Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Suki kahwin mentor

Posted: 07 Feb 2013 02:11 PM PST

Juara OIAM pastikan soal kerja diselesaikan di luar rumah

Empat tahun berkawan sebelum menoktahkan kisah cinta mereka dengan ikatan perkahwinan cukup membuatkan juara program One In A Million (OIAM), Low Sook Yee atau Suki, yakin pilihannya untuk bersama Jeremy Chong amat tepat. Malah lelaki berusia 30 tahun itu bukan saja suami, bahkan teman dan juga mentor buatnya.

Mungkin ada yang menganggap Jeremy pengurus peribadi kepada penyanyi dari Seremban ini, apabila sering dilihat menemani Suki pada pelbagai acara. Apabila suami sendiri bergelar pengurus, pastinya bukan mudah kerana ada garis tipis antara hubungan peribadi dan profesionalisme. Silap percaturan, hal kerja yang tidak selesai di luar akan terbawa-bawa ke rumah.
Sibuk macam mana pun, saya masih ada masa buat suami dan memasak untuknya. Nasib baik dia sangat memahami keadaan saya," Suki, Penyanyi

Namun kata Suki, Jeremy bukan pengurusnya kerana ada orang lain yang mengendalikan kerjayanya. Cuma dia selesa apabila suami berada di sisi, jika dia tidak sibuk dengan urusan kerja.

"Saya ada pengurus yang mengendalikan kerjaya seni saya. Jeremy ialah majikan kerana saya bernaung di bawah label miliknya. Saya kenal Jeremy sejak empat tahun lalu dan dari saat itu kami mula rapat. Dia banyak membantu serta menasihati saya jika ada perkara yang tak kena.

"Setiap kali apabila dia ada bersama, saya akan rasa lebih selamat. Walaupun kami berbincang soal kerja, tapi kami akan pastikan ia selesai di luar dan tidak di bawa ke rumah," kata Suki.

Walaupun jadualnya padat kerana baru saja muncul dengan single terbaru, Untuk Kamu, dan terbabit dengan penggambaran iklan untuk produk kecantikan, selain urusan pembikinan album Mandarin di Hong Kong, namun Suki masih mempunyai masa menjalankan tugas sebagai isteri.
"Sibuk macam manapun, saya masih ada masa buat suami dan memasak untuknya. Nasib baik dia sangat memahami keadaan saya," cerita Suki yang memilih tarikh 12.12.12 sebagai hari bersejarah mereka.

Lagu untuk suami

Jika sebelum ini nama Suki kembali meletup menerusi lagu ciptaan Ajai berjudul Terlalu Menyintaimu, dia berharap single keduanya bakal mengikut jejak sama.

"Saya suka lagu itu kerana muziknya yang sangat catchy. Lagu ini juga boleh dianggap dedikasi saya untuk suami tercinta kerana liriknya yang sangat puitis dan berkisar kepada soal cinta. Setakat ini, sambutan stesen radio juga cukup positif kerana saya dengar banyak saluran yang memutarkannya," ujar Suki.

Selain single Untuk Kamu yang dicipta komposer dari seberang, Ering Arkad dan Inang Arkad, penyanyi berusia 23 tahun ini juga bakal menyusul dengan lagu runut bunyi untuk sebuah drama bersiri.

"Lagu ini hasil ciptaan Ajai dan jika peminat menyukai lagu Terlalu Menyintaimu, pasti mereka juga akan menyenangi lagu ini. Saya harap ia akan membuatkan peminat terus mengingati nama saya," kata Suki teruja.

Sambut Tahun Baru di rumah mentua

Julung kali menyambut Tahun Baru Cina sebagai isteri, Suki terpaksa menerima hakikat dia bakal berjauhan dengan keluarga sendiri kerana meraikannya di rumah keluarga mentua di Pulau Pinang. Mengenangkan perkara itu, Suki berkata, terbit juga perasaan sebak di hati.

"Memang sedih kerana inilah kali pertama saya akan makan besar tanpa keluarga di sisi. Mungkin ibu dan bapa saya sudah bersedia dengan situasi itu, jadi mereka awal-awal lagi merancang untuk pergi bercuti ke Hong Kong, untuk bertemu kakak yang menetap di sana.

"Malah dia menasihatkan saya supaya tidak terlalu bersedih, selain meminta saya menghubungi mereka menerusi Skype untuk melepaskan rindu," katanya.

Selain meraikannya bersama keluarga mentua, ada satu lagi pengalaman baru buat Suki, iaitu pemberian angpau.

"Sebelum kahwin saya yang dapat angpau, kini situasinya berbeza. Paling melucukan apabila jurusolek saya yang belum berkahwin, tetapi lebih tua daripada saya, turut meminta angpau daripada saya. Nampaknya persiapan tahun ini kena lebih sedikit," katanya yang bercuti selama seminggu sebelum kembali bekerja.

Belasungkawa: Perginya insan pelbagai bakat

Posted: 07 Feb 2013 02:09 PM PST

Tiada lagi hilai tawa dan lawak jenakanya yang bersahaja. Melihat gelagatnya bersama A R Badul dalam filem Prebet Lapok, ia cukup mencuit hati.

Kehilangan sebutir lagi permata negara dalam bidang komedi meninggalkan kesan mendalam kepada ramai pihak, terutama rakan seperjuangan dalam dunia seni. Datuk Yahya Sulong, 85, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, kelmarin, kerana sakit tua.

Sebut saja nama artis veteran ini, sudah pasti ramai membayangkan keletah lawaknya yang menggeletek hati penonton, walaupun ada ketika jenakanya kuat dengan sindiran.


Bakat Yahya atau mesra disapa Pak Ya bermula sejak membintangi bangsawan sekitar era 1940-an, namun disebabkan ketika itu banyak panggung ditutup, beliau memilih untuk berkhidmat dengan pasukan polis hutan sekitar 1948.

Selepas lebih sedekad berkhidmat dengan pasukan polis, dengan pangkat terakhir sebagai sarjan ketika berkhidmat di Balai Polis Ipoh, Pak Ya berjinak-jinak semula dalam bidang seni dengan membintangi filem pertama berjudul Abu Nawas pada 1961.

Sejak itu, dia membintangi lebih 24 filem, antaranya Gila-Gila, Putus Sudah Kasih Sayang, Miang-Miang Keladi, Da Di Du, Toyol, Si Luncai, Prebet Lapok dan Senario The Movie.
Presiden Yayasan Artis 1Malaysia, Datuk DJ Dave menyifatkan pemergian Allahyarham kehilangan besar bukan saja kepada industri seni tetapi juga kepada negara kerana jasa dan pengorbanannya yang turut sama terbabit dalam melindungi kedaulatan negara.

"Saya dapat berita mengenai kematiannya ketika di atas pentas menyampaikan sumbangan untuk artis di Sarawak. Saya memang sangat terkejut dengan pemergiannya kerana dia artis yang berbakat bukan saja dalam bidang lakonan tetapi bidang muzik.

"Dia juga sangat rapat dengan saya, malah pernah bermain dram untuk saya. Dia pelawak yang sangat disegani dan kehilangannya amat dirasai seluruh industri seni," katanya sambil memberitahu akan berusaha meringankan beban isterinya, Datin Alisah Ali, 68.

Info: Yahya Sulong

* Yahya pernah menceburi bidang seni suara bersama kumpulan 4 Serama dan menghasilkan album berjudul Rencah Ketawa Asam Pedas bersama Mek Habsah dan Osman Kering.

* Antara album pernah dihasilkannya, Oh Fatimah dan Apa Dah Jadi.

* Meskipun berdepan masalah kesihatan, minat terhadap muzik masih diteruskan dan sering membuat persembahan bersama kumpulan Ahmad Sharif Trio sebagai pemain gendang.

* Kali terakhir Yahya beraksi bersama kumpulan terbabit ketika membuat persembahan di Konsert Gala sempena Hari Jazz Antarabangsa, Mei tahun lalu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan