Adsense

Sabtu, 22 September 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Empayar dan cinta Levine

Posted:

Empayar dan cinta Levine

POPULARITI vokalis band Maroon 5, Adam Levine melonjak dengan begitu pantas. Suara yang unik, wajah yang tampan, kontroversi cinta yang tidak pernah surut dan kemunculannya sebagai mentor dalam program realiti nyanyian popular,The Voice antara sebab saham dirinya melonjak tinggi saat ini.

Namun, sebelum meraih populariti luar biasa sehingga dilabel sebagai King of Pop, kehidupan figura berusia 33 tahun itu tidaklah seindah mana. Jalan menuju kejayaan seperti hari ini tidak mudah buat Levine dan grup yang dianggotainya, Maroon 5.

"Saya pernah bekerja sebagai pelayan di restoran Johnny Rockets, sebelum itu pernah bekerja sebagai pembantu penulis untuk drama Judging Amy dan pernah kecewa apabila album pertama band asal saya, Kara Flowers yang diterbitkan pada 1997 tidak mencapai kejayaan seperti yang diharapkan.

"Kami berpecah dan membawa haluan masing-masing, tetapi bernasib baik apabila bersatu semula dan kini dapat meraih kejayaan yang dikecapi bersama," ujarnya.

Hari ini, siapa yang tidak kenal dengan Levine atau nama sebenarnya Adam Noah Levine. Kebanyakan lagunya mencipta sensasi yang tersendiri dan dia juga meraih kejayaan apabila setiap lagu duet bersama penyanyi lain menduduki tangga teratas dalam carta lagu popular seluruh dunia.

"Ya, saya suka sukses kerana di sebalik setiap kejayaan akan diiringi dengan wang yang banyak. Saya juga tidak ada masalah dengan duit yang banyak, saya ada cara untuk menikmatinya.

"Bagi seorang bintang rock, koleksi tatu, koleksi motosikal berkuasa tinggi, deretan kereta mewah, berpacaran dengan wanita jelita, itu semuanya sudah saya merasai dan memiliki. Tidak ketinggalan, saya mempunyai sebuah rumah dengan pemandangan luar yang dapat melihat terus tulisan Hollywood di atas bukit. Memang saya cukup bertuah dan saya suka menjadi Adam Levine," selorohnya.

Meskipun album Maroon 5 telah terjual puluhan jutaan unit di seluruh dunia termasuk album keempat yang berjudul Overexposed, dia masih enggan mengubah dirinya seratus peratus.

"Populariti dan wang yang banyak tidak memaksa untuk saya mengubah imej. Saya selesa memakai kasut sniker, baju T, seluar jeans dan gaya rambut yang ringkas. Imej yang sama sejak saya tamat sekolah. Ibu juga mengaku yang saya tidak pernah berubah daripada dahulu sehingga hari ini," ungkapnya.

Berlakon

Selain menyanyi, lelaki yang berasal dari Los Angeles, California itu turut bergelar seorang aktor apabila terlibat dalam filem Can A Song Save Your Life? berganding dengan aktres Keira Knightley serta terbabit dalam drama American Horror Story.

Bukan itu sahaja, kehadiran Levine sebagai mentor dalam The Voice untuk tiga musim berturut-turut telah menaikkan rating program terbitan stesen televisyen NBC.

Empayarnya semakin besar apabila dia bakal melancarkan jenama minyak wanginya sendiri, iaitu 222 pada bulan Mei tahun hadapan.

"Sebenarnya saya tidak pernah terfikir untuk membina empayar, tetapi apa yang saya lakukan sekarang ini hanyalah mencuba sesuatu yang baharu.

"Saya tidak pernah teringin untuk menjadi seorang aktor, tetapi apa salahnya untuk mengambil peluang yang diberikan di depan mata.

"Bagaimanapun, saya tidak pula bermati-matian menjalani uji bakat supaya terpilih, sebaliknya pihak produksi yang terfikir untuk memanggil saya. Kehidupan ada naik dan turunnya, saya cuba untuk mengikuti aliran yang datang dan saya memang bekerja keras untuk memastikan setiap kerja itu berjaya," tuturnya.

Terlibat dalam program The Voice merupakan satu kejutan buat anggota Maroon 5 yang lain kerana Levine bukan jenis individu yang sukakan pertandingan nyanyian.

"Apabila tawaran itu datang, saya hanya dengar suara hati dan ingin lakukannya. Jika Steven Tyler boleh lakukannya (menjadi juri) dalam program American Idol, begitu juga dengan saya.

"Kalau ikutkan, saya memang tidak suka pertandingan realiti nyanyian, tetapi The Voice sangat berbeza kerana terdapat ketelusan sebalik pertandingan ini, bukannya soal rating dan populariti semata-mata. Saya dapat membantu orang mengejar impian dengan cara saya sendiri," ucapnya.


BERSAMA grupnya, Maroon 5, Levine mencipta fenomena menerusi untaian lagu segar dan catchy seperti This Love dan She Will Be Loved.


Wanita

Menjadi bintang rock tidak sah jika tidak dikelilingi wanita-wanita jelita. Begitu juga dengan Levine yang pernah bercinta selama dua tahun dengan model kelahiran Rusia, Anne Vyalitsyna.

Levine yang pernah digosip bercinta dengan penyanyi dan mentor program The Voice, Christina Aguilera itu kini dikatakan sedang hangat bercinta dengan Behati Prinsloo, model pakaian dalam jenama tersohor Victoria Secret.

"Orang sekeliling sering salah anggap terhadap saya. Mereka sering sangka yang saya hanyalah seorang penyanyi yang bercinta dengan wanita cantik yang tidak berapa cerdik sebab kekasih saya kebanyakannya merupakan model pakaian renang.

"Saya akan pastikan cinta dan kerjaya berjalan secara seimbang. Saya ingin pastikan orang di luar sana tahu yang saya juga seorang yang cerdik," balasnya.

Bercakap tentang wanita, akuinya, dia cukup bertuah kerana dia seorang lelaki yang cukup memahami wanita, mungkin kerana itu dia tidak pernah mengambil masa yang lama untuk menemui cinta baharu.

"Ibu bapa saya telah bercerai ketika saya berusia tujuh tahun. Sejak itu, setiap hujung minggu saya akan tinggal bersama ibu dan pada hari biasa bersama bapa.

"Di rumah, ibu saya turut mengajak bekas isteri pak cik saya tinggal bersama, sepupu perempuan yang saya anggap seperti adik saya serta abang saya yang diketahui seorang gay.

"Mungkin sebab sudah terbiasa dengan wanita di rumah, saya tidak ada masalah untuk bercakap dengan gadis sejak berusia 15 tahun. Saya cukup memahami apa kehendak dan masalah mereka kerana ibu saya tidak pernah berhenti berkata mengenainya selepas bercerai dengan bapa saya," luahnya.

Mengakui seorang pencinta wanita dan tidak boleh hidup tanpa wanita di sisinya, ujar Levine, setiap kali bercinta dia pasti serius dan menyayangi wanita itu setulus hatinya.

"Kalau anda sayangkan seorang wanita jangan malu untuk tunjukkan perasaan itu, saya jenis lelaki yang tidak malu untuk luahkan perasaan jika saya benar-benar mencintai seorang wanita.

"Buat masa ini saya sukakan kehidupan dan pekerjaan saya. Lakukan perkara yang saya suka bersama orang-orang yang saya sayangi serta dapat bersama dengan orang yang dicintai. Itu sahaja yang saya inginkan," tuturnya.

Pengaruh dan sensasi Ariel

Posted:

Pengaruh dan sensasi Ariel

BERSAMA anggota asal Peterpan yang kini mahu dikenali sebagai Noah, mereka gigih memasang strategi penjenamaan semula grup tersebut.


ARIEL PETERPAN atau Nazriel Irham bukan lelaki yang luar biasa. Namun sebaik dia memasuki bidang seni Indonesia, Ariel pantas memukau khalayak dengan ketampanan, bakat dan kreativiti yang ditumpahkan dalam membikin karya-karya bagi grup Peterpan.

Apa sahaja yang dilakukan Ariel menjadi sorotan media, sama ada ia kisah peribadi atau kerjaya. Perjalanan seni Ariel bersama Peterpan yang sedang berada di puncak, merudum apabila dia dikaitkan dengan skandal video seks bersama kekasihnya, Luna Maya dan hos cantik, Cut Tari pada tahun 2010.

Dua tahun Ariel menjadi buruan paling hangat media Indonesia, walaupun lebih setahun kehidupannya terpaksa dihabiskan di dalam penjara Kebon Waru, Bandung selepas didapati bersalah sebagai pelaku dan mengedar video lucah.

Pada bulan Ramadan lalu, lelaki berusia 31 tahun itu sudah bebas dengan tidak lagi memegang status sebagai banduan.

Ariel kini kembali sebagai seorang penghibur, bersama anggota asal Peterpan iaitu Uki, Lukman, Reza dan David. Hanya selepas dibebaskan, Ariel memilih untuk menukar nama asal Peterpan kepada Noah.

Ternyata, penukaran nama Peterpan kepada Noah selain kisah panas peribadi Ariel tidak membuat surut peminat mereka.

Buktinya, kehadiran band berkenaan ke Malaysia pada 16 September lalu begitu dinanti-nantikan peminat, terutamanya Ariel yang membuat kemunculan sulung selepas dibebaskan daripada penjara pada Julai lalu.

Biarpun sekadar hadir selama 30 minit untuk menghiburkan peminat tegar mereka di negara ini, ternyata Noah tetap tampil dengan satu persembahan yang begitu mantap dan memukau 500 peminat yang hadir.

"Sebenarnya kami cuba hadir ke Malaysia dengan secepat mungkin untuk menghiburkan peminat di sini. Namun, kami terpaksa bergegas pergi dan berharap kamu semua berpuas hati dengan persembahan kami.

"Selepas ini pastinya kami akan datang lagi ke negara ini apabila Noah tampil dengan lebih banyak lagi lagu pada masa akan datang," jelasnya kepada peminat ketika menjayakan Konsert Tentang Bahtera di pusat hiburan KL Live, Kuala Lumpur itu.

Pembabitan Noah dalam konsert berkenaan merupakan sebahagian daripada siri jelajah mereka dengan mengadakan persembahan di lima buah negara dalam tempoh 24 jam sebagai satu kelainan yang cuba ditampilkan mereka.

Jelajah mereka bermula dengan persembahan yang berlangsung di Australia dan Hong Kong, manakala Malaysia pula menjadi destinasi yang ketiga dan selepas itu mereka terbang menggunakan pesawat peribadi ke Singapura dan akhir sekali persembahan penutup yang berlangsung di Jakarta.

Ketika konsert yang berlangsung di KL Live, Noah memulakan persembahan menerusi lagu Walau Habis Terang dan diikuti dengan beberapa lagu lain seperti Menghapus Jejakmu, Mungkin Nanti, Tak Bisakah dan Topeng. Kesemuanya merupakan lagu-lagu yang pernah popular ketika mereka menggunakan nama Peterpan.

"Sudah tentu kamu masih lagi ingat dengan lagu-lagu lama Peterpan. Jadi, mari kita nyanyi bersama-sama kerana tujuan kami semata-mata mahu menghiburkan peminat dan semoga semuanya terhibur," ujarnya yang turut mempersembahkan lagu baharu Noah berjudul Separuh Aku.

Selain menampilkan Noah, konsert berkenaan turut dijayakan lagi dengan persembahan dua buah band tempatan, The Malayan dan 6ixth Sense serta trio dari Indonesia iaitu Gamaliel, Audrey dan Cantika yang menggelarkan diri mereka GAC.

Bagaimanapun, tiada sebarang sesi sidang akhbar yang berlangsung memandangkan kehadiran Ariel bersama bandnya itu sekadar dalam tempoh yang cukup singkat kerana mengejar masa untuk konsert seterusnya di Singapura.

Sementara itu, menurut laporan media Indonesia, Noah kini sedang meraih kembali sukses apabila strategi konsert jelajah lima negara tersebut menjadi fenomena buat mereka.

Noah juga dijadualkan mengadakan persembahan di sembilan buah lokasi di Indonesia seperti Pekanbaru, Solo, Surabaya, Bogor, Yogyakarta, Medan, Palembang, Bandung dan Jakarta yang bermula semalam hingga 15 Oktober ini.

Pada masa yang sama, single pertama mereka, Separuh Aku dan klip videonya juga diterima baik, malah Noah kini sedang giat membikin klip video untuk single kedua yang diberi judul Hidup Denganmu Mati Tanpamu.

"Mereka kini umpama gunung berapi yang sedang meletuskan laharnya kembali," ujar seorang pemerhati muzik seni terhadap kebangkitan Ariel bersama Noah.

Osman Ali kecewa tiada bonus

Posted:

Osman Ali kecewa tiada bonus

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


OSMAN ALI terkilan tidak diberikan perhargaan yang sewajarnya selepas menghabiskan kudrat tenaga fizikal dan kreativiti sehingga filem Ombak Rindu meraih kutipan mencecah RM10 juta.


FILEM Ombak Rindu yang diadaptasi daripada novel karya Fauziah Ashari sememangnya menjadi fenomena dalam industri filem tempatan apabila ia ditayangkan pada 1 Disember 2011.

Jumlah kutipan filem tersebut juga amat tinggi dengan hasil kutipan pecah panggung melebihi RM10 juta. Bagi sebuah filem tempatan, ia merupakan satu gelombang fenomena yang cukup baik.

Kini, hampir 10 bulan berlalu sejak bermula tayangannya, tiba-tiba muncul isu pembahagian bonus terhadap keseluruhan produksi yang belum dilaksanakan.

Isu itu terbongkar apabila pengarah filem Ombak Rindu sendiri, Osman Ali dikatakan masih menuntut bonus yang dijanjikan secara lisan oleh pihak penerbit iaitu Tarantella Pictures.

Kepada Kosmo!, Osman meluahkan tentang perkara berbangkit.

Kosmo!: Boleh komen tentang gosip kononnya Osman masih menuntut bonus yang dijanjikan selepas hampir 10 bulan filem Ombak Rindu mula ditayangkan?

OSMAN ALI: Memang benar kerana ia pernah dijanjikan oleh pihak penerbit untuk memberi bonus kepada semua yang terlibat dalam pembikinan filem Ombak Rindu. Namun, perjanjian tersebut hanya secara lisan dan bukannya tertera dalam kontrak perjanjian. Secara lisan, penerbit memberitahu jika filem tersebut mendapat kutipan lebih RM8 juta, kami bakal diberikan bonus. Filem tersebut kini telah mendapat kutipan melebihi RM10 juta. Namun, sehingga ke hari ini, masih belum mendapat respons terhadap perjanjian lisan tersebut. Saya akui agak terkilan dan kecewa, tapi tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia memang tiada dalam kontrak. Jadi, memandangkan ia sebenarnya tiada dalam kontrak, saya kalau boleh tidak mahu kecohkan keadaan.

Mungkin jika tidak keberatan, boleh dedahkan berapa jumlah yang dijanjikan?

Sebenarnya mereka tidak memberitahu berapa jumlah bonus yang ingin diberikan. Hanya bercakap mulut ke mulut sahaja, tiada sebarang perjanjian dalam kontrak. Bukannya saya terlalu terdesak mahukan wang tersebut, tapi ia tentang penghargaan terhadap kami. Saya juga bukan berasa marah, ingin memboikot atau yang seumpamanya. Ini sebenarnya perkara lama, terkejut juga saya bagaimana ia boleh muncul semula.

Benar atau tidak tentang dakwaan anda menolak untuk bekerjasama lagi bersama Tarantella Pictures untuk mengarah filem yang juga adaptasi daripada novel, Pilot Café kerana isu bonus tersebut?

Memang ada (tawaran), tapi saya tidak kata saya menolak tawaran tersebut. Namun saya harus berfikir secara positif. Jujurnya, saya mahu juga diberi penghargaan (bonus), walaupun tidak banyak, sedikit pun tidak mengapa. Industri ini kecil jadi kita perlu bijak membuat keputusan dalam situasi begini. Memang tidak dinafikan saya mungkin akan bekerjasama dengan Tarantella selepas ini. Namun, mungkin selepas ini saya akan lebih profesional dengan tidak hanya bergantung kepada perjanjian lisan sahaja.

Bagaimana pula dengan Pilot Café. Adakah anda akan akan jadi pengarah filem itu nanti?

Saya akan mempertimbangkan tawaran tersebut untuk terima atau tidak. Ini kerana saya memang mempunyai hubungan yang baik sama ada dengan Tarantella mahupun Ahadiat Akashah selaku penulis naskhah dan skrip filem Pilot Café. Dia sememangnya mahu saya yang mengarah filem tersebut.

Jadi, maknanya anda akan terus bekerjasama dan mengarah filem bersama Tarantella?

Jika ikutkan emosi, memang terkilan dan kecewa namun kita perlu profesional. Jika tanpa memikir sentimen, saya ingin kekalkan hubungan baik tersebut. Ini kerana Ombak Rindu memang sebuah projek yang bagus.