Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Zizan, Juliana mula serasi

Posted: 01 Dec 2010 04:32 PM PST

Hip

Pasangan muda ini saling menghormati kerjaya seni masing-masing

HAMPIR tiga minggu perancangan diatur untuk menemukan dua Zizan dan Juliana Evans, dua bakat muda yang namanya semakin melonjak dalam dunia seni.

Jadual seni mereka sentiasa diisi dengan pelbagai aktiviti. Tiada sedikitpun ruang diberikan kepada penulis untuk mencuri masa mereka walaupun hanya sejam. Namun penulis terpaksa akur dan menghormati jadual kerja mereka yang terpaksa menghabiskan kerja mengikut masa yang sudah ditetapkan.
Itulah sebenarnya kerja seni yang harus dibayar mereka selepas mengambil keputusan berada di dalam dunia yang serba pancaroba termasuk membawa diri berhadapan dengan masyarakat.

Pengorbanan masa, tenaga, keluarga, kawan-kawan dan sebagainya adalah lumrah yang harus dilalui mereka.

Mereka bersetuju untuk ditemubual dan digandingkan dalam satu sesi fotografi yang terpaksa diadakan pada jam 10 malam. Ini kerana itulah saja masa yang mereka ada. Dan, sesi ini berakhir dua jam selepas itu.
Kebetulan, keduanya baru saja habis menjalani penggambaran filem Hantu Bonceng arahan Ahmad Idham yang menemukan mereka buat pertama kali selepas lebih setahun perkenalan.

Penerima anugerah pengacara kegemaran dalam kategori Favourite TV Personality Award di Shout! Awards 2010 yang berlangsung baru-baru ini, Zizan tidak pernah menyangka karier seninya semakin jelas.

"Syukur alhamdulillah, sejak dua tahun lalu rezeki saya tidak putus-putus, banyak tawaran saya terima baik berlakon, mengacara mahupun persembahan pentas.

"Maknanya jalan yang saya lalui kini semakin jelas hala tujunya. Tapi saya kena mengatur setiap kerjaya seni saya agar ia lebih tersusun dan profesional," katanya akur terpaksa berkorban banyak perkara demi memastikan hidupnya dan industri seni menerima dirinya.

Jejaka yang lahir menerusi program realiti Raja Lawak musim kedua empat tahun yang lalu juga merasai perubahan kehidupannya selepas kemunculannya mula diterima banyak pihak.

"Sejak akhir-akhir ini masa saya dengan keluarga semakin berkurangan, Kalau nak jumpa, merekalah yang terpaksa datang ke Kuala Lumpur. "Bila difikirkan semula, inilah yang harus saya bayar apabila berada di dalam dunia seni ini, saya tidak menyesal dan bersyukur kerana kerja ini akan berhasil apabila dalam diri kita ada tersemat minat yang mendalam apa saja kerja yang kita lakukan itu.

"Ini adalah kerjaya yang memang saya pilih, jika dulu saya tidak menjangka hidup saya akan jadi macam ini tetapi apabila merasainya sendiri barulah saya tahu ia bukan seperti yang kita jangka.

"Penat memang penat tetapi ini adalah kerjaya yang saya pilih. Mungkin saya lalui sampai akhir hayat," katanya.

Senang berkawan dengan Zizan

Tidak pernah terlintas untuk dipertemukan bergandingan dalam satu filem bersama gadis berdarah campur Melayu-Inggeris, Juliana Evans walaupun titik perkenalan sudah berlangsung setahun yang lalu.

"Sebenarnya kami sudah berkenalan sejak setahun yang lalu dan menerusi filem Hantu Bonceng ini kami dipertemukan. Tidak pernah kami menjangka langsung lebih lagi di dalam cerita hantu.

"Pada mulanya saya agak segan maklumlah sebelum ini sekadar kenal dan jarang bersembang, lebih-lebih lagi saya dan dia masing-masing tidak tahu bagaimana cara kami bekerja.

"Akhirnya keserasian itu datang sendiri, apabila saya dapat rasakan bahawa pemikiran kami sama, dia boleh menerima lawak saya dan saya boleh menerima kenakalannya mengusik saya," katanya.

Juliana pula menganggap keserasian bersama Zizan begitu cepat dirasai atas sebab kelucuan jejaka itu.

"Sebenarnya saya dan Zizan sudah lama kenal cuma tak berpeluang kerja bersama. Apabila dapat bekerjasama dengan Zizan membuatkan hubungan kami lebih rapat.

