Adsense

Khamis, 20 Disember 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Seksi suami suka

Posted: 19 Dec 2012 03:32 PM PST

Zila Bakarin selesa berimej berani, tak tersinggung dek cercaan

Sejak dulu, imej seksinya memang menjadi bualan dan perhatian ramai. Justeru, jika ada yang mencerca serta berasa sakit di mata apabila memandang penampilan dirinya, pelakon, Zila Bakarin, tidak mudah melatah.

Bagi wanita ini, biarlah apa saja kata orang, dia tetap menjadi dirinya. Asalkan semua itu tidak menjejaskan periuk nasi sebagai anak seni, segala cemuhan dan pandangan serong diberikan ditelannya begitu saja.

Zila juga mengaku dia tidak pernah tersinggung apabila ada yang melabelkan dirinya sebagai artis murahan. Apatah lagi dia tidak berpura-pura, kerana di luar lokasi mahupun dalam lakonan, begitulah cara dia berpakaian. Pada masa sama, suaminya, Azri Izhar, juga tidak menghalang.

Bagi ibu kepada dua cahaya mata, Kaseh, 3, dan Chinta, lima bulan, setiap orang punya cara tersendiri dalam menterjemahkan gaya penampilan. Selagi tidak menjejaskan hubungan dalam rumah tangga dan kerjaya, dia selesa dengan imejnya sekarang.

Walaupun usianya sudah menjangkau 37 tahun, Zila tidak sekali-kali berasa ingin berubah meskipun watak lakonannya kini lebih kepada seorang ibu serta wanita jahat.

"Kalau dulu memang seksi habis. Selagi boleh nampak dan menonjol, selagi itu Zila akan buat, tetapi sekarang sudah kurang sikit sebab watak pun lebih kepada ibu, jadi elemen seksi itu sudah kurang" katanya.

Seronok dapat watak bertudung
Begitupun, tidak selamanya dia mengenakan imej seksi kerana ada antara stesen televisyen amat menitik beratkan soal penampilan, yang tidak melanggar syarat penyiaran. Dalam hal ini, Zila turut bangga apabila bakatnya juga dipandang stesen TV AlHijrah.

Julung kali menyarung jubah dan berhijab nyata memberikan pengalaman berbeza buat Zila. Malah dia menganggap itulah peluang yang sudah lama diinginkan.

"Bila dapat tawaran ini, Zila rasa bangga dan seronok kerana dapat pakai jubah dan tudung. Ia nyata menampakkan kelainan dan itulah yang Zila inginkan.

"Zila tak kisah apa orang nak cakap pasal penampilan. Yang penting suami suka. Kalau Zila bertudung dan bertutup, tetapi hati tak baik dan mulut masih lancang, tak guna juga," katanya.

Akui wanita ini, seperti insan lain, dia juga punya perasaan segan tatkala berada dalam kelompok pelakon muda. Saat itu, dia harus menjaga gaya penampilannya agar tidak keterlaluan. Malah, ketika ditemui pada sesi ramah mesra drama bersiri Setia Hujung Nyawa, gaya penampilannya sedikit tertutup walaupun masih menampakkan sisi seksinya.

Dalam drama 24 episod itu, dia melakonkan watak antagonis, Datin Adibah. Katanya, dia sukakan watak sedemikian yang dirasakan sesuai dengan diri dan gaya penampilannya.

"Zila tak suka watak baik kerana muka pun sudah nampak jahatnya. Kalau jadi emak pun, mesti watak itu ada perasaan benci serta dendam kerana karakter sebegini akan meninggalkan kesan kepada penonton," ujarnya.

Menyesal suntik wajah

Mengaku dirinya mengambil suntikan kecantikan, Zila bagaimanapun kesal atas perubahan wajahnya.

"Zila buat muka empat tahun lalu, tetapi sekarang tidak lagi. Memang kini Zila menyesal kerana terlampau mengikut orang. Sekarang, bila Zila tengok balik, wajah Zila dulu lagi cantik," katanya.

Harapan Baby Shima

Posted: 19 Dec 2012 03:28 PM PST

Bekas Bintang Idola BH tunggu radio putarkan single Tak Sabar, enggan imej disamakan artis K-pop

Penampilan dan persembahan bintang baru ini tak ubah seperti artis K-pop. Malah klip video single sulungnya yang berjudul Tak Sabar juga persis artis dari Korea.

Tidak mahu disamakan dengan artis lain atau jauh sekali dituduh meniru gaya artis Korea, Baby Shima mendakwa dirinya ada identiti sendiri. Malah, katanya dia sudah lama berimej sedemikian sebelum menjadi penyanyi.

Biar apa pun tanggapan peminat terhadap gaya penampilan dan persembahannya, Shima mahu melihat karyanya diterima peminat muzik terutama golongan remaja.

"Penampilan saya amat sesuai dengan lagu sebab catchy dan ia suatu kelainan berbanding artis lain. Setahu saya, belum ada artis yang tampil dengan gaya begini dan sasaran saya adalah peminat remaja," katanya yang mahu terus menghasilkan lagu berkonsep catchy.

Album penuh April depan

Bekas juara Bintang Idola BH (BIBH) 2010 ini cukup bertuah kerana bernaung di bawah label KRU Studios. Baby Shima diletak di bawah pengurusan Aico Empire Group milik Adam AF yang dianggap mampu mengubah impiannya dalam industri seni.

Bakal menghasilkan album sulung pada April depan, Shima bernasib baik kerana album itu mendapat sentuhan beberapa komposer terkenal seperti Edry Abdul Halim, Azmeer, Cat Farish dan Adam AF.
"Saya jangka ada lima hingga lapan lagu baru termasuk single Tak Sabar dalam album itu kelak. Apa yang pasti, perbezaan saya berbanding penyanyi lain adalah dari segi tarian selain lagu yang dikatakan 'comel'.

Mendapat bimbingan koreografi daripada kumpulan VIP dan guru tari, pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli ini pada mulanya kurang pandai beraksi di pentas persembahan.

Sejak memenangi BIBH, nama Baby Shima mula mendapat tempat di hati peminat cilik yang gemarkan lagunya meskipun sukar untuk didengari di stesen radio.

Lantas, dirinya kecewa kerana ada stesen radio swasta dikatakan tidak mahu memutarkan singlenya itu. Namun, ia tidak mematahkan semangat gadis dari Johor ini untuk terus mengejar impian dalam dunia seni.

"Sudah lebih sebulan saya menghantar single Tak Sabar ke stesen radio, entah kenapa sampai sekarang ia masih belum diputarkan di kebanyakan stesen radio. Bukanlah semua stesen radio, sebaliknya ada stesen radio yang sudi memainkan lagu itu.

"Perasaan kecewa itu memang ada, tetapi nak buat macam mana jika itu kehendak mereka. Walaupun sukar didengari di radio, tetapi jika pergi ke mana-mana, peminat kenal siapa saya," katanya yang muncul dengan single Tak Sabar, Mei lalu.