Adsense

Isnin, 28 Januari 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Ezlynn belum bersara

Posted: 27 Jan 2013 03:34 PM PST

Masih banyak terima undangan menyanyi, bakal muncul dengan single baru

Ramai yang menyangkakan penyanyi, pelakon dan pengacara, Ezlynn, kurang aktif dalam bidang seni sebaik saja mendirikan rumah tangga. Maklum saja, sejak kebelakangan ini kelibatnya jarang kelihatan dan berita mengenai perkembangan kerjayanya sudah tidak semeriah dulu.

Malah, lagu dendangannya juga sudah agak lama tidak kedengaran di corong radio sehingga ada yang menyangka wanita ini sudah tidak berminat lagi untuk menyanyi. Atau apakah populariti penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Hi Hi Bye Bye ini sudah mula merudum dek kehadiran ramai bakat baru?

Bertemu sendiri pemilik nama penuh Azline Ariffin pada majlis pratonton filem Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit di Kuala Lumpur baru-baru ini berjaya meleraikan teka-teki itu.

Tegas isteri kepada Adam Fahmy, yang juga pengurusnya itu, dia tidak pernah berasakan dirinya hilang atau menyepi terus daripada dunia seni.

"Masih ada kerja yang saya lakukan, cuma aktiviti itu tidak dihebahkan kepada khalayak. Setiap minggu, ada saja undangan nyanyian saya terima. Namun, mungkin sebab saya tiada lagu baru membuatkan peminat ingat saya sudah tidak berminat untuk menyanyi.

"Bukan tak mahu menghasilkan lagu baru, cuma kalau saya saya nak buat single, biarlah ia betul-betul berkualiti serta lain daripada apa yang pernah saya hasilkan sebelum ini," jelas penyanyi berusia 31 tahun ini.

Kerjasama dengan Andy
Ezlynn yang kini tidak bernaung di bawah mana-mana label berkata, perancangan untuk menghasilkan single baru memang ada. Jika tiada aral melintang, dia bakal bekerjasama dengan Andy Flop Poppy.

"Perbincangan ini berlaku ketika kami sama-sama terbabit dalam sebuah program mencari bakat baru khusus untuk pemuzik jalanan. Andy bertanya jika saya tidak lagi berminat untuk menghasilkan lagu baru? Dari situ, lahirlah idea untuk kami bekerjasama.

"Untuk single ini, saya tidak lagi mahu menyanyikan lagu rancak. Saya sudah pun membuktikannya sebelum ini apabila kebanyakan lagu popular saya adalah lagu rancak. Jadi kali ini saya mahu lagu berentak perlahan pula. Alang-alang muncul dengan lagu baru, biarlah nampak perbezaannya," ujarnya.

Rezeki dapat anak belum ada

Lebih setahun mendirikan rumah tangga, masih belum nampak tanda-tanda penyanyi yang terkenal dengan imej berambut kerinting ini berbadan dua. Bercerita soal zuriat, Ezlynn menyifatkan rezeki mereka belum tiba.

"Saya serahkan pada takdir. Kalau ada, kami terima dan jika belum sampai masanya, ia bukanlah sesuatu yang menjadi tekanan buat kami.

"Setakat ini, keluarga kedua-dua belah pihak pun tidak bertanyakan soal itu. Mungkin mereka sudah ada cucu, jadi mereka tidak kisah sangat," kata Ezlynn sambil tersenyum

Perit jadi hantu terbang

Mengulas wataknya sebagai Mon dalam filem arahan Mamat Khalid itu, Ezlynn memberitahu, cabarannya bukan saja membabitkan mental, malah fizikal.

"Dalam filem ini saya memegang watak hantu. Bayangkan saya dikehendaki terbang dan terapung di udara dan untuk melakonkan watak itu. Saya diikat dan ditarik menggunakan kren. Agak menyakitkan juga apabila pinggang saya yang diikat dengan tali ditarik dengan kuat. Nyaris juga saya pengsan kerana tidak dapat bernafas. Mujurlah tiada apa yang berlaku, kalau tidak susah juga.

"Selain itu ada juga babak yang memerlukan saya duduk di atas pokok yang tinggi. Bayangkan saya seorang saja berada di atas dan waktu itu saya memang tak berani nak toleh kiri, kanan atau belakang kerana terasa seperti ada yang memerhati. Pandangan dari atas pun sayup-sayup saja. Memang menyeramkan. Kalau tak kuat, habislah," katanya.