Nuffnang

Utusan Online - Hiburan

sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Usaha Jamal kenang Tan Sri P. Ramlee tercapai

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh ABD. AZIZ ITAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 Jun - Hasrat Jamal Abdillah mendedikasikan persembahannya untuk Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee tercapai apabila menamatkan malam terakhir Konsert Extravaganza Jamal Abdillah - P. Ramlee Dalam Kenangan di Panggung Sari, Istana Budaya di sini malam ini.

"Saya bersyukur kerana konsert selama empat malam berturut-turut itu berjalan lancar," katanya kepada Utusan Malaysia.

Konsert itu mendapat sambutan hangat dan Utusan Malaysia adalah akhbar rasmi.

Beliau lega kerana konsert yang mengenakan tiket berharga dari RM95 hingga RM455 itu mendapat kerjasama daripada semua pihak termasuk Istana Budaya, media massa serta tenaga kerja di belakang tabir yang membantu dari mula sehingga berakhirnya konsert terbitan Bintang Channel Sdn. Bhd. itu.

"Saya lega kerana dapat melalui pelbagai tekanan demi menghiburkan para penonton pada konsert ini. Antaranya soal kerjasama dengan seluruh tenaga kerja seperti pemuzik dari RTM dan UiTM serta penari yang kesemuanya seramai 55 orang," ujarnya.

Pada konsert yang turut dijayakan oleh penyanyi jemputan seperti Azlina Aziz, Isma Alif, Musly Ramlee dan Nas Adilla itu, Jamal menyanyikan kira-kira 30 lagu yang dicipta serta dinyanyikan oleh Allahyarham P. Ramlee termasuklah dalam bentuk medley yang mendapat tepukan gemuruh 1,200 penonton di panggung tersebut.

Malah, penyanyi bersuara lemak merdu berasal dari Teluk Intan, Perak itu membuat kejutan apabila beliau turut menyanyikan sebuah lagu popularnya berjudul Kehebatan Cinta yang pernah dinyanyikan duet bersama Franccisca Peter pada pertengahan 1980-an.

"Sebenarnya, pada setiap malam saya tidak menyanyikan lagu saya tetapi pada malam ini saya berbesar hati kerana konsert ini turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Lagu ini atas permintaan beliau sendiri," jelasnya.

Selain Muhyiddin antara tetamu kehormat yang turut menyaksikan Jamal menyanyikan lagu-lagu seperti Engkau Laksana Bulan, Buang Yang Keruh Ambil Yang Jernih, Di Mana Kan Ku Cari Ganti dan Air Mata Di Kuala Lumpur itu ialah penaung konsert itu Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Izzue Islam, Awin selamat bernikah

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

KUALA LUMPUR 2 Jun - Pelakon Izzue Islam memilih teman lamanya, Awin Nurin, 31, yang dikenali lima tahun lalu sebagai pasangan hidupnya dan mereka selamat dinikahkan pada pukul 9.45 pagi di Dewan Shah Alam, Selangor di sini, hari ini.

Majlis akad nikah Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzue Islam Mazlan disempurnakan oleh bapa pengantin perempuan, Waharudin Jonit, 58, dengan disaksikan oleh Penolong Pendaftar Nikah Masjid Negeri Selangor, Khairuddin Haiyon.

Pada majlis serba sederhana itu, Awin Nurin menerima mas kahwin 11 dinar serta wang hantaran sebanyak RM11,111.11 bersama tujuh dulang hantaran daripada Izzue dan dibalas sembilan dulang.

Menurut Izzue, dia memilih tarikh pernikahan hari ini bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-23 dan juga genap setahun pertunangannya dengan Awin Nurin atau nama sebenarnya Nurinafilah Waharudin.

"Saya mula berkenalan dengan Awin pada 11 November 2008. Ketika itu saya bekerja sebagai pembancuh air di sebuah restoran bersebelahan tempat salon rambut milik Awin di Petaling Jaya. Saya berkawan dengan Awin sebelum menjadi pelakon.

"Awin juga pembantu peribadi saya dan dia yang mula-mula mendapatkan peluang untuk saya berlakon sebagai pelakon pembantu dalam drama Kampung Jagung yang pernah disiarkan Astro Warna tidak lama dahulu," katanya yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan.

Selepas akad nikah, pasangan itu diraikan dalam majlis resepsi di dewan yang sama pada sebelah petang yang dihadiri kira-kira 500 jemputan daripada kedua-dua belah pihak.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen