Adsense

Isnin, 18 Oktober 2010

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


'Kami tetap akan bersatu'

Posted: 17 Oct 2010 09:48 AM PDT

HANGAT BERCINTA...hubungan Watie dan Joey jadi tumpuan masyarakat.
HANGAT BERCINTA...hubungan Watie dan Joey jadi tumpuan masyarakat.

SEGALA-GALANYA bermula tanpa dijangka oleh Watie sendiri. Hanya kerana berniat ingin berkongsi perasaan gembira serta mendedahkan hubungan cintanya dengan Joey kepada peminat, mereka kini teruk menjadi sasaran kecaman ramai.

Mengimbas sejenak apa yang berlaku, gosip bertiup kencang sebelum ini mengatakan pasangan ini sedang hangat menyemai benih cinta.

Selepas persoalan demi persoalan, akhirnya Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali, 34, dan Joey atau Zulkifli Daud, 37, tampil membuka mulut kepada pihak media memberitahu hubungan mereka yang bersemi apabila menjalani penggambaran drama Blues Pasar Tani di Muar, Johor, hujung Mac lalu.

"Joey seorang lelaki sangat penyayang dan sentiasa menggembirakan hati saya. Dari situ, kami akrab sebagai teman dan lama-kelamaan hadir rasa serasi dan selesa hingga saya percaya dan membuka ruang di hati untuk menerimanya.

"Joey kelakar dan bijak membuat saya ketawa. Saya ikhlas berkawan dengan dia. Saya menerima untuk mengenalinya dengan lebih rapat selepas mengetahui dia sudah bercerai.

"Apabila lama mengenalinya saya dapati seorang lelaki yang baik dan hairan kenapa dia sering dikaitkan dengan cerita tak elok," katanya menggambarkan kebahagiaan yang sedang dilaluinya kini.

Kisah cinta mereka juga secara tidak langsung melonjakkan populariti pasangan ini apabila mendapat liputan meluas semua media. Apatah lagi tiba-tiba muncul Noraini Nasir, isteri Joey sendiri yang mendakwa Watie menjadi punca keruntuhan rumah tangga mereka.

Semakin panas apabila pelbagai tuduhan dilemparkan oleh Noraini, 44, terhadap Joey dan Watie yang sememangnya sinonim dengan kontroversi.

Namun secara pantas, Joey tampil membela kekasihnya ini apabila meminta isterinya tidak mengaitkan Watie sebagai punca penceraian mereka.

"Hentikan spekulasi dan usah babitkan Watie dalam masalah ini kerana dia tiada kena-mengena langsung.

"Saya melihat tiada gunanya kita mengaibkan mana-mana pihak kerana tindakan itu tiada penghujung dan penyelesaian sebaliknya hanya memberi ruang untuk orang sekeliling menepuk tangan.

"Kenyataan itu bukan saja memalukan pihak saya dan dia, malah tak semena-mena nama Watie pula dikaitkan sedangkan punca itu tak pernah wujud sejak awal lagi. Usah mudah menuding jari dan mencari punca dengan mengaitkan nama Watie dalam masalah ini. Perceraian ini tidak langsung disebabkan soal orang ketiga sebaliknya antara kami sudah tiada persefahaman lagi.

"Saya kecewa dan tertekan kerana nama Watie pula dibabitkan. Hubungan kami memang baik dan keluarga kedua-dua pihak juga merestuinya. Saya tak mahu masalah rumah tangga saya memberikan tekanan kepada orang lain," kata Joey yang berkahwin dengan Noraini pada 4 Mei 2005 dan mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun bernama Zidani Zulkifli.

Seperti mana Joey, Watie juga tidak duduk diam dengan tohmahan yang dilemparkan.

Katanya, dia tidak perlu marah atau melenting kerana sikapnya tidak seperti yang didakwa. Apatah lagi statusnya yang sudah enam tahun bergelar janda memang menjadi sasaran fitnah. Itu semua adalah alasan bagi menuding seseorang menjadi punca kepada sebuah masalah.


"Saya tak terusik atau merasa sedih dengan kata-kata sebegitu kerana perkara sebegini bukan pertama kali dilontarkan.

"Saya sudah lali dan kalis dengan cacian meskipun ada kalanya tuduhan itu melampaui batas. Penat untuk dijelaskan dan saya melihat perkara ini tak perlu diperbesarkan kerana yang akan menjadi mangsa akhirnya adalah saya. Justeru, selagi boleh dielak, saya akan cuba," katanya.

Biar serong mana pandangan orang, pasangan ini tetap dengan impian melihat percintaan mereka akan berakhir di jenjang pelamin.

Namun sekali lagi Watie diuji apabila Noraini bertindak memfailkan pengesahan lafaz cerai dengan Joey di Mahkamah Rendah Syariah Kajang pada 15 Oktober lalu. Seolah-olahnya semua punca ini datangnya dari Watie.

"Seperti saya katakan, saya hanya menjadi mangsa keadaan. Ini hal rumah tangga Joey dan bekas isterinya, biarlah mereka selesaikan elok-elok. Saya tak mahu masuk campur. Apabila Joey beritahu saya yang dia belum failkan kesnya ke mahkamah, saya sendiri menyuruhnya pergi selesaikan elok-elok kerana tak mahu orang kata macam-macam terhadap saya.

"Ternyata nasib saya memang malang kerana akhirnya dituduh jadi punca sedangkan saya baru rapat dengan Joey pada tahun ini.

"Malah, kawan-kawan pun baru sekarang dapat tahu yang saya sedang rapat dengan Joey. Saya seorang yang suka berterus terang dengan semua kawan-kawan apabila bercinta dengan lelaki.

"Saya bukan jenis manusia hipokrit yang suka merahsiakan perkara yang benar dan saya juga tak berani mengaku benda yang tak betul.

"Saya kecewa kenapa masyarakat selalu pandang serong dan melabelkan saya sebagai perampas suami orang, sedangkan sepanjang hidup saya, tak terniat pun nak menghancurkan hati wanita lain.

"Ketika perkahwinan sebelum ini, saya sanggup menjadi isteri kedua kerana tidak mahu bekas suami menceraikan isteri pertama dan tak mahu dia jadi mangsa.

"Kenapa masyarakat selalu mengata saya sedangkan bukan saya yang minta semua ini? Tolong jangan pandang saya macam 'syaitan' sangat kerana saya juga manusia yang ada maruah dan bertungkus lumur besarkan anak saya, Ahmad Afif Danial, 6 tahun.

"Di luar, orang nampak saya gembira tapi tak bertanya kesedihan dalam hati saya. Buat apa saya nak bercerita masalah pada orang kerana nanti dikata lain pula.

"Saya minta jangan disamakan saya dengan watak lakonan di TV kerana saya bukanlah perempuan 'gedik.' Saya hairan kenapa pula isterinya nak tuduh saya bukan-bukan.

"Mesti ada masalah sendiri kenapa mereka bercerai. Nasib baiklah ibu bapa saya dah tiada, kalau ada mereka pasti sedih dengar tuduhan ini.

"Tapi saya ada adik-beradik yang bekerja di pejabat dan sedikit sebanyak mereka akan berasa malu. Saya hairan kenapa dia nak tuduh saya? Sepatutnya dia kena terima qada dan qadar Tuhan dan tak boleh tuduh saya yang bukan-bukan.

"Setiap yang berlaku pasti ada kesilapan dari kita sendiri. Janganlah asyik nak tuding jari kepada orang lain. Tolonglah jangan salahkan saya. Saya baik dengan bekas isteri pertama Joey, tapi Noraini lain sikit gayanya. Dia perlu ingat kalau buat dosa dengan Allah, mungkin kita akan diampunkan, tapi kalau buat dosa sesama manusia, susah jadinya kalau tak diampunkan orang itu," tambah Watie.

Watie yang ketika ini sibuk dengan penggambaran drama bersiri Dia Bukan Mariam arahan Erma Fatimah berkata, dia bersyukur kerana rezekinya tetap ada dalam seni. Namun dia terkilan kerana kehilangan satu 'job' sebagai duta produk yang terpaksa ditarik balik apabila isu tuduhan sebagai perampas hangat diperkatakan.

Mengulas mengenai jodohnya dengan Joey, Watie berkata dia menyerahkan perkara ini kepada takdir dan boleh menerima dengan tenang apa saja yang bakal berlaku.

"Apabila kenal Joey, saya dapati dia seorang lelaki yang baik. Kalau boleh saya merancang untuk berkahwin dengannya dalam tahun ini juga. Apapun biarlah dia selesaikan dulu masalahnya dengan Noraini secara baik. Kalau ada jodoh, kami kahwin dan kalau tiada pun saya terima ketentuan Allah dengan hati terbuka," katanya.

PROFIL
NAMA PENUH: Norwati Sadali
NAMA KOMERSIAL: Hanna@Watie
TARIKH LAHIR: 21 April 1976
TEMPAT LAHIR: Grik, Perak
ASAL: Sungai Besar, Selangor
KELUARGA: Anak keempat daripada lima beradik
STATUS: Ibu tunggal seorang anak
KERJAYA: Penyanyi, pelakon dan penari
ALBUM: Catwalk, Tamparan dan Idola (bersama Elite)
TEATER: Si Tanggang, Mak Yong, Tun Fatimah dan Taming Sari.
DRAMA: Astana Idaman 2, Haryati 1 & 2, Jendela Hati Yang Terbuka, Rama-Rama Yang Terkopak Sayapnya, Biar Rindu Berbisik, Lara Maisara, Inai Malam Pengantin, Gelora Di Hati Sara, Iris dan Rozana dan Rahsia Hati.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Zizan ‘masuk’ Penjara Bentong

Posted: 17 Oct 2010 09:08 AM PDT

KISAH kehidupan pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara ketika berdepan pelbagai masalah termasuk yang dicetuskan banduan adalah paparan menarik dalam drama bersiri, Di Sebalik Tirai Besi terbitan MDAG Marketing Sdn Bhd.

