Adsense

Khamis, 10 Jun 2010

MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong

MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong


Fakta Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) 2011-2015

Posted: 09 Jun 2010 11:15 PM PDT

Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini adalah rancangan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun.

Pelaksanaan RMK-10 akan bermula dari tahun 2011-2015.

Intipati ucapan Perdana Menteri pada pembentangan RMK10 adalah bertemakan "Rancangan Kemakmuran Ekonomi dan Keadilan Sosial".

Ia dilihat amat kritikal bagi meneruskan kesinambungan prakarsa nasional ke arah merealisasikan Wawasan 2020 menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Berikut adalah fakta-fakta penting RMK-10:

* Memperuntukkan RM230 bilion bagi perbelanjaan pembangunan bagi tempoh lima tahun tersebut.

* Daripada jumlah itu, 55 peratus diagihkan kepada sektor ekonomi, 30 peratus kepada sektor sosial, 10 peratus kepada sektor keselamatan dan lima peratus untuk pentadbiran am.

* Laporan ekonomi itu bagi tempoh 2011-2015 setebal 449 muka surat untuk edisi Bahasa Melayu dan 429 muka surat bagi edisi Bahasa Inggeris, yang diterbitkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri akan dijual pada berharga RM80.

* RMK-10 merupakan satu daripada empat tiang utama di bawah pentadbiran Najib. * Tiga lagi tiang tonggak itu ialah Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE).

* 10 PREMIS UTAMA RMK-10:

Pertama:- Memacu ekonomi domestik dengan kepekaan persekitaran luar negara.

Kedua: Memanfaatkan dan menuas faktor kepelbagaian etnik sebagai satu elemen kejayaan di arena antarabangsa.

Ketiga: Mentransformasi negara ke arah pendapatan tinggi menerusi pengkhususan.

Keempat: Menjayakan pertumbuhan diterajui oleh produktiviti dan inovasi.

Kelima: Memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan unggul.

Keenam: Memastikan peluang yang saksama dan melindungi golongan mudah terjejas.

Ketujuh: Pertumbuhan bertumpu, pembangunan inklusif.

Kelapan: Menyokong perkongsian pintar yang efektif.

Kesembilan: Menghargai khazanah alam sekitar.

Kesepuluh: Kerajaan umpama syarikat yang berdaya saing.

* 5 TERAS STRATEGIK Pertama RMK-10:

Pertama: Menggubah falsafah dan pendekatan kerajaan ke arah mentransformasikan Malaysia dengan metodologi NKRA.

Kedua: Mewujudkan persekitaran kondusif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi.

Ketiga: Menuju ke arah pembangunan sosioekonomi secara inklusif.

Keempat: Membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia.

Kelima: Mewujudkan persekitaran kondusif ke arah mempertingkatkan kualiti hidup.

* Peruntukan RMK-10 bagi infrastruktur bukan fizikal meningkat kepada 40 peratus, berbanding 21.8 peratus dalam RMK-9, tumpuan diberikan kepada program pembangunan kemahiran, aktiviti R&D dan modal teroka.

* Sebuah institusi perkhidmatan awam bertaraf dunia akan diwujudkan untuk meningkatkan keupayaan penjawat awam.

* Tumpuan kepada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) akan diumumkan Oktober nanti iaitu:

(i) Minyak dan gas (ii) Minyak sawit dan produk berkaitan (iii) Perkhidmatan kewangan (iv) Pemborongan dan peruncitan (v) Pelancongan (vi) Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) (vii) Perkhidmatan Pendidikan (viii) Elektrik dan elektronik (ix) Perkhidmatan perniagaan (x) Penjagaan kesihatan swasta (xi) Pertanian (xii) Greater Kuala Lumpur

* Satu unit khas, iaitu Unit Transformasi Ekonomi, akan ditubuhkan untuk merancang, menyelaras pelaksanaan dan pembangunan NKEA.

* Suruhanjaya Persaingan dan Tribunal Rayuan akan ditubuhkan untuk memastikan pelaksanaan undang-undang lebih teratur dan berkesan.

* Kerajaan terus berusaha untuk meletakkan Malaysia di lima tangga terbaik negara paling kompetitif di dunia.

* 1MDB akan membangunkan projek strategik KL meliputi Lapangan Terbang TUDM Sg Besi dan KL International Financial District.

* RMK-10 juga akan memastikan sasaran ekuiti korporat sebanyak 30% untuk Bumiputera dikekalkan.

* Dana berjumlah RM20 bilion akan disediakan melalui Dana Mudahcara atau Facilitation Fund bagi memudahkan sektor swasta membiayai projek perkongsian awam-swasta.

* Melalui Dana Mudahcara, kerajaan anggar menarik pelaburan swasta sekurang-kurangnya RM200 bilion; Antara projek yang dipertimbangkan ialah penambakan tanah di Westport, Pelabuhan Klang, Pembangunan Malaysia Truly Asia Centre di Kuala Lumpur dan Taman Teknologi Tinggi Senai di Iskandar Malaysia, Johor.

* Sebuah unit khas ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memandu dan mengarah keberkesanan sistem inovasi negara serta program pembangunan inovasi sedia ada.

* Pembiayaan kerajaan kepada syarikat modal teroka awam akan berbentuk ekuiti dan bukan pinjaman.

* Dana Inovasi Mudharabah (MIF) dengan peruntukan sebanyak RM500 juta akan diperkenal bagi menyediakan modal berisiko kepada syarikat modal teroka kerajaan.

* Dana Perkembangan Perniagaan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM150 juta akan ditubuhkan bagi merapatkan jurang pembiayaan antara pengkomersilan peringkat awal dan pembiayaan modal teroka bagi produk berteknologi tinggi.

* Undang-undang kebankrapan akan dipermudah untuk menyokong budaya mengambil risiko terhitung, menghapuskan stigma kegagalan dan membenarkan usahawan berkaliber lagi wibawa yang gagal untuk kembali aktif.

- MSTAR

Benigno Aquino Jr. III dilantik sebagai Presiden Filipina ke-15

Posted: 09 Jun 2010 10:03 AM PDT


Kongres Filipina hari ini mengesahkan pelantikan Benigno Aquino Jr. III sebagai presiden ke-15 negara tersebut.

Aquino, 50, akan mengangkat sumpah sebagai presiden ke-15 Filipina pada 30 Jun bagi menggantikan Gloria Macapagal Arroyo yang telah menerajui negara itu selama sembilan tahun.

Menurut perlembagaan Filipina, seorang presiden hanya dibenarkan menyandang jawatan tersebut sebanyak dua penggal sahaja.

Sementara itu, Malaysia mengucapkan tahniah kepada Benigno Aquino Jr. III di atas pelantikan beliau sebagai presiden Filipina yang baru.

Dalam perutusan tahniah kepada Aquino hari ini, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Malaysia yakin hubungan dua hala dengan Filipina akan diperkukuhkan lagi dalam semua bidang kepentingan bersama.

"Malaysia juga mahu bekerjasama rapat dengan Republik Filipina ke arah mencapai wawasan bersama bagi Asean yang stabil dan makmur," katanya dalam kenyataan. Kiraan undi rasmi kongres yang berakhir pada Selasa menyaksikan Aquino menewaskan lapan pesaingnya dengan memperoleh lebih 15 juta undi.

Ibu Aquino, Corazon adalah bekas presiden negara itu yang mengambil alih pemerintahan daripada Ferdinand Marcos dalam satu gerakan demokrasi pada tahun 1980an sementara bapanya pula, Benigno Aquino Jr. adalah ikon demokrasi Filipina yang dibunuh sebaik sahaja dia dibebaskan dari penjara.

Jika tidak kerana mati terbunuh, bapanya sudah pasti akan menyandang jawatan presiden dan bukan ibunya.

- BERNAMA

Dilema Pelajar Membuat Keputusan Untuk Ke Universiti

Posted: 09 Jun 2010 10:02 AM PDT

Ada antara pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak pernah memohon untuk mengikuti mana-mana kursus di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Namun mereka menerima panggilan bertali arus daripada pihak IPTS sejurus selepas menerima keputusan SPM pada Mac lepas.

Malahan ada antara mereka yang tidak pernah mendengar nama IPTS berkenaan sebelum ini pun.

Sejak itu juga kebanyakan pelajar sudahpun membuat permohonan kepada pihak Kementerian Pelajaran, Jabatan Perkhidmatan Awam, MARA dan Unit Pusat Universiti (UPU) mengikut citarasa masing-masing.

