Adsense

Ahad, 30 September 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Kiraan berhenti Afdlin

Posted:

Kiraan berhenti Afdlin

DALAM hitungan sejarah pengarahan filem seorang sutradara bernama Afdlin Shauki, mungkin Untuk Tiga Hari telah membidik cerita yang tersendiri.

Diselang seli jiwa dan keghairahan para peminat filem sedang membuat perhitungan untuk menonton filem karya anak tempatan sendiri, Untuk Tiga Hari datang dengan pelbagai ragam bahasa dan cerita.

Suka atau tidak, kita harus akur dengan satu kenyataan bahawa pawagam tempatan sedang sepi dengan filem bermutu. Untuk Tiga Hari muncul di kala gersang karya.

Mesej suami isteri

Membayangkan sebuah buku novel tulisan Ahadiat Akasyah, sebagai sutradara, Afdlin menganggap naskhah ini adalah sebuah kehidupan yang bergerak dengan cinta. Sebuah topik yang menarik untuk diketengahkan serta mempunyai pengajaran tersendiri.

Masuk hari kelima tayangan, Untuk Tiga Hari dihimpit sedikit kontroversi tentang hukum agama. Adegan perbualan watak bawaan Vanidah Imran dan Rashidi Ishak menjadi topik bahas dan perbincangan. Banyak yang bersuara, malah kontroversi itu turut menjadi penarik penonton ke panggung. Bagi Afdlin, dia positif.

Sutradara merangkap pelakon ini membawa mesej tentang sucinya sebuah perkahwinan dan betapa besarnya kuasa jodoh di tangan Maha Esa. Keluar daripada gonggongan rempit dan hantu, kelainan Afdlin sepatutnya dinikmati khalayak.

"Apabila keluar cerita rempit dan hantu, tidak ada pula ada kontroversi. Ramai yang salah faham dengan filem ini tanpa menonton. Sepatutnya tonton dulu sebelum ulas. Jangan menghukum tanpa menonton," luah Afdlin tentang komen-komen yang diterimanya di laman sosial.

"Janganlah kerana salah faham, sebuah filem dengan cerita yang baik jadi terlepas tonton," sambung Afdlin yang melakukan banyak penyelidikan untuk filem Untuk Tiga Hari.

Masuk ke dalam sebuah komplikasi yang besar menyerang industri filem tempatan apabila naskhah anak tempatan kebelakangan ini mendapat respons yang hambar, Afdlin jujur memberi pendapatnya.

"Saya juga tidak tahu mengapa filem kita mendapat kutipan dan respons yang hambar. Saya takut ia terjadi kerana filem-filem yang tidak berkualiti banyak dikeluarkan, lalu khalayak sudah tidak mahu menonton filem kita. Ada orang yang tabur duit dan tidak kira kualiti," oleh Afdlin tentang kebenaran yang berlaku dalam industri.

Sedihnya Afdlin meluahkan bahawa kerancakan industri filem terjadi tahun lalu apabila filem tempatan dapat menjamah imbuhan yang banyak dalam kutipan. Namun implikasi munculnya filem-filem tidak berkualiti telah memburukkan kembali industri. Situasi ini berhenti kerana kehadiran filem tidak berkualiti.

"Saya pernah tertanya-tanya kenapa orang seperti Aziz M. Osman dan Othman Hafsham pernah berhenti membikin filem. Rupanya inilah halangannya dan kalau ini berterusan, saya juga mahu berhenti menghasilkan filem," utaranya yang menganggap filem Untuk Tiga Hari adalah filemnya yang paling kemas daripada sudut pembikinan.

SUTRADARA kreatif ini akan muncul dengan sebuah filem perihal K-Pop.


Belajar daripada Korea

Sempat ke Korea selama seminggu untuk melihat tempat penggambaran filem, dia berkongsi tentang industri filem Korea yang dahulu pernah dilanda gerhana. Bukan mengagungkan tetapi realitinya sesuatu hal yang baik tidak salah dijadikan panduan.

"Tujuh tahun lepas, 70 peratus orang Korea lebih menonton filem Hollywood berbanding tempatan. Tetapi kini puratanya menjadi 54 peratus orang mereka menonton filem tempatan. Filem Korea semakin bermutu dan mereka mendapat sokongan daripada kerajaan.

"Filem mereka memberikan seni dan budaya dan bagus daripada sudut kualiti. Industri filem diberikan dana yang besar untuk membina set yang besar," pujinya tentang perubahan angin filem tempatan Korea yang dibanggakan.

Sehubungan dengan itu, Afdlin bakal keluar dengan sebuah filem yang mempamerkan budaya K-Pop.

"Jangan ingat senang nak jadi K-Pop. Mereka bermula daripada usia muda dan sangat disiplin dalam kerjaya mereka. Saya sendiri melihat grup K-Pop ini sangat menghormati orang walaupun mereka sudah bergelar bintang," semangat Afdlin untuk mempamerkan budaya ini terlihat dengan misi baharunya.

"Inilah yang mahu saya pamerkan dalam filem baharu saya kelak. Tentang budak melayu yang nak jadi K-Pop. Moralnya ialah jangan malas untuk mencari identiti sendiri. Kita perlu pertahankan identiti kita yang unik," tambahnya yang bakal keluar juga dengan filem Ponti vs Omni pada November ini dan Papadom 2 tahun hadapan.

Lawak Ke Der

Rantaian Lawak Ke Der memecahkan suasana Istana Budaya sekali lagi pada 28 September hingga 3 Oktober ini. Sebuah slot yang membuat penonton tidak senang duduk dan tidak kering gusi. Dengan barisan pelawak seperti Jozan, Boboi dan Osbon, produk atas nama Lawak Ke Der ini sudah mendapat kepercayaan besar para penonton.

Menyentuh tentang industri lawak tempatan, ini satu hal yang membanggakan Afdlin kerana melihat progres yang sihat. Malah katanya tidak mustahil satu hari kelak, pelawak jadi jutawan.

Masuk ke pertanyaan umum, kenapa lawak perlu ada watak kanak-kanak, lelaki menyerupai atau menjadi wanita serta individu Cina berslanga Melayu, ujar Afdlin inilah elemen yang dekat dengan rakyat Malaysia.

"Semua negara ada watak atau karakter yang dekat dengan mereka. Bukan di Malaysia sahaja, di luar negara juga. Lawak itu subjektif tetapi yang penting adalah konteks dalam lucu yang dibawakan. Konteks yang dekat dengan kita (rakyat Malaysia) akan menghasilkan sebuah komedi yang bagus," nyata Afdlin tentang sifat komedi dan menganggap Upin dan Ipin adalah sebuah komedi situasi yang sangat berjaya.

Sehubungan dengan itu, Afdlin bakal keluar dengan sebuah program yang dinamakan Akademi Bintang. Akademi yang bakal menjadi tunjuk ajar seseorang sebelum bergelar artis.


LELAKI ini melafazkan niat untuk berhenti mengarah jika dunia perfileman negara masih dilanda kemarau penonton.


"Pakar motivasi, Dr. Azizan Osman yang akan melakukan pemasaran dan kewangan akademi ini dan saya sebahagian daripada Akademi Bintang. Akademi ini akan menawarkan kursus tiga dan lima hari. Akademi yang bakal menerangkan tentang segala kesalahan yang telah dibuat dalam pelaku dalam industri seni juga merangkumi perihal imej dan komunikasi. Susah untuk berada dalam industri kalau tidak ada tunjuk ajar dan pengurusan," terangnya yang tidak menafikan bahawa sesetengah artis muncul tanpa bekalan ilmu yang cukup di dada.

Usai menyebut tentang ilmu, penulis menambah tentang 'ilmu' dalam respons yang ditaburkan ke dalam media sosial. Sebuah platform yang kadangkala sepertinya semua pihak berilmu dan menghukum tanpa periksa. Memberi respons yang kadangkala menduga emosi dan sabar. Apatah lagi apabila terjadinya satu-satu kontroversi dalam dunia hiburan, pantas ada sahaja yang meletakkan diri sebagai hakim mahu pun juri.