Drama bersiri 13 episod arahan Jamal Khan ini diterajui Zizan Nin, Nasir Bilal Khan dan Sheera Iskandar.

Zizan yang membawa watak sebagai Koperal Daniel berkata, ini julung kalinya dia diberi peluang beraksi dalam cerita sedemikian.

"Saya tertarik dengan jalan cerita ini kerana ia membabitkan anggota pakaian seragam yang juga kakitangan penjara. Saya berharap masyarakat di luar sana membuang persepsi negatif mengenai penjara yang dianggap sebagai tempat menakutkan, sebaliknya lebih sebagai pusat pemulihan mereka yang tersasar dari landasannya," katanya.

Zizan berkata, dia juga buat kajian mendalam mengenai watak Daniel itu terlebih dulu.

"Daniel berasal dari Sabah dan saya perlu bercakap dialog Sabah dalam cerita ini. Secara kebetulan, saya juga ada kawan baik berasal dari Sabah yang sedikit sebanyak membantu saya.

"Dari segi jalan cerita, Daniel berhasrat ditukarkan ke Semenanjung Malaysia untuk menjejaki siapakah ayahnya. Menerusi gambaran yang diberikan ibunya, Daniel percaya Hashim (Nasir Bilal Khan) ayah kandungnya yang dicari-cari selama ini," katanya.

Bercerita pengalamannya ketika penggambaran cerita itu, Zizan berkata, dia berpeluang tinggal bersama banduan di Penjara Bentong, Pahang.

"Saya juga dapat makan dan menunaikan solat bersama banduan di penjara di situ. Penggambaran filem ini membabitkan 80 peratus di Penjara Bentong dan hanya sebahagian kecil di Penjara Kajang.

"Saya tidak takut bergaul dengan banduan itu kerana saya percaya semua manusia sama saja di sisi Tuhan. Yang beza hanya amalan masing-masing.

"Ada juga mereka yang jadi banduan kerana dianiaya. Pada sepanjang masa kami dikawal ketat sepanjang penggambaran di penjara itu. Pihak penjara juga memberi kerjasama yang cukup baik.

"Selain itu, ada peminat saya di kalangan banduan kerana ketika kami jayakan penggambaran di sana, ada banduan yang menjerit nama saya hingga kami terpaksa buat penggambaran sekali lagi," katanya tertawa kecil.

Kata Zizan, apa yang menarik, cerita itu juga menyelitkan elemen percintaan di antara Koperal Daniel dan Inspektor Izzatie (Sheera Iskandar).

"Ia juga kali pertama saya digandingkan dengan Sheera dalam drama. Kami tiada masalah untuk mencari keserasian," katanya.

Pelakon Muzikal Tun Mahathir ini berkata, dia juga sudah beberapa kali bekerja dengan pengarah Jamal Khan.


"Antara karyanya yang saya suka adalah drama Ros Anita. Ini kali ketiga, saya bekerja dengan Nasir dan sebelum ini, kami pernah bekerja dalam drama bersiri seram, Saka. Beliau tidak lokek berkongsi ilmu.

"Dia memang datang awal di lokasi dan ketika menunggu pelakon lain, dia akan membaca surat khabar dan menurunkan ilmu lakonan kepada pelakon. Pelakon baru perlu mencontohi komitmen pelakon 'senior' sepertinya," katanya.

Zizan ditemui selepas majlis pelancaran drama bersiri Di Sebalik Tirai Besi di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Penjara Kajang, baru-baru ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Hadir sama, Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Wira Zulkifli Omar dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya.

Jamal pula berkata, penulis skrip cerita itu, Mazlan Manan juga buat kajian di penjara sebelum tampil dengan Di Sebalik Tirai Besi.

"Cabaran pertama ialah saya tidak boleh bayangkan bagaimana untuk buat cerita ini. Sepanjang tiga tahun mengarah, ia karya saya yang paling berat.

"Saya berpuas hati dengan prestasi dan komitmen yang diberikan semua pelakon dalam cerita ini kerana masing-masing beri komitmen terbaik.

"Semua pelakon dipilih produksi dan hanya pelakon Raissudin Hamzah yang saya putuskan untuk bawa watak banduan akhir.

"Pihak kami tampilkan pelakon komersial dan elemen percintaan dalam cerita ini sebagai tarikan.

Tambahnya lagi, pihaknya juga mendapat kerjasama yang baik dari pihak penjara, sekali gus memudahkan lagi proses penggambaran filem itu.

Barisan pelakon yang turut menjayakan cerita ini ialah Haryanto Hassan, Adam Corrie, Melissa Saila, Fauziah Nawi, Liza Shadan, Khairil Anuar, Tony Eusoff, Kenji Sawahi, Jesse Lim, Janet Khoo dan Raissudin Hamzah.

Drama bersiri Di Sebalik Tirai Besi akan menemui penonton saluran TV2 bermula hari ini, 18 Oktober.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.