"Saya senang berkawan dengannya sebab utamanya dia kelakar dan suka buat saya ketawa. Adakalanya ketika dalam lakonan yang serius pun boleh membuatkan saya ketawa bila dengar lawaknya," katanya yang melakar banyak kenangan bergandingan bersama Zizan.

Menurut Juliana lagi, menerusi Hantu Bonceng, dia buat pertama kali mendapat watak yang pernah diimpikan selama ini.

"Inilah kali pertama saya membawa watak hantu walaupun selama ini pernah mengimpikan. Namun selepas membawanya barulah saya tahu bahawa bukan senang untuk membawa watak hantu ini, saya harus memakai pelengkap mata, kena solek dengan kesan khas yang berlumuran darah dan tiap kali pakai itu, saya mesti rasa sakit.

"Bagaimanapun ini adalah pengalaman baru bagi saya yang harus membawa beberapa karektor seperti watak hantu, budak kampung dan bohsia," katanya yang pertama kali bekerja dengan Ahmad Idham selaku pengarah yang komited.

Bangga tersenarai dalam ABPBH2010

KEDUA-duanya bukanlah kali pertama disenaraikan dalam dalam percalonan awal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH). Biarpun belum merasai kemenangan pada anugerah ini, namun tersenarai sebagai lima pilihan awal dalam senarai akhir ABPBH atau Top 5 adalah pengiktirafan yang tidak ternilai.

"Saya tidak mahu mengharap terlalu tinggi untuk memenangi apa-apa anugerah. Dicalon pun sudah cukup baik ini kerana saya tidak pernah rasa yang saya ini layak untuk dicalonkan tetapi itu semua adalah ketentuan. Hanya berserah kepada masyarakat untuk menilai saya dan kalau dapat ia bonus.

"Apa yang penting bagi saya adalah mutu kerja saya harus meningkat dari masa ke semasa sebelum saya diiktiraf. "Selain itu juga, ABPBH inilah satu-satunya majlis penganugerahan yang memberi lalui kepada selebriti mendekati peminat dengan lebih dekat menerusi siri jelajah (roud tour ABPBH).

"Saya pernah mengikutinya dan terus terang ia adalah pengalaman yang paling best apabila kita bersama-sama artis lain diserbu oleh peminat. Ia juga menguji kebolehan saya berhadapan dengan peminat secara spontan.

"Nasihat saya kalau mana-mana artis yang dicalon dalam top 5 supaya ikutlah roud tour ini kerana inilah platform kita untuk bersama peminat yang tidak ada di mana-mana acara seni lain dalam negara kita ini," kata Zizan yang namanya dicalonkan dalam kategori Penyampai TV Lelaki Popular, Pelakon Komedi Lelaki, Pelakon TV Lelaki dan Pelakon Filem Lelaki.

Bagi Juliana, perasaan berbangga pasti lahir apabila namanya turut tersenarai dalam pencalonan awal ABPBH2010.

"Inilah membuktikan titik peluh kita selama itu dihargai. Semasa saya berusia 19 tahun, saya antara calon top 5 yang paling muda dalam senarai ABPBH dalam kategori pengacara TV Wanita Popular. Begitu juga dengan siri jelajah ABPBH yang menjadi salah satu pengisian majlis berprestij ini adalah wajib diikuti oleh setiap artis.

"Saya suka sangat roud tour ABPBH sebab saya pernah mengikutinya dua tahun lepas. Sekiranya saya masih tercalon dalam top 5 ABPBH kali ini, pasti saya akan meluangkan masa untuk turut sama bersama calon yang lain," katanya.

Info

Zizan akan menjadi pengacara pada Mini Karnival Sukan di Mizi Sport Centre, No 8, Jalan Prima Sri Gombak 1, Taman Prima Sri Gombak, Batu Caves, Selangor, pada 4 Disember ini. Acara yang bermula pada jam 4 petang turut dihadiri Juliana Evans, Fizo Omar, Farahdhiya, Putri Mardiyana, Yana Shamsudin serta Aidil Zafuan dan Aidil Zaquan.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Dengar...oh! jeritan batinku

Posted: 01 Dec 2010 04:25 PM PST

Hip

Banyak persoalan dan misteri yang tersirat di sebalik teater Natrah

BAYANGKAN kalau teater Natrah kali ini dipentaskan di Amsterdam, Belanda atau London? Kemungkinan penonton di sana akan melihat teater ini dari sudut pandang yang berbeza daripada mereka yang menonton teater ini di Istana Budaya.

Mungkin kefahaman mereka berbeza. Mungkin cerita Natrah dilihat sebagai sebuah kisah keluarga semata-mata. Konfliknya mengenai dua keluarga berebut seorang gadis. Seorang keluarga kandung dan yang satu lagi keluarga angkat yang menjaga Natrah seperti anaknya sendiri. Tapi kalau diselami lebih mendalam, dengan menggali selapis demi selapis apa yang tersirat di sebalik teater Natrah, ternyata ia bukan cerita pasal keluarga semata-mata. Terlalu banyak isu dan persoalan yang timbul. Bukan pasal akidah dan maruah semata-mata. Ia juga isu berkaitan dan kedaulatan orang Melayu selain maruah British dan Belanda itu sendiri.

Ia juga menyentuh soal kemanusiaan dan kasih sayang yang diragut oleh undang-undang ciptaan manusia dan rupa-rupanya boleh dilanggar oleh manusia yang menciptanya kalau ia berpihak kepada yang berkepentingan. Mereka yang bijak, akan memanipulasi mana-mana kelemahan dalam undang-undang itu sendiri.

Betul daripada kaca mata orang Melayu, teater Natrah mempersoalkan mengenai akidah dan antara Islam dan Kristian Katolik. Kalau merenung kisah teater ini di luar kotak pemikiran biasa, cerita dalam Natrah turut bukan sekadar persoalan maruah orang Melayu dan Islam.

Natrah mendedahkan soal maruah antara dua empayar terbesar Eropah di Asia Tenggara iaitu Belanda dan British. Konflik bermula apabila Maria Huberdina Hertogh yang berumur lima tahun diserahkan oleh ibunya, Adelina untuk dipelihara oleh Che Aminah Mohamad pada Disember 1942.
Budak ini diserahkan kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana ditawan tentera Jepun. Che Aminah atau Mak Minah, seorang pedagang kain di Jawa membawa Maria Hertogh ke Kemaman, Terengganu dan menukar namanya kepada Natrah dan hidup dalam suasana kampung serta pendidikan Islam.

Lapan tahun kemudian, apabila Natrah berumur kira-kira 13 tahun, Ketua Hakim di sebuah mahkamah di Singapura memerintahkan supaya gadis diserahkan semula kepada keluarga kandungnya. Perpisahan dalam paksaan ini yang memberikan kesan emosi bukan kepalang kepada Natrah dan orang Melayu di Singapura pada waktu itu. Akibatnya, kerana Natrah orang Melayu mengamuk sehingga berlaku huru hara.

Tapi Belanda dan British tidak pedulikan itu semua. Apa yang penting mereka berjaya menjadikan orang Melayu sebagai 'kambing hitam'. Ini ketika tragedi Natrah berlaku, masing-masing sedang melalui kejatuhan moral di kaca mata penduduk tempatan. Tragedi Natrah berlaku kira-kira lima tahun selepas Belanda terpaksa melucutkan keegoannya sebagai kuasa penjajah apabila melepaskan Indonesia untuk menjadi sebuah negara merdeka pada 17 Ogos 1945.

Pada tahun itu juga British kembali ke Tanah Melayu selepas maruah mereka dicalar oleh tentera Jepun. British boleh menggunakan kuasanya untuk menghalang Belanda membuat tuntutan itu kerana Natrah dan Cik Minah adalah rakyat Tanah Melayu, iaitu wilayah jajahan British.

Belanda kehilangan kuasa dan haknya ke atas Singapura dan Tanah Melayu menerusi Perjanjian British dan Belanda pada tahun 1842 yang menyebabkan nusantara dipecah dua. Menerusi perjanjian itu, Indonesia memiliki Indonesia.

British juga mudah tunduk dengan tekanan Belanda apabila bapa Natrah, Sarjan Hertogh menyalahkan British kerana gagal mempertahankan Tanah Melayu daripada Jepun. Ini menyebabkan Jepun berjaya mara ke Indonesia dan dia sendiri menjadi tahanan perang, kehilangan Maria atau Natrah. Isu ini lebih berat apabila Permaisuri Belanda mendesak King George IV di England berbuat sesuatu terhadap kes Natrah itu.

Dari sudut kemanusiaan, teater Natrah juga menggarap tentang penderitaan seorang gadis atau wanita yang tersepit dengan keadaan. Jeritan batinnya menjerit terseksa dalam perangkap emosi, akidah, kasih sayang dan kemanusiaan.

