Adsense

Sabtu, 30 Mac 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Wulan buka salun

Posted: 29 Mar 2013 07:47 AM PDT

Enggan menipu diri, dunia lakonan yang sudah menjadi darah daging membuatkan aktres jelita, Wulan Guritno tidak mampu melupakan cabang seni yang sudah menyatu di jiwanya.

Ketika serius menekuni dunia perniagaan berteraskan kecantikan, malah aktres berdarah kacukan Solo-Inggeris ini berusaha keras menambah cawangan baru lakonan tetap tidak dilupakan.

Wulan, 33, mengakui lakonan memberikan pulangan lumayan tetapi bukan cuma itu yang menjadi faktor utama membuat dia bertahan.

"Lakonan sudah menyatu di jiwa, manakala bisnes pula sebagai pelaburan untuk hari tua. Saya tidak akan menolak tawaran lakonan, terutama sinetron kerana pulangannya besar.

"Andai menjalani dua bidang itu seiring, bimbang nanti tidak mampu membahagi waktu. Jadi perlu fokus kerana saya juga tidak sendirian, apatah lagi dengan status sebagai ibu tiga anak," kata Wulan yang terlebih dulu dikenali sebagai pengacara sebelum terjun ke dunia lakonan.

Pemilik nama lengkap, Wulan Lorraine Guritno ini berkata, dunia perniagaan tetap dijalani kerana impian besarnya ingin melihat salun kecantikan yang diusahakannya berkembang.

Dia bertuah kerana minatnya itu turut mendapat sokongan teman rapat yang sedia bergabung dan melabur dalam perniagaan itu.
Tiada masa untuk main- main

"Saya mengajak mereka menjadi rakan kongsi.

Alhamdulillah, pada usia sekarang saya semakin mengerti apa yang dimahukan dalam hidup.

"Sibuk bagaimanapun, saya akur posisi diri saya sebagai isteri dan ibu kepada tiga anak. Saya bukan muda lagi, sudah tiada masa untuk main-main," katanya.

Isteri kepada Adilla Dimitri itu bersyukur kerana suami dan anak memahami minatnya. Mereka tidak membantah, apatah lagi menghalang kerana memahami kecintaan Wulan terhadap kedua-dua bidang itu terlalu mendalam.

Sudah mula bijak membahagi masa, namun andai ditanya wanita kelahiran 14 April 1980 ini, formula yang dipakainya ternyata Wulan tidak memiliki jawapan.

"Saya tidak tahu bagaimana mahu menceritakannya.

Cuma saya selesa fokus kepada satu pekerjaan supaya masa untuk keluarga tidak tidak terkorban.

"Contohnya jika saya menerima tawaran filem, saya sudah tetapkan untuk tidak mengambil kontrak lain selama terikat dengan pembikinannya.

"Bukan enggan bertolak ansur, saya cuma menerima apa yang memungkinkan saja," katanya.

Ekoran terlalu serius membuat persiapan untuk pembukaan cawangan baru pusat rawatan kecantikan di Blok M, Jakarta Selatan, awal Mac lalu, Wulan pernah jatuh sakit. Hampir setiap hari Wulan berada di lokasi itu kerana ingin memastikan proses pengubahsuaian yang dijalankan menepati cita rasanya.

Lebih teliti

"Disebabkan konsep pusat kecantikan ini sedikit berbeza berbanding yang sebelumnya, saya jadi lebih teliti kerana mahukan kepuasan.

"Saya pernah kecewa kerana mutu kerja yang diberikan tidak memuaskan hati. Dalam keadaan tidak sihat, saya tetap memantau kerana tidak mahu terkilan lagi.

"Alhamdulillah suami tetap menyokong dan tidak merungut walaupun sebelum ini saya sibuk dengan filem dan novella," katanya.

Sebab Umi Kalthum selalu buat umrah

Posted: 29 Mar 2013 07:38 AM PDT

Ada banyak sebab kenapa heroin filem Melayu klasik, seniwati veteran, Datin Umi Kalthum, 81, kerap mengerjakan umrah hingga berpuluh kali.

Pada 1 April ini, beliau akan mengerjakan umrah lagi bersama anaknya yang juga bekas aktres dan penyanyi, Noor Kumalasari (50-an), dengan mengikuti pakej Andalusia Travel.

Antara sebabnya, selain dipanggil Allah sebagai tetamu-Nya untuk beribadat di Tanah Suci, Datin Umi Kalthum tersangat rindu pada Allah dan Rasul-Nya, juga rindu pada Kaabah serta arwah suaminya, seniman terkenal, Allahyarham Datuk S Roomai Noor (hero filem Melayu klasik). Mereka mempunyai enam anak berusia 40 hingga 63 tahun, 16 cucu dan seorang cicit.

Arwah suaminya meninggal dunia di Hospital King Abdul Aziz, Makkah pada 16 Mac 1996, akibat penyakit paru-paru berair. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Ma'ala, Makkah kira-kira dua kilometer dari Masjidil Haram.

Di perkuburan itu juga terdapat Makam Siti Khadijah RA (isteri pertama Nabi Muhammad SAW) dan makam sahabat Rasulullah.

"Dah nak pergi Makkah lagi ni, saya mimpi arwah suami. Memang saya rindu sangat-sangat pada arwah sebab itulah selalu saya nak pergi ziarah kuburnya. Orang perempuan tak boleh masuk ke tanah perkuburan tapi saya naik ke atas 'fly over' (di jalan raya) dan dari situlah saya boleh nampak kubur arwah di bawah sebelah hujung sekali. Kemudian saya hadiahkan Al-Fatihah dan berdoa untuk arwah.

Selalu rindu Makkah
"Bila nak sembahyang pula, saya dah terpandang-pandang Kaabah depan mata. Itu yang buat saya lagi rindu nak pergi Makkah selalu, " cerita Umi Kalthum kepada Juwie ketika dihubungi 24 Mac lalu.

Allahyarham S Roomai Noor meninggal dunia dalam bulan Syawal. Pada masa itu, mereka suami isteri mengerjakan umrah akhir Ramadan hinggalah sambut Aidilfitri dan puasa sunat enam hari pada Syawal. Mereka pernah mengerjakan haji pada 1976 dan 1982 serta mengerjakan umrah beberapa kali bersama.

Sewaktu sihat dan kakinya kuat untuk berjalan, setiap tahun Umi Kalthum pergi umrah pada akhir Ramadan sendirian. Tapi sejak kakinya sakit-sakit, beliau pergi umrah pada bulan biasa pula. Anaknya, Noor Kumalasari sudah mengerjakan haji bersama suaminya, Wan dan rajin mengerjakan umrah.

Lagu popular Noor, Dari Kamar Sepi masih berputar di radio hingga sekarang. Antara filem popular lakonannya, Esok Masih Ada arahan Tan Sri Dr Jins Shamsuddin.

JUWIE: Bila rindu, selalu Allah jemput ke Tanah Suci. Subhanallah....