Manakala ada yang sudah memohon lebih awal menggunakan keputusan peperiksaan percubaan 2009.

Kebanyakan ibu-bapa serta anggota keluarga yang terdekat turut terlibat dalam memberi dorongan serta bantuan untuk memohon tempat pengajian.

Antara mereka ialah S. Hadi Abdullah yang memberi dorongan kepada anak perempuan ketiganya, Atieqah, memohon tempat pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) semasa pihak UPU membuka permohonan melalui Internet selama sebulan.

Kemudian, keputusan penerimaan permohonan diumumkan pada 1 Mei 2010 dengan Atieqah yang mempunyai keputusan yang baik dalam peperiksaan SPM 2009, menerima dua tawaran pilihan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

MEMILIH IPTA

"Saya telah ditawarkan tempat di pusat Matrikulasi Kementerian Pelajaran di Melaka dan baru-baru ini pula menerima tawaran untuk mengikuti kursus Matrikulasi Sains di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Puncak Alam. Tak jauh dari rumah keluarga kami.

"Sesuai sekali. Lagipun ayah saya seorang pesara, jadi tawaran IPTA ini amat saya alu-alukan. Alhamdulilah," kata Atieqah.

Ramai di kalangan rakannya telah menerima pelbagai tawaran dan tidak dinafikan mereka yang menerima lebih daripada satu tawaran mempunyai keputusan yang baik.

Rata-rata bersetuju, ibu-bapa mereka memainkan peranan penting dalam mempengaruhi keputusan untuk melangkah ke pusat pengajian tinggi.

BIDANG PILIHAN LEBIH UTAMA

Seorang kakitangan sebuah bank di Selangor pula menceritakan tentang tawaran yang diterima anak lelakinya, seorang bekas pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh berprestasi tinggi di Cyberjaya.

Abdul Shukor Zainol Abidin berkata; "Anak saya dapat tawaran ke Kanada untuk kursus kejuruteraan dan matrikulasi di bawah Kementerian Pelajaran. Dia menolak kedua-duanya. Anak saya mahu mengambil jurusan perubatan saja, jadi dia masih berusaha untuk mendapatkan tempat dalam kursus tajaan Kementerian Kesihatan dan MARA.

"Harap-harap dia berjaya untuk mengejar cita-citanya."

Seorang lagi pelajar perempuan masih belum dapat memutuskan ke mana beliau akan melanjutkan pelajarannya.

Menurut Adeline Baig, yang memperoleh 4A dalam SPM baru-baru ini yang dia telah menerima tawaran melanjutkan pengajian di Utara Semananjung dalam bidang Analisis Perbankan.

"Itu bukan kursus yang saya mahu dan saya tidak memohon untuknya. Saya juga telah ditawarkan tempat di Tingkatan Enam dalam aliran sains. Saya telah merayu kepada UPU untuk kursus pilihan saya di Universiti Islam Antarabangsa sementara menunggu masuk ke tingkatan enam," katanya.

Rayuan untuk melanjutkan pengajian di IPTA ditutup pada 14 Mei.

BELAJAR DI IPTS

Reshnu Suri, turut memperoleh keputusan baik dalam SPM khasnya dalam mata pelajaran sains dan matematik. Ayahnya, yang mahu dikenali sebagai Suri sahaja, mempunyai wawasan untuk anak perempuannya ini.

"Saya percaya bidang pergigian, farmasi dan perubatan sajalah yang akan menjamin pekerjaan tidak kira kedudukan ekonomi tempatan mahupun global. Saya akan berusaha memastikan anak saya mengambil A Level di sebuah kolej swasta. Saya tahu persaingan untuk memasuki IPTA agak sengit," kata Suri kepada Bernama.

Kos pengajian di IPTS sememangnya lebih tinggi tetapi ramai menyedari bahawa skim Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh membantu mereka merealisasi impian memulakan pengajian di IPTS.

Reshnu kini sudahpun memulakan pengajian di Kolej Universiti MAHSA, dalam bidang farmasi, sedangkan mereka yang mendapat tempat di IPTA memulakan pengajian pada minggu terakhir Mei atau awal Jun.

Begitu juga dengan Lee Huey Min, dengan keputusan 8A dalam SPM yang meneruskan pengajian dalam bidang perakaunan di sebuah IPTS.

"Masuk IPTS buat perakaunan, itu pilihan pertama supaya boleh buat kursus profesional dalam bidang perakaunan," kata Huey Min.

BIDANG MEDIA

Tharanee Tharan, seorang pelajar lelaki yang dikenali kerana budi pekertinya yang positif, lebih bernasib baik kerana sudahpun menerima biasiswa pelajaran untuk bidang yang diminatinya.

"Mula-mula ibu-bapa saya tidak menggalakkannya. Saya mahu mengambil jurusan perfileman. Kelas saya sebenarnya sudah bermula sebelum keputusan SPM dikeluarkan lagi. Sekolah beri surat sokongan. Walaupun saya kini pelajar kursus diploma dalam komunikasi, saya akan pastikan saya ke peringkat ijazah dengan pengkhususan dalam bidang filem. Itu cita-cita saya," kata Tharan, yang kini belajar di sebuah IPTS di Cyberjaya.

Apa yang nyata, melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi untuk lepasan SPM masa kini sudah menjadi satu perkara biasa.

Rata-rata tidak mahu ketinggalan dalam mengejar ilmu. Kolej dan universiti turut merasakan ia satu kebaikan untuk bidang pendidikan yang mereka niagakan ini.

KOS DAN PINJAMAN

Kos pra universiti, termasuk kursus peringkat asasi dan diploma di IPTS tidak kurang daripada RM12,000 setahun.

Pihak PTPTN hanya menawarkan pinjaman sebanyak RM8,000 untuk penuntut yang memohon pinjaman di peringkat ini.

Ramai di ibu-bapa merasakan ia sesuatu yang masih boleh diusahakan.Kos kursus kejuruteraan selama empat tahun di IPTS adalah sekitar RM50,000 ditambah setahun di peringkat asasi, jumlahnya sudah mencapai RM62,000 dan ia tidak termasuk kos penginapan, nota tambahan dan perbelanjaan makan seharian penuntut yang menghadiri kursus itu.

Program ijazah berkembar atau twinning dalam bidang senibina di IPTS dengan dua tahun pengajian di New Zealand atau Australia pula memerlukan perbelajaan hampir RM65,000 untuk keseluruhan kursus.

Kursus dalam bidang psikologi di IPTS dengan dua tahun akhir pengajian di Amerika Syarikat bergantung secara langsung kepada nilai tukaran wang asing dengan kos dua tahun pertama di dalam negara menjangkau RM25,000.

Apa yang nyata, kos menimba ilmu semakin tinggi dan penuntut pula semakin menumpukan pada jurusan dan kolej pilihan mereka.

- BERNAMA

Kabinet cadang pindahkan Parlimen ke Putrajaya

Posted: 09 Jun 2010 09:55 AM PDT


Jemaah menteri telah memutuskan bahawa bangunan parlimen baru akan dibina di Putrajaya, manakala bangunan sedia ada di Kuala Lumpur akan dijadikan bangunan warisan.

Menurut jawapan bertulis kepada Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz berkata perkara itu diputuskan oleh jemaah menteri baru-baru ini.

Nazri bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut berhubung pemindahan itu kerana perkara itu masih dalam kajian awal oleh Jabatan Kerja Raya.

Bagaimanapun, Nazri kemudiannya menjelaskan kepada media bahawa perkara itu masih pada peringkat perbincangan oleh jemaah menteri.

"Ia belum diputuskan lagi...Kami akan membawanya ke Kabinet untuk dibincangkan," katanya.

"Kami akan mengkaji setiap aspek...Bangunan Parlimen sebenarnya bangunan warisan. Jadi, ia tidak boleh diruntuhkan sebegitu sahaja.

Nazri berkata RM150 juta diperlukan bagi memperbaiki bumbung parlimen dan juga pendawaian elektrik bangunan itu, mankala RM800 juta diperlukan bagi membina bangunan Parlimen baru.

"Jadi, kita akan mempertimbangkan pilihan yang terbaik," kata Nazri.

Beliau berkata, terdapat juga cadangan untuk membina sebuah Kompleks Parlimen yang baru dalam kawasan sedia ada bagi memenuhi keperluan Parlimen Malaysia di masa akan datang dengan mengambil kira aspek keselesaan, keperluan, kemudahan dan pertambahan bilangan ahli parlimen.

"Kerja membaik pulih, menaik taraf dan mengubahsuai bangunan Parlimen sedia ada pula adalah bagi membaik pulih struktur bangunan dan mengganti sistem mekanikal yang telah uzur. Cadangan ini telah dibawa ke peringkat mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan," katanya.

- MALAYSIAKINI

Pembesar Melalaikan Solat

Posted: 09 Jun 2010 08:57 AM PDT

Hadith :

Dari Abu Dzar r.a katanya:"Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku:"Bakal terjadi sesudahku, di mana para pembesar melalaikan solat. Kerana itu solatlah kamu tepat pada waktunya. Jika kamu solat kembali bersama mereka, maka itu adalah suatu keuntungan (sunat) bagimu. Jika tidak maka sesungguhnya kamu sudah menjaga solatmu."

(Muslim)

Huraian:

Bagi orang Islam yang hatinya tidak khusyuk dalam beribadat, mereka akan merasa berat dan terbeban dengan solat. Orang begini tidak akan menunggu waktu solat.

Malah jika mengerjakan solat sekalipun, ada perkara lain yang diagung-agungkan yang menjadikan fikiran dan jiwanya tidak tertumpu kepada Allah S.W.T.

Contohnya orang yang merasa sayang untuk meninggalkan kerja-kerjanya. Orang begini tentu berat dan susah mengerjakan solat kerana terlalu sibuk hingga mereka menjadi lalai.

Bahkan dalam masa mengerjakan solat sekalipun ia tidak dilakukan dengan hati yang ikhlas dan khusyuk tetapi dalam keadaan terpaksa dan terseksa. Apa yang diingatinya ialah perkara yang dijiwainya dan yang diutamakannya.

Oleh itu solatnya dilakukan dengan cepat sekali demi menyelesaikan tugasannya itu. Maka terasalah olehnya akan kepenatan dan kejemuan dalam mengerjakan solat hingga sampai kepada tahap sanggup meninggalkan solat.

Orang seperti ini sebenarnya tidak sabar dalam mengerjakan solat dan mendirikan solat tanpa roh lantaran kegagalan mereka menghayati atau memahami setiap ungkapan yang dibacanya di dalam solat.

Sesungguhnya sembahyang lima waktu secara lahirnya tidak berat kerana bacaannya tidaklah panjang dan tidak juga memakan masa yang lama. Hanya sekitar 10 - 15 minit sahaja.

Bahkan ia boleh dilakukan di mana-mana. Ia juga tidak menyusahkan dan tidak memenatkan. Bahkan merupakan satu latihan jasmani yang baik untuk tubuh badan. Namun begitu mengapa Allah menyebut solat itu besar dan berat melainkan pada orang-orang yang khusyuk?

Jawapannya, khusyuk yang dimaksudkan di sini ialah orang mukmin yang jiwa tauhidnya mendalam dan rasa kehambaannya kuat. Rasa cinta dan takutnya dengan Tuhan menguasai jiwa.

Mereka mudah mengerjakan solat bahkan rindu serta seronok mengerjakannya kerana mereka dapat melepaskan perasaan rindu pada Tuhan. Waktu solat sentiasa ditunggu-tunggu dan tidak cukup dengan mengerjakan solat yang wajib, mereka mendirikan pula solat sunat.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Niagakit bantu usahawan

Posted: 09 Jun 2010 08:56 AM PDT


Bidang perniagaan dalam talian atau e-dagang semakin popular dalam kalangan usahawan hari ini. Ia menjadi medium terbaru membolehkan mereka meningkatkan penjualan dengan lebih efisien dan berkesan.

Penggunaan laman web, blog atau rangkaian sosial Facebook untuk menceburi bidang perniagaan secara sambilan adalah satu idea kreatif kerana tidak memerlukan modal yang besar dan menjimatkan masa.

Tidak mustahil dengan menggunakan pendekatan terbaru itu dan strategi perniagaan yang mantap, ia mampu memberi impak, malah dapat membawa pulangan lumayan kepada usahawan dan individu terbabit.

Bagaimanapun, menjalankan perniagaan dalam talian memerlukan pengetahuan dari segi teknikal untuk memastikan kelancaran transaksi urus niaga dapat dilakukan dengan sempurna.

Kesukaran memahirkan diri dari segi teknikal sedikit sebanyak menjadi antara faktor impian bergelar usahawan menerusi e-dagang hanya omong kosong sahaja.

Namun begitu, impian tersebut bakal menjadi realiti apabila menggunakan aplikasi sistem kedai dalam talian keluaran syarikat tempatan, Flarebiz Network yang diberi nama Niagakit.

Flarebiz Network yang diasaskan oleh dua usahawan muda Internet, Adly Mukhtar, 20 dan Mohd. Zhafran Mohd Ghani, 24, pada awal tahun 2007 mengambil masa selama hampir satu tahun untuk membangunkan aplikasi Niagakit tersebut.


Adly berkata, dia dan Mohd. Zhafran telah membangunkan aplikasi berkenaan bersama seorang lagi rakan mereka iaitu Rusdy Ahmad pada awal tahun lalu.

"Kami mengambil masa kira-kira satu tahun untuk membangunkan aplikasi berkenaan bagi memenuhi kehendak dan memudahkan pengguna yang ingin berkecimpung dalam bidang perniagaan.

"Idea untuk membangunkan aplikasi berkenaan tercetus apabila semasa pembabitan awal dalam perniagaan dalam talian kami terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah sehingga menyukarkan kami membuat urus niaga dengan pelanggan," katanya ketika ditemui Kosmo!.

Adly merupakan pemegang Diploma Kejuruteraan Komputer, Universiti Malaysia Perlis menambah, dia merasakan aplikasi berkenaan perlu dibangunkan untuk membantu bakal-bakal usahawan dalam talian.

Kata anak kelahiran Kelantan itu, dia yang mempunyai latarbelakang teknologi maklumat juga berdepan dengan masalah, inikan pula mereka tidak berpengalaman dalam bidang teknologi.

Aplikasi lebih mudah

Menyentuh mengenai keunikan aplikasi Niagakit, Adly berkata, ia tidak memerlukan seseorang mahir dari segi teknikal untuk menjalankan operasi perniagaan dalam talian.

"Dengan menggunakan Niagakit segala urus niaga menjadi mudah dan ringkas. Pelanggan-pelanggan boleh melakukan semuanya sendiri bermula dari menyenaraikan produk sehinggalah memproses tempahan tanpa menghadapi sebarang masalah.

"Kini usahawan-usahawan perniagaan dalam talian tidak perlu lagi membazir masa dan modal untuk memilih sistem kedai dalam talian yang selaras dengan kehendak pasaran tempatan," ujarnya lagi.

Selain itu katanya, aplikasi berkenaan memberi kebebasan kepada pelanggan-pelanggan untuk menambah seberapa banyak produk yang diinginkan mereka.

Ujarnya, tiada sebarang had dikenakan untuk penambahan produk di dalam aplikasi Niagakit menjadikannya satu produk yang sesuai digunakan oleh semua orang termasuk pengilang, pengedar dan sebagainya.

Mohd. Zhafran pula menambah, ciri-ciri lain ditawarkan oleh aplikasi Niagakit termasuklah antara muka yang mempunyai reka bentuk ringkas, kemas dan profesional memudahkan usahawan serta pelanggan menggunakannya.

"Masalah yang kerap kali dihadapi usahawan Internet adalah sukar mencari sistem kedai dalam talian yang mempunyai sistem pembayaran khas untuk bank tempatan.

"Dengan menggunakan NiagaKit, kami mengutamakan pembayaran melalui bank tempatan kerana orang Malaysia lebih suka membeli-belah di Internet melalui MayBank2u, CIMB Clicks dan sebagainya," ujar Mohd. Zhafran.

Graduan Universiti Teknologi Petronas (UTP), Perak itu menambah, antara ciri-ciri lain yang terdapat dalam Niagakit adalah bukti pembayaran melalui bank tempatan, pelbagai pilihan bahasa, variasi warna, penetapan kos penghantaran fleksibel dan banyak lagi.

Katanya, keistimewaan lain Niagakit juga adalah ia membolehkan pelanggan memaklumkan kepada rakan-rakan mereka melalui laman sosial seperti Facebook, Digg atau Myspace.

"Kami turut menyediakan seminar kepada pelanggan-pelanggan yang membeli Niagakit ini. Mereka juga boleh mendapatkan perkhidmatan selepas pembelian jika menghadapi kesukaran mengendalikan aplikasi tersebut.

"Sehingga kini, kami telah mempunyai kira-kira 180 pelanggan yang menggunakan aplikasi Niagakit ini untuk membantu perniagaan mereka," ujarnya lagi.

Tambah Mohd. Zhafran, aplikasi Niagakit itu tidak memerlukan perbelanjaan yang besar kerana pelanggan hanya membayar sekali sahaja berbanding dengan sistem lain di pasaran.

Katanya lagi, sistem tersebut juga tidak memerlukan masa yang lama untuk beroperasi sepenuhnya dengan mengambil masa antara dua hingga satu minggu bergantung kepada reka bentuk antara muka dipilih pelanggan.


Dipuji pelanggan

Sementara itu, seorang pelanggan yang telah menggunakan aplikasi berkenaan, Mohd. Ghufran Mohd. Daud, 26, berkata, Niagakit amat mudah digunakan dan mesra pelanggan.

"Saya pernah menggunakan sistem perniagaan dalam talian lain sebelum ini dan ia agak merumitkan kerana kadangkala tidak berfungsi dengan baik.

"Dengan Niagakit memang semua ciri-ciri penting untuk pasaran tempatan dan antarabangsa lengkap disediakan," kata pemilik kedai dalam talian www.3gxModem.com itu.

Pemilik kedai dalam talian www.OneDroperfumes.info, Siti Jamliah berkata, dia baru menggunakan Niagakit selama beberapa bulan dan perniagaannya semakin meningkat maju.

"Saya sangat berpuas hati sepanjang menggunakan sistem Niagakit ini kerana ia mudah diuruskan dan membantu pelanggan membuat tempahan produk dengan lancar.

"Pasukan sokongan sistem ini juga akan memberi maklum balas yang pantas apabila tidak memahami operasi Niagakit. Ia juga memberikan kedai dalam talian saya kelihatan kemas dan profesional," ujarnya.

Sistem aplikasi Niagakit dijual pada harga RM1,249.

- KOSMO!

Kajian ISA selesai, pindaan bulan depan

Posted: 08 Jun 2010 09:10 AM PDT

Kementerian Dalam Negeri berharap dapat membentangkan enam akta yang dikatakan 'menindas' termasuk Akta Keselamatan Dalam Negara 1960 (ISA) dan Ordinan Darurat pada sesi sidang Dewan Rakyat kali ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Abu Seman Yusop memberitahu wartawan hari ini bahawa segala dokumen berhubung perkara berkenaan telah diserahkan kepada pejabat peguam negara untuk kelulusan.

Katanya, pindaan ISA itu akan disesuaikan mengikut keadaan semasa. Ia membabitkan lima perkara utama:

* Kuasa menteri

* Tempoh tahanan

* Kuasa polis

* Hak dan layanan ke atas tahanan

* Pemansuhan beberapa seksyen

Katanya lagi, pindaan ISA dan dua lagi akta di bawah undang-undang pencegahan dijangka dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat bulan depan.

Dua akta lain itu adalah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

"Kesemua pindaan undang-undang pencegahan itu kini di peringkat akhir kelulusan oleh Jabatan Peguam Negara dan kita jangka akan dapat dibentang untuk bacaan pertama di Parlimen bulan hadapan selepas diluluskan Peguam Negara dan Kabinet," katanya.

Abu Seman berkata tiga lagi akta iaitu Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Pencegahan Jenayah 1959, masih di peringkat semakan Bahagian Penggubalan, Jabatan Peguam Negara.

"Tujuan kita meminda akta-akta ini adalah untuk memelihara hak orang tahanan dan mengelakkan salah guna kuasa dalam melaksanakan undang-undang pencegahan," katanya.

Mac lalu, kabinet memutuskan pindaan ke atas ISA harus dibentang pada persidangan Parlimen bersama-sama enam lagi akta berkaitan pencegahan yang juga perlu dipinda.

Abu Seman berkata pindaan terhadap semua akta itu berdasarkan perbincangan dengan 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu berkepentingan.

"Daripada jumlah itu, hanya dua yang mahukan ISA dihapuskan manakala yang lain bersetuju agar pindaan dilakukan," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata pindaan Seksyen 27 Akta Polis 1967 berkaitan perhimpunan juga telah siap dikaji oleh kementerian dan dihantar ke bahagian penggubalan Jabatan Peguam Negara untuk kelulusan.

- MALAYSIAKINI