120,000 unit dalam masa seminggu. In and Out of Consciousness ialah album kesembilan Williams yang berjaya menduduki tangga teratas carta, dan yang pertama buatnya selepas Rudebox pada 2006.

Lebih membanggakan, tentunya hakikat kepulangan penyanyi berusia 36 tahun ini ke pangkuan kumpulan Take That membantu melariskan jualan album terbaru mereka, Progress. Kumpulan yang baru ditubuhkan kembali itu berjaya menyaksikan jualan album terbesar mereka dalam masa seminggu, mengalahkan mana-mana album sejak 13 tahun lalu.

Pengarah urusan Official Charts, Martin Talbot berkata, sebagaimana dipetik dailymail,co.uk, sejak mereka bersatu semula sebagai kumpulan empat anggota kira-kira empat tahun lalu, Take That sememangnya muncul sebagai kumpulan muzik pilihan di UK.
Menurut syarikat berkenaan, album terbaru kumpulan itu terjual kira-kira 520,000 unit, lebih daripada jumlah keseluruhan gabungan 10 album yang berada dalam carta.

Album terakhir yang mencecah jualan melebihi 500,000 unit ialah Be Here Now oleh Oasis, pada 1997, yang terjual 663,000 unit pada minggu pertama pasarannya.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

@sinepleks: Tepukan sanjungan untuk Appalam

Posted: 03 Dec 2010 12:29 AM PST

Hip

AFDLIN bersama Jaclyn Victor, Raja Ilya dan Gana.

AFDLIN bersama Jaclyn Victor, Raja Ilya dan Gana.

DITAYANGKAN di 44 pawagam seluruh negara, filem Appalam yang mula ditayangkan pada 25 November lalu tidak menghampakan syarikat penerbitannya, Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB), apabila berjaya mencatat kutipan kasar memberangsangkan pada minggu pertama tayangan.

Filem Tamil pertama negara ini yang dirakam dalam bentuk 35mm dalam masa 24 tahun itu diarahkan oleh Afdlin Shauki. Membariskan pelakon baru dan lama seperti Raja Ilya, Gana Pragasam, Jaclyn Victor, Sharifah Amani, Iman Wan dan Shashi Tharan, filem terbabit memungut kita-kira RM400,000 sehingga Ahad lalu.

Dijangkakan kutipan berkenaan akan terus meningkat pada hujung minggu ini, melihat kepada sambutan peminat yang terus memenuhi dewan tayangannya. Pada minggu pertama tayangannya juga, filem yang dihasilkan Afdlin berdasarkan filem Melayu arahannya tahun lalu, Papadom, menduduki tangga ketujuh filem pecah panggung negara ini, bersaing hebat dengan judul popular lain, sama ada dari luar mahupun dalam negara.
Sebuah lagi filem tempatan yang hangat berputar di pawagam ketika ini ialah Ngangkung, terbitan MIG, yang berjaya menduduki tangga kedua carta di belakang Rapunzel: A Tangled Tale, animasi 3D daripada Walt Disney Animation Studios.
Menurut penerbit eksekutifnya, Gayatri Su-Lin Pillai, dia amat berpuas hati dengan sambutan diberikan peminat terhadap filem ini.

"Saya sendiri turut singgah di beberapa lokasi yang menayangkan filem terbabit. Nyata sekali, peminat filem Tamil menerima Appalam dengan baik, biarpun menyedari ia diarahkan sutradara Melayu. Mereka juga menerima lawak yang disampaikan dalam bahasa Melayu. Ia perkembangan cukup membanggakan sekali," katanya.

Filem edaran syarikat 5 Star terbabit kini ligat ditayangkan di lokasi yang sering menjadi tumpuan penggemar filem Tamil dan Bollywood. Bagaimanapun pawagam di Bukit Tinggi, Klang, muncul lokasi terbaik dari segi pungutan buat filem yang menelan belanja sekitar RM1.5 juta itu.
Menurut Eksekutif Perhubungan Awam dan Pemasaran TUSB, Ira Fazir Che Ishak, menerusi beberapa tinjauan dilakukan, walaupun dewan tayangan filem itu tidak sebesar dewan yang menayangkan filem Hollywood ataupun judul tempatan popular lain, ia tidak menghalang peminat untuk berhibur dan terus memenuhi pawagam terbabit.

"Ketika kami mengadakan tinjauan di PJ State sehari selepas Appalam membuka tayangan hariannya, turut kelihatan menonton filem ini ialah sekumpulan peminat Tionghua. Mereka juga ingin tahu apa yang menarik dipersembahkan Afdlin dalam versi Tamil ini.

"Filem ini juga nampaknya berjaya menarik perhatian pelbagai peringkat usia. Daripada kanak-kanak yang sudah tentunya hadir bersama ibu bapa atau penjaga mereka sehinggalah kalangan remaja, Appalam mampu menghiburkan semua khalayak. Pendek kata, ia hiburan yang sesuai untuk seisi keluarga. Apatah lagi filem ini bercerita mengenai hubungan bapa dan anak perempuan, selepas si ibu meninggal dunia," ujar Ira Fazir.

Katanya lagi, daripada maklum balas serta laporan yang diterima, bukan sekadar tepukan gemuruh, malah penonton berdiri memberikan sanjungan kepada filem ini.

Carta pecah panggung:

  • 1 - Rapunzel: A Tangled Tale
  • 2 - Ngangkung
  • 3 - Harry Potter 7: Part 1
  • 4 - Bruce Lee My Brother
  • 5 - The Next Three Days
  • 6 - Unstoppable
  • 7 - Appalam
  • 8 - Skyline
  • 9 - Megamind
  • 10 - Haunted Changi

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.