Adsense

Sabtu, 6 November 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Ikon kabel berita

Posted: 05 Nov 2010 05:02 PM PDT

Hip

Zain Verjee pertahan kredibiliti, pilih fakta tepat untuk dikongsi bersama penonton

RAMAI menggemari gaya tersendiri dan karisma personaliti kabel berita antarabangsa ini. Penyampaiannya yang meyakinkan membuatkan penonton fokus terhadap berita yang disampaikannya.

Zain Verjee, 36, penyampai atau pembaca berita utama saluran CNN cukup versatil dan sentiasa komited dengan kerjaya yang diceburinya. Sisipan Sabtu, Berita Harian berpeluang menemubual personaliti ini dalam pertemuan eksklusif ketika beliau membuat liputan untuk program i-List yang memaparkan keistimewaan dan gaya hidup masyarakat Asia. Malaysia adalah negara persinggahan pertama krew i-List sebelum mereka berkunjung ke Korea Selatan, Jepun dan Indonesia.

Wanita berketurunan India ini memberitahu, apa yang disukai mengenai pekerjaannya ialah peluang bertemu dan berkenalan dengan individu dari pelbagai latar belakang setiap hari.

Apabila tidak sibuk dengan tugasan, Zain akan memanfaatkan masa lapang dengan belajar bermain gitar, bersenam di gimnasium, melakukan yoga dan mengikuti kelas penulisan kreatif.

Ditanya apakah kelebihan yang dimiliki wanita sepertinya yang berjaya dalam media penyiaran antarabangsa, Zain tanpa ragu-ragu memberitahu, beliau mampu menyampaikan isu dan situasi yang membabitkan dengan wanita dengan lebih baik.
Bagaimana proses penyesuaian yang perlu anda ikuti ketika mula-mula menceburi bidang ini?

Bidang media massa adalah sesuatu yang agak berbeza dengan pengajian yang saya ikuti di universiti. Sebab itu jugalah, ketika mula-mula bekerja di konti, beberapa kali saya membuat kesilapan teknikal.

Namun begitu, selepas beberapa lama melakukannya, saya mula mahir untuk mengawal mesin yang digunakan untuk siaran radio tempat saya mula bekerja.

Begitu juga ketika bertugas di stesen televisyen, proses pembelajaran banyak berlangsung di peringkat awal di mana saya perlu berlatih bagaimana melakukan penyampaian berita dengan baik, menggabungkan berita dengan baik dan sebagainya. Semua proses pembelajaran berlaku di tempat kerja.

Apakah tugasan pertama anda sebagai pembaca berita utama di CNN?

Tugasan pertama saya sebagai pembaca berita utama ialah membuat liputan ibadat Haji di Makkah. Saya masih ingat, cukup mencabar untuk membuat liputan ketika itu kerana terlalu ramai manusia yang berkumpul di sana.

Bagaimanapun, saya fikir saya melakukannya dengan agak baik. Tugasan paling bermakna bagi saya ialah paparan keadaan huru-hara yang berlaku ketika pilihan raya di Kenya.

Tugasan ini istimewa untuk saya kerana saya sayangkan Kenya sebagai tempat asal saya. Pada masa yang sama, saya perlu bersikap profesional dalam bekerja. Saya perlu melaksanakannya dengan baik kerana ia memberi kesan kepada saya secara peribadi kerana itu tanah air saya.

Masihkah ada perasaan gugup bercakap di depan kamera?

Ya, saya masih mempunyai rasa gugup setiap kali berdepan dengan kamera. Lazimnya, saya mengalami perasaan itu ketika mula hendak melakukan sesuatu perkara dan ketika menyampaikan berita tergempar yang besar dan serius. Saya menjadi sedikit tertekan.

Tapi agak berlainan apabila saya mengendalikan program saya sendiri. Ini kerana saya dapat mengawal keadaan.

Apakah cabaran yang anda lalui dalam pekerjaan ini?

Pada pendapat saya, bahagian paling mencabar yang dihadapi dalam pekerjaan saya ialah apabila berdepan dengan kurang atau banyaknya maklumat yang diperlukan dalam sesuatu tugasan.

Kira-kira 10 tahun kebelakangan ini, kita berdepan dengan kebanjiran maklumat yang mudah diperoleh khususnya melalui teknologi. Agak sukar untuk memilih maklumat yang sesuai.

Sehubungan itu, saya lebih senang bergantung kepada sumber yang mempunyai kredibiliti. Misalnya, apabila saya ditugaskan membuat liputan ke sesebuah negara, saya akan membaca akhbar tempatan serta berinteraksi dengan masyarakat tempatan yang selalunya memberikan maklumat yang lebih telus dalam sesetengah perkara.

Saya tidak akan sampaikan sesuatu di televisyen selagi saya tidak mempunyai maklumat mencukupi mengenainya.

Pada pendapat anda, adakah rupa paras menjadi faktor penting bagi seseorang penyampai di televisyen selain daripada kebijaksanaan?

Saya fikir, kedua-duanya perlu. Seseorang yang tampil di media visual harus mempunyai tarikan di depan kamera. Di sebalik semua itu, faktor penting yang mesti dimiliki ialah kebijaksanaan dan sifat ingin tahu yang tinggi kerana tanpa dua faktor ini, anda tidak mungkin dapat kekal dalam bidang ini.

Dengan kehadiran media baru sekarang ini, bagaimana anda melihat posisi berita televisyen?

Berita televisyen masih ada daya saingnya. Ia perlu menyesuaikan dengan landskap baru ini. Sememangnya ada ruang untuk media online, media sosial serta media tradisional dalam industri ini. Cuma apa yang menjadi perbandingan adalah kualiti dan kebolehpercayaan sebagai prinsip kewartawanan.

Mengapa seseorang perlu menonton saluran seperti CNN untuk mengetahui berita jika mereka boleh mendapatnya secara online? Jawapannya adalah kualiti dan kebolehpercayaan.

Namun, media tradisional masih perlu berganding dengan media baru. Contohnya dari segi mendapatkan maklumat berkaitan dan kukuh untuk dipadukan dengan pemberitaan masing-masing.

Adakah keghairahan anda terhadap kerjaya penyiaran masih sama seperti pembabitan pada tahun pertama dulu?

Keghairahan tidak lagi sama tapi sering berubah kerana mengikut aliran masa, kerja saya tangani juga sering berbeza. Pastinya, di tahap ini, saya sudah sebati dan lebih berkeyakinan dengan bidang ini, tahu lebih banyak mengenai isu di pelbagai negara serta diberi lebih tanggungjawab penting dalam pelaksanaan kerja berbanding menerima arahan saja.

Dunia sentiasa berubah dan bermacam peristiwa berlainan dan baru berlaku setiap hari, maka akan ada peningkatan dari semasa ke semasa.

Apakah yang memotivasikan anda dalam kehidupan?

Sebahagian besar faktor yang memotivasikan diri saya dalam kerjaya ini adalah apabila memikirkan apa yang saya dan penggiat media lain lakukan dalam kerja yang secara tidak langsung boleh merubah salah faham, cara seseorang melihat seseorang atau sesuatu perkara.

Pernah terdetik rasa kesal dalam hidup?

Tiada. Mungkin kerana saya sering melihat apa saja yang berlaku dalam hidup ini secara positif dan ini hasil daripada didikan keluarga saya sejak kecil. Saya menghadapi ketakutan dengan membenarkan perasaan takut itu jadi kepada diri saya dan tidak berpura-pura seolah-olah saya tidak mengalaminya.

Saya bertuah kerana mempunyai keluarga dan rakan yang memahami serta sentiasa memastikan saya tidak hilang keyakinan. Selain itu, saya selalu beritahu diri saya apapun yang sedang atau akan menimpa diri, saya sudah pun melakukan yang terbaik.

Apabila saya boleh berfikir seperti ini, saya akan okay semula.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Ketelusan Mel B

Posted: 05 Nov 2010 04:48 PM PDT

Hip

Scary Spice dedah kehidupan berkeluarga dalam program realiti

TIADA perkara mahu disembunyikan daripada peminat malah pertemuan keluarga dengan pakar terapi turut ditonjolkan bekas anggota Spice Girls, Mel B, menerusi rancangan Mel B: It's A Scary World, sekali gus membuktikan program realiti berkisar kehidupannya cukup telus.

