Nuffnang

Utusan Online - Hiburan

sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Jimmy enggan ulas dakwaan sudah berkahwin lain

Posted: 25 Jun 2013 01:35 AM PDT

Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI

SHAH ALAM 25 Jun - Pelakon dan pengacara, Jimmy Shanley, 33, hari ini enggan mengulas sebarang dakwaan mengenai statusnya yang dikatakan sudah berkahwin lain.

Menurut Jimmy, dia kini mahu menumpukan perhatian kepada pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.

"Buat masa ini, saya tidak mahu memberi apa-apa komen. Saya sekarang mahu fokus pada pengajian di peringkat sarjana yang sudah memasuki peringkat akhir.

"Lagipun saya sedang menjalani peperiksaan akhir dan minggu depan baru selesai semuanya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas perbicaraan kes di Mahkamah Syariah Shah Alam berkaitan fail permohonan untuk mendapatkan perintah komital bagi memenjarakan bekas isterinya atas dakwaan ingkar perintah mahkamah berhubung hak penjagaan anak mereka.

Terdahulu, desas-desus mengatakan Jimmy kini sudah bergelar suami kepada seorang wanita kaya berstatus janda.

Tambah Jimmy, jika ada perkara yang perlu diumumkan kepada para peminat dan orang ramai, beliau akan memanggil pihak media.

"Sekiranya saya merasakan perlu untuk mengadakan sidang akhbar, saya akan umumkan tarikh dan lokasinya.

"Buat masa sekarang bukan saya tidak hendak beritahu, tetapi banyak hati yang perlu dijaga melibatkan ahli keluarga," jelasnya. - UTUSAN ONLINE

Teroka bidang baru

Posted: 24 Jun 2013 11:56 PM PDT

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
Gambar FAHMI MUHAZIR

Asyraf bahagia dengan kehidupan dimilikinya kini sambil ditemani isteri dan anak tersayang.

MENYEBUT nama Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan, pasti ramai di kalangan kita akan tertanya-tanya siapakah individu tersebut, namun apabila kita menyebut Asyraf Imam Muda, terus bermain di fikiran juara program realiti bercorak keagamaan, iaitu Imam Muda.

Asyraf yang mula dikenali setelah berjaya menjuarai rancangan terbitan Astro Oasis pada tahun 2010 itu sudah lama dikenali ramai sebagai seorang pendakwah dan penceramah generasi pelapis negara.

Lebih menarik, Asyraf juga menyandang gelaran tidak rasmi sebagai Ustaz Twitter apabila di laman sosial miliknya itu, dia sering diajukan dengan pelbagai persoalan berkaitan bidang agama.

Berbekalkan pengalaman kira-kira tiga tahun bergerak aktif sebagai penceramah, Asyraf pastinya sudah tidak mempunyai perasaan gentar apabila menyampaikan hujah-hujahnya kepada ratusan malah ribuan hadirin yang setia mendengar.

Namun, kini Asyraf bakal meneroka suatu bidang yang terlalu asing buat dirinya, iaitu bidang seni suara.

Jejaka berusia 29 tahun ini telah melancarkan album solo miliknya yang berjudul Rahmatan Lil'Alamin dalam satu majlis yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bidang hiburan merupakan suatu bidang yang mencabar dan kebiasaannya ia lebih dikaitkan dengan perkara-perkara berbentuk negatif dan bukan sebaliknya.

Perkara tersebut diakui oleh Asyraf namun percubaannya menjejakkan kaki dalam bidang tersebut merupakan suatu usaha yang dilakukannya untuk menyediakan hiburan berbentuk alternatif kepada masyarakat umum.

"Sewaktu saya mula menyatakan hasrat untuk bernyanyi, banyak juga kata-kata sindiran yang diterima tetapi bagi saya, ini adalah suatu perkara yang perlu saya lakukan.

"Album sulung ini sebagai satu percubaan kepada saya dalam memberikan suatu hiburan berbentuk alternatif, iaitu yang lebih bercorak kepada keagamaan," katanya yang mengakui tidak mudah bagi seorang berlatar belakang agama menyertai bidang ini.

Jelasnya, sebelum ini dia sering mengatakan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan dan apakah yang perlu dibuat, tetapi kini dia mengambil keputusan untuk melakukan dan bukan sebaliknya iaitu hanya bercakap.

"Ramai orang yang mengkritik industri hiburan sambil mengatakan apa yang sepatutnya dilakukan, dan ini merupakan usaha saya untuk melakukan perubahan dengan cara bernyanyi," katanya.

Asyraf juga berpendapat adalah tidak salah untuk seseorang itu bernyanyi dan berhibur, tetapi setiap individu itu perlu memastikan hiburan tersebut tidak keterlaluan sehingga melanggar batasan dalam agama.

Gementar apabila bernyanyi

Jelas Asyraf, walaupun dia sudah semakin selesa dengan tugasnya sebagai penceramah, tetapi bidang nyanyian merupakan suatu perkara yang baru buat dirinya.

"Tidak dinafikan bidang nyanyian adalah sesuatu yang asing buat diri saya, ini kerana saya bukanlah seorang individu yang terlalu gemar bernyanyi.

"Tetapi kini apabila bakal menjejakkan kaki dalam bidang tersebut, ia adalah suatu perkara yang agak menggerunkan juga pada awalnya," katanya yang merupakan suami kepada Nurhusna Yusoff.

Album sulung Asyraf yang sudah berada di pasaran mengandungi sejumlah sembilan buah lagu termasuk zikir antaranya Rahmatan Lil'Alamin, Ghuraba, Ummi, Habibatan Kalimatan dan Yahdi Man Yasha'.

Kata Asyraf lagi, dia tidak pernah mempunyai keinginan untuk menjadi seorang penyanyi walaupun sering menyanyikan beberapa rangkap lagu dalam sesi ceramahnya.

"Tidak dinafikan saya ada juga menyelitkan sedikit nyanyian dalam sesi ceramah, tetapi ia tidak boleh dikatakan sebagai bernyanyi.

"Saya juga tidak pernah bercita-cita mahu bergelar penyanyi, tetapi dalam tiga tahun ini ramai di kalangan hadirin saya bertanya bilakah saya akan menghasilkan sebuah album.

"Kini, masanya sudah tiba dan terhasillah album sulung saya," katanya yang mengatakan dengan jelas bahawa dia tidak mahu dikenali sebagai seorang penyanyi tetapi sebagai seorang Imam yang boleh bernyanyi.

Asyraf mengatakan dia merancang untuk mempersembahkan antara satu atau dua buah lagu setelah selesai sesi ceramahnya, itupun sekiranya terdapat permintaan daripada hadirin.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan