Adsense

Khamis, 22 November 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Ganjaran terhebat

Posted: 21 Nov 2012 02:16 PM PST

Bersama tema Ledakan Geometri, edisi ke-26 Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) menyaksikan kematangan majlis pengiktirafan berprestij ini apabila menawarkan ganjaran termahal bagi Bintang Paling Popular dan pembaca bertuah, masing-masing bernilai RM370,000 serta RM81,000.

Andai Bintang Paling Popular bakal memandu pulang kereta mewah Nissan 370Z Coupe berserta hadiah iringan, pemenang kategori pembaca pula bergaya dengan Nissan Almera VL 1.5L, tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd.

Lebih istimewa, selepas sedekad berlabuh di Genting Highlands, acara yang bakal berlangsung pada 7 April 2013 itu nanti akan diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2012 merangkap Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir, berkata peningkatan nilai hadiah selain lokasi di ibu negara adalah sebagai tanda penghargaan berganda buat peminat serta pembaca yang memberi sokongan padu terhadap acara itu.

"Inilah antara cara kami memberi semula kepada khalayak yang sejak penganjuran pertamanya pada 1987 hingga sekarang tidak putus menyemarakkan undian, menyokong promosi bergerak serta mengikuti malam kemuncak.

"Malah perubahan lokasi ke Stadium Putra pada penganjuran tahun depan juga membolehkan lebih ramai peminat dan selebriti memeriahkan majlis," katanya ketika sidang media pertama ABPBH 2012 di Holiday Villa Hotel & Suite Subang Jaya, semalam.

Hadir sama ialah Penaung ABPBH merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid; Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Mahfar Ali; serta Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH/Pengarang Bersekutu Edisi Mingguan dan Hiburan BH, Hanizam Abdullah.
Tahun ini, seramai 383 calon membabitkan pelakon, penyanyi, pengacara dan penyampai radio disenaraikan bagi merebut lima tempat dalam 15 kategori dipertandingkan pada pusingan terawal.

Senarai calon berserta borang pencalonan awal kempen undian ABPBH 2012 ini disiarkan menerusi Berita Harian dan BH Ahad bermula hari ini hingga 25 Disember, bagi membolehkan peminat serta pembaca memilih lima finalis bagi setiap kategori selain Bintang Paling Popular.

Undian online turut diadakan Kategori dipertandingkan ialah Penyanyi Lelaki, Penyanyi Wanita, Artis Berkumpulan/Duo, Pelakon Filem Lelaki, Pelakon Filem Wanita, Pelakon TV Lelaki, Pelakon TV Wanita, Artis Komedi Lelaki, Artis Komedi Wanita, Pengacara TV Lelaki, Pengacara TV Wanita, Penyampai Radio Lelaki, Penyampai Radio Wanita, Artis Baru Lelaki dan Artis Baru Wanita.

Penganjur turut melebarkan cabang pertandingan dengan mengadakan kategori undian online menerusi http://www.facebook.com/abpbh bermula November 2012 untuk enam kategori iaitu Gandingan Serasi Di Layar, Artis Lelaki Stailo, Artis Wanita Stailo, Watak Animasi Tempatan, Artis Berpengaruh di Laman Sosial serta Watak Jahat dalam Drama dan Filem.

Sementara itu, majlis pelancaran buku yang mengimbas semula susur galur penganjuran ABPBH sejak edisi pertama hingga kini disempurnakan Mior Kamarul sebagai dokumentasi terhadap majlis pengiktirafan ini.

Selain Edaran Tan Chong Motor, antara penaja yang merealisasikan ABPBH edisi ke-26 nanti ialah Habib Jewels Sdn Bhd manakala TV3 sebagai stesen TV rasmi dan Hot FM selaku radio rasmi.

Penyanyi J Kamisah meninggal dunia

Posted: 21 Nov 2012 02:09 PM PST

Penyanyi 60an yang popular dengan lagu Jelingan Manja, J Kamisah, 64, menghembuskan nafas terakhir awal pagi semalam berikutan komplikasi pelbagai penyakit termasuk jantung.

Allahyarham yang terlantar sakit sejak Ramadan lalu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.20 pagi di kediaman keluarganya di Bukit Panjang, Singapura.

Jenazahnya dikebumikan di Pusara Aman Tanah Perkuburan Islam, Choa Chu Kang, Singapura sebelum solat Zuhur.

Awal kemunculannya, J Kamisah pernah menjadi sebahagian daripada kumpulan The Wisma dan antara lagu yang menaikkan namanya ialah Irama Desa Seberang, Bingkisan Hati Setia, Salam Terakhir, Rayuan Ku, Jangan Chemburu, Berjuanglah Kanda dan Salam Terakhir.

Allahyarham meninggalkan suami, Mohd Kadar Sultan, serta tiga anak yang berusia di antara 36 hingga 43 tahun.

Pertengahan Julai lalu, Allahyarham yang turut menghidap kencing manis serta penyakit berkaitan paru-paru menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Universiti Baru, Singapura.