Adsense

Jumaat, 2 November 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


‘Hot mama’ bersyukur

Posted: 01 Nov 2012 08:29 AM PDT

PENGACARA dan bakat baru datang silih berganti mewarnai persada hiburan tanah air. Namun, nama pelakon dan pengacara jelita, Sazzy Falak terus bertahan dalam bidang seni, sejak berkecimpung lebih sedekad lalu.

Walaupun bermula dari bidang lakonan, menerusi teater Inggeris Young Legend ketika berusia 11 tahun, pemilik nama sebenar, Sazlini Shamsul Falak, 31, mengakui namanya memang lebih menyerlah dalam bidang pengacaraan ketika ini.

"Sebenarnya, bidang lakonan adalah nombor satu dalam hidup saya dulu. Namun, saya akur rezeki lebih murah dalam bidang pengacaraan berbanding lakonan. Tapi ada juga orang cakap sebaliknya pula.

"Apapun, selepas memiliki anak kembar, cinta saya adalah pada kedua-dua cabang seni sekali gus iaitu bidang lakonan dan pengacaraan. Saya juga ingin pastikan kedua-dua bidang diminati ini bergerak seiringan," katanya.


Selepas berehat seketika dari bidang seni kerana melahirkan anak kembarnya, Imaan Lily dan Tiara Rose tahun lalu, Sazzy mengakui tidak sabar untuk kembali merancakkan bidang seni tempatan.


"Saya sudah kembali bekerja sebaik saja habis tiga minggu tempoh berpantang dengan menjayakan pelbagai sesi fotografi dengan pihak media.

"Kini, Imaan dan Tiara sudah berusia satu setengah tahun dan saya percaya ia masa sesuai untuk bercerai daripada susu badan. Sebagai wanita bergelar ibu, memang saya agak emosi sikit dalam proses bercerai susu ini tapi nak buat macam mana kerana saya ibu moden yang bekerjaya.

"Memang saya jarang muncul dalam drama atau program TV berbahasa Melayu kerana sibuk buat program sukan bahasa Inggeris di saluran ESPN sampai sekarang. Pada masa sama, saya juga sibuk menceburi perniagaan fesyen secara online iaitu Street Fashion by Sazzy Falak (SFbySazzyFalak.com) yang beroperasi sejak Ogos lalu," kata isteri kepada personaliti TV dan Pengasas, Presiden perunding kewangan serta pelaburan, LVG Consultants Sdn Bhd, Nazril Idrus ini.

Berkongsi rahsianya mendapat bentuk tubuh yang langsing, Sazzy mengakui dia memang kuat bersenam sejak zaman anak dara lagi.

"Saya bersyukur kerana berjaya mendapat kembali berat badan asal iaitu sebanyak 45 kilogram seperti sebelum mengandung. Ketika mengandung berat badan saya bertambah sebanyak 58 kilogram.

"Selain menyusukan anak kembar dengan susu badan, saya juga membuat senaman di Body Tone Wellness Studio di mana saya dilantik sebagai jurucakap mereka dan itulah rahsia mendapat tubuh yang langsing.

"Saya juga percaya, menjaga anak kembar yang sudah pandai berjalan dan aktif ini pun antara rahsia kita dapat mengeluarkan peluh dan turut membantu menurunkan berat badan.

"Maklumlah, saya juga tidak mahu bergantung pada ibu dan pembantu rumah semata-mata kerana tetap mencari masa untuk meluangkan masa berkualiti dengan si kembar. Sebagai ibu dan bapa, kami tetap tidak mahu terlepas melihat saat-saat berharga melihat anak kembar membesar depan mata," katanya.

Ditanya sama ada tidak kisah jika anak kembar itu mengikut jejaknya, Sazzy berkata, dia dan suami sentiasa menyokong apa saja yang menjadi minat mereka.

"Saya percaya semua ibu bapa moden mempunyai pemikiran yang sama seperti kami.
Setakat ini, kedua-duanya sudah pandai 'pose' depan kamera dan ia memudahkan kami sekeluarga bergambar untuk majalah dan akhbar khusus buat tatapan peminat di luar sana.

"Kami juga tidak kisah jika Imaan dan Tiara ingin menjadi model iklan, pengacara atau pelakon jika itu yang menjadi minat mereka apabila besar nanti," katanya yang ditemui di majlis pelancaran program televisyen OMG di Restoran The Bee, Publika, Hartamas, Selasa lalu.

Walaupun jarang muncul di kaca televisyen, kebelakangan ini, 'hot mama' yang dikenali dalam program Muzik Muzik, Beat TV, Blast Off dan Ria Sentral ini tetap bersyukur kerana namanya masih mendapat tempat di hati penonton, ketika ini. Selain filem Tolong! Awek Aku Pontianak, drama terbaru lakonannya pula ialah Sofi Suriani yang membabitkan penggambaran Januari lalu.

"Saya juga rindu untuk beraksi dalam drama dan filem baru. Cuma kerinduan mengacara sedikit sebanyak terubat untuk pelbagai majlis korporat dan perkahwinan.

"Terus terang, saya sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk kembali berlakon dan mengacara kerana anak kembar sudah besar sikit dan sudah boleh berenggang lama sikit daripada mereka. Justeru, peluang mengacara program televisyen OMG memang seperti pucuk dicita ulam mendatang," katanya.

Sazzy juga tidak bersendirian, sebaliknya bakal bergandingan dengan kawan baiknya, Razif Hashim menjayakan OMG yang bakal bersiaran di saluran Diva Universal.

"Saya sangat teruja buat program ini kerana ia akan ditayangkan di saluran antarabangsa. Selain itu, saya bakal bergandingan dengan kawan baik sendiri.
Kami memang serasi bekerjasama kerana pernah beraksi dalam Gol & Gincu sebelum ini," katanya.

Program yang mengupas topik terkini membabitkan kerja, keluarga, persahabatan dan perhubungan turut memperkenalkan tiga segmen utama iaitu 'OMG Celebrity', 'OMG Miss Chilled' dan 'Oh My Gaji'. Ia turut dimeriahkan dengan barisan artis undangan seperti Lisa Surihani, Jaclyn Victor, Mizz Nina, Hannah Tan dan Deborah Henry. Program sebanyak 13 episod ini akan bersiaran bermula 5 November, setiap Isnin, jam 7.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/01


Meriahkan karnival

Posted: 01 Nov 2012 08:16 AM PDT

ARTIS veteran masih mendapat di hati peminat seni suara di mana pada hujung minggu ini, Jaafar Onn bersama rakan artis yang lain, Rohana Jalil, Salwa Abdul Rahman dan A Halim akan menghiburkan peminat mereka di Segamat sempena Karnival Jelajah Sihat 2012 yang diadakan di daerah itu.

Karnival anjuran Kementerian Kesihatan itu akan berlangsung esok dan lusa (3 dan 4 November).

Selain menyanyi, Jaafar yang akan turut menjadi pengacara karnival itu bersama Maya (Matahari). Jelas Jaafar, karnival itu diadakan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai betapa pentingnya untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga.

"Sekarang saya lihat penyakit bukan saja menyerang mereka yang sudah berusia tetapi juga orang muda termasuklah kanak-kanak. Dalam zaman moden ini, macam-macam penyakit ada.


"Pada usia bayi lagi sudah dapat penyakit kronik. Belum lagi mereka sempat nak mengenal dunia, hospital sudah menjadi rumah tetap. Sebab itu penjagaan kesihatan sangat penting. Bukan saja ibu bapa patut menjaga kesihatan malah mereka juga mesti mengajar anak-anak amalan pemakanan sihat dengan menjauhi makan segera yang terdapat banyak di pasaran.


"Alhamdulillah kita hidup dalam negara yang aman makmur dengan rezeki yang melimpah ruah dan makanan yang sangat mewah. Bukan tidak boleh makan langsung tetapi berhati-hati tetapi kurangkan makanan yang tidak berkhasiat dan menggantikannya dengan banyak makan sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Saya sendiri menjaga makan, maklum saja pada usia yang kian meningkat ini, orang kata penyakit adalah rakan setia. Memang kita tidak boleh menolak ketentuan Allah SWT tetapi tak salah untuk kita berusaha menjaga kesihatan.

Saya bersyukur pada usia 60 tahun sekarang, saya dikurniakan kesihatan yang baik dan masih aktif dalam dunia seni, lakonan, pengacaraan dan sebagai tukang masak sehingga di jemput memasak ke luar negara.

"Oleh itu saya sangat menyokong karnival ini kerana sudah tiba masanya untuk kita memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai penjagaan kesihatan. Amalkan pemakanan sihat dan rajin bersenam," katanya.

Pada hari itu nanti selain persembahan artis pelbagai acara lain disediakan antaranya Pemeriksaan Kesihatan, Pameran Kesihatan, Forum Kesihatan Pertandingan Futsal, Bual Bicara, Pertandingan Mengira Gigi Pasangan, Gubahan Bunga, Pertandingan Karaoke - The Voice Bikin Gegar, Explorace, Pertandingan Memasak, Sukaneka, Pertandingan Basikal Fixie Tercantik, Pertandingan Kayuhan Basikal Terlambat, Pertandingan Jrobik (terbuka) dan Cabutan Bertuah serta Pertandingan Memasak - Jaguh Kuali Ku Sihat oleh Chef Zaidah.

Negeri Johor yang kaya dengan adat dan seni budaya lama, akan menyambut ketibaan tetamu kehormat ke karnival itu dengan persembahan gambus, keroncong dan nyanyian lagu Bangsa Johor.

Turut diadakan hampir 20 gerai khidmat kesihatan yang memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk merujuk kepada pakar kesihatan mengenai penjagaan kesihatan dan mendapatkan maklumat pelbagai jenis penyakit serta cara untuk menghadapinya.

"Ada yang takut berjumpa doktor dan bila penyakit sudah kronik, ia terlambat untuk diubati. Oleh itu, jangan segan dan malu untuk berkongsi masalah kesihatan anda dengan mereka yang pakar kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Apatah lagi kos perubatan semakin mahal sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/01