Adsense

Khamis, 18 Oktober 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Tiada niat singgung

Posted: 17 Oct 2012 02:41 PM PDT

Jaclyn Victor akui rakam lagu ketuhanan untuk gereja, hormat perasaan penganut agama lain

Tiba-tiba klip video lagu Harapan Bangsa nyanyian Jaclyn Victor yang ditayang di laman YouTube - dipercayai sejak Januari lalu menjadi buah mulut.

Namun, bukan kerana muzik atau kualiti video itu yang menarik minat penonton. Sebaliknya, lirik lagu berkonsep ketuhanan agama Katolik dengan lirik Bahasa Malaysia mencetuskan kontroversi sehingga ada pihak mendesak klip video dan lagu berkenaan diboikot.

Sebagai seorang warga Malaysia dan mempunyai ramai kawan beragama Islam, saya masih mempunyai perasaan hormat terhadap agama mereka. Saya cukup menghormati kepercayaan dan amalan mereka," - Jaclyn Victor, Penyanyi

Puncanya, lirik lagu dan visual klip video itu didakwa menyentuh sensitiviti umat Islam. Ada pihak khuatir rakaman klip video dan lagu itu boleh disalah erti hingga boleh memesong pegangan penganut agama lain terhadap agama Kristian.

Selain itu, ada pihak menganggap tindakan Jaclyn atau lebih akrab disapa Jac menyanyikan lagu itu sebagai tidak peka dengan peminatnya yang kebanyakannya beragama Islam.

Bagi mengulas isu itu, HIP mendapatkan komen penyanyi yang dijulang sebagai juara program realiti Malaysia Idol musim pertama itu.

Sambil mengakui terkejut dengan isu dicetuskan itu, pemilik nama penuh Jaclyn Joshua Thanaraj Victor ini tertanya-tanya di mana salahnya lagu itu sehingga ramai pihak mempertikai dan melihat perkara itu sebagai kesalahan besar.
Bukan untuk pasaran komersial

Tegas Jac, sebagai sebuah negara yang mengamalkan kebebasan agama, isu lagu Harapan Bangsa tidak perlu dipertikaikan.

Akui penyanyi bersuara lantang ini, dia hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang penganut kristian dengan menyanyikan lagu berkenaan.

"Lagu itu saya rakam sekitar 2007 khusus untuk penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak serta pihak gereja. Ia dicipta oleh seorang paderi dengan mesej keamanan Malaysia. Sebagai seorang penganut kristian, rasanya tidak salah jika saya yang beragama Kristian menyanyikan lagu itu.

"Lagipun, ia bukan untuk tujuan komersial. Jadi mengapa perlu mempertikaikan lagu yang sudah lama dirakamkan itu?" soalnya yang cukup popular menerusi lagu Gemilang ini.

Bagi Jac, andai lagu itu diboikot atas alasan disampaikan dalam Bahasa Malaysia, ia tidak sepatutnya berlaku.

"Saya sedar, mungkin disebabkan lagu itu dinyanyikan dalam bahasa Melayu membuatkan ramai yang melihat perkara ini sebagai tidak sensitif dan menganggap saya cuba menyebarkan fahaman Kristian. Saya menyanyi dalam bahasa Melayu kerana kebanyakan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak bertutur dalam Bahasa Melayu.

"Kenapa perlu ada perasaan sebegitu? Sebagai seorang warga Malaysia dan mempunyai ramai kawan-kawan yang beragama Islam, saya masih mempunyai perasaan hormat terhadap agama mereka. Saya cukup menghormati kepercayaan dan amalan mereka," tegas penyanyi berusia 33 tahun ini.

Dengan penjelasannya itu, Jac mengharapkan ia akan menamatkan segala spekulasi dan kontroversi yang mengaitkan dirinya dan lagu itu.

The Jacksons gegar Stadium Negara 13 Disember

Posted: 17 Oct 2012 02:33 PM PDT

The Jacksons pernah menggegar dunia suatu masa dulu hingga digelar legenda hidup, sebelum masing-masing bergerak solo dengan si bongsu, Michael Jackson, berada dalam senarai ikon muzik terunggul dunia biarpun selepas kematiannya.

Kini mereka kembali berkongsi pentas selepas hampir tiga dekad apabila menjayakan konsert jelajah dunia The Jacksons Unity Tour 2012, yang bakal meletakkan Kuala Lumpur sebagai antara lokasi persinggahan.

Kumpulan tersohor dalam sejarah hiburan yang kini dibarisi Jackie, Tito, Jermaine serta Marlon dijadualkan mengadakan konsert reunion mereka di Stadium Negara pada 13 Disember ini sebelum ke Singapura sebagai lokasi terakhir dua hari kemudian.
Mereka terlebih dulu memulakan persembahan bergerak yang dikatakan hanya sekali seumur hidup bermula 8 November di Belgium sebelum dibawa penganjur tempatan, Offshore Entertainment Production, singgah di Malaysia.

Mula menakluk perhatian seawal era 70-an, siapa mampu menandingi populariti kumpulan adik-beradik yang menjadi idola jutaan peminat ini, dengan bersenjatakan vokal harmoni serta persembahan hebat.

Kali akhir The Jacksons muncul bersama adalah pada 1984 sempena kelahiran album Victory, menerusi siri jelajah The Jacksons' Victory yang menghimpunkan 2.5 juta penonton sepanjang persembahan bergerak di seluruh Amerika Syarikat.

The Jacksons yang turut dikenali sebagai The Jackson 5 sebelum ini menjadi kumpulan pertama yang menyaksikan empat single pertama mereka berada pada kedudukan nombor satu Carta Billboard, malah hingga ke hari ini lagu kumpulan ini, I'll Be There, mencatat sejarah sebagai single motown paling laris.
Tiket The Jacksons Unity Tour 2012 boleh didapati menerusi www.ticketpro.com.my atau hubungi 03-78807999.

INFO: The Jacksons
− Kumpulan sulung yang mempunyai empat single pertama menduduki tangga nombor
satu carta Billboard Chart.
− Disenaraikan dalam Rock n' Roll Hall of Fame pada 1997.
− Antara lagu popular ialah ABC, I Found That Girl, I Want You Back dan I'll Be There.