Afdlin ketawa dan jawabnya ringkas menutup sesi temu bual: "Saya cakap dengan isteri saya, orang yang pakai smart phone ni sepatutnya kena smart."

A. Aida nekad bercerai lagi

Posted:

A. Aida nekad bercerai lagi


A. AIDA bertudung dan berkaca mata hitam ketika hadir untuk memfailkan tuntutan perceraiannya di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Khamis lepas.


SUKAR untuk suami kepada pelakon dan penerbit popular, A. Aida memahami kehendak wanita itu namun, Suffian Sulaiman kelihatan pasrah.

Dalam nada reda Sufian berkata: "Tolong hormati permintaan dan kehidupan keluarga kami."

Suffian yang juga seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) itu enggan mengulas lanjut tindakan Aida yang hadir ke Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur untuk memohon perceraian.

"Tanya dia (Aida) lah, dia artis. Rasanya saya tidak perlu bercakap banyak. Perkara itu pun sedang diuruskan oleh pihak peguam," pinta Suffian berhemah.

Khamis lepas, kira-kira pukul 2 petang, penerbit drama bersiri popular Halimah Jongang itu hadir ke Pejabat Pendaftar, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bagi memfailkan permohonan cerai terhadap Suffian.

Dia yang ditemani oleh peguam syarie Zulkifli Che Yong menjelaskan, keputusan untuk bercerai adalah muktamad.

Menurut penerbit berusia 42 tahun itu, permohonan cerai itu diambil disebabkan tiada persefahaman antara mereka berdua.

"Saya mahu meminta cerai dengan cara baik. Ia adalah keputusan muktamad saya selepas memikirkan sejak sekian lama. Semuanya disebabkan tiada lagi persefahaman antara saya dengan suami saya itu.

"Sebab-sebab lain, biarlah ia menjadi rahsia kami sahaja," katanya yang diberi ketetapan pada 8 Oktober depan bagi mendengar permohonan itu di mahkamah.

Penerbit drama Fatimah Juling itu juga menjelaskan, keputusan itu diambil setelah mendapat izin keluarga.

"Saya juga memberitahu hal yang sama kepada suami. Sekarang, saya terlalu sibuk dengan penggambaran drama Samarinda dan telemovie, perkara ini terlalu mengganggu dan saya mahu ia diselesaikan cepat-cepat," katanya tanpa mahu mengulas sama ada masih tinggal serumah atau sebaliknya dengan suami.

Ditanya sama ada suaminya mengetahui akan kedatangan dia ke mahkamah untuk bercerai, pemilik rumah produksi miliknya A. Aida Production Sdn. Bhd. berkata: "Sebagai isteri saya sentiasa memberitahu suami ke mana saya keluar."

A. Aida berkahwin dengan Suffian yang kini bertugas sebagai Ketua Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Logistik, Bukit Aman Kuala Lumpur, pada 20 April 2007. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhamad Rahul, 4.

Sebelum ini, Aida pernah menjadi isteri kepada Ameng, vokalis kumpulan pada tahun 1994. Mereka kemudiannya berpisah pada tahun 2003. Hasil perkahwinan itu mereka mendapat dua orang anak iaitu Wan Az Aleesa, 16, dan Wan Azevanatassha, 11.

Mengikut rekod, selepas setahun perpisahan itu, Ameng dan Aida rujuk kembali tetapi jodoh mereka tidak berpanjangan apabila berpisah untuk kali kedua pada Disember 2004.

Aida yang berasal dari Besut, Terengganu juga pernah bertemu jodoh dengan seorang anggota polis berumur 26 tahun yang sepuluh tahun lebih muda daripadanya. Perkahwinan kedua Aida itu tidak kekal lama.