Terseksanya batin wanita itu digambarkan menerusi monolog Natrah berumur 70 tahun yang dilakonkan oleh Sofia Jane.

Benar Sofia sekadar bermonolog. Dia nampak macam orang gila. Bagi mereka yang gagal memahami dan menghayati monolog Sofia menyebabkan duduk di kerusi IB pun berasa tidak selesa kerana pelakon itu cakap entah apa-apa.

Tapi mendalami setiap bait-bait dialog, sama-sama merasai intonasi suara yang dilafazkan dengan penuh perasaan oleh Sofia, monolog yang disampaikannya bukanlah kosong. Ia menggambarkan derita batin Natrah yang hilang arah dan tidak keruan keadaannya.

Memang tumpuan penonton mungkin lebih menjurus kepada aksi Maya Karin, Remy Ishak atau Umi Aida, Susan Lankaster selain Aaaron Aziz, Nabila Huda dan Liyana Jasmay.

Bukanlah hendak menafikan peranan mereka, tetapi monolog Sofia dianggap mewakili keseluruhan inti pati teater ini. Janganlah cepat sangat mencari kelemahan Erma Fatimah sebagai pengarah Natrah. Memanglah ia mungkin bukan karya sempurna sepenuhnya tetapi daripada mencari apa yang betul, apa yang salah, adalah lebih baik memahami keseluruhan cerita yang hendak disampaikan oleh Erma.

Benarlah bahawa teater ini berdasarkan kisah benar, tetapi suntikan dramatik kena ada dan memang ada keperluan untuk tokoh tambah menjadikan Natrah lebih 'hidup' dan seronok untuk diikuti oleh penonton yang duduk lebih dua jam dalam Panggung Sari, IB.

Lagipun Natrah membawa persoalan yang serius. Apa salahnya kalau dimasukkan dengan sedikit elemen hiburan dengan menyelitkan lagu-lagu Bollywood tetapi dinyanyikan dalam bahasa Melayu. Ia bukanlah isu besar, tidak mencacatkan Natrah pun.

Di sebalik memarahi Belanda dan British atau mungkin juga Erma, menerusi teater Natrah, orang Melayu dilihat sepatutnya tidak perlu malu dengan kesilapan sendiri. Orang Melayu yang terlalu baik dan lurus menjadikan mudah sangat dipergunakan pihak luar, terutama penjajah. Pada ketika keluarga angkat Natrah bertungkus lumus menghadapi tekanan, tidak ada pula pemimpin dan tokoh Melayu tampil membantunya dengan segera. Mungkin pemimpin Melayu pada waktu itu sedang sibuk berjuang mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada British.

Kemungkinan Natrah masih selamat akidahnya dan Mak Minah juga terjaga maruahnya kalau mereka tidak termakan pujukan seorang guru Inggeris supaya mereka ke Singapura. Ini kerana Terengganu adalah Negeri Negeri Melayu Tidak Bersekutu menjadikan undang-undang British tidak sah di negeri ini. Undang-undang tuntutan hak penjagaan itu hanya sah di Singapura. Malangnya tidak ada pula cerdik pandai Melayu atau pemimpin Melayu yang tampil membantu dan memberi penerangan kepada Mak Minah yang sangat naif mengenai undang-undang.

Teater Natrah ditutup dengan babak Natrah terkeliru jalan mana yang hendak diikuti tatkala dia terdengar bunyi loceng gereja dan suara azan berkumandang di masjid.

Erma 'mematikan' Natrah dengan terhenti di antara masjid dan gereja, untuk membiarkan penonton berfikir apakah Natrah masih Islam atau sudah murtad. Natrah menderita batin yang amat berat untuk ditanggung dan akhirnya mati kerana menjadi mangsa keadaan.

Info Natrah

  • Di pentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya
  • Pementasan daripada 25 November hingga 5 Disember 2010, jam 8.30 malam.
  • Pementasan waktu siang iaitu jam 3 petang pada 4 Disember dan 5 Disember.
  • Tiket menonton berharga RM30, RM50, RM70, RM100 dan RM150.
  • Potongan harga tiket sebanyak 20 peratus bagi pelajar dan penonton orang kurang upaya.
  • Tempahan tiket boleh hubungi Box-Office: 03-40265558.
  • Untuk keterangan lanjut boleh layari www.istanabudaya.gov.my
  • Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS

    0 ulasan:

    Catat Ulasan