Adsense

Selasa, 28 Mei 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Stacy lindungi Bella

Posted: 27 May 2013 04:05 PM PDT

Enggan terlalu tayang si kecil demi kebaikan anak

Biarpun bukan darah daging sendiri, Stacy cukup terluka andai ada yang terus memanggil si kecil kesayangannya, Bella Deluna Valentina, sebagai anak angkat hingga dia pernah meninggikan suara saat berdepan insiden sebegitu.

Memahami itu hakikat sebenar, namun naluri keibuan yang dirasakan sebaik mengendong Bella lebih setahun lalu membuatkannya sanggup berbuat apa saja demi melindungi anaknya.

Malah, andai dulu disebabkan rasa teruja, pemilik nama Stracie Angie Anam, 23, sentiasa memuat naik gambar puterinya, kini dia semakin jarang berbuat demikian atas sebab tertentu.
"Jangan salah faham, saya hanya mahu melindungi anak saya. Bella ialah nyawa saya"

Stacy,
Penyanyi


"Selepas dianugerahkan Bella baru saya menyedari bagaimana hebatnya kasih dan pengorbanan seorang ibu. Kami memang tak boleh berenggang. Kalau saya ada undangan di luar Kuala Lumpur, Bella tetap saya bawa kerana tak sanggup berpisah dengannya.

"Ikatan itu menyebabkan saya enggan membayangkan bagaimana saya mahu berdepan dengannya menjelaskan situasi sebenar. Sekarang, walaupun dia belum tahu apa-apa, saya sendiri akan naik darah jika orang memanggilnya anak angkat.

"Jangan salah faham, saya hanya mahu melindungi anak saya. Bella ialah nyawa saya. Apabila dia semakin membesar, saya semakin prihatin dengan isu keselamatan, sebab itu kadang kala saya keberatan gambar kami berdua dirakam untuk tatapan umum. Harap semua faham situasi ini," ulasnya lembut.

Cekap sebagai ibu
Sememangnya di atas pentas, pelantun lagu Kasanova itu cukup lincah beraksi, malah dalam kehidupan harian memikul tanggung jawab sebagai ibu pun Stacy cekap memastikan keperluan dan kebajikan Bella yang sudah menjangkau setahun lebih itu terjaga.

Jika gadis solo lain lebih gemar menghabiskan waktu senggang berlibur atau sekadar menggantikan tidur, Stacy sanggup mengorbankan keperluan sendiri dengan memperuntukkan masa bersama anaknya.

"Bella ialah tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya. Memang ibu mahu pun adik-beradik saya boleh diminta menjaganya sesekali, tetapi hati saya tetap mahu pulang ke rumah bertemu Bella andai dia tidak dapat dibawa bersama-sama," kongsinya yang tampak teruja setiap kali bercerita perihal si buah hati.

Bella panggil Akim Daddy

Ditebak soal teman hidup selepas pernah dikaitkan dengan teman seperjuangan, Akim, akuinya tiada sebab untuk berselindung kerana hingga kini hatinya belum dimiliki sebaliknya lebih selesa berkawan.

Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Vikingdom dapat perhatian antarabangsa

Posted: 27 May 2013 04:01 PM PDT

Filem Malaysia punya nilai komersial untuk tayangan negara luar

Penyertaan empat filem Malaysia pada Marche du Film sempena Festival Filem Antarabangsa Cannes dari 15 hingga 24 Mei lalu nyata tidak sia-sia apabila menerima sambutan positif daripada pengedar filem antarabangsa.

Buat julung kalinya juga empat filem yang dibawa iaitu Vikingdom terbitan KRU Studios, Bola Kampung (Animasi Studio), Penanggal dan Kil (Primework Studios) ditayangkan kepada peserta festival berkenaan, yang datang dari serata dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM), Datuk Mahyiddin Mustakim, berharap lebih ramai produser filem menyertai pasaran filem antarabangsa berikutan potensi filem tempatan untuk menembusi pasaran luar dilihat cerah.

"Berdasarkan maklum balas beberapa pengedar antarabangsa, mereka melihat filem kita mempunyai nilai komersial untuk dipasarkan di negara masing-masing.

"Malah ada pengedar yang meminta penerbit filem kita menghantar salinan dalam bentuk DVD supaya mereka dapat menayangkan pula kepada pengedar filem dan televisyen di negara mereka.

"Pada pasaran sebelum ini, filem kita hanya dipromosikan menerusi gerai yang disediakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi Pavillion Malaysia. Inilah kali pertama filem kita mendapat peluang ditayangkan di sana.

"Daripada penyertaan kali ini juga, beberapa penganjur festival antarabangsa turut menunjukkan minat mengundang Malaysia menyertai festival filem anjuran mereka. Tidak ketinggalan mereka yang menyarankan agar kita menghantar filem untuk dipertandingkan," kata Mahyidin ketika dihubungi HIP, semalam.
Secara tidak langsung, kata Mahyiddin, matlamat kerajaan untuk melihat filem tempatan berjaya melangkah ke peringkat antarabangsa tercapai walaupun masih pada peringkat permulaan. Justeru dia berharap peluang ini akan membakar semangat lebih ramai penerbit tanah air untuk menyertai festival sebegini, sekali gus mendorong mereka menghasilkan lebih banyak filem bermutu.

Kelebihan filem berbahasa Inggeris

Sementara itu penerbit daripada KRU Studios, Norman Abdul Halim, melahirkan kegembiraan atas sambutan baik ditunjukkan peserta acara pasaran filem festival itu terhadap filem terbitan syarikatnya.

Katanya, penggunaan bahasa Inggeris dan tema aksi yang dipaparkan dalam filem berkonsepkan epik itu memberi kelebihan kepada Vikingdom berbanding filem lain yang menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing.

"Penggunaan bahasa Inggeris memberi kelebihan kepada kami berbanding filem yang menggunakan bahasa lain seperti Thai atau Portugis. Bagaimanapun, ia tidak bermakna KRU Studios tidak akan menerbitkan filem yang mempunyai unsur dan budaya Malaysia.

"Kita bersyukur kerana keseluruhan maklum balas yang diterima cukup positif. Mereka sangat terpegun apabila diberitahu 100 peratus penggambaran filem Vikingdom dilakukan di Malaysia. Malah, mereka tidak menyangka kita mempunyai kepakaran menghasilkan kesan visual dan terpegun dengan kualiti filem terbabit.

"Pengedar yang pernah menonton filem Vikingdom dalam bentuk 2D, rata-ratanya berpendapat tayangan 3D yang kita tunjukkan di Cannes lebih menarik dan puas untuk ditonton.

"Sebelum menyertai festival filem ini, KRU memang giat memasarkan Vikingdom pada peringkat antarabangsa. Dengan penyertaan ini pula, kita berjaya meluaskan lagi pengedarannya. Setakat ini boleh dikatakan Vikingdom sudah berjaya menembusi kira-kira 85 negara," katanya.

Filem bercorak aksi pengembaraan yang membariskan pelakon antarabangsa seperti Dominic Purcell, Craig Fairbrass, Natassia Malthe, Jon Foo dan Conan Stevens itu sedang menanti kelulusan untuk ditayangkan pada 12 September depan.
Filem epik kedua selepas Hikayat Merong Mahawangsa itu diarahkan Yusry Abdul Halim dengan bajet puluhan juta ringgit.