Siti Nurhaliza dalam pantang

Posted:

Siti Nurhaliza dalam pantang

GEMAR mengusik dan tertawa manja merupakan sifat Siti yang disenangi ramai.


MINGGU ini nama Datuk Siti Nurhaliza kembali ke carta panas. Hanya gara-gara menjemput para wartawan, pereka fesyen dan jurusolek untuk berkumpul di rumahnya yang terletak di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur banyak andaian awal terkeluar.

Ada yang muncul dengan andaian penyanyi nombor satu ini bakal mengumumkan kehamilan, tidak kurang juga yang membuat tilikan bahawa Siti bakal menerima menantu. Biasalah apabila terkait dengan Siti, pelbagai cerita akan terkeluar.

Siti yang tenang menyambut tetamu pada Khamis lalu di rumahnya lebih banyak menjemput tetamu menjamah makanan berbanding bertugas. Ketawanya manja dan ayu sewaktu dijolok pertanyaan untuk ditemuramah.

Akhirnya dalam satu sesi meja bulat, penyanyi Bukan Cinta Biasa itu membuka mulut. Semua pertanyaan dijawabnya sambil dia sendiri menjamah makanan. Tiada cerita panas sebenarnya yang mahu ditadahkan. Semuanya berkait kerjayanya dan yang penting dia sedang dalam pantang makan untuk persiapan menjayakan konsert solonya yang bakal dilangsungkan di Bukit Gambang City Resort, Kuantan pada 9 November ini.

Terlebih dulu, Siti sempat menjawab persoalan tentang anak teruna Datuk Khalid Muhammad Jiwa iaitu Ashraf yang bertemu mata dengan aktres Rozita Che Wan. Ashraf bertemu dengan pelakon jelita tersebut secara peribadi di sebuah majlis tertutup untuk mendapatkan kepastian benarkah janda bergetah tersebut mahu mengahwini bapanya yang popular dikenali sebagai Datuk K.

"Saya tahu mengenai perkara itu daripada rakan. Suami pun baru sahaja tahu tentang hal itu pagi tadi (Khamis). Saya faham yang Ashraf tu masih budak lagi. Dia hanya bergurau saja. Saya tidak kisah pun. Sebab budak-budak, biasalah darah panas. Tak ada apa-apa yang serius pun," kata Siti memberi penjelasan.

Lebih ditumpukan adalah persiapan Siti tentang konsert solonya yang bakal diadakan di negeri kelahirannya. Malah untuk konsert tersebut, Siti mengaku sudah mula berpantang dan memulakan senaman yang konsisten untuk menurunkan berat badannya daripada 58 kilogram kepada 55 kilogram.

"Lebih kurang sebulan sahaja lagi sebelum saya membuat persembahan di dalam konsert solo kedua ini nanti. Banyak persiapan yang saya perlu mulakan dari sekarang terutama sekali saya mahu kembali cergas dengan bentuk badan yang lebih kurus," jelasnya.

"Terus-terang saya sudah lama rindu untuk beraksi di pentas yang besar dalam konsert solo selepas konsert yang pertama dahulu iaitu Konsert Satu diadakan di Istana Budaya. Kali ini konsert ini akan adakan di luar Kuala Lumpur dulu dan rasanya ia memberi kelebihan kepada peminat bukan saja di Pahang tapi juga di kawasan negeri Pantai Timur," ujarnya yang sedang memikirkan konsep persembahan bersama penganjur konsert tersebut iaitu Creative Stars.

Menariknya, lokasi konsert kedua ini iaitu Grand Ballroom Bukit Gambang Resort City adalah dewan pertama terbesar di Asia Tenggara.

Persembahan konsert solo kedua terbesarnya itu nanti akan berlangsung selama dua jam dan Siti bakal menyanyikan lebih 20 lagu terdiri daripada lagu pop, balada serta lagu-lagu yang berkonsep tradisional.

Siti yang juga sempat memberitahu bahawa dia kini dalam perancangan untuk melancarkan pewangi eksklusifnya sekitar tahun depan.