Wanita berusia 35 tahun itu mengakui ilham memaparkan dunia sebenar di sebalik populariti yang diraih mendapat sokongan suami, Stephen Belafonte, untuk membolehkan orang luar menyelami situasinya sebagai ibu, isteri, penyanyi, pelakon, penulis lagu dan usahawan. "Inilah dunia sebenar yang ingin saya kongsi dengan peminat. Segala-galanya benar, tiada suntingan atau pengarah menyebut 'cut' kerana saya mahu memastikan kami memberikan fakta tepat mengenai kegiatan atau situasi keluarga kami, biarpun ada di antaranya agak peribadi.

"Awal lagi saya dan Stephen sudah berbincang panjang lebar mengenai program ini. Ya... Kami akan lakukan. Persetujuan itu bermakna segala perkara membabitkan kehidupan kami termasuk sesi terapi, pertengkaran, saat keluar makan malam dan juga tangisan tidak akan disembunyikan," katanya pada sidang telefon mengenai program itu, baru-baru ini.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini ketika itu berada di Hong Kong bagi menghadiri majlis kelolaan E! Entertainment, selain mempromosikan rancangan realiti terbitan syarikatnya yang menemui penonton di saluran hiburan terkemuka itu bermula 1 November.

Dalam nada ceria, Mel B berkata, pada dasarnya agak rimas apabila sepanjang masa aktiviti harian menjadi tatapan umum namun ia tidak seteruk disangkakan ramai. Lebih mengejutkan apabila ketiga-tiga anaknya, Phoenix Chi, 11; Giselle, 6 (anak tiri) dan Angel Iris, 3, teruja diikuti kamera.
Ceritanya lagi, Stephen yang dikahwini sejak tiga tahun lalu juga sudah mampu mengadaptasi situasi baru dengan adanya kamera di dalam kediaman mereka malah kemesraan pasangan itu jelas kelihatan dalam setiap episod Mel B: It's A Scary World.

"Kami berkawan sudah hampir sedekad sebelum menjalin hubungan hingga mendirikan rumah tangga. Stephen bukan hanya suami, dia juga teman akrab saya. Segala-galanya kami kongsi bersama dan keserasian itu jelas terserlah dalam program ini kerana ia bukan perkara yang boleh dibuat-buat.

"Paparan tidak hanya merangkumi aktiviti keluarga sebaliknya turut merangkumi urusan berkaitan perniagaan selain tugasan saya di studio untuk pembikinan album baru bersama penyanyi undangan," katanya yang turut menyimpan hasrat menampilkan rakan daripada Spice Girls dalam program terbabit.

Menyingkap kembali populariti kumpulan pop British itu, selain Mel B, Spice Girls yang mencipta fenomena tersendiri sekitar 1990-an turut dianggotai Victoria Beckham, Emma Bunton, Melanie Chisholm (Mel C) dan Geri Halliwell.

Selepas Geri menjadi anggota pertama membawa haluan sendiri pada 1998 dengan empat anggota lain meneruskan pembikinan album ketiga, Forever, namun dua tahun kemudian kumpulan itu berpecah apabila anggotanya ingin memberikan fokus pada projek solo.

Mengulas mengenai hubungan dengan rakan lain, Mel B berkata, persahabatan mereka semakin akrab biarpun masing-masing sukar berkumpul kembali seperti dulu tetapi teknologi komunikasi terutama Twitter menjadi pengikat persahabatan.

Hakikatnya, gabungan semula kumpulan terhangat itu pada Jun 2007 menjadi tajuk utama media memandangkan perpecahan mereka bukan dalam keadaan baik malah Konsert Reunion Bergerak Spice Girls bermula Disember tahun sama mendapat sambutan menakjubkan.

PROFIL: Melanie Janine Brown
Tarikh Lahir: 29 Mei 1975
Asal: Leeds, England
Panggilan: Mel B, Melanie G, Mel G, Scary Spice, Scary
Album solo: Hot (2000), LA State Of Mind (2005).


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.