Adsense

Khamis, 27 Disember 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Suka wanita berusia?

Posted: 26 Dec 2012 02:28 PM PST

Pelakon, Zulkifli Ariffin nafi hubungan dengan 'orang kuat' Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai sekadar cinta lokasi

Dilontar pertanyaan mengenai gosip percintaan, jejaka berbadan tegap, pelakon, Zulkifli Ariffin akhirnya mengaku dia sedang menjalin hubungan istimewa dengan Penerbit Eksekutif Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB), Gayatri Su-Lin Pillai.

Biarpun pada mulanya, Zulkifli atau mesra disapa Zul, tampak kurang selesa dengan persoalan itu, Zul tidak segan silu mengakui mereka makin rapat sejak tujuh bulan lalu.
Saya tahu ramai yang bertanya hal ini. Tapi sebenarnya, tidak benar saya meminati wanita lebih tua. Saya suka dengan Gaya disebabkan personaliti yang dimilikinya, bukannya melihat kepada umurnya," Zulkifli Ariffin, Pelakon

Akuinya, perhubungan mereka terjalin selepas selesainya penggambaran filem Penanggal yang menemukan mereka.

Namun, jejaka berusia 26 tahun ini menolak ia tidak lebih daripada cinta lokasi. Ini kerana katanya, dia dan Gaya mula berkenalan serta menjadi semakin rapat selepas selesai penggambaran filem arahan Elly Suriati itu.

Zul menolak anggapan bahawa dia lebih meminati wanita berusia. Ini disebabkan teman wanitanya sebelum ini, Abby Abadi juga berbeza usia dengannya.

"Saya tahu ramai yang bertanya hal ini. Tapi sebenarnya, tidak benar saya meminati wanita lebih tua. Saya suka dengan Gaya disebabkan personaliti yang dimilikinya, bukannya melihat kepada umurnya.
"Melihat pada kredibiliti Gaya, penggiat seni semua kenal siapa dia. Saya suka dia bukan melalui reputasi yang dimilikinya, sebaliknya pada personaliti dirinya," katanya kepada HIP.

Bercerita lanjut mengenai hubungannya dengan Gaya, Zul berkata:
"Filem Penanggal dijalankan pada Disember tahun lalu. Selepas habis penggambaran filem itu, kami selalu keluar bersama.

"Boleh dikatakan kami sedang mengenal hati budi masing-masing. Kami baru menjalin hubungan. Mana tidaknya, baru tujuh bulan. Banyak lagi yang perlu kami lalui dan semua ini mengambil masa," katanya yang menetapkan mahu berumah tangga sebelum dirinya mencapai usia 30 tahun.

Zul ditemui pada majlis pelancaran filem Bikers Kental, keluaran TUSB yang diarahkan Helmi Yusof. Majlis itu berlangsung di perkarangan tempat letak kereta berhadapan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), baru-baru ini.

Teliti pilih watak

Teruja memegang salah satu watak dalam filem Bikers Kental, Zul sebelum ini tidak pernah menunggang motosikal berkuasa tinggi. Namun, disebabkan watak Arbi, Zul mula jatuh cinta dengan dunia permotoran.

Akuinya, filem itu mengajar dirinya menunggang motosikal berkuasa tinggi. Lantas Zul menyimpan impian untuk membeli sebuah motosikal berkuasa tinggi. Mana tidaknya, dalam filem itu, Zul perlu menunggang motosikal dari Kuala Lumpur hinggalah ke Thailand.

Disebabkan komitmen dengan filem itu, Zul tidak mengambil tawaran berlakon drama. Justeru, wajahnya dilihat kurang menghiasi televisyen sejak kebelakangan ini. Ini diakui sendiri Zul di mana selepas berakhirnya penggambaran Bikers Kental, dia berehat empat bulan.

"Sekarang, saya sedang dalam penggambaran drama bertajuk Debunga Lalang yang akan disiarkan pada 31 Disember ini. Sejak komitmen dengan Bikers Kental, memang saya tak berlakon drama. Drama terakhir saya adalah bersama RTM pada Mei lalu.

"Saya pun sudah berehat agak lama, empat bulan saya tidak berbuat apa-apa. Jadi, sekarang saya mahu aktif berlakon drama. Saya sebenarnya bukan memilih filem atau drama, sebaliknya melihat kepada watak yang ditawarkan," tambahnya lagi yang mengharapkan tahun baru 2013 membuka lebih banyak pintu rezeki buatnya.

KPKK pantau elak dana disalah guna

Posted: 26 Dec 2012 02:25 PM PST

Pemberian Insentif Dana Industri Kreatif Negara kepada 93 syarikat produksi berjumlah RM5 juta oleh kerajaan bukan bersifat peribadi, sebaliknya sebagai galakan untuk pemain industri menghasilkan lebih banyak karya bermutu.

Tidak mahu melihat pemberian itu disalah guna untuk kepentingan peribadi, kerajaan melalui Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) akan memantau aliran keluar insentif berkenaan untuk tujuan pembangunan industri kreatif.

Walaupun agihan insentif dibuat mengikut karya yang dihasilkan dan tidak terlalu besar, Ketua Setiausaha KPKK, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata, pemberian buat julung kali itu bertujuan meningkatkan peralatan penggambaran dan tenaga kerja produksi.

"Tujuan pemberian ini adalah untuk meletakkan semula kualiti drama dan filem dalam industri. Drama yang bagus datang daripada peralatan yang baik, pelakon yang bermutu dan tenaga kerja cekap. Jadi kita mengharapkan pemberian ini akan memulangkan semula hasil yang berkualiti kepada industri kreatif.

"Kementerian akan memantau sejauh mana insentif ini digunakan mengikut kualiti yang kita kehendaki," katanya yang mengharapkan pengagihan insentif itu ditambah tahun depan.

Bukan saja untuk pasaran tempatan, pemberian insentif itu juga bertujuan memberi galakan kepada pemain industri untuk menghasilkan karya yang bermutu tinggi untuk pasaran luar negara.

93 produksi layak terima insentif
Sepanjang tahun ini saja, lebih kurang dua juta produk industri kreatif dipasarkan ke luar negara dengan nilai RM400 juta. Kadar dijangka meningkat kepada RM3 bilion menjelang 2015.

"Kita tidak mahu produk yang dihasilkan hanya untuk simpanan dan pasaran tempatan saja, sebaliknya menjadi permintaan dari luar negara.

"Setiap syarikat menerima jumlah insentif berbeza mengikut kualiti, produk, skrip, kesan khas dan rating penonton. Usaha kerajaan ini dapat meningkatkan lagi kualiti filem dan drama pada masa depan," katanya.

Ada lebih 400 hingga 500 pembekal yang menerbitkan drama dan telefilem kepada RTM, namun hanya 93 syarikat yang layak menerima insentif berdasarkan kriteria yang ditetapkan RTM.

Antara penerima insentif adalah Excellent Pictures Sdn Bhd; Rumah Karya Citra Sdn Bhd; Saujana Media Sdn Bhd; Suhan Movie Trading Sdn Bhd; Cinematic Pictures Sdn Bhd dan Global Network Sdn Bhd.

Kadar insentif diselaraskan oleh semua stesen televisyen (TV) tempatan mengikut karya yang dihasilkan mereka iaitu bagi drama bersiri bernilai RM45,000 setiap episod, telefilem (RM100,000P) dan program berbentuk majalah atau dokumentari bernilai RM25,000.