Adsense

Ahad, 7 Julai 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


BH rangkul 4 anugerah FINAS

Posted: 06 Jul 2013 04:03 PM PDT

Pengiktirafan bersempena Malam Penghargaan Industri Filem 2013

Kuala Lumpur: Akhbar BH memenangi empat anugerah Hadiah Galakan Penulisan Industri Perfileman Trofi Samad Idris pada Malam Penghargaan Industri Filem 2013 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), yang berlangsung malam tadi.

Pengarah prolifik, Mamat Khalid memenangi tempat pertama menerusi artikel tulisannya di BH, 'Promosi, Pembohongan dan Matlamat Dunia Perfileman'.

Kemenangan itu melayakkan BH memenangi piala Pusingan Trofi Samad Idris dan pemenang membawa pulang trofi, wang tunai RM3,000 serta sijil penghargaan. Pengarang Berita Edisi Mingguan, Zainuri Misfar dan Pengarang Bintang Popular BH Ahad, Akmal Abdullah, masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga penulisan berita hiburan bermutu membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan RM1,000 berserta trofi dan sijil penghargaan.

Zainuri menulis 'Kenapa Takut Sangat Filem, Cerita Seram?' manakala Akmal membangkitkan isu 'Filem Banyak Pawagam Terhad'.

Turut menerima anugerah ialah akhbar The Star dan Mstar masing-masing dimenangi oleh Grace Chen dan Niezam Abdullah bagi kategori bahasa Inggeris.

12 penerima
Selain Anugerah Trofi Samad Idris, Anugerah Pencapaian Karyawan Filem Tempatan di Peringkat Antarabangsa pula menyaksikan 12 penerima sama ada individu mahupun syarikat. Aktor Shaheizy Sam, pengarah U-Wei Haji Saari, Wee Meng Chee (Namawee) antara penerima yang diumumkan.

Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) diberikan kepada 10 syarikat produksi iaitu Metrowealth Pictures Sdn Bhd, Primeworks Studios Sdn Bhd, Genius Parade Sdn Bhd, Juita Viden Sdn Bhd, PTV Film Production Sdn Bhd, Adik Manja Sdn Bhd. Axis Line Ent Sdn Bhd, Astro Shaw Sdn Bhd, Excellent Pictures Sdn Bhd dan Megamovie Sdn Bhd.

Majlis dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Kamarudin Siaraf. Hadir sama, Ketua Pengarah FINAS, Raja Rozaimie Raja Dalnish Sha.

Elecoldxhot juara SHOWDOWN

Posted: 06 Jul 2013 04:01 PM PDT

Kuala Lumpur: Kumpulan Elecoldxhot menjuarai program realiti tarian, SHOWDOWN 2013 di pentas akhir yang berlangsung di Stadium Negara, di sini, malam tadi.

Kumpulan yang bertanding bagi kategori All Star itu membawa pulang hadiah wang tunai RM75,000 dan perbelanjaan ke pertandingan tarian di peringkat antarabangsa bernilai RM125,000.

Naib juara dimenangi kumpulan Katoon Network yang membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000.

Kategori Terbuka pula menyaksikan pertembungan empat kumpulan iaitu Inversion, Keynectix, Le'z dan yang menyaksikan kumpulan 5>1 merangkul gelaran juara.

Bawa pulang wang tunai

Kumpulan itu memenangi hadiah wang tunai RM50,000 serta perbelanjaan ke pertandingan tarian peringkat Asia bernilai RM50,000. Kumpulan Inversion meriah tempat kedua dan memenangi hadiah wang tunai RM20,000.

Bagi kategori Junior, kumpulan Walawei menjuarai kategori itu selepas menumpaskan kumpulan Stay Cool dan Fresh Unity Crew serta memenangi hadiah wang tunai RM10,000. Naib juara kategori Junior dimenangi kumpulan Fresh Unity Crew, yang menerima hadiah wang tunai RM5,000.
Pemarkahan diadili oleh juri tetap, Joe Flizzow dan Maple Loo, yang mewakili 50 peratus, manakala selebihnya menerusi undian SMS penonton. Pertandingan akhir SHOWDOWN 2013 disiarkan secara langsung di saluran